BAB 42Lisa menanti panggilannya dijawab dengan
penuh sabar. Sudah empat kali dia membuat panggilan tetapi masih tidak
berjawab.
“Emak dan ayah ke mana ni... Adam tak ada
dekat rumah juga ke? Telefon tangan tak berjawab, telefon rumah pun tak
berjawab... Kemana mereka ni?” berkerut dahi Lisa menanti panggilannya dijawab.
“Ermm... Sekejap lagilah call...” Lisa mengambil keputusan untuk
menalefon kembali sebentar lagi. Matanya memandang keluar rumah. Pokok yang di
tanam diluar rumah kelihatan sedikit layu.
“Dah berapa lama aku tak tengok
pokok-pokok aku ni? Rasanya dah empat hari ni,” fikir Lisa.
“Eh, ini tak boleh jadi ni!” Lisa lekas
bangun dari duduknya. Jam menunjukkan 5.30 petang. Dirinya bersiap-siap untuk
berkebun. Kali ini Lisa akan merawat pokok-pokok diluar sebaik yang mungkin
kerana dia akan bercuti di kampung selama seminggu tidak lama lagi.
Sebaik sahaja kakinya melangkah keluar,
mata Lisa tertaup kepada tiga kuntum Mawar merah yang sedang mekar dengan
cantiknya.
“Dah kembang!!” Lisa berlari anak menuju
ke arah pasu letaknya pohon Mawar hadiah pemberian Dr.Haikal. Teruja sungguh
hatinya. Mawar itu segera dihidu dengan penuh penghayatan. Terasa sungguh
menyegarkan minda.
“Wanginya…” Lisa masih tidak puas menghidu
Mawar tersebut. Beberapa keping gambar ditangkap dengan telefon pintarnya
sebagai bukti Mawarnya telah berbunga. Tentu Huda tidak percaya Mawar yang
sekian lama begitu degil untuk berbunga telah berbunga saat ini.
“Pasu dah nampak kecil ni,” fikir Lisa.
Matanya mula memandang ke sekeliling taman. Mujurlah ada satu pasu besar yang
kosong. Bolehlah Lisa mengalihkan Pokok Mawar pemberian Dr.Haikal ini ke dalam
pasu yang lebih besar.
“Ok, mulakan kerja sekarang!” kata Lisa
bersemangat. Perlahan-lahan pasu besar diangkat menuju berhampiran Pokok Mawar.
Segala alatan untuk berkebun dan tanah yang telah dibeli daripada pasaraya juga
dikeluarkan daripada tempat simpanan.
“Ok. Mulakan operasi,” kata Lisa dengan
senyuman menguntum di bibir. Dia masih ingat pesanan Dr.Haikal. Jaga pokok ini
sebaiknya kerana pada bunga ini ada rahsianya. Saat pokok ini membesar awak
akan tahu apa rahsianya. Kalau pokok ini telah berbunga, tukarlah kepada pasu
yang lebih besar. Nanti Lisa akan tahu apa rahsianya...
“Rahsia??” terpacul ayat itu dari mulut
Lisa.
“Apa rahsianya?” Lisa merenung pokok
dihadapannya.
“Main-main Dr.Haikal ni... Ini mesti dia
ingat aku tak jaga pokok ni baik-baik... Sebab tu dia kata ada rahsia...
Kononnya aku akan jaga sebaiknyalah kalau nak tahu apa rahsianya…” Lisa
tersengih seorang diri. Dirasakan Dr.Haikal cuba membuat lawak.
Pelahan-lahan Lisa mengeluarkan Pokok
Mawar dari pasu kecil untuk dipindahkan ke dalam pasu baru. Semasa mengalihkan
tanah, Lisa merasakan sesuatu yang ganjil ditanganya. Sebaik sahaja mengangkat
tanah Pohon Mawar sedikit ke atas, Lisa dapat melihat satu bungkusan plastik
yang sebahagiannya telah disaluti dengan akar Pokok Mawar yang berselirat.
“Bungkusan apa ni?” Lisa meletakkan Pohon
Mawar kembali kebawah lalu menyedengkan sedikit tanah Pohon Mawar. Jari
telunjuknya perlahan-lahan mengorek tanah untuk mencungkil plastik merah
keluar.
“Haa... Dapat pun keluar,” kata Lisa
sedikit teruja. Bungkusan plastik itu diketepikan dahulu bagi meneruskan kerja menukar
pasu baru. Setelah beberapa langkah dilakukan, Pokok Mawar yang sedang galak
berbunga ini nampak begitu anggun sekali di dalam pasu baru. Lisa bahagia melihat keindahan Mawar
dihadapannya. Setelah siap menyalin pasu, Lisa menyimpan kembali alatan yang
digunakan agar tidak bersepah dilaman sehingga terlupa untuk memerhatikan
bungkusan yang dikeluarkan dari dalam pasu sebentar tadi. Kerja-kerja menyiram
dilakukan selepas itu.
“Eh, plastik apa ni... Ada ke patut Dr.Haikal
tanam pokok dengan plastik... Patutlah pokok ni susah benar nak membesar...
Terbantut tumbesaran!” tegur Lisa sebaik sahaja tersiramkan plastik tersebut
dengan air. Lisa mencapai plastik ditanah lalu mencari tong sampah untuk
dibuang. Pancuran air ditutup terlebih dahulu agar tidak membazir.
“Kenapa Dr.Haikal selalu berpesan supaya
menukar pasu?” Tiba-tiba sahaja persoalan ini tercetus di mindanya.
“Rahsia?” Lisa melihat kembali bungkusan
plastik ditangannya.
“Jangan-jangan ini rahsianya,” fikir Lisa.
Lisa duduk dibangku sementara tangannya
rakus membuka bungkusan plastik yang dibungkus kemas.
“Surat??” terbeliak mata Lisa melihat
sekeping surat yang dilipat kecil yang turut dibalut dengan plastik. Mungkin
untuk mengelakkan surat ini basah terkena air siraman.
Lipatan kertas itu dibuka.
Assalamualaikum
Lisa...
Apa khabar? Pasti Pokok Mawar yang saya
hadiahkan dah berbungakan? Sebab itu awak mampu baca surat ini... Sebenarnya
inilah rahsia yang saya nak sampaikan... Bunga Mawar merah yang sedang mekar
itu adalah sebagai lambang cinta saya kepada awak. Saya tak nak cari bunga
dekat kedai untuk diberikan kepada awak. Tapi saya hadiahkan Pohon Mawar kepada
awak agar pohon ini mampu meluahkan perasaan saya yang telah sekian lama
terbuku di dalam hati. Saya mahu awak tengok sendiri bagaimana Pohon Mawar ini
membesar sehinggalah saat-saat ia berbunga dan saya umpamakan begitulah cinta
saya mekar untuk awak. Saya mahu orang yang saya cintai memberikan
kasih-sayang, penjagaan dan membajanya dengan
sebaiknya kepada cinta saya sehinggalah orang yang saya cintai mampu melihat
sendiri mekarnya cinta saya ini. Cinta saya adalah Pohon Mawar ini. Terima
kasih Lisa kerana menjaga cinta saya...
Hati Lisa berdegup kencang. Ada rasa debar
yang hebat sedang menggoncang jantungnya. Lisa melihat ada sekeping lagi surat
yang masih belum dibuka. Lipatan kertas yang dilipat kecil itu dibuka dengan
tangan yang menggigil. Matanya terus membaca apa yang tertulis.
Lisa
Amira Natasya binti Abdul Hamid,
Saya
disini meluahkan rasa hati saya. Dari hati
yang terdalam. Sejak saya terpandangkan awak disebalik cermin hati saya
telah mula jatuh cinta kepada awak. Maaf, saya tidak berterus terang kepada
awak. Bukan saya sengaja untuk bertindak begitu, tetapi saya berserah kepada
Allah. Saya kirimkan Pohon Mawar ini sebagai lambang cinta saya kepada awak.
Jika Allah takdirkan pokok ini berbunga, maka dapatlah awak membaca surat ini
dan dapatlah juga awak mengetahui niat dan hajat saya. Saya Muhd Farish Haikal
b. Ramli dengan berbesar hati ingin melamar awak. Lisa, sudikah awak menjadi
isteri saya?
Saya akan dapatkan jawapan ini sebaik sahaja
saya pulang dari London nanti. Sudilah terima cincin pinangan saya ini...
Sayalah orang yang paling bahagia jika awak menerima pinangan saya... Insan
berharap- Muhd Farish Haikal b. Ramli.
“Dr.Haikal!! Apa ni??” Dada Lisa terasa
sakit sekali. Sakit yang sangat melemaskan. Air matanya berjuraian jatuh ke
tanah. Bungkusan yang masih didalam balutan plastik dibuka perlahan-lahan. Kotak
yang dibaluti dengan baldu merah kini berada ditangan Lisa. Perlahan-lahan kotak
tersebut dibuka.
“Ya Allah, Dr.Haikal…” Lisa sebak.
Sebentuk cincin bertatahkan berlian kini terpampang di mata Lisa. Ternyata Dr.Haikal
juga mencintainya sebagaimana Lisa mencintai Dr.Haikal.
“Ya Allah, apakah maksud semuanya ini...
Siapa sebenarnya jodohku Ya Allah? Mawar ini mekar sebelum aku melangsungkan
perkahwinan dengan Irfan... Apakah ini petandaMu Ya Allah? Petanda bahawa aku
harus menerima hajat Dr.Haikal? Dr.Haikal berserah padaMu Ya Allah agar Pokok
Mawar ini mekar agar aku mampu membaca suratnya dan Engkau mekarkan Mawar ini
sebelum aku diijabkabulkan bersama Irfan... Apa yang aku harus lakukan Ya Allah...”
Lisa menyeka airmatanya. Kali ini dia tersepit antara Dr.Haikal dan Irfan.
Dr.Haikal adalah cintanya, Irfan adalah
tunangannya yang mula dicintai Lisa. Namun, cintanya pada Dr.Haikal mampu untuk
memadamkan perasaan cintanya terhadap Irfan. Lisa pasti. Selama ini
rupa-rupanya cintanya tidak bertepuk sebelah tangan.
Deruan kereta Huda memasuki ruang letak
kereta mengejutkan Lisa. Cepat-cepat Lisa menyeka air matanya.
“Lisaaaa!! Tadaaaa... Aku dah bawa balik
baju pengantin kau ni!!” jerit Huda sambil menayangkan baju pengantin Lisa.
Senyuman bahagia terukir di wajah Huda.
“Aku tak nak kahwin!! Batalkan semua ini!”
Lisa bangun dari duduknya menuju ke arah Huda.
“Apa?? Tak nak kahwin? Kau jangan buat
lawak Lisa...Hahaha..,” ketawa Huda.
“Aku serius! Aku tak nak kahwin!” Lisa
meninggalkan surat bersama cincin pemberian Dr.Haikal kepada Huda lalu berlari
masuk ke dalam rumah. Bantal di atas sofa dipeluk Lisa. Air matanya tumpah
semahu-mahunya.
Huda diluar tergamam dengan tindakan Lisa.
Surat ditangannya terus dibaca. Dadanya turut berdebar. Apakah sanggup Lisa
menghancurkan harapan Irfan dan keluarga semata-mata untuk menerima Dr.Haikal?
Huda berharap perkara ini tidak akan terjadi. Lagi seminggu lebih majlis akan
berlangsung. Segala persiapan sudah banyak dibuat. Tidak mungkin Lisa sanggup
menghancurkannya. Huda melihat Pohon Mawar yang dimaksudkan. Ya, Mawar ini
sedang berbunga dengan cantiknya setelah segala usaha dan penjagaan rapi oleh
Lisa. Ya, itulah cinta Dr.Haikal, cinta yang disemai lalu dibajai Lisa untuk
memekarkan cinta mereka berdua.
Huda melangkah masuk ke dalam rumah lalu
kertas dan cincin yang diberikan Dr.Haikal diletakkan diatas meja. Kemudian,
Huda keluar kembali. Baju pengantin Lisa dibawa masuk ke dalam lalu disangkut
ditepi tangga.
“Lisa, kau jangan macam ni… Seminggu lebih
sahaja lagi ni majlis kau nak berlangsung,” pujuk Huda yang duduk disebelah
Lisa.
“Aku tak nak kahwin dengan Irfan... Kau
tahukan macam mana aku cintakan Dr.Haikal? Sekarang sudah terbukti Dr.Haikal
pun cintakan aku... Dr.Haikal terlebih dahulu melamar aku berbanding Irfan...
Cuma aku sahaja yang tak tahu... Kalau aku tahu, dah lama aku korek tanah tu
keluarkan surat ni...”
“Korek tanah?” Huda pelik.
“Ya, korek tanah... Kau tahu punyalah nak
berahsia Dr.Haikal ni, dia sorotkan surat dengan cincin ni dalam tanah Pokok
Mawar yang dia hadiahkan pada aku tu... Itu nasib baik pokok tu berbunga...
Kalau tak sampai bila pun aku tak tukar pasu dan aku tak akan tahu semua ini...”
Terdiam Huda menerima penjelasan Lisa.
“Kalau diikutkan memang Dr.Haikal yang
terlebih dahulu melamar kau, tetapi kau tak tahu… Irfan lamar kau, kau tahukan?
Jadi Lamaran Dr.Haikal kiranya tak sahlah sebab kau tak tahu...”
“Banyaklah kau... Aku tetap tak nak kahwin
dengan Irfan...” Air mata Lisa masih tidak berhenti mengalir.
Ketika serius membincangkan hal ini,
tiba-tiba sahaja telefon Lisa berbunyi. Cepat-cepat air mata diseka dan Lisa
membetulkan suaranya.
“Hello... Assalamualaikum...”
“Waalaikumussalam, akak...”
“Haa Adam... Kenapa Kak Lisa call semua tak berjawab ni?”
“Emak masuk hospital kak...”
“Emak masuk hospital?? Kenapa??” terkejut Lisa
mendengar perkhabaran itu.
“Tak ada apa pun kak... Darah tinggi mak
tulah... Tinggi sangat... Itu yang kena tahan dekat wad ni... Mak kerja kuat
sangat anak perempuannya nak kahwin... Hehe...”
“Kak Lisa nak cakap dengan mak...”
“Sekarang ni, mak ada dekat bilik air...
Malam nantilah ya Kak Lisa call...
Tak pun nanti Adam suruh mak call Kak Lisa… Adam dah kena balik ni...
Waktu melawat dah nak habis ni...”
“Baiklah kirim salam dekat mak tau...”
“Insya-Allah... Oklah Kak Lisa,
assalamualaikum...”
“Waalaikumussalam...”
“Kenapa?” tanya Huda.
“Mak aku masuk hospital sebab tekanan
darah tinggi...”
“Mesti mak kau kerja kuat sebab kau nak
kahwinkan? Tak kan kau sanggup nak batalkan perkahwinan ni?”
“Mak aku masuk hospital pula... Kalau aku
beritahu yang aku nak batalkan perkahwinan ni tentu bertambah parah
kesihatannya,” kata Lisa.
“Kaukan jururawat. Aku rasa kau tahu apa
yang sebaiknya... Oklah aku belum Solat Asar ni... Dah lewat ni... Aku naik
dulu… Baju pengantin kau ni, kau buat naiklah nanti ya...”
Lisa hanya mengerling baju pengantin yang
dimaksudkan. Ah, dia buntu!
********************************************************************
Irfan
masih lagi fokus melihat pakej-pakej fotografi yang disediakan syarikat
kawannya. Senarai pakej ini dipinjam Irfan untuk dibawa pulang ke butik mamanya
bagi ditunjukkan kepada Lisa. Pakej fotografi ini akan digunakan untuk majlis
perkahwinan mereka nanti.
“Lisa, kau rasa yang mana ok? ”
Lisa hanya diam membisu.
“Kenapa ni... Demam ke? Dari tadi diam je...”
“Awak, saya ada hal nak cakap dengan awak...
Penting sangat ni...”
“Ok, apa dia...” Irfan menutup album yang
ditatapnya. Matanya dihadapkan ke muka Lisa.
“Saya nak kita batalkan perkahwinan ni...”
Lisa berterus-terang setelah memerhatikan tiada sesiapa disekeliling mereka.
“Main-mainlah kau ni... Cepatlah kita
pilih pakej mana yang sesuai...”
“Betul ni... Saya serius... Saya tak nak berkahwin
dengan awak...”
Tercengang Irfan mendengar ayat yang
keluar dari mulut Lisa.
“Dia ni betul ke tidak? Tapi muka serius,”
fikir Irfan.
Lisa bangun dari duduk dan melangkah
menghadap ke jendela. Panas terik diluar sedikit menganggu pandangannya diluar.
Lisa berpeluk tubuh. Dirasakan dia tidak cukup kuat untuk berterus-terang
dengan Irfan. Irfan menapak menghampiri Lisa dengan wajah yang serius.
“Betul ke apa yang kau katakan tadi?”
Lisa mengangguk perlahan. Ada linangan air
mata di hujung matanya.
“Kenapa? Kan dah tak lama kita nak kahwin
ni... Seminggu lebih sahaja lagi...”
“Maaf, saya tak cintakan awak. Saya
cintakan Dr.Haikal...”
“Dr.Haikal??” berderau rasanya darah naik
ke kepala.
Lisa mengeluarkan surat dari tas
tangannya. Diceritakan semuanya bagaimana surat ini ditemukan.
“Sekarang kau nak aku buat apa? Nak
beritahu semua orang majlis kita batal? Macam tu?”
Lisa mengangguk perlahan. Wajahnya
ditundukkan kebawah. Tidak berani dia menatap wajah Irfan buat masa ini.
“Aku rasa aku tak mampu buat... Maaf!”
Irfan mengangkat tangan.
“Tapi...” Lisa berharap.
“Lisa, aku cintakan kau... Kau adalah
tunang aku... Kau tak sepatutnya curang kepada orang lain... Ikatan janji telah
diikat, takkan kau nak putuskan macam tu sahaja... Kau fikir tak apa perasaan
emak dan ayah kita?”
“Ya, saya tahu saya salah... Tapi perasaan
saya tak boleh terima... Awak faham tak... Saya akui saya pun cintakan awak...
Tapi, cinta saya tak sehebat cinta saya pada Dr.Haikal... Dr.Haikal adalah
cinta pertama saya...”
“Cinta pertama?? Aku tak percaya! Kau
tipu!”
“Saya tak tipu...”
“Zaman sekolah kau tak ada cinta?”
“Zaman sekolah? Itu cinta monyet, bukan
cinta pertama,” kata Lisa. Entah kenapa kisah zaman sekolah diperkatakan Irfan
ketika ini.
“Ok, fine...
Kalau itu yang kau kata...” ternyata Lisa tidak mengingati dirinya ketika zaman
kecil. Ternyata Lisa telah lupa cintanya ketika di bangku sekolah. Mungkin
betul apa yang Lisa katakan itu hanyalah cinta monyet.
“Kau yang tak nak kahwin dengan aku, kau
jelaskan sendiri kepada papa dan mama aku... Emak dan ayah kau di kampung dah
tahu?”
Lisa mengeleng laju.
“Kalau macam tu, kau jelaskan pada mereka
sendiri... Aku tak nak masuk campur...” Irfan menutup album gambar dengan
kasar. Sakit sungguh hatinya. Tak sangka Lisa sanggup membatalkan perkahwinan
mereka disaat-saat akhir.
“Awak, tunggu!!” jerit Lisa sebaik sahaja
melihat Irfan cuba memutarkan tombol pintu untuk keluar.
“Apa lagi...” Irfan berpaling dan berharap
ini hanyalah gurauan Lisa semata-mata. Irfan cuba untuk senyum.
“Awak temankan saya jumpa papa dan mama
awak ya untuk beritahu semua ini?”
Senyuman Irfan mati di situ.Ya Allah,
pedihnya hati Irfan saat ini. Lisa serius dalam melaksanakan apa yang
diperkatakan sebentar tadi.
“Kalau macam tu datanglah ke rumah... Aku
balik ke rumah sekarang...” Irfan terus meninggalkan Lisa.
Lisa memandang pemergian Irfan. Marahkah
Irfan? Kecewakah dia?
Irfan
menunggu kedatangan Lisa di ruang tamu rumah dengan hati yang gelisah. Hati
lelakinya bagaikan tidak sanggup melihat seorang wanita menghancurkan impian
papa dan mamanya. Biarlah hatinya sahaja yang terluka, tapi janganlah hancurkan
harapan papa dan mamanya. Senyuman Puan Elinna yang tekun mempersiapkan
barang-barang hantaran di ruang tamu rumah begitu menggusarkan hati Irfan.
Bimbang jika senyuman ini akan hilang setibanya kunjungan Lisa ke rumah nanti.
“Irfan, tadi Lisa ada call... Katanya nak datang ke rumah...”
Terkejut Irfan mendengar kata-kata Puan
Elinna. Nampaknya Lisa memang serius untuk membatalkan perkahwinan mereka.
“Lisa call?
Bila? ”
“Tadi, sebelum Irfan sampai ke rumah,” kata
Puan Elinna sambil mencucuk beberapa kuntum bunga pada gubahan hantaran.
“Ada Lisa cakap apa-apa tak?”
“Cakap apa? Cakap yang dia nak datang ke
rumah sahajalah... Lepas tu dia dah letak talefon...”
“Eh, pakej fotografi tu dah pilih ke?”
tanya Puan Elinna.
“Belum lagi, ma...” Irfan memikirkan
sesuatu. Dia harus elakkan Lisa berjumpa dengan mamanya.
“Ma, Irfan rasa...”
“Assalamualaikum...” Kedengaran orang
memberi salam diluar.
“Err...” Salam itu mematikan kata-kata
yang ingin diucapkan Irfan sebentar tadi.
“Waalaikumussalam...” Puan Elinna bangun
dari duduknya dan terus menerpa ke arah pintu utama.
“Oh, Lisa... Masuklah...”
Lisa bersalaman dengan Puan Elinna.
Senyuman cuba diukirkan diwajahnya yang dirasakan sedikit ketat. Dirasakan
lututnya menggigil untuk melangkah masuk ke dalam rumah ini. Gelodak hatinya
untuk berterus terang untuk membatalkan perkahwinan mereka mati begitu sahaja
sebaik sahaja melihat gubahan-gubahan yang cuba di siapkan Puan Elinna di ruang
tamu rumah.
“Mama dah siapkan separuh gubahan ni...
Lisa rasa cantik tak?” senyuman teruja terukir di wajah Puan Elinna.
Lisa memandang Irfan yang duduk di sofa.
Renungan tajam mata Irfan sungguh menakutkan dan dirasakan mampu merentap
tangkai hatinya yang sedang berdegup kencang ketika ini.
“Cantik, ma... Cantik sangat-sangat...”
Lisa duduk bersimpuh bersebelahan dengan Puan Elinna sambil tangannya menyentuh
beberapa kuntum bunga yang menjadi hiasan hantaran.
“Haa... Lisa belum pilih pakej fotografi
lagi kan?”
“Belum, ma...”
“Elok sangatlah tu… Sekarang Lisa dan
Irfan pilihlah pakej-pakej yang berkenan di hati... Mama ke dapur buatkan air...”
“Eh, ma... Tak payahlah susah-susah...”
“Tak susah pun... Lepas ni, menantu mama pula yang buatkan air untuk mama nanti...”
Puan Elinna tersenyum lagi sambil menyentuh dagu Lisa.
Senyuman yang diukirkan ini mampu mempamerkan
harapan yang ada di lubuk hati Puan Elinna.
“Mama buatkan air dulu ya... Lisa duduklah
dulu...”
Lisa hanya tersenyum manja.
“Kau sanggup nak hancurkan harapan mama
aku?” Irfan bertanya sebaik sahaja Puan Elinna hilang disebalik dinding.
“Awak tolonglah saya berterus-terang,”
rayu Lisa.
“Tak nak... Kau yang tak nak berkahwin
dengan aku, kaulah yang berterus terang... Apa yang pasti aku nak berkahwin
dengan kau... Aku tak kan menyerah diri macam tu sahaja...” Irfan merenung
tepat ke dalam mata Lisa. Irfan yakin, Lisa tidak akan sampai hati
menghancurkan harapan orang tuanya. Irfan tahu, Lisa baik orangnya.
Hati Lisa mula goyah. Lisa akui dia tidak
punyai kekuatan untuk berterus terang di hadapan Puan Elinna. Wanita ini sangat
baik padanya. Gubahan-gubahan yang sedang disiapkan ini sedikit sebanyak
membuatkan Lisa rasa bersalah.
“Sekarang, jom kita pilih pakej fotografi
ni... Tak usah dilayan sangat dugaan-dugaan yang cuba merosakkan niat baik kita
berdua... Kita teruskan sahaja seperti yang dirancangkan... Boleh?”
“Awak pilihlah yang mana awak suka... Saya
ikut sahaja... Tapi, saya tak janji saya
akan berkahwin dengan awak tau... Kalau saya tak mampu berterus terang masa
ini, saya akan lari saat hari akad nikah kita nanti,” kata Lisa mengugut.
“Kalau kau lari, aku saman kau! Kau ingat
negara kita ini tak ada undang-undang? Kita dah bertunang, jadi kau tak boleh mengelak
daripada mengotakan janji yang telah dipersetujui keluarga kita...” Irfan
memberi amaran.
Terkedu Lisa mendengar kata-kata Irfan.
Lisa hampir terlupa tunangannya ini seorang peguam. Pasti bab saman menyaman
ini, Irfan begitu arif tentangnya. Kalau disaman, sudah tentu Irfan yang
menang. Mana nak dicari duit buat bayar saman!
“Amboi bakal pengantin ni… Seriusnya
berbincang... Bincang apa sampai serius macam ni?” sapa Puan Elinna sambil
membawa dulang yang berisi air limau.
“Hahaha... Tak ada apa-apalah ma... Abang
Irfan ni, Lisa nak pakej A, dia pula nak pakej C... Itu yang bergaduh ni...”
“Abang Irfan... Abang?” berpinar rasanya
mata Irfan mendengar perkataan yang muncul dari mulut Lisa. Tak pernah pun
selama ini Lisa memanggilnya abang.
“Mana, bagi mama tengok yang mana sesuai...”
“Awak, bagilah mama album tu...” tegur Lisa sebaik sahaja Irfan
masih lagi tidak menghulurkan album gambar pada mamanya.
“Awak!” Lisa menepuk lutut Irfan.
“Ya, apa dia??”
“Album gambar… Mama nak tengok... Awak ni...”
Lisa menjeling Irfan yang tersengih seorang diri.
Irfan menghulurkan album gambar yang
dipegangnya kepada Puan Elinna. Irfan
hanya tersengih-sengih menutup malu.
“Kau panggil aku abang?” bisik Irfan.
“Bila?” Lisa berpura-pura lupa. Dia akui,
mulutnya tersasul melepaskan perkataan itu.
“Tadi...”
“Tersilaplah tu,”jawab Lisa acuh tidak
acuh.
“Apalah kamu berdua ni... Panggillah
sayang ke... Honeyke... Darling... Kan manis didengar...Ini, aku,
kau, awak, saya... Kan dah nak kahwin ni... Bolehlah berlatih panggil,” usik
Puan Elinna.
“Itu lepas kahwin nantilah ma,” kata Irfan
sambil matanya dikenyitkan pada Lisa. Lisa hanya menjuihkan bibirnya. Meluat
dengan kelakuan Irfan.
Perbualan mereka hari itu mematikan
niat Lisa untuk berterus-terang tentang
niat asalnya untuk membatalkan perkahwinan mereka berdua. Hati Lisa tidak kuat
untuk menghancurkan harapan orang yang dihormatinya. Namun begitu, Lisa akan
fikirkan cara yang terbaik untuk tidak berkahwin dengan Irfan. Lagi sembilan
hari majlis akan berlangsung. Esok, Lisa akan pulang ke kampung. Mujurlah Puan
Raudah telah pun keluar dari wad. Lega rasa hatinya. Dengan keadaan Puan Raudah
yang baru keluar dari wad, Lisa rasa dia mungkin tidak akan berjaya untuk
berterus terang sebagaimana dia tidak mampu untuk berterus terang dihadapan
Puan Elinna. Lisa berserah kepada ketentuanNya, tapi, Lisa tidak akan berhenti berusaha
untuk membatalkan perkahwinan ini. Itu janji Lisa pada dirinya.