BAB 33“Adam, kawan Kak Lisa dah bangun ke belum?”
tanya Lisa sebaik sahaja adiknya keluar dari pintu bilik.
“Dah, Abang Irfan sedang solat Kak Lisa.”
“Ya ke... Dia demam lagi ke?”
“Entahlah... Rasanya dah tak demam.”
“Oklah, baguslah kalau macam tu... Ini
Adam nak ke mana ni, pagi-pagi macam ni?”
“Apa lagi Kak Lisa... Nak sediakan umpan
la...”
“Dekat luar tu, matahari belum keluar lagi...
Dah nak pergi?”Lisa mengerutkan dahi.
“Entah... Ayah dah ajak pergi tu...”
“Ya lah... Hati-hati tau...”
“Baik, bos...” Adam tunduk tanda hormat.
“Mengada-ngada,”Lisa tersenyum melihat
telatah adiknya itu.
Adam telah pun keluar dari pintu rumah
disertai juga dengan ayahnya. Mereka ini memang sekaki kalau dalam bab-bab
mencari umpan dan memancing. Pasti pelbagai jenis umpan yang akan dibawa nanti.
Maklumlah, lain ikan, lain jenis umpannya.
Mata Lisa kini beralih ke arah bilik Adam.
Lisa menghampiri bilik tersebut dan dengan perlahan tangannya menyelak kain
langsir yang menutupi pintu. Hati Lisa cukup tersentuh sejurus memandang Irfan yang sedang duduk
diatas sejadah dengan kusyuknya sambil mengalunkan zikir memuji kebesaran Allah
S.W.T. Merdu dan sayu sekali alunan suaranya di keheningan Subuh hari.
Kata-kata pujian yang meniti di bibir Irfan memuji kebesaran Yang Maha Esa
sepertinya menusuk jauh ke dalam hati.
Lisa menutup kembali kain langsir lalu
bersandar di tepi dinding bersebelahan dengan pintu bilik Adam. Matanya dipejam
menghayati alunan zikir yang dilontarkan oleh Irfan.
“Ya Allah, kenapa dengan perasaan aku ini
Ya Allah?” Lisa meletakkan tangannya di dada. Terasa seperti denyut jantungnya
pantas seperti memberikan satu signal yang Lisa sendiri tidak faham. Lisa terus
memejamkan matanya sambil telinganya terus mendengar zikir-zikir yang
berkumandang di dalam bilik adiknya.
“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi
Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat
dan sejahtera semoga dilimpahkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad yang
semulia-mulia pesuruh-Nya, serta ke atas keluarga dan sekalian
sahabat-sahabatnya. Ya Allah, wahai Tuhanku, hidupkan ku dengan iman,
matikanlah ku dalam iman, serta masukkan ku ke dalam syurga bersama-sama iman.
Ya Allah, ya Tuhanku, ampunilah segala dosa kesalahanku dan dosa-dosa kesalahan
kedua ibu bapaku, serta kasihanilah kedua ibu bapa ku sebagaimana mereka berdua
mengasihaniku semasa aku masih kecil. Ya Allah, akhirilah umurku dengan
kesudahan yang baik dan janganlah kiranya Engkau akhirkan umurku dengan
kesudahan yang tidak baik. Ya Allah, ya Tuhanku, janganlah kiranya Engkau
pesongkan imanku sesudah Engkau kurniakan kepadaku petunjuk. Anugerahilahku
rahmat kerana sesungguhnya Engkau Maha Pengurnia. Wahai Tuhanku, kurniakanlah
kepadaku kebaikan di dunia ini dan juga di akhirat, dan peliharalah diriku
daripada azab neraka.
“Ya Allah, berikanlah kepadaku isteri yang
terbaik dari sisi-Mu, isteri yang aku lamar dan nikahi dan isteri yang menjadi
sahabatku dalam urusan agama, urusan dunia dan akhirat... Engkau permudahkanlah
jodohku Ya Allah, jika jodohku jauh, engkau perdekatkanlah Ya Allah, Jika dia
memang berada di depan mata, Engkau bukalah mata dan hatiku untuk melihat
jodohku itu Ya Allah, jika ia sukar, engkau permudahkanlah Ya Allah.”
Lisa yang berada diluar bilik turut
mendengar doa yang dipohon Irfan. Panjang doanya. Hatinya cukup tersentuh.
“Lisa?” sapa Irfan lembut di muka pintu
bilik. Kupiah yang diletakkan dikepalanya ditanggalkan dan dilipat.
“Oh, ya! Saya!” Lisa terkejut daripada
melayani perasaan yang baru sahaja menusuk jauh ke dalam hatinya.
“Kenapa ni?” tanya Irfan hairan dengan gelagat
Lisa yang terpinga-pinga seolah-olah baru terkejut dari lamunan yang panjang.
“Saya... Err... Saya...” Lisa hilang
kata-kata. Entah kenapa pagi itu Lisa lihat wajah Irfan begitu tenang dan
menyejukkan hati wanitanya. Apabila terpandangkan wajah Irfan pagi ini, hati
Lisa terasa begitu lapang. Lapang selapangnya. Lisa cukup terharu. Entah kenapa
air mata Lisa, mengalir dengan sendirinya. Perasaan asing itu seolah-olah
membuka hati Lisa untuk menerima Irfan lebih daripada seorang rakan sekerja,
kawan, musuh atau… Arghh!... Lisa buntu dengan perasaan ini! Lisa menundukkan
wajah ke lantai. Cuba mencari kekuatan untuk berbicara.
Lisa mendongakkan wajahnya. Air matanya
diseka.
“Maaflah... Pagi-pagi saya memang macam ni...
Resdung! Itu yang mata berair dan berhingus macam ni…”
“Patutlah... Ingatkan kau menangis tadi...”
Lisa menelan air liurnya. Nasib baik Irfan percaya. Dari jauh dapat didengari
suara Puan Raudah berbual dengan Surianti.
“Awak boleh bersiaplah... Saya nak ajak
awak ke Pasar Borong… Saya dah siap ni... Saya tunggu awak dekat luar,” kata
Lisa cepat-cepat.
“Matahari belum keluar. Sekarang?” tanya Irfan
untuk kepastian.
“Ya, sekarang...”
“Kau dah bersiap ke?” Hairan Irfan apabila
melihat Lisa hanya memakai T-shirt bersama seluar track. Terlalu simple. Biasanya Lisa tidak macam ni.
Kalau nak keluar, pasti skirt labuh
yang menjadi pilihannya.
“Dah... Cepat tau... Nanti habis ikan-ikan
segar...”
“Ok...”
Sementara menunggu Irfan bersiap, Lisa ke
dapur mengambil senarai barang yang perlu dibeli yang telah disenaraikan oleh
Puan Raudah. Lisa meneliti satu persatu tulisan yang tercatit di atas kertas
putih.
“Emak, ikan pari ni nak yang kecil atau
yang besar?”
“Pilih yang sederhana Lisa... Kalau kecil sangat tak
sedap, kalau besar sangat tak sedap juga... Kita nak bakar ikan pari ni nanti...
Kalau nak gulai baru sedap yang besar-besar,” terang Puan Raudah sambil
tangannya ligat mengacau nasi goreng di dalam kuali.
Lisa mengangguk tanda faham sambil matanya
masih meneliti senarai yang tertera.
“Dah siap dah... Jomlah kita pergi,” kata
Irfan sebaik sahaja tiba di dapur.
Puan Raudah memandang Irfan dari atas
hingga ke bawah manakala Lisa sudah cuba untuk menahan ketawanya.
“Kawan Lisa ni mahu ke mana, segak-segak
begini? Sudah mahu pulang?” tanya Surianti hairan melihat Irfan berpakaian
T-shirt berkolar siap bertali pinggang kemas.
“Amboi Irfan... Kalau pergi pasar pakai
macam ni, alamak gayanya pulang nanti… Habislah baju dan seluar anak ni...”
Puan Raudah mencelah.
“Kenapa, mak cik?”
“Awak… Kalau awak nak tahu kita ni nak
pergi pasar borong... Bukannya pasaraya...”
“So...
Kenapa dengan pasar borong?”
“Awak tak pernah pergi pasar borong ke?”
Lisa merenung ke arah Irfan.
Irfan mengerutkan mukanya.
“Dah, jom ikut saya...” Lisa bangun dari
tempat duduknya. Irfan mengekori Lisa dari belakang menuju ke bilik Adam.
“Awak tunggu dekat luar,” arah Lisa sebaik
kakinya melangkah masuk ke dalam bilik Adam.
Almari pakaian Adam dibuka. T-shirtdan seluar trackyang sesuai untuk Irfan diambil. Mujurlah adiknya Adam,
tubuhnya agak tegap dan tinggi. Lebih kurang seperti Irfan. Maklumlah aktif
bersukan sebab tu cepat sahaja tumbesarannya.
“Nah... Cepat sikit tau... Kita dah lambat
ni...” Lisa menghulur pakaian kepada Irfan.
Irfan menerima huluran Lisa. Cepat-cepat
Irfan membuka lipatan baju.
“Seluar track dan T-shirt berkolar bulat?
Siap ada gambar kartun Spiderman
lagi?” berkerut dahi Irfan.
Lisa hanya tersengih.
“Cepat... Saya tunggu dekat luar...”
Beberapa minit kemudian Irfan ke halaman
rumah. Lisa sudah siap bertopi keledar.
“Kita naik motosikal sahajalah...
Kereta Kancil, ayah dan Adam dah guna...
Pergi ladang agaknya,” jelas Lisa sambil menghulurkan topi keledar kepada
Irfan.
“Sesuai juga pakaian Adam dengan dia ni...
Baru nampak kekampungan sikit! Selama ini pakaian berjenama sahaja yang
disarung... Padan muka! Kali ini, pakai baju pasar malam sahaja,” kata Lisa di
dalam hati sementara menunggu Irfan memakai topi keledar.
“Apa kata kita naik kereta aku sahajalah?”
“Tak boleh... Nanti habis kotor kereta
awak tu... Lagipun, tempat kita nak pergi ni, ramai orang... Susah nak parking nanti...”
“Betul juga cakap kau tu... Susah nak parking... Kalau kereta kotor, boleh
basuh...”
“Tengok, sekarang dah pukul 7 pagi dah...
Biasanya orang ke pasar borong 6.30 pagi macam tu... Kita dah lewat ni...”
“Engkau tu yang banyak cakap... Jomlah
kita gerak,” kata Irfan tidak puas hati apabila dia yang dipersalahkan.
“Startlah
motosikal tu...” Lisa menunjukkan tangannya ke arah motosikal Modenas Kriss.
“Aku??”
“Yalah... Siapa lagi... Awaklah... Takkan
saya pula...”
“Ok... Aku terus terang sahajalah... Aku
tak pandai bawa motosikal ni... Lesen tak ada.” Irfan mengangkat tangan mengaku
kalah.
“Apa?? Tak pandai bawa motosikal?”
terkejut Lisa mendengar ayat yang keluar dari mulut Irfan.
Irfan hanya tersengih sambil tangannya
menggaru keningnya yang tidak gatal.
“Kaulah bawa motosikal ni... Aku duduk
belakang...”
“Ada ke patut? Dia ni...” Lisa mula
menghidupkan motosikal sambil membebel.
“Aku naik ni,” kata Irfan kekok.
“Yalah...”
“Mak ai... Beratnya!” kata Lisa sebaik
sahaja cuba mengundurkan sedikit motosikal.
“Memanglah berat... Kau guna kaki...”
“Jangan banyak cakap... Tak pandai bawa
motosikal duduk diam-diam!” kata Lisa geram.
Lisa agak gementar untuk memulakan perjalanan.
Motosikalnya sedikit terhuyung-hayang.
“Kau boleh bawa motosikal tak ni?” tanya
Irfan cemas.
“Boleh... Cuma nak stabilkan dulu ni...
Dah lama tak bawa motosikal ni...”
Irfan memegang pinggang Lisa ketika
motosikal sudah bergerak dengan stabil agar tidak jatuh.
“Mak ai... Kurusnya... Rasa macam tak
stabil pula...” Irfan ragu-ragu kerana dirasakan badannya tidak stabil ketika
ini.
“Haaa… Tangan tu!”
“Kenapa dengan tangan?” tanya Irfan
hairan.
“Janganlah letak dekat pinggang saya...
Letak dekat besi belakang awak tu sudahlah...”
“Boleh ke? Nanti kalau jatuh?”
“Tak jatuhnya... Pegang besi dekat
belakang tu!” Lisa tidak selesa. Memang kalau diikutkan peraturan tangan
mestilah diletakkan di sisi paha penunggang. Mati Lisa, kalau Irfan mengambil
kesempatan.
Tangan Irfan dialihkan ke besi belakang.
“Ada ke orang naik motosikal pegang besi
belakang macam ni? Mesti kelakar,” fikir Irfan.
Kini, motosikal Lisa melalui kawasan
tanaman padi yang luas terbentang. Warna hijau yang terhampar luas itu
menyegarkan mata memandang. Jalan kecil yang bertar dilalui Lisa dengan penuh
penghayatan terhadap panorama pagi yang indah. Suasana kabus yang masih belum
beransur hilang itu memberikan suasana yang begitu dingin dan begitu
menyamankan. Bukit-bukau masih disaluti dengan kabus yang memutih bak kapas.
Sinar matahari masih belum menjelmakan diri. Mungkin masih bersembunyi disebalik
bukit-bukau yang menghijau itu.
Irfan dibelakang begitu terpegun dengan
keindahan yang berada dihadapan matanya. Sukar untuk melihat permandangan
seperti ini di kota.
“Cantik kampung kau Lisa...”
“Apa? Saya tak dengar!” Lisa menguatkan
suaranya. Suara Irfan tidak begitu jelas. Intonasi suaranya lari dibawa angin
hasil daripada pecutan motosikalnya.
“Kampung
kau ni cantik!”
Lisa tersenyum. Kampungnya memang diakui
mempunyai panorama yang sunguh mendamaikan. Motosikal dipecut laju. Sebaik
sahaja melalui kawanan kuda, Lisa memperlahankan motosikalnya.
“Kuda siapa ni Lisa?!” tanya Irfan sebaik
sahaja melalui kawanan kuda yang sedang meragut rumput.
“Kalau tak silap, ini kuda Tengku Faisal...
Kenapa?!” Lisa tidak lepaskan peluang
melihat kawanan kuda tersebut.
“Tak ada apa-apa... Kalau kita freenanti, bolehlah kita naik kuda ni...”
“Eh, boleh... Tengku Faisal tu kawan baik
saya. Nanti lepas kita balik dari Tasik Kenyir nanti saya tanyakan... Saya pun
dah lama ni tak naik kuda...” Lisa sedikit teruja.
“Ok, bagus...”
“Kalau sempatlah... Saya tak janji,” kata
Lisa.
Motosikal mereka kini berada
ditengah-tengah jalan raya Kuala Terengganu. Lisa begitu berhati-hati mencelah
di celah-celah kereta yang tersusun panjang menanti lampu isyarat bertukar
hijau. Nasib baiklah tidak sukar Lisa mengimbangi berat pembonceng dibelakang.
Irfan dibelakang agak gementar dengan cara pemanduan Lisa. Lori, kereta,van
semuanya dia mencelah.
“Dia ni sengaja takutkan aku ke? Nak balas
dendam ke ni?” Irfan teringatkan pada awal pemulaan mereka berkenalan dimana
Irfan sengaja memandu kereta dengan begitu laju sehinggakan gadis ini mengucap
panjang. Sekarang, giliran Irfan pula mengucap panjang.
Motosikal kini menuju ke arah sebuah pasar
yang dipenuhi dengan ramai orang.Tempat letak kereta kelihatan semuanya penuh.
Beberapa lori yang membawa tong besar bewarna oren bergerak dengan perlahan di
dalam lautan manusia. Sesekali hon perlahan dibunyikan. Mungkin meminta laluan daripada pengunjung.
Lisa meletakkan motosikalnya di bawah
sebatang pokok. Irfan dan Lisa turun dari motosikal. Irfan mula menanggalkan
topi keledarnya dan suasana disekeliling diperhatikan. Bau hanyir dari pasar
menusuk ke hidung sehinggakan tekak terasa mual.
“Jomlah...” Lisa mengajak Irfan setelah
motosikal dikunci sebaiknya. Lisa sudah tidak sabar untuk memilih ikan-ikan segar.
“Err... Jom!” Irfan berhati-hati dalam
langkahnya agar tidak terjatuh di dalam lopak air hitam di sepanjang laluannya.
“Redup pula hari ni kan?” kata Lisa.
Irfan mendongak ke langit. Di langit, awan
berarak mendung. Matahari pula masih tidak memunculkan diri. Ini petanda hari
mahu hujan.
“Macam nak hujanlah Lisa... Payung kita
tak bawa ni... Macam mana ni?”
Lisa hanya tersenyum. Geli hatinya melihat
wajah Irfan yang kelihatan risau.
“Kalau macam tu, mandi hujanlah kita...”
Lisa mengusik.
“Mana boleh... Aku kan baru baik demam ni...”
“Ya ke? Bila masa ya awak demam?” Lisa
menjungkitkan kening kirinnya. Panahan matanya tepat mengenai bebola mata
Irfan.
Irfan melarikan pandangannya daripada
melihat anak mata bewarna hazel Lisa. Bimbang jika dia tidak dapat berdalih di
atas pembohongan yang telah dibuat. Renungan tajam tersebut seolah-olah ingin
menghamburkan api kemarahan dan kegeraman.
“Cantik tahi lalat sebelah mata kau tu...”
Irfan berdalih.
Lisa melarikan pandangannya apabila dia
perasan Irfan telah mula meneliti wajahnya. Cepat-cepat Lisa mengatur langkah
masuk ke dalam pasar.
“Malulah tu...” Irfan ketawa kecil
memperlihatkan barisan giginya.
Sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam pasar yang
tidak berbumbung pada laluan pembeli, deretan longgokan ikan menjadi tatapan
Irfan dan Lisa. Pelbagai saiz dan jenis ikan dipamerkan untuk dijual. Semuanya
ikan segar-segar. Suara para penjual mempromosikan jualan mereka sungguh
menceriakan suasana. Pelbagai strategi digunakan mereka untuk menarik perhatian
pembeli. Kata penjual di situ, ikan baru sahaja diambil dari kapal yang baru
berlabuh dan dijamin kesegarannya. Lisa mengeluarkan senarai yang telah ditulis
oleh Puan Raudah dari poket seluarnya. Sekarang bermulah operasi untuk membeli
ikan-ikan segar ini. Irfan hanya mengikut dari belakang kerana dia tidak begitu
arif untuk membeli ikan-ikan yang dipesan oleh Puan Raudah.
“Nah...” Lisa menghulurkan satu plastik
yang berisi ikan pari. Irfan mengambil huluran tersebut.
“Amboi, dia ni... Aku jadi tukang angkut
barang dia pula...” Irfan meneliti tangannya yang telah sarat dengan beg
plastik yang berisi ikan dan makanan laut yang lain.
“Lisa, banyak lagi ke nak beli ni?”
“Ermm... Sekejap ya...” Lisa meneliti
senarai di tangan.
“Tak ada dah... Tinggal nak beli sayur
sahaja lagi ni...” Lisa tersenyum melihat tangan Irfan yang sudah penuh.
Sengaja dia kenakan Irfan.
“Kalau macam tu, cepatlah... Hari dah nak
hujan ni...”
Belum sempat kaki mereka bergerak ke
kawasan jualan sayur, hujan mula turun dengan lebat selebatnya. Lisa dan Irfan
segera berlari ke arah peniaga ikan yang berbumbung. Hujan turun
mencurah-curah. Nasib baiklah peniaga ikan memberikan ruang untuk mereka
berteduh.
“Abang, naik atas sikit... Habislah selipar
cantik abang tu,” tegur budak muda yang memberikan ruang untuk mereka berteduh.
Irfan melihat kakinya dibawah. Macam mana
dia boleh tak perasan kakinya sudah terendam dalam aliran air basuhan ikan.
“Tak apa dik... Selipar murah sahaja ni,”
Irfan berbohong.
“Saya tengok, saya dah tahu selipar mahal
ni... Lain kali bang, kalau datang pasar
ni, pakai selipar Jepun sahaja... Tak pun pakai macam saya ni... Kasut
but... Kalau tak, habis lencun dengan air ikan macam ni,” kata budak muda
tersebut sambil tersengih.
“Ini budak bandar dik... First time datang pasar borong,” kata
Lisa ramah.
“Oh
ya ke...” Budak muda tersebut mengangguk faham.
Irfan hanya tersenyum.
Barulah Irfan mengerti kenapa Lisa
beria-ria sangat menyuruhnya menukar baju lain ketika di rumah tadi. Begini
rupanya pasar borong. Irfan mula menyukai tempat ini. Tempat yang menjual
makanan harian yang segar, banyak pilihan dan apa yang penting di sini,
harganya sangat-sangat murah.
“Awak, rasanya lambat lagi ni hujan nak
reda... Awan pun macam banyak lagi air yang nak dicurahkan...” Lisa meneliti
kelibat awan dilangit begitu juga dengan Irfan. Pengunjung yang lain berjalan
seperti biasa sambil memegang payung. Cuma mereka berdua sahaja yang tersadai
di situ. Betullah kata orang-orang tua, sediakan payung sebelum hujan.
“Habis tu, kita nak redah hujan ni?” tanya
Irfan.
“Kalau awak tak kisahlah...”
“Aku boleh sahaja...”
Sebelum meninggalkan tempat berteduh, Lisa
dan Irfan mengucapkan terima kasih
kepada budak muda tersebut kerana memberikan ruang untuk mereka berteduh buat
sementara. Lisa dan Irfan mula meredah hujan yang kurang sedikit lebatnya
berbanding tadi. Mereka mengatur langkah selaju mungkin menuju ke ruang jualan
sayur-sayuran. Lisa hanya memilih sayur secara rambang sahaja dan sedikit
kuih-muih turut dibeli. Setelah siap membeli apa yang diperlukan, Lisa dan
Irfan mengambil keputusan untuk terus meredah hujan dengan motosikal. Motosikal
mereka amat sarat dengan barang-barang yang dibeli. Umpama motosikal menjual
ikan dan sayur.
Motosikal Lisa bergerak perlahan meredah hujan.
Sesampai sahaja lorong jalan kampung, hujan kembali turun selebat-lebatnya.
“Lisa!! Lebatnya hujan... Kan tak
pasal-pasal terlepas semua ikan-ikan ni...” sempat lagi Irfan membuat lawak.
Suasana hujan begini, mengembalikan memori
Irfan ketika masih awal remaja dahulu. Irfan masih ingat, ketika dia berusia 13
tahun, dia selalu bermain hujan dengan seorang budak perempuan yang 4 tahun
lebih muda daripada usianya. Mereka berdua selalu mengayuh basikal bersama-sama
meredah hujan. Walaupun orang tuanya melarang, mereka tetap berdegil bermain hujan.
Tiba-tiba sahaja Irfan rasa rindu pada budak perempuan tersebut. Setelah Irfan
berpindah rumah, mereka telah terputus hubungan. Dengar khabarnya, keluarga
budak perempuan tersebut turut berpindah selepas keluarga Irfan berpindah.
Tidak semena-mena wajah Encik Hamid dan
Puan Raudah bermain dilayar fikiran Irfan. Orang tua tersebut sepertinya
dikenali Irfan suatu ketika dahulu. Irfan terpana! Otaknya ligat berpusing cuba
mengingati wajah orang tua budak perempuan tersebut. Irfan tidak dapat
mengingati nama ibu dan ayah budak perempuan tersebut kerana seingat Irfan, dia
hanya membahasakan ibu dan ayah budak perempuan tersebut sebagai Pak Cik dan
Mak Cik manakala budak perempuan tersebut bernama Liana. Nama penuhnya, Irfan
tidak tahu atau mungkin Irfan terlupa.
Irfan tidak pasti. Inilah kelemahan Irfan, sukar mengingati nama panjang
kawan-kawan rapat. Ingat sekejap, kemudian akan lupa. Nasib baiklah fakta
undang-undang yang dipelajarinya tidak mudah dilupakan.
Lisa memberhentikan motosikalnya di sebuah
wakaf kecil. Sementara hujan beransur reda, mereka akan berteduh di sini buat
sementara waktu.
“Kalau aku tahu kita akan mandi hujan,
mesti aku tak mandi pagi tadi...” Irfan merenung ke langit.
Lisa hanya tersenyum. Mujurlah dia belum
mandi lagi pagi tadi. Kebiasaannya Lisa akan mandi selepas balik dari pasar
borong. Kalau tidak, mesti dia perlu mandi sekali lagi selepas meredah air ikan
di pasar.
“Awak lapar tak?”
“Laparlah juga...”
Lisa bangun dari tempat duduk lalu mencapai
bungkusan plastik dari raga motosikal. Air yang berada diluar plastik direnjis
keluar agar tidak masuk ke dalam kuih. Lisa mengeluarkan bungkusan kuih yang
dibeli.
“Makanlah,” kata Lisa. Irfan mencapai
sebiji kuih gulung lalu disuapkan ke dalam mulut.
“Berkhelah pula kita pagi ni... Hahaha...”
“Tahu tak apa,” kata Lisa sambil membuka
ikatan getah kuih bakar. Tak sangka hari ini mereka tersadai dalam hujan. Kalau
tahu macam ni, boleh sahaja bawa kereta Irfan. Kalau kotor pun, air hujan ni
boleh cucikan.
Buat sementara waktu, mereka menikmati
kuih-muih yang dibeli sementara menunggu hujan reda.
“Nanti, kalau hujan dah reda, saya nak
bawa awak satu tempat... Mesti awak suka!” kata Lisa bersungguh.
“Tempat apa?” tanya Irfan dengan penuh
minat.
“Kalau nak tahu, tunggu hujan reda dululah...
Nanti kita pergi.”
“Ok...”
Irfan tersenyum. Fikirannya kembali memikirkan gadis sunti yang bernama Liana
yang dikenalinya suatu ketika dahulu. Satu persatu kenangan bersama Liana
kembali menerjah ke ruang fikiran Irfan. Kemanalah gadis tersebut pergi? Irfan
tidak dapat mencari jawapan yang pasti.
“Hujan dah reda tu... Jomlah kita gerak,”
kata Lisa sambil tangannya menyimpan kembali kuih yang tidak habis dimakan ke
dalam plastik.
Irfan masih termenung jauh.
“Pit Pittttttttttt!!” Hon daripada
motosikal mengejutkan Irfan dari memori zaman kecilnya.
“Apa??!!” Jerkah Irfan kerana terkejut
dengan hon tersebut.
“Tak nak balik, saya tinggalkan awak dekat
sini!” Lisa mula menggerakkan motosikalnya
“Eh,eh!! Woii!! Tunggullah!!” Irfan
berlari anak mengejar motosikal Lisa yang sudah bergerak di jalan bertar.
“Topi keledar tu, tak kan nak tinggalkan
dekat situ...” Lisa menegur.
Irfan berpatah balik ke belakang untuk
mengambil topi keledar yang ditinggalkan di wakaf sebentar tadi. Lisa tersenyum
nakal. Motosikalnya terus bergerak perlahan. Dari cermin sisi, Lisa dapat
melihat Irfan berlari mengejar motosikalnya.
“Woiii!! Tungguu!!”
Lisa melambaikan tangannya. Motosikal
terus dipecut laju sebaik sahaja Irfan hampir dengan Lisa. Irfan tidak berputus
asa mengejar motosikal yang dibawa Lisa.
“Pandai juga dia bergurau dengan aku!”
bisik Irfan.
Dari jauh dapat dilihat Lisa telah
memberhentikan motosikalnya. Lisa bercekak pinggang di tepi jalan.
“Cepat! Cepat! Irfan boleh! Irfan boleh!”
Lisa bersorak riang.
“Argghhh!!” Irfan memperkuatkan lariannya.
Sebaik sahaja sampai di hadapan Lisa...
“Tadaaaa!.” Lisa mendepakan tangannya ke
arah sebuah tasik yang dipenuhi dengan bunga teratai yang sedang kembang mekar.
“Wahh... Subhanallah… Cantiknya!” Irfan
memandang tasik yang dipenuhi bunga teratai pelbagai warna dengan penuh
keterujaan. Teratai yang bewarna merah jambu, putih, ungu dan kuning itu
sungguh memukau di dalam cuaca redup begini ditambah pula dengan berlatar
belakangkan bukit bukau yang menghijau dan berkabus.
“Tolong ambilkan gambar...” Irfan
menghulurkan telefon pintarnya.
“Eh, tak boleh nak on pun?” kata Lisa. Irfan cepat-cepat kembali menjenguk telefonnya
di tangan Lisa. Kalau telefonnya rosak, musnahlah harapannya untuk bergambar
dengan panorama ini. Mungkin telefonnya terkena air hujan.
“Hahaha... Gurau sahaja!!” Lisa
menjelirkan lidah.
Irfan terasa bagai dikenakan.
“Nasib ini kampung kau, Lisa... Kalau
tak…”
“Kalau tak apa?” Lisa menaikkan keningnya.
“Cepatlah ambil gambar aku ni!!”
“Dah ambil dah,” kata Lisa.
“What??”
“Gambar spontan!” Lisa tersengih.
“Janganlah main-main... Tunggulah aku possing...”
“Dah, cepat... Kita dah nak balik ni...Susah
betul kalau dah dasar model ni!”
Beberapa keping gambar diambil secepat
mungkin. Mereka tidak boleh lama di situ. Awan kelabu mula memenuhi ruang
angkasa.
Mereka memulakan perjalanan pulang ke
rumah.
“Macam mana kau tahu aku suka bunga ni?”
“Puan Elinna yang cakap...”
“Bila?”
“Adalah... Masa tu kami ada terserempak di
pasaraya. So, kami jalan sama-sama...
Adalah sikit-sikit Puan Elinna cerita pasal awak...”
“Ooo... Patutlah...”
“Patut apa?”
“Kau tahu aku suka teratai!!”
Lisa hanya tersenyum namun senyuman
tersebut masih dapat dilihat Irfan melalui cermin sisi motosikal yang dinaiki.