BAB 30 Irfan
mencapai bungkusan yang diterima siang tadi. Bungkusan yang terletak di atas
meja kini berada ditangan Irfan. Nota kecil dibaca.
Kepada: Harith Irfan
Sayang,
I miss you so much! Harap you dapat datang ke Restoran Kasih jam 9.00 malam
nanti... Kalau you tak datang, I sendiri akan ke bilik you... -Miera Liyana
Datuk Hisham.
Irfan mengeluh panjang. Miera, teman
sekampusnya suatu ketika dahulu kini muncul kembali. Gadis yang begitu obses
dengan kecantikan serta selalu tampil dengan penampilan yang sempurna. Gadis
inilah yang sentiasa cuba mendampinginya ketika Irfan berseorangan. Cinta yang
diberikan ditolak mentah-mentah oleh Irfan. Namun, gadis ini tidak pernah
berputus asa.
“Sudah 2 tahun tak berjumpa dan kali ini mahu
bertemu kembali? Apa kau nak Miera!” Irfan menghentakkan tangannya ke tilam
empuk.
Gara-gara gadis inilah Irfan hampir
ditangkap basah bersamanya. Semuanya bermula apabila kereta Irfan hampir-hampir
melanggar susuk tubuh gadis ini. Disebabkan itu, Miera jatuh ke jalan dan
mengalami sedikit luka di bahagian kaki. Disebabkan rasa bersalah, Irfan cuba
membawa Miera ke klinik berhampiran. Dalam perjalanan, Miera meraung kesakitan
sehingga memaksa Irfan memberhentikan keretanya di bahu jalan yang agak sunyi
dan gelap. Irfan cuba menenangkan Miera. Jika Miera terus meraung, Irfan tidak
dapat memberikan tumpuan untuk memandu. Tidak semena-mena selepas itu, datang
pihak Jabatan Agama mengetuk cermin kereta
dan meminta Irfan keluar daripada kereta. Irfan diminta memberikan
keterangan. Namun, keterangan yang diberikan Miera adalah bertentangan dengan
keterangan yang diberikan Irfan. Mujurlah keretanya dipasang kamera untuk
merakam perjalanan. Rakaman kamera inilah yang menjadi pelindung dirinya.
Selepas beberapa minggu kejadian, kawan
kepada Miera mengatakan Miera sengaja memerangkap Irfan dan menyuruh dirinya sendiri
menalefon Jabatan Agama. Mujurlah Allah melindungi dirinya daripada fitnah yang
cuba dilakukan oleh Miera. Alhamdulillah...
Kotak dan nota kecil diletakkan ke tepi.
Irfan menaip pesanan ringkas kepada Lisa.
-Lisa, pakai lawa-lawa sikit malam ni...
Irfan terus ke bilik air bagi membersihkan
diri dan seterusnya menunaikan solat Maghrib.
Lisa bersiap ringkas. Untuk malam ini Lisa
hanya mengenakan seluar slack, T-shirt kuning bersama kardigan hitam dan
mengenakan tudung bawal kuning cair. Lisa hanya mengenakan solekan bedak nipis
tanpa sebarang make-up yang lain.
Lisa mencapai telefon pintarnya yang diletakkan di atas katil.
“Eh, ada sms...”
-Lisa pakai lawa-lawa sikit malam ni...-
Irfan
“Aduhh... Kenapa tak cakap awal-awal...
Pukul berapa dia hantar mesej ni?” Lisa melihat waktu mesejnya diterima.
“Ini mesti aku tengah mandi tadi ni...”
Lisa melihat penampilannya di cermin. Agak
selekeh... Stok baju cantiknya telah habis digunakan. Hanya tinggal baju untuk
esok dan waktu pulang nanti. Maklumlah esok hari terakhir pengambaran. Jadi
mereka semuanya akan menjelajah keseluruhan pulau ini esok pagi sehinggalah
waktu malam. Jadi, banyak baju yang ingin digunakan.
“Mimi,Wanda ok tak Lisa pakai macam ni?”Lisa
cuba mendapatkan pendapat.
Mimi
dan Wanda memandang Lisa dari atas hingga bawah.
“Lisa
keluar ni untuk apa? Makan malam special
ke? Kalau makan malam special tak sesuai Lisa...”
“Entahlah… Irfan tak cakap pun... Dia
cakap temankan dia sahaja malam ni...”
“Lisa… Lisaa...” kedengaran Irfan
memanggil diluar.
“Oklah... Lisa pergi dulu... Irfan dah
panggil tu...”
“Ok… Jangan gaduh-gaduh tau,” pesan Wanda.
“Itu tak boleh jamin...” Lisa hanya
tersengih.
Lisa keluar menemui Irfan dengan wajah
ceria. Sejurus Lisa keluar dari pintu, Irfan memandang penampilan Lisa. Gaya
yang digayakan Lisa sedikit kekampungan. Bukan masalah itu yang membelenggu
kepala Irfan tetapi Miera gadis yang terlalu obses dengan fesyen terkini. Jika,
Irfan membawa Lisa sekali, bimbang jika Miera akan mengkritik penampilan Lisa
dan secara tidak langsung akan memalukan dan menyakitkan hati Lisa.
“Err... Lisa... Boleh tak…”
“Eh, cepatlah... Keluar awal boleh balik
awal... Awak nak saya temankan awak ke mana ni?” belum sempat Irfan menghabiskan
ayatnya, Lisa telah memotongnya terlebih dahulu.
“Bergaya pula Irfan malam ni... Memang
tidak padanlah aku keluar dengan dia... Aku ni dah macam mak cik dah ni...
Alahai malunya,” bisik hati Lisa.
“Err… Jomlah...” Irfan serba salah. Kalau
Irfan menegur Lisa agar menukar baju yang lebih cantik, bimbang kalau Lisa
marah dan terus tidak jadi menemaninya berjumpa dengan Miera.
Kerdipan
lampu yang bewarna-warni yang melingkari pohon kelapa begitu cantik dipandang.
Lisa dan Irfan hanya diam membisu melayani panca indera mereka menatapi bentuk
lampu yang dibentuk dengan unik.
Setibanya di Restoren Kasih, Irfan mencari
kelibat Miera.
“Awak cari siapa ni?” tanya Lisa sedikit
bingung dengan kelakuan Irfan.
“Malam ni, adalah hari yang penting bagi
aku. Sangat-sangat penting. Aku minta kau iayakan sahaja apa yang aku katakana
depan perempuan ni nanti... Kalau dia kutuk kau, kau jangan gelabah... Aku ada...
Aku tahu macam mana cara nak ajar perempuan tu...”
“Macam serius sahaja ni...” Lisa memandang
tepat pada mata Irfan.
“Aku nak kau mengaku kau adalah isteri aku...”
Irfan membalas pandangan Lisa. Saat ini Lisa merasakan sesuatu yang pelik.
“Kenapa perlu tipu?” tanya Lisa
menghilangkan rasa kurang enak yang bersarang di sanubari.
“Nanti aku jelaskan...” Irfan terus
mencari kelibat Miera.
“Pegang lengan aku,” bisik Irfan perlahan
sebaik sahaja kelibat Miera kelihatan.
“Mana boleh...” Lisa segan.
“Kan berlapik ni,” kata Irfan menunjukkan
lengan panjang yang dipakainya.
“Berlapik pun... Mana boleh...” Lisa masih
tidak puas hati.
“Suka hati kaulah... Muka tu senyum sikit...
Jom jalan dekat sikit,” kata Irfan.
Lisa
mendekatkan langkahnya dengan Irfan. Kini, kaki mereka melangkah ke arah meja
yang diduduki oleh seorang perempuan yang teramat cantik. Rambut perangnya
begitu memukau mata memandang. Solekan yang dilayangkan diwajahnya yang putih
bersih begitu sempurna dipandang. Susuk tubuh yang mengenakan pakaian yang
sedikit seksi itu bakal membuatkan mata mana-mana lelaki yang tidak kuat iman
akan tergoda. Apabila Lisa terpandangkan gadis cantik tersebut, terasa
kekurangan diri.
“Sempurnanya dia...” Senyuman tetap diukir
diwajah Lisa. Hanya senyuman ini sahaja yang boleh membuatkan Lisa yakin dengan diri sendiri. Menyesal pula
dia pakai ala kadar sahaja malam ni. Dahlah nak mengaku jadi isteri Irfan.
“Kasihan Irfan, dapat isteri hodoh macam
aku ni...”
“Hai sayang! Lama tak jumpa… Penat Miera
cari sayang...” tiba-tiba sahaja perempuan yang dikatakan sempurna oleh Lisa
menggedik tidak tentu pasal. Miera bangun dari kerusi dan dengan selamba sahaja
lengan Irfan ditarik agar duduk berhampiran dengannya. Lisa memandang adegan
itu dengan perasaan yang tidak senang. Cemburukah?
“Sayang nak makan apa? Hari ni Miera
belanja,” ucap gadis tersebut tanpa menghiraukan Lisa yang masih tegak berdiri.
Irfan hanya diam dengan wajah tanpa sebarang senyuman.
“Tolong bagikan kami menu,” minta Miera
kepada Lisa. Lisa terpinga-pinga.
“Sekejap...” tiba-tiba sahaja ayat ini
terpacul di mulut Lisa. Menu makanan yang berada di meja sebelah cepat-cepat
diambil oleh Lisa lalu dihulurkan kepada Miera. Irfan terkejut dengan tindakan
Lisa.
“Sayang nak makan apa… Makanan dekat sini
semuanya sedap-sedap tau...
Tengoklah yang mana berkenan.” Miera mengusap lembut lengan Irfan namun
cepat-cepat Irfan menepis usapan tangan tersebut.
“Miera, aku datang sini bukan nak makan
dengan engkau... Ini, aku nak pulangkan semula hadiah yang engkau bagi siang
tadi...” Irfan meletakkan beg yang mengandungi bungkusan tersebut di atas meja
makan.
“Kenapa… Sayang tak suka ke? Nanti Miera
pilih yang lain ya...” Miera tanpa segan silu mengusap wajah Irfan. Lisa tidak
sanggup lagi memandang kegedikkan gadis ini. Matanya dialihkan ke arah lain.
“Sayang, kenapa tak duduk?” tanya Irfan
kepada Lisa.
“Sayang? Oh, dah tu tak dipelawa...” Lisa
cuba berjenaka. Lisa kurang selesa disitu.
“Kenapa nak ajak pelayan ni duduk sekali
dengan kita?” Miera memandang sinis kepada Lisa.
“Dia ni bukan pelayan di sini... Untuk
pengetahuan Cik Miera, perkenalkan Lisa Amira
Natasya binti Tan Sri Abdul Hamid isteri kepada Tuan Muhammad Harith
Irfan bin Tuan Iskandar.” Tenang Irfan mengungkapkan kata-kata tersebut.
“Tan Sri? Sedap-sedap sahaja Irfan
tambahkan pangkat pada pangkal nama abah,” bisik hati Lisa. Saat ini mahu
sahaja Lisa memijak kaki Irfan sebab menipu. Tapi inikan lakonan... Jadi,
biarkan sahajalah... Boleh berlagak sikit depan perempuan yang bajet bagus ni.
“Oh, jadi sekarang awak dah bersama dengan
anak Tan Srilah ya? Mata duitan juga anak usahawan berjaya ni ya? Tak sangka!”
“Tengok kakilah,” kata Irfan langsung
tidak memandang wajah Miera yang mungkin agak bengang.
“Boleh percaya ke dia ni anak Tan Sri?
Pakai pun macam budak kampung... Entah apa jenis gaya... Serabut mata
memandang!” Miera memperli Lisa.
“Kurang ajar... Kutuk aku!” Lisa
mengeluarkan suaranya.
“Memang betulkan,” kata Miera angkuh.
“Jaga sikit kata-kata tu... Harap muka
sahaja cantik, tapi perangai macam kera hutan! Kau ni Ratu kera ke?” kata Lisa
geram. Pantang betul kalau ada orang mengutuknya terang-terangan.
“Habis tu engkau ni macam nenek yang makan
sirih dekat kampung tu!” kata Miera.
Lisa mendengus geram. Tiba-tiba lagu
doremon berkumandang. Irfan kaget.
“Kenapa masa ni juga telefon nak
berbunyi?” bebel Irfan di dalam hati.
“Oi,
perempuan... Angkatlah telefon engkau tu... Sakit telinga aku dengar tahu tak?
Lagu entah apa-apa engkau pakai... Tak matang betul!” jerit Miera apabila
memandang Lisa yang masih tidak hiraukan panggilan telefonnya.
“Bukan telefon engkau ke Ratu Kera?” Lisa
masih tidak mahu mengaku. Sejak bila lagu Doremon menjadi nada dering
telefonnya? Setahu Lisa, dia tidak pernah menyimpan lagu ini didalam memori telefon.
Lisa tidak mempedulikan panggilan tersebut dan akhirnya panggilan itu berhenti
tanpa dijawab.
Irfan memandang Lisa dan Miera. Irfan dan
Lisa harus beredar dari situ sebelum api yang kecil bertambah besar. Irfan tahu
sangat Miera akan menyalakan api yang besar apabila dia tidak puas hati akan
sesuatu hal. Lisa? Irfan tidak begitu arif tentang tahap mempertahankan diri
Lisa apabila menerima serangan kata-kata yang menyakitkan hati dan telinga.
Mungkin juga Lisa bakal membuatkan api bertambah marak. Sebelum pergaduhan dan
kekecohan besar berlaku, Irfan dan Lisa harus beredar dari situ secepat yang
mungkin.
“Sayang, jomlah kita pergi dari sini...
Layan Ratu Kera ni sampaikan kita pun jadi kera... Dah, jom,” ajak Irfan sambil
menarik lengan Lisa. Lisa ikutkan sahaja langkah Irfan. Lisa pun malas nak
menghadap muka perempuan dihadapannya.
Miera membentak geram. Mujur orang di situ
tidak ramai dan pergaduhan mereka tidak menarik perhatian sesiapa.
“Lepaskan tangan saya,” pinta Lisa.
“Oh, maaf... Aku tak perasan,” kata Irfan
menyedari mereka sudah agak jauh dari Miera.
“Kalau tak ada apa-apa, jom kita baliklah…
Saya nak tengok drama ni...”
“Kita makan dulu…”
“Ok, tapi awak mesti minta Restoren tu
pasang TV3... Janji?”
“Ok, janji... Nanti aku minta remote tvtu sekali...” Irfan mengangkat
tangannya gaya mengangkat sumpah. Mereka mula berjalan menuju ke restoren lain.
Lisa hanya tersenyum sebaik sahaja remote tvsudah berada di tangannya. Panggilan
yang tidak dijawab sebentar tadi dilihat. Ternyata Wanda yang menalefon. Ini
mesti mahu beritahu cerita tu dah bermula. Di dalam kepala, Lisa berfikir
kenapa nada dering telefonnya berubah.
“Maaflah pasal nada dering telefon kau tu...
Aku yang tukar siang tadi...” Irfan mengaku.
“Dah agak dah... Sebab telefon ni awak
guna siang tadi bercakap dengan Dr.Haikal kan?”
Irfan mengangguk.
“Sebab apa awak tukar nada dering ni?”
Lisa memandang tepat pada anak mata Irfan.
“Sebab kau selalu tak dengar bila aku call,” jawab Irfan ringkas.
Lisa hanya menjeling pada Irfan. Dia malas
nak melayan perasaan geramnya terhadap kelakuan Irfan. Drama di kaca televisyen
lebih menarik perhatiannya.
“Hantu drama betullah kau ni Lisa,” kata
Irfan di dalam hati lalu menyuapkan nasi goreng ke dalam mulutnya.