BAB 37
Lisa mengatur langkah dengan begitu tertib
menuju ke arah Puan Elinna yang baru sahaja habis berbual dengan sekumpulan
tetamu majlis. Majlis yang dihadiri oleh beberapa orang wartawan majalah nampak
begitu santai dengan alunan piano yang memenuhi segenap ruang butik yang besar.
Sebahagian tetamu yang hadir, meneliti setiap perincian yang ada pada rekaan
busana pengantin yang tersarung kemas pada model patung dan sebahagian lagi
duduk menjamu selera selepas majlis pelancaran dirasmikan.
“Tahniah puan… Perasmian baju rekaan butik
puan berjalan dengan lancar,” ucap Lisa sambil bibir menguntum senyuman.
“Terima kasih, Lisa… Saya pun nak ucapkan
ribuan terima kasih kepada Lisa… Gambar Irfan bersama Lisa sangat-sangat
cantik. Pandai Lisa menggayakan ekspresi wajah untuk rekaan ini… Kalau teman
lelaki Lisa tengok gambar Lisa bersama Irfan macam ini, tentu dia sangat-sangat
cemburu... Ekspresi wajah tu sangat semulajadi.”
“Teman lelaki? Saya tak ada teman lelaki
Puan,” jawab Lisa malu-malu.
“Jangan panggil saya puan... Panggil saya mak
cik sahaja… Puan tu sangat formal...,” jelas Puan
Elinna.
“Baiklah mak cik...”
“Betul ke Lisa tak ada teman lelaki? Anak
dara cantik macam ni tak kan tak ada?” tanya Puan Elinna sambil meneliti
penampilan Lisa yang anggun berkebaya biru gelap bersama dengan fesyen tudung
terkini. Sengaja dia bertanyakan soalan sebegini. Ini namanya merisik secara tidak
rasmi.
“Betul, puan... Tak ada,” jawab Lisa
sambil ketawa kecil.
“Baguslah,” kata Puan Elinna perlahan.
“Bagus??” Lisa bertanya kembali. Hairan
dengan kata-kata Puan Elinna. Sepertinya
menyindirkan dirinya yang masih tidak berteman lelaki sama seperti kata-kata
Maria.
“Eh, jangan salah faham sayang... Errr...
Maksud mak cik, baguslah kalau masih tiada kekasih hati… Macam kita tahu, couplekan haram dalam Islam. Ia boleh menjerumuskan diri ke dalam
kemaksiatan,” jelas Puan Elinna dengan berhati-hati. Pada hakikatnya, perkataan
bagus yang dikeluarkan daripada mulutnya tadi bertujuan menyatakan bahawa
baguslah kalau Lisa masih belum berpunya. Senanglah sikit kerja meminang nanti.
“Hai, Lisa..,” sapa Irfan yang segak
memakai tuxedo hitam bersama tali leher
putih.
“Haa... Ini pun Irfan... Jom temankan Lisa
makan… Mama masih nak berbual dengan tetamu yang hadir… Temankan tau... Kasihan
Lisa makan tiada teman,” kata Puan Elinna sengaja memberi ruang kepada anaknya.
“Ok ma... Mama tak nak makan dulu
ke?” tanya Irfan.
“Nanti mama makan… Irfan makan dulu dengan
Lisa... Haa, lagi satu Irfan ada nampak tak papa... Dari tadi mama cari papa
kamu tu, tapi tak jumpa-jumpa...”
“Ada jumpa tadi... Papa ada dekat luar…
Makan rasanya...”
“Kalau macam tu tak apalah... Eh, pergilah
makan...”
“Jom Lisa,” ajak Irfan.
Lisa melangkah beriringan dengan Irfan menuju
pintu keluar namun kakinya terhenti seketika. Badannya berpaling semula ke arah
dalam butik.
“Kenapa ni?” tanya Irfan.
“Cuba awak tengok gambar kita tu... Saya
rasa macam tak percaya!” mata Lisa bersinar-sinar melihat gambar poster yang
ditampalkan secara besar-besaran di dalam butik yang mempunyai keluasan yang
amat luas.
“Kenapa kau tak percaya?” Irfan berdiri
disebelah Lisa dan matanya turut memandang ke arah poster-poster yang dimaksudkan oleh Lisa. Tangannya
dimasukkan ke dalam poket seluar. Gah berdiri.
Lisa menatap wajah Irfan yang tidak
berkumis. Lisa menatap tepat ke dalam mata Irfan.
“Saya dah berjaya menjadi model!!” Lisa
sedikit menjerit namun masih dapat mengawal nada suaranya agar tidak mengganggu
para tetamu. Kegembiraan hati Lisa sukar diungkapkan. Lisa ketawa bahagia. Apa
yang pasti, impiannya sudah tertunai.
Irfan terpegun dengan wajah ceria Lisa.
Sangat cantik dan begitu semulajadi. Kecerian Lisa pada malam ini menyentuh
lembut hatinya yang mula telah jatuh cinta pada Lisa.
“Tak lama lagi, gambar ini akan menjadi realiti
buat kita,” ucap Irfan perlahan sambil merenung tepat ke dalam mata Lisa.
“Akan menjadi realiti buat kita?” Lisa
tidak faham dengan apa yang diucapkan oleh Irfan.
“Suatu hari nanti kau pasti akan faham...”
Irfan tersenyum penuh makna.
Kata-kata tersebut mematikan senyuman
Lisa. Tiba-tiba sahaja ayat Irfan itu seperti menyeramkan buat dirinya.
“Eh, jomlah kita makan,” ajak Irfan sambil
menarik lengan baju Lisa.
Dari belakang Lisa tersenyum. Nampaknya
Irfan masih menghormatinya agar tidak sewenang-wenangnya memegang tangannya.
Perasaan dilindungi wujud apabila dia bersama Irfan.
“Banyak juga pilihan makanan ni... Kau nak
makan apa?” Irfan melihat susun atur makanan yang memanjang.
“Apa-apa sahajalah...” Lisa mula mengambil
pinggan untuk dirinya dan satu lagi dihulurkan kepada Irfan.
“Malam esok kita keluar celebrate nak?” tanya Irfan.
“Celebrate?
Celebrateuntuk apa tu?”
“Kau kan dah berjaya jadi model... Kita celebratepasal itulah...”
“Wah, macam seronok! Kebetulan saya kerja
pagi esok... Bolehlah kita keluar malam tu,” kata Lisa mengembalikan semula
keceriaan di wajahnya.
“Ok, esok aku ambil kau dekat rumah...”
“Boleh!” Lisa ketawa riang.
Irfan senang melihat keceriaan di wajah
wanita yang mula menambat tangkai hatinnya. Irfan turut tersenyum bahagia.
“Handsomelah
awak malam ni,” puji Lisa malu-malu sambil tangannya memilih makanan yang
terhidang.
“Apa? Saya tak dengarlah... Boleh ulang
sekali lagi?” Irfan cuba mengusik Lisa. Pada hakikatnya telinganya sudah
menangkap apa yang dikatakan Lisa.
“Saya kata awak handsome malam ni... Puas hati?” Lisa menunjukkan sedikit
kegarangan di situ.
“Oh ya ke... Terima kasih… Kau terpikat tak?”
“Sikitlah… Oppss!” Lisa menutup mulutnya
yang terlepas cakap. Mulutnya begitu lancar menuturkan isi hati yang dibungkus
kemas di dalam hati. Lisa malu sendiri.
Irfan senang hati mendengar kata-kata
Lisa.
“Kau apa kurangnya malam ni... Cantik! Aku
cemburu tau tengok jejaka-jejaka ni pandang engkau!” Irfan meluahkan apa yang
telah bersarang dihatinya sejak dari permulaan majlis tadi.
“Biasalah tu... Sayakan baru nak glamourni...”
“Encik Irfan, boleh tak saya bergambar
dengan encik?” sapa sekumpulan gadis cantik dari belakang dan secara tidak
langsung terus mematikan perbualan antara Lisa dan Irfan.
Irfan memandang Lisa. Bimbang jika gadis
ini cemburu.
“Dah habis pilih makanan?” Lisa melihat
wajah Irfan yang sedikit kelat.
“Dah.” Irfan sedikit terkejut dengan
pertanyaan Lisa.
“Kalau macam itu saya bawa ke meja dahululah...
Awak bergambarlah dulu... Senyummm...” Lisa mengambil pinggan di tangan Irfan.
Dari meja yang diduduki Lisa, Lisa nampak
jelas kelibat Irfan. Entah kenapa, hatinya turut cemburu dengan situasi
tersebut.
“Eh, fokus Lisa... Dr.Haikal engkau nak
letak dekat mana nanti...” Hati Lisa berkata-kata. Perlahan-lahan Lisa
melepaskan perasaan cemburu yang cuba menular ke dalam lubuk hatinya.
“Belum tidur lagi Huda?” tanya Lisa sebaik
sahaja menjenguk ke dalam bilik Huda yang terbuka pintunya.
“Belum lagi… Macam mana majlis?”
“Alhamdulillah... Berjalan dengan lancar...”
“Untunglah dapat bekerja dengan butik
terkenal tu... Butik Huda pula masih merangkak nak mengenal dunia...”
“Tak apa, nanti kalau ada masa Lisa bawa
Huda pergi jumpa Puan Elinna... Manalah tahu boleh jadi share partner...”
“Betul ke ni? Bagus juga idea tu...”
“Eh, mestilah… Nah, ini buah tangan untuk
kau...”
“Apa ni?” Huda membuka beg kertas yang
dihulurkan Lisa.
“Buku panduan memilih busana pengantin!
Wow macam menarik ni...”
“Bolehlah kau buat rujukan untuk rekaan
baju pengantin kau tu... Dan lagi satu Huda kan dah nak kahwin… Bolehlah
gunakan tip-tip yang ada dekat dalam buku ni...”
“Thanks,Lisa...
Kau dah nak tidur ke?”
“Belum lagi... Nak seterikakan baju uniform aku tu dulu...”
“Tak payah... Aku dah tolong seterikakan...
Meh, duduk sini sekejap,” ajak Huda.
“Eh, ya ke... Terima kasih Huda… Macam
tahu-tahu aku dah penat kan,” kata Lisa sambil menghampiri Huda yang duduk di
atas tilam empuk.
“Sama-sama... Ini haa aku peninglah nak
pilih tema apa untuk majlis pertunangan aku tu...” Huda menunjukkan gambar yang
tersusun rapi didalam album yang dipinjam dari butiknya sendiri.
Lisa turut meneliti gambar-gambar di dalam
album tersebut. Tiba-tiba sahaja hatinya terasa begitu seronok.
“Eh, macam aku pula yang nak bertunang ni...
Seronok semacam! Bilalah aku dapat rasa perasaan ini kan... Untung Ustaz Saiful
dah melamar kau Huda... Nanti aku kena cari rumah barulah…” Lisa buat-buat muka
merajuk.
“Alahh... Engkau pun aku rasa dah tak lama
tu... Cuba kau buka sikit hati kau tu untuk menerima Irfan. Aku jamin mesti
selepas ni kau yang kahwin dulu daripada aku,” kata Huda yakin dengan jodoh
sahabatnya.
“Huda tahu kan? Lisa sukakan Dr.Haikal...”
“Dr.Haikal? Dr.Haikal memanglah baik… Aku
pun suka kalau kau bersama Dr.Haikal... Tapi, aku lebih suka kalau kau bersama
Irfan...” Huda tersenyum menatap wajah sahabatnya.
“Eh, kau ni... Irfan??Eeee…”
“Tak payah nak buat muka geli sangatlah…
Poyo! Eh, tak ada ke gambar majlis tadi?”
“Ada...” Lisa membuka simpanan gambar di
dalam telefon pintarnya.
“Nah...”
Satu persatu gambar ditatap Huda.
Kemeriahan majlis tadi bagaikan dapat dirasakan apabila menatap gambar yang
diambil oleh Lisa.
“Ya Allah… Handsomenya Irfan!! Kau tak terpikat ke Lisa?” Huda terpegun dengan
penampilan Irfan.
Lisa hanya tersenyum sementara matanya
terus meneliti warna-warna pelamin dan juga baju pengantin di dalam album.
Entah kenapa hatinya berbunga-bunga apabila Huda memuji kekacakan Irfan. Tidak
semena-mena terselit juga perasaan rindu untuk menatap wajah itu.