BAB
16Irfan meletakkan
keretanya dihadapan Butik Pengantin Elis. Loceng pintu berbunyi sebaik sahaja
Irfan melangkah masuk ke dalam butik tersebut. Gambar model menggayakan busana
pengantin butik itu jelas kelihatan apabila melangkah masuk ke dalam dek kerana
ia dipaparkan secara besar-besaran di ruang legar butik.
Pekerja wanita yang
berkerja di Butik Pengantin Elis tersenyum mesra sebaik sahaja melihat
kehadiran Irfan. Salam diberikan kepada Irfan tanda hormat. Keayuan mereka
terselah di dalam pakaian rasmi butik yang bertemakan baju kurung moden dari
rona hijau lumut.
Irfan melabuhkan
punggungnya di sofa putih di ruang menunggu sebelum naik ke tingkat atas. Dari
situ, Irfan dapat melihat beberapa orang pelanggan sedang mencuba busana
pengantin yang berkenan dihati mereka. 10 tirai persalinan semuanya penuh! Dan masih
ada lagi pelanggan yang masih menunggu giliran untuk mencuba busana pilihan
hati.
“Alhamdulillah…
Mereka memilih butik mama,” ucap Irfan tanda bersyukur di atas rezeki yang
diperolehi.
“Air En. Irfan,”
kata seorang pekerja yang bertugas sambil menghulurkan satu gelas berisi air
anggur sejuk.
“Oh, terima
kasih… Macam tahu-tahu tekak saya tengah haus… Macam mana hari ni? Sibuk?”
“Sibuk juga En.
Irfan… Maklumlah dah dekat musim orang kahwin…”
Irfan mendengar
setiap kata-kata pekerja mamanya sambil meneguk air yang diberikan tadi.
“Itulah, saya
tengok dekat butik depan sana pun ramai orang…”
“Haa… En. Irfan
bila pula nak mencuba baju pengantin? Tak nak mencuba ke,” tanya pekerja
mamanya dengan ramah.
“Kan saya dah
cuba banyak kali baju-baju pengantin ni? Nak cuba macam mana lagi…” Irfan
menunjukkan gambar-gambar yang terpampang di dinding butik.
“Itu tak kiralah
En. Irfan… Jadi model, tak sama dengan pakai baju untuk tujuan yang
betul-betul…”
Irfan tertawa
kecil. Lesung pipit dalam jelas terukir di pipi.
“Eh, kawan awak
panggil tu.... Saya pun dah nak naik ke atas ni...”
“Ok, saya pergi
dulu En. Irfan… Saya ambil gelas ni…”
“Sila-sila…
Terima kasih untuk air ni…”
“Sama-sama.”
Irfan melangkah
menaiki tangga ke tingkat atas untuk menuju ke pejabat Puan Elinna. Pintu
diketuk.
“Masuk…”
“Assalamualaikum,
ma,” kata Irfan sambil bersalaman dengan Puan Elinna.
“Waalaikumussalam....”
“Irfan, cantik
tak busana baru ni?”tanya Puan Elinna sambil membuka kaca mata. Sampel gambar
baju-baju pengantin yang baru disiapkan ditunjukkan kepada Irfan.
“Design terbaru
kita ke, ma?” tanya Irfan untuk kepastian.
“Aaah.... Design terbaru
kita...”
Irfan membelek
satu persatu gambar-gambar tersebut. Matanya meneliti setiap sampel tersebut
dengan penuh minat.
“Perfect! Bajunya
dah disiapkan ke ma? Model macam mana?”
“Semuanya dalam
proses. Dalam 40% dah siap… Model? Haa yang ni macam biasalah… Irfanlah model
mama… Tak payah mama bayarkan… Free sahaja kan? Jimat…”
“Ok ma… Anything
for you....” Irfan tersenyum.
“Anything for
me?”tanya Puan Elinna untuk kepastian daripada anak terunanya.
“Yup!” Irfan membulatkan
mata melihat Puan Elinna.
“Kalau macam tu mama nak tukar model perempuan
kita tu. Kali ni mama nak Irfan carikan.”
“Kenapa nak tukar
model kita tu, ma… Kan dah ok...”
“Tak apalah… Sengaja
tukar angin. Lagipun model kita tu dah ditawarkan untuk belajar di Paris. Dalam
minggu depan katanya. Sekarang ni baju masih belum siap dan dijangka mungkin
dalam bulan depan baru dapat disiapkan.
Jalan terbaik kita cari model lain. Irfan carikan ya?”
“Ermmm… Irfan
bukannya ada kawan yang jadi model pun ma… Macam mana nak cari...”
“Bukan model pun
tak apa... Asalkan perempuan!” kata Puan Elinna beria-ria. Sengaja dia meminta
untuk Irfan carikan model untuk pasangan baju pengantinnya. Mudah-mudahan Irfan
bertemu jodoh.
“Ok… Irfan cuba.
Tapi nanti mama setuju sahajalah dengan pilihan Irfan tu....”
Irfan
mengetuk-ngetuk jari telunjuknya di meja tanda berfikir.
“Kalau Irfan
pilih Iffa macam mana? Cantik juga Iffa. Lagipun dia anak mama. Tak payah
bayar. Hahaha… Cop! Muktamad!”
“Muktamadlah
sangat.... Dibantah!” kata Puan Elinna dengan nada bergurau.
“Kenapa pula ma…
Oklah tu…”
“Mama dah
tanyakan Iffa tadi. Tapi dia tak nak… Tambahan lagi Irfan model lelaki… Lagilah
dia tak nak. Katanya tak handsome!”
“Mengada-ngadalah
Iffa tu ma.... Abang dia yang paling handsome dia kata tak handsome.”
“Irfan carikan
ya? Kalau boleh, carikan calon menantu untuk mama sekali ya… Model pengantin
mama merangkap sebagai menantu mama,” kata Puan Elinna sambil memegang erat tangan
anak terunanya. Mata ditenung tepat ke dalam anak mata Irfan. Disitu dilahirkan
segala harapan yang terbuku dihati.
“Insya-Allah, ma...
Tapi calon menantu tu Irfan tak jamin.”
“Ok, mama tunggu
calon menantu mama.... Pilih yang baik-baik tau.”
“Mama ni… Nak
model ke nak menantu ni? Insya-Allah kalau ada jodoh,” kata Irfan sambil
membalas genggaman tangan mamanya.
Irfan berdiri
diluar balkoni sambil melihat kolam air pancut dihalaman rumahnya dari tingkat
atas. Api neon yang mewarnai air pancut tersebut kelihatan begitu mengasyikkan.
Angin malam menguis-nguis nakal rambutnya. Suasana malam begitu tenang.
“Siapa yang
sesuai jadi pasangan model aku ni?” ngomel Irfan seorang diri sambil matanya
terus merenung air pancut dihalaman rumahnya.
Tiada ilham yang
hadir dalam pemikiran Irfan. Model yang dicari sudah tentulah model islamik.
Butik mamanya memperagakan baju pengantin untuk wanita-wanita yang mementingkan
penjagaan aurat. Sambil berfikir, Irfan kembali ke dalam bilik dan terus
mencapai telefon pintarnya. Kemudian, Irfan keluar semula ke balkoni tetapi
kali ini dia duduk diatas kerusi buaian yang sengaja diletakkan diluar. Buaian
digerakan sedikit demi sedikit sehingga ia mencapai tahap ayunan yang
diinginkan Irfan. Senarai kenalan di dalam telefon dilihat satu persatu tetapi
tiada kenalan yang sesuai untuk menjadi model sehinggalah Irfan terlihat nama
Singa Betina.
“Singa betina?
Siapa ni ya?” laju otak Irfan berfikir.
“Oh, ya!” Irfan
terus berlari ke dalam bilik. Laci meja kecilnya dibuka. Kertas hijau pucuk
pisang dikeluarkan. Irfan membaca isi kertas tersebut.
“Perkara yang
diingini. Menjadi model....” Irfan membaca isi kertas kepunyaan Lisa yang
diambilnya dari fail Lisa berulang kali. Irfan tersenyum nakal. Dia
mengibas-ngibaskan kertas tersebut ke mukanya.
“Yeaahhh!” Irfan
melompat kegembiraan. Akhirnya berbaloi juga otaknya diperah selama tiga hari
ini. Akhirnya kertas ni menjadi penyelesaiannya!
Perkataan SINGA BETINA di telefon pintarnya dilihat
Irfan. Irfan berfikir dua kali.
“Singa betina…
Singa betina… Singa betina… Nak call ke tak ni? Singa betina…” Irfan berjalan ulang-alik
di dalam bilik tidurnya memikirkan haruskah dia menalefon Lisa saat ini.
“Takutlah!” kata
Irfan lalu mencampakkan telefonya diatas tilam. Tidak lama selepas itu badannya
juga dihempaskan di atas katil.
“Seram sejuk je
nak call singa betina ni… Dia shiff apa
hari ni? Dah pukul berapa ni?” Irfan melihat jam di dinding.
“Alahai... Dah
pukul 11.30 malam… Esok sahajalah call. Buatnya dia kerja malam, takkan
dilayannya telefon berbunyi kalau bukan orang penting,”fikir Irfan apabila
teringatkan perbualannya ketika awal perkenalan mereka bahawa Lisa tidak akan
melayan telefon sewaktu bekerja.
Jam telah
menunjukkan pukul 11.00 pagi. Perut yang lapar sedikit sebanyak telah mengganggu
tumpuan Lisa untuk bekerja. Segala urusan yang perlu diselesaikan telah
dilakukan.
“Masa inilah
kalau nak makan pun.... Nanti ada kerja lain pula yang dibuat,” kata Lisa
sejurus memastikan semua tugasan telah diselesaikan.
“Faisal tolong
tengokkan kubikel saya ya? Saya nak pergi makan sekejap. Boleh tak?” tanya Lisa
kepada rakan setugasnya.
“Boleh, tak ada
masalah. 10 orang pesakit je kan?”
“Ya… 10 orang. 2
orang lagi tu dah nak discaj. Ada nak pesan apa-apa? Nak pergi kafe ni....”
“Engkau bungkuskan
jelah apa-apa Natasya. Ini duitnya.” Faisal menghulurkan duit RM5 kepada Lisa.
“Ok, ditanggung
beres!” Lisa mengambil duit yang dihulurkan Faisal.
Tanpa membuang
masa, Lisa bergerak pantas keluar dari wad. Sebelum memasuki lif, sempat lagi
Lisa menoleh ke arah cermin yang biasa dilihatnya. Tudungnya diperbetulkan.
Senyuman manis dilemparkan pada cemin tersebut.
Senyuman tersebut
telah membuatkan orang dibelakang cermin tersebut terpukau! Terhenti seketika
penulisan yang sedang ditulis.
“Nak kemana Lisa
ni?” kata Dr.Haikal sambil melihat jam dipergelangan tangannya.
Dr.Haikal cuba
mengagak.
“Mesti nak pergi
makan ni… Tengok muka dah tau dah. Ikutlah sekali!” Dr.Haikal segera menutup
fail yang sedang ditulis.
Belum sempat
tombol pintu dibuka, telefon di atas meja berdering. Panggilan dari rakan
setugasnya dijawab dengan segera. Dr.Haikal hanya memandang pemergian Lisa
memasuki lif seorang diri dengan ekor matanya. Hatinya sedikit kecewa. Sejurus
panggilan ditamatkan, Dr.Haikal segera menyarungkan kot putihnya dan stetoskop
yang diletakkan diatas meja dicapainya. Dia harus cepat! Seorang pesakit
memerlukan bantuannya.
Sementara
menunggu makanan dibungkus, Lisa membuka telefon pintar. Tertera panggilan
tidak dijawab sebanyak 5 kali.
“Siapa ni? Tak
pernah nampak pun nombor ni? Urgent ke
ni?”
Tanpa berlengah
lagi Lisa menalefon kembali nombor tersebut.
“Eh, tak angkat…
Biarlah… Nanti dia call baliklah tu,”fikir Lisa.
Lisa mengambil
makanan yang telah siap dibungkus lalu membayar sejumlah wang. Nasib baiklah kafeteria
dekat dengan wadnya. Jadi tidaklah membazir masa untuk dia berjalan semata-mata
untuk membeli makanan.
Hari ini keadaan
wad tidaklah terlalu sibuk. Kebiasaannya, tidak sempat Lisa hendak menjamah
makanan atau rehat jika wad sibuk sehinggakan tidak cukup tangan untuk
menangani pesakit. Lenguh kaki, hanya tuhan sahaja yang tahu. Macam-macam ragam
yang ada. Kalau pesakit tak meragam, saudara pesakit yang meragam. Itu tak
kena, ini tak kena. Walaupun macam-macam ragam, hati Lisa perlu ikhlas dan
sentiasa tersenyum. Barulah kerja menjadi seronok!
“Faisal, nah ini
makanan awak. Letak dalam pantri ya. Saya makan dulu tau, nanti saya tolong
jagakan kubikel awak pula. ”
“Eh, sekejapnya!
Dah naik? Ok.... Ikut giliran rehat. Jangan lama-lama tau.”
“Ok,”kata Lisa
sambil memboloskan diri kedalam pantri.