BAB 43Lisa menghempaskan badannya di sofa. Tas
tangannya dicampakkan begitu sahaja. Huda yang leka menghadap televisyen
seperti tidak mengendahkan kehadiran Lisa.
“Huda, kau dah kemas barang belum?”tanya
Lisa malas. Matanya dipejam rapat-rapat. Pening kepalanya sungguh merimaskan.
“Kemas barang nak ke mana?” Huda buat-buat
tanya. Matanya dikerling kepada Lisa yang nampak kepenatan.
“Balik kampung akulah...”
“Buat apa nak balik kampung kau... Kau kan
tak nak kahwin... Kan?” sindir Huda biar Lisa terasa.
“Huda!!!!” Lisa menjerit geram.
“Laa... Kenapa pula kau ni... Tak nak
kahwin sudahlah... Tak payahlah nak memekakkan telinga aku!!” marah Huda. Geram
sungguh Huda dengan perangai Lisa sejak kebelakangan ini. Kalaulah Dr.Haikal
ada di sini, nak sahaja Huda bersemuka dengan Dr.Haikal. Dr.Haikal telah buat
Lisa menjadi sasau sebegini!
“Kemaskan barang... Esok petang kita balik
ke kampung aku...” Lisa bangun dari bersandar di sofa.
“Kau jadi kahwin eaa?” bulat mata Huda
bertanyakan perihal tersebut.
“Setakat ni jadi lagi... Tapi, kalau aku
dah pulang ke kampung nanti, aku tak jamin jadi atau tak...”
“Laa... Macam tu pula... Peninglah aku
dengan kau ni...”
“Kau dah berterus terang belum pada
Irfan?”
“Dah... Cuma Puan Elinna sahaja aku tak
sampai hati untuk berterus terang...”
“Irfan tak kata apa-apa?”
“Dia tetap nak berkahwin dengan aku...
Hati batu betullah tunang aku tu... Aku dah kata tak nak dekat dia, dia masih
lagi terhegeh-hegeh nakkan aku...”
“Alaa... Kau pun apa kurangnya Lisa...”
“Whatever...
Malas aku layan kau... Banyak barang lagi aku tak kemas ni... Dahlah malam ni
aku kerja malam! Penatnya!!!” jerit Lisa.
“Tak apalah... Esok pagi sempatlah kau
kemas... Lagi pun kau akan cuti panjang kan... Baju pengantin kau, aku uruskan...
Itu tanggungjawab aku... Kau jangan risau...”
“Ok, terima kasih… Tapi aku rasa ada
baiknya kalau kau buat-buat lupa untuk bawa pulang baju pengantin aku tu...
Nanti bolehlah aku bagi alasan aku tak nak kahwin...”
“Ah, tak ada maknanya Lisa... Kalau kita
lupa nak bawa balik baju pengantin kau ni, aku jamin pakai kain batiklah kau
masa akad nikah nanti... Yang penting ijab dan qabul kan? Baju manalah penting
sangat!”
“Yalah...” Lisa mengalah. Lisa menguap
kemalasan.
Lisa berlalu naik ke atas. Dibawah, Huda
menjerit kesukaan disebabkan Lisa tidak berjaya membatalkan perkahwinan mereka
di hadapan Puan Elinna. Mujurlah semua barang yang ingin dibawa ke kampung Lisa
sudah habis dikemasnya. Mengalahkah orang yang nak kahwin! Lisa satu barang pun
masih belum dikemasnya. Tak apa, Huda akan uruskan semua itu malam nanti.
Kasihan bakal pengantin penat.
“Tak lama lagi, aku pula yang jadi
pengantinnya...” tiba-tiba Huda teringatkan Ustaz Saiful. Tak sabar rasanya
hati untuk hidup berdua bersama Ustaz Saiful. Bahagianya… Huda leka dalam
khayalan yang mula menjalar ke dalam benak fikirannya. Selepas perkahwinan Lisa
berlangsung, perkahwinannya akan menyusul selepas itu. Baju pengantin mereka
berdua juga telah siap direka, cuma masih belum dijahit sahaja. Huda
mengimpikan baju pengantinnya seindah baju pengantin Lisa dan Irfan. Huda telah
mencurahkan idea yang terbaik kepada rekaan baju pengantin sahabatnya itu. Cuma
harapan Huda, Lisa meneruskan perkahwinan ini. Kalau tidak punahlah harapan
Huda untuk melihat sahabat baiknya memakai baju rekaannya.
Lisa
melangkah masuk ke dalam rumah lalu menerpa ke arah Puan Raudah. Tangan Puan
Raudah dicium.
“Mak, kenapa hari tu boleh masuk hospital?”
tanya Lisa risau.
“Tak ada apalah... Darah naik sikit…
Doktor yang risau lebih... Itu yang doktor masukkan mak ke dalam wad tu,” jawab
Puan Raudah sambil bersalam dengan Huda rakan baik anaknya. Puan Raudah sudah
menganggap Huda ini seperti anaknya sendiri. Hudalah teman rapat Lisa yang
boleh diharap.
“Mana baju pengantin? Mak nak tengok?”
“Ada... Dalam kereta,” jawab Lisa.
“Laa... Kenapa tak bawa masuk... Dah,
pergi ambil sekarang... Mak nak tengok...”
“Sekejap ya mak cik... Saya pergi ambil
sekarang,” kata Huda sambil melihat muka Lisa yang sudah berubah. Muka yang
ceria sebentar tadi telah bertukar suram.
“Mesti cantik baju anak mak ni... Tak
sabar rasanya, mak nak tengok anak mak kahwin!” Puan Raudah menatap lembut anak
mata Lisa. Lisa menjadi serba salah. Adakah untuk kali ini, dia masih tidak
berjaya untuk berterus terang sebagaimana dia tidak mampu untuk berterus terang
kepada Puan Elinna?
“Lisa… Sudah pulang kamu ya...” sapa
Surianti yang putih berbedak sejuk di sebalik langsir pintu biliknya.
“Ya, baru sahaja sampai...” Lisa
bersalaman dengan pembantu rumah emaknya.
“Putih, kamu malam ini,” usik Lisa.
“Ah, tampal bedak sejuk sahaja...”
tersengih-sengih Surianti menjawab usikan Lisa.
“Emak, ayah dan Adam ke mana?” Lisa berpaling
ke arah Puan Raudah.
“Ayah kamu dengan Adam masih disurau...
Bincangkan tentang majlis kenduri kamu nantilah... Bermesyuarat dengan orang
kampung...”
“Awalnya...” Dahi Lisa berkerut. Tak sangka
perbincangan akan dilakukan sebelum Lisa memberitahu tentang niatnya untuk
membatalkan perkahwinan bersama Irfan.
“Awal apanya... Seminggu sahaja lagi, Lisa...
Mereka bincangkan tentang pembahagian tugas... Nanti taklah kelam-kabut semasa
majlis berlangsung... Siapa yang nak memasak, siapa yang nak hidangkan lauk,
siapa yang nak basuh pinggan… Nanti teratur sahaja kerjanya...”
Lisa hanya mendiamkan diri. Sesekali Lisa
memandang muka Surianti yang sudah seperti kuih tepung gomok.
“Kak Surianti, jom tolong Lisa angkat beg...”
“Haa... Sebut pasal beg, kenapa Huda tak
masuk-masuk lagi ni?” tanya Puan Raudah.
Lisa menjenguk keluar.
“Huda, kenapa tak masuk lagi?Kau buat
apa?”tanya Lisa dari beranda rumah.
“Sekejap! Aku tengah bercakap dengan Ustaz
Saiful ni... Kau datang ambil sendirilah baju ni!” jerit Huda dari luar rumah.
“Kau tak takut ke duduk dekat luar...
Dahlah bulan mengambang tu…” Lisa menunjukkan bulan dilangit.
“Kau ni…” Huda mengerling.
“Lisaa!!!!! Hantu!!” sepantas kilat Huda
berlari masuk ke dalam rumah. Nafasnya tercungap-cungap.
“Aku nampak hantu, Lisa... Ustaz Saiful!
Ada hantu dekat sini! Nak baca ayat apa ni?!”
“Hahahahaha... Itulah kau... Aku cakap kau
macam buat-buat berani...”
Laju betul Surianti berjalan ke kereta
fikir Lisa. Entah bila dia keluar, Lisa pun tak perasan.
Puan Raudah yang berdiri di muka pintu
sudah ketawa terkekek-kekek.
“Itu Kak Suriantilah Huda... Pembantu
rumah... Entah mimpi apa dia pakai bedak sejuk malam ni...”
“Hah? Kak Surianti? Sejak bila mak cik
pakai pembantu rumah? Dua tiga tahun lepas, Huda datang tak ada pun...” Huda
memandang ke arah Surianti yang sedang berjalan membawa beg mereka masuk ke
dalam rumah.
“Kamu takut ya?” Surianti menegur.
Bulat mata Huda melihat wajah Surianti
yang putih berbedak di dalam limpahan cahaya yang suram-suram.
“Mak cik, lampu dekat luar ni rosak ke?
Seramlah Huda...”
“Rosaklah sayang... Pak cik kamu kata esok
baru nak dibaikinya...”
“Hello, Ustaz Saiful... Kejap lagilah Huda
call balik.” Panggilan dimatikan.
Huda memandang geram ke arah Surianti yang
masih tersengih-sengih melihat dirinya yang ketakutan sebentar tadi.
“Maaf, ya..,” kata Surianti.
Setelah mendengar perkataan maaf yang
keluar dari mulut Surianti, legalah sedikit hati Huda.
“Sudahlah tu... Jom kita masuk... Emak tak
sabar nak tengok baju pengantin anak mak ni...” Puan Raudah merangkul pinggang
kedua-dua anak gadis ini masuk ke dalam rumah. Pintu utama ditutup. Sesi
mempamerkan persalinan busana pengantin bermula. Hati Puan Raudah sangat
berpuas hati dengan rekaan pakaian untuk majlis perkahwinan Lisa nanti. Dia
sudah dapat membayangkan bertapa cantiknya anaknya nanti. Harapannya cuma satu.
Biarlah Lisa bahagia dalam bahtera perkahwinan ini. Lisa sudah cukup menderita
ketika kecil, dan biarlah perkahwinan ini mampu untuk merawat hatinya.
Lisa memandang biliknya yang telah dihias indah. Esok adalah hari
perkahwinannya. Perasaan Lisa kini bercampur baur. Bersediakah dia untuk
menjadi isteri Irfan? Dilihat inai di jari yang masih belum kering. Lisa
termenung sendiri. Kunjungan Puan Elinna sekeluarga petang tadi menambah debar
di hati. Apatah lagi menatap wajah Irfan yang tenang sahaja mukanya. Tatapan
mata Irfan seperti mengharapkan Lisa meneruskan perkahwinan ini. Dalam tidak
rela, Lisa teruskan jua. Satu persatu persiapan sudah dilakukan sehinggalah
jarinya diinaikan.
“Dr.Haikal, kenapa tak call Lisa?” tanya Lisa sedih. Wajahnya
yang dirasakan tiada seri pengantin
dilihat begitu tidak bermaya di dalam cermin. Lisa memandang sedih cincin
pemberian Dr.Haikal yang diletakkan di atas meja solek. Dalam saat-saat akhir
ini Lisa mengharapkan Dr.Haikal menghubunginya untuk Lisa bertanyakan perihal
lamaran Dr.Haikal.
Lisa melangkah duduk di birai katil. Harum
biliknya sedikit pun tidak menenangkan perasaan Lisa yang masih berbelah bagi.
Kepalanya diletakkan di atas bantal. Mata dipejamkan sementara tangannya
diluruskan bagi mengelakkan jarinya yang berinai yang turut dibungkus dengan
plastik tidak tertanggal.
“Aku kena lari malam ini! Mesti!”
tiba-tiba sahaja Lisa bertekad. Telinga dipasang untuk mendengar pergerakan
orang diluar. Suasana diluar kedengaran masih riuh dengan kehadiran orang
kampung yang datang membantu menyediakan bahan-bahan untuk memasak esok hari. Lisa
sedikit kecewa.
Kedengaran tombol pintu dipulas. Lisa
cepat-cepat memejamkan mata pura-pura tidur. Pasti itu Huda.
“Permaisuri dah tidur rupanya... Patutlah
senyap...” tersenyum Huda melihat gelagat kawannya itu.
“Tidur pun tak berselimut...” Huda menarik
selimut untuk Lisa.
“Lisa, kahwin pun kau esok... Aku doakan
kau bahagia untuk selama-lamanya... Lepas ni kau dah jadi milik Irfan... Ini
maknanya kau akan tinggalkan akulah… Lepas kau kahwin nanti, mesti kau tinggal
di rumah Irfan... Tak ada lagilah kawan yang boleh temankan aku...” Huda
berkata sedih. Lisa yang mendengar terasa sebak. Namun, mata masih dipejamkan.
Ya, selepas kahwin nanti, sudah tentu dia akan tinggalkan Huda seorang diri di
rumah yang mereka duduki selama ini. Macam manalah nanti Huda meneruskan
kehidupannya tanpa Lisa di sisi. Tiada lagi tugas bergilir-gilir memasak dan
mengemas rumah. Semuanya akan dilakukan sendiri oleh Huda. Begitu juga dengan
Lisa.
“Lisa, aku tidur dengan engkau malam ni ya...
Lepas ni aku dah tak boleh tidur dengan engkau dah...” Huda menangis
teresak-esak di sisi Lisa.
“Haishh... Dia ni menangis pula... Ini
buat aku nak menangis juga ni,” bisik Lisa di dalam hati.
Huda berbaring di sisi Lisa dalam esakan
kecil. Pasti dia akan sunyi selepas ini. Lengan Lisa dipeluk Huda. Rasanya tak
sanggup untuk berpisah rumah dengan Lisa.
“Alamak! Dia pegang lengan aku... Macam
mana aku nak lari nanti?” berkerut dahi Lisa di dalam samar cahaya lampu
tidurnya.
“Ok, bertenang Lisa… Bertenang... Nanti
lenalah Huda tu...” Lisa cuba menenangkan diri.
Matanya cuba ditenangkan agar tidak
bergerak-gerak.
Huda
memandang Lisa yang masih lena dikatil. Lena sebagai seorang bujang.
“Lisaaa... Lisaaa… Bangun Solat Subuh...
Dah pukul 6.30 pagi ni...” kejut Huda lembut.
“Urmmm…” Lisa masih enak di dalam balutan
selimutnya.
“Lisaa... Kau kan nak kahwin hari ni...
Cepatlah bangun...”
“Kahwin??” Lisa membuka mata
seluas-luasnya.
“Dah pukul berapa ni?”
“6.30 pagi...” Huda melipat telekung
sembahyangnya lalu di sidai di birai katil untuk kegunaan Lisa nanti.
“6.30?? Ligat kepala Lisa berfikir... Macam
mana dia boleh tertidur sampai pagi. Maknanya, rosaklah rancangannya untuk
melarikan diri malam tadi. Aduh, macam mana ni?! Lisa panik. Cepat-cepat dia
terjun dari katilnya. Lisa berjalan ke kiri dan ke kanan bagai orang sasau.
Langsir di tingkap diselak. Hari masih gelap, tapi semua orang dah bangun!
“Eh, mengigau ke?” geli hati Huda melihat
kelakuan Lisa di pagi hari.
Lisa tidak menghiraukan pertanyaan Huda.
Inai di jari ditanggalkan.
“Eh, Lisa... Bersepahlah bilik kau nanti...
Pergi buang inai dalam bilik airlah...” Huda menolak perlahan badan Lisa
memasuki bilik air. Lisa hanya menurut.
“Kau, tak boleh sepah-sepahkan bilik kau...
Nanti tak sempat nak kemas... Malam ini kan kau nak kongsi bilik dengan Irfan…
Tak begitu Lisa?” Huda menutup pintu bilik air sementara Lisa masih
terpinga-pinga.
“Kongsi
bilik?? Ah, tidak!!” bagaikan nak gila Lisa seorang diri di dalam bilik air memikirkan
hal itu. Inai di jari cepat-cepat ditanggalkan lalu jarinya di cuci
sebersihnya. Merah jarinya dilihat begitu cantik. Cantik yang membawa seri
tersendiri. Lisa terpegun. Harum inai menusuk ke rongga hidung sedikit sebanyak
menambah rasa getar di hati. Bersediakah dia?
Lisa
cepat-cepat mengambil wuduk malas melayan perasaannya yang tidak keruan. Apa
yang pasti dia mahu berdoa sekusyuk yang mungkin seusai solat nanti. Andai ini
takdirnya, Lisa akan teruskan untuk berkahwin dengan Irfan. Mungkin inilah
jodohnya. Kalau tidak, sudah pasti dia berjaya lari malam tadi. Nampaknya Allah
tidak mengizinkan Lisa berbuat begitu dengan melenakan Lisa selena-lenanya
sehingga Subuh. Lisa hanya merancang, Allah yang menentukan. Mungkin bibit
cinta yang baru bertunas untuk Irfan akan terus berkembang setelah ikatan halal
ini dilaksanakan. Namun, Lisa bimbang jika putik itu akan mati diracun cinta
Dr.Haikal yang dirasakan sudah kukuh didalam segenap lubuk hatinya.