BAB 32Huda menyiram pokok bunga Lisa dengan
cermat. Panas terik mentari menyebabkan hampir kesemua pokok dihalaman layu.
Jam kini menunjukkan pukul 6.00 petang. Huda menjenguk ke rumah sebelah.
“Mana Ustaz Saiful ni... Tak balik lagi
ke? Biasanya waktu macam ni dah ada dekat rumah...” Huda hairan. Siraman pada pokok
diteruskan.
“Pokok apa ni ya? Dah masuk lima hari
masih tak bertunas?” Huda meneliti pokok
yang diberikan Dr.Haikal kepada Lisa.
“Untung kau Lisa... Dr.Haikal tu baik orangnya...
Cemburu pula aku tengok kamu berdua...”
“Tapikan Lisa... Aku lebih suka kalau kau
kahwin dengan Irfan... Tak tahulah kenapa... Macam kau dengan Irfan ni ada satu
aura yang membolehkan kamu berdua bersama.” Huda membelek pokok yang diberikan Dr.Haikal.
“Dr.Haikal pun satu... Gantung Lisa tak
bertali... Dr.Haikal ni suka atau tak pada Lisa ni? Cara layanan macam Lisa ni
istimewa padanya… Tapi, kalau tengok dari segi spiritual Dr.Haikal ni macam ada
sembunyikan sesuatu yang menghalang untuk dia berterus-terang pada Lisa...”
“Hurmmm... Macam mana ya... Lisa suka
dekat siapa sebenarnya ni?”
“Cakap dengan siapa tu Cik Huda?” tanya
Liza pekerja butik Huda yang menemani Huda sepanjang Lisa bercuti.
“Cakap dengan pokok ni...” Huda bangun
dari duduk mencangkung dan meneruskan siraman.
“Cakap dengan pokok? Boleh faham ke pokok
tu Cik Huda...”
“Eh, jangan main-main tau... Orang
cakapkan, kalau kita bercakap dengan pokok, pokok tu akan cepat membesar dan sihat...”
“Boleh percaya ke?”
“Boleh kut...” Huda hanya tersenyum. Dari
jauh, kelihatan kereta Honda Civic Ustaz Saiful mendekati perkarangan rumah.
Huda memperbetulkan tudungnya. Sejak mengenali Ustaz Saiful, terbuka hati Huda
untuk berhijab. Lelaki ini banyak membantu Huda memperbetulkan landasan yang
dilalui oleh Huda selama ini.
Ustaz Saiful telah menghadiahkan Huda
sehelai selendang kepada Huda sempena tanda terima kasih Ustaz Saiful terhadap
Huda yang tidak jemu-jemu memasak makanan berkhasiat ketika dia sakit suatu
ketika dahulu. Dalam bungkusan hadiah tersebut terselit sebuah buku yang
bertajuk Kelebihan Wanita Menutup Aurat. Setelah membaca buku tersebut, timbul
rasa keinsafan pada diri Huda.
“Lambat balik hari ni?” tegur Huda.
“Aahh... Saya ada cari barang sikit,” jawab
Ustaz Saiful.
“Ooo... Patutlah lambat...”
“Saya masuk dulu ya... Belum Solat Asar
lagi ni...”
“Oh ya ke... Dah lewat ni... Cepat-cepat…”
Ustaz Saiful hanya tersenyum dan bergegas
masuk ke dalam rumah. Kotak kecil yang berada di dalam kotnya dikeluarkan. Ustaz
Saiful tersenyum. Semoga Huda menyukainya.
Tiupan angin diwaktu petang begini begitu
menenangkan jiwa dan perasaan. Suasana redup petang itu membolehkan kanak-kanak
bermain wau dengan penuh keriangan. Sesekali kedengaran gelak tawa mereka.
Mungkin teruja apabila wau mereka berjaya dinaikkan angin. Dada langit yang
membiru kini dihiasi dengan pelbagai bentuk dan warna wau yang bewarna-warni. Namun, keriangan
kanak-kanak tersebut tidak dapat menceriakan hati Irfan yang sedang berada
diluar rumah bersama Encik Hamid. Seluruh tubuh Irfan sedang menjadi mangsa kepada
cengkaman tangan Encik Hamid yang sejak dari tadi mengurut badan Irfan. Irfan
dipaksa meniarap sementara Encik Hamid mengurut dibahagian belakang.
Di atas pokok, Lisa menahan ketawanya. Tak
sangka semasa Lisa berada di atas pokok, ayah dan Irfan datang duduk di bawah
pokok rambutan tersebut. Pangkin di bawah pokok rambutan tersebut telah
dijadikan tempat berurut oleh ayah Lisa pada petang itu. Dari atas, Lisa dapat
melihat Irfan terpekik terlolong menerima urutan daripada Encik Abdul Hamid.
Penangan tangan ayah Lisa memang kuat. Segala lenguh dibadan pasti akan hilang
selepas berurut.
“Pak cik... Dahlah tu... Tak tahan saya,” rintih
Irfan meminta simpati.
“Apalah kamu ni... Kata anak jantan! Ini
baru urut sikit tau... Esok, insya-Allah dah tak demam ni... Ini kaki banyak
sangat berjalan sebab tu sakit... Orang kata apa? Lactic asidberkumpul?”
“Arrhhhh!!!” Irfan meraung kesakitan.
“Ini kaki ni kenapa lebam?” tanya Encik Hamid.
Irfan mengintai kaki yang dikatakan lebam
oleh Pak Cik Hamid.
“Anak pak ciklah tu punya pasal,” kata
Irfan perlahan. Kali ini raungan Irfan bertambah kuat.
“Pak cik, pak cik ni berurut ke nak bunuh
saya ni pak cik…”
“Hahahaha… Ini berurut nak hilangkan demam...
Kena kuatlah sikit... Tak kan pak cik nak urut kamu macam dekat spa tu... Itu
bukan nak hilangkan demam namanya... Itu nak hilangkan stress…”
“Dahlah tu pak cik... Saya dah tak
sanggup,” rayu Irfan.
Lisa diatas pokok perlahan-lahan memetik
buah rambutan agar tidak disedari oleh Irfan dan ayahnya. Geli hatinya melihat
telatah Irfan.
“Padan
muka... Entah betul ke tidak demam tu,” bebel Lisa. Bukan Lisa tidak tahu Irfan
telah membuang ubat yang diberikan tadi ke tanah. Ketika Lisa membelek kuntuman
bunga berhampiran dengan bilik Irfan
tiba-tiba sahaja Lisa terpandangkan beberapa biji pil yang diberikan tadi
kepada Irfan bertaburan di tanah. Kalau ikutkan hati Lisa, mahu sahaja Lisa
bertanyakan kepada Irfan kenapa ubat ini dibuang? Memandangkan Irfan adalah
tetamu dirumahnya, Lisa harus hormat. Tidak baik menyalahkan atau memalukan
tetamu.
“Sekarang kamu baring telentang pula,”
arah Pak Cik Hamid.
“Pak cik... Saya dah tak sanggup pak cik…
Sakittt...”
“Kalau nak sembuh demam, kenalah tahan
sakit sikit...”
“Baring cepat...”
Irfan memusingkan badannya. Matanya
dipandang keatas dan seretak selepas itu...
“Pak cik, besarnya kera!! Dia curi
rambutanlah!” Irfan terkejut apabila melihat ada satu makhluk di atas pokok seakan-akan kera dan terus
bingkas bangun. Encik Hamid turut memandang ke atas.
“Ya Allah, anak aku! Lisaaaa!! Turun!”
jerkah Encik Hamid. Irfan sepantas kilat menyarungkan baju ke tubuhnya yang
hanya berkain pelikat.
“Alamak!Ayah nampaklah,”sesal Lisa.
“Turun sekarang Lisa!”
“Ya... Nak turunlah ni…” Lisa mula perlahan-lahan
menuruni pokok rambutan besar tersebut.
“Apa ni abang... Meraung-raung dekat luar
tu,” jerit Puan Raudah dari tingkap rumah.
“Anak dara awak inilah... Panjat pokok
rambutan ni mengalahkan anak jantan!”
“Kan saya dah cakap... Awak cakap nak
nasihatkan dia... Patutlah saya cari dia tak jumpa petang ni. Rupanya ada atas
pokok.” Puan Raudah mula melangkah ke halaman rumah sambil membawa pisang
rebus.
Lisa mengibas bajunya yang kotor terkena
lumut yang tumbuh pada pangkal pokok. Lisa memandang Irfan. Kali ini entah
siapa yang malu. Irfan yang malu disebabkan Lisa nampak Irfan berurut atau Lisa
yang malu sebab panjat pokok macam jantan.
“Sejak bila kau duduk atas pokok Lisa?”
Irfan perlu tahu adakah Lisa nampak segalanya?
“Sebelum awak berurut saya dah ada atas
pokok ni,” jawab Lisa dengan muka tidak bersalah.
“Jadi awak nampaklah segalanya?”
Lisa mengangguk sambil mulutnya tersengih.
“Arghh... Malunya!” jerit hati Irfan. Tak
pernah lagi dalam hidupnya membuka baju di depan perempuan selain ibunya.
“Raudah, saya rasa saya dah nak letak
sarang kerengga atas pokok ni,” beritahu Pak Cik Hamid setelah Puan Raudah
sampai di tempat duduk mereka.
“Jemput makan Irfan... Haa... Bagus
sangatlah tu... Nanti tak adalah anak dara awak tu panjat pokok ni... Maaflah
Irfan. Anak mak cik ni memang suka sangat panjat pokok. Kalau ikutkan hati mak
cik, nak sahaja tebangkan pokok ni...”
“Eh, rugilah kalau tebang mak cik... Tak
dapat nak makan buah rambutan… Dekat pasar tu bukannya murah buah rambutan ni,”
kata Irfan.
“Janganlah letak kerengga... Kalau ayah
nak tahu, makan atas pokok sambil tangan memetik sendiri buah rambutan ni, kita
dapat merasakan satu kepuasan yang berbeza dibandingkan makan buah yang sudah
siap dipetik.”
“Kepuasan la sangat... Mak tengok dah
macam kera...”
Lisa hanya diam manakala Irfan cuba
menahan ketawanya. Teringat gelaran Ratu
Kera yang diberikan Lisa kepada Miera. Sekarang Lisa pula diumpamakan seperti
itu.
“Mak ni... Tak baik tau kata Lisa macam tu.”
Lisa buat-buat merajuk.
“Eh, samalah Kak Lisa bila Kak Lisa buat
muka macam tu... Tangan pun pegang pisang,” tegur Adam dari jauh yang masih
mendengar perbualan mereka. Kayuhan basikal diperlahankan sebaik sahaja
menghampiri mereka.
“Kamu ke mana Adam?” tanya Lisa.
“Ini... Adam pergi kedai Pak Cik Mail...
Beli joran baru...”
“Nak buat apa joran baru? Kan dah ada
banyak tu,” tanya Lisa hairan.
“Ayah tak beritahu Kak Lisa lagi ke?” Adam
berpaling pada ayahnya yang sedang mengunyah pisang rebus.
“Lupa pula nak beritahu... Macam ni Lisa,
esok kita semua akan ke Tasik Kenyir...”
“Tasik Kenyir? Woww! Kita sahaja ke?” tanya
Lisa teruja.
“Taklah... Irfan ikut sekali,” Pak Cik Hamid berpaling pada Irfan.
“Saya ikut sekali? Tak mengganggu ke pak
cik?”
“Mana ada mengganggu... Masa inilah Irfan
boleh kenal Terengganu... Tak kan Irfan nak tinggal seorang diri dekat rumah ni.
Kalau Irfan dah nak balik Kuala Lumpur, lainlah...”
“Kalau macam tu pak cik, saya balik esok
pagilah... Rasanya demam saya dah baik esok ni,” kata Irfan tidak mahu
mengganggu percutian anak beranak ini. Ayat pak cik ni pun macam nak menghalau
dirinya sahaja.
“Mana boleh balik Abang Irfan... Adam dah
belikan joran ni... Khas untuk abang. Nanti bolehlah kita memancing bersama.”
Adam tidak bersetuju dengan cadangan Irfan. Baru niat dihatinya mahu berteman
ketika memancing nanti.
“Betul tu Irfan... Tak payah balik lagilah...
Masa inilah nak kenal Tasik Kenyir... Rugi tau kalau tak ke sana,” tambah Encik
Hamid.
“Boleh ke Lisa?” tanya Irfan.
“Boleh... Jomlah!” kata Lisa teruja.
Dirinya nama sahaja anak Terengganu tetapi kakinya belum pernah lagi sampai ke
Tasik Kenyir.
“Ok, kalau macam tu saya ikut...”
“Pastikan demam sembuh tau Irfan,” kata
Puan Raudah mengusik. Semoga Allah memberikan kesembuhan kepada anak muda ini.
“Dah tak demam ni,” kata Lisa sekadar menyindir.
“Mudah-mudahan,” kata Irfan sambil
wajahnya berpaling kepada Lisa.
Petang itu, mereka berbual kosong. Tak
sangka Irfan begitu ramah melayani
setiap pertanyaan emak dan ayah Lisa. Lisa senang melihat gelagat Irfan seperti
itu. Menghormati orang tua. Sekali pandang Lisa sepertinya jatuh hati pada
Irfan. Senyuman, layanan dan kata-kata Irfan sepertinya cuba meleburkan
perasaan Lisa terhadap Dr.Haikal yang
masih lagi menjadi tanda tanya.
Malam ini Huda sungguh bahagia. Gelang
tangan manik ditanggannya ditenung lama. Cantik, pandai Ustaz Saiful pilih.
“Awak suka tak gelang ni?” tanya Ustaz
Saiful.
“Suka...” Huda mengangguk perlahan.
“Kalau boleh, bulan depan keluarga saya
nak datang merisik...”
“Apa?” Huda macam tidak percaya dengan kata-kata
yang diucapkan Ustaz Saiful.
“Keluarga saya nak datang merisik,” ucap Ustaz
Saiful lembut.
Huda tidak dapat berkata apa-apa. Hatinya
berdebar bercampur gembira.
“Boleh tak ni?” Ustaz Saiful menatap
lembut mata Huda.
“Eh, mestilah boleh... Awak serius ke ni?”
“Ya, saya serius nak jadikan awak isteri
saya...”
Huda tersenyum. Wajahnya begitu ayu dengan
penampilan berhijab. Tidak sangka Ustaz Saiful bakal menjadi jodohnya tidak
lama lagi. Perkenalannya dengan Ustaz Saiful 3 tahun yang lalu menumbuhkan
bibit-bibit cinta di antara mereka. Ditambah pula dengan kecederaan yang
diperolehi Ustaz Saiful kerana cuba menyelamatkan Huda beberapa bulan yang
lepas, menjadikan hubungan mereka bertambah rapat. Mulai saat itulah cinta
mereka bertambah mekar. Ustaz Saiful pula banyak mengajar Huda untuk menjadi
muslimah yang sejati agar tidak mendedahkan aurat.
“Kalau macam tu, datanglah... Nanti saya
beritahu emak dan ayah saya…” Huda mengacau-ngacau minuman sejuknya dengan
straw. Tak sangka, ini yang mahu diberitahu Ustaz Saiful selepas tergesa-gesa
mengajaknya keluar selepas Isyak tadi.
Ustaz Saiful tersenyum bahagia. Semoga
Nurul Huda binti Ehsan menjadi permaisuri hidupnya. Insya-Allah jika dizinkan
Allah.