BAB
27“Huda, tolong
ambilkan makanan ringan atas meja tu!” jerit Lisa dari luar rumah. Beg yang
hendak dibawa ke Terengganu semuanya telah diletakkan di luar agar tidak
terlambat bertolak setelah Irfan datang menjemputnya nanti.
“Lisa, engkau ni
nak balik kampung atau nak pergi berkelah ni?” tanya Huda sambil membawa
bungkusan plastik yang dipenuhi dengan pelbagai jenis makanan ringan.
“Hahaha.... Macam
engkau tak tahu aku kan. Nanti bolehlah makan dalam kereta.”
“Habis berhabuk
kereta Irfan tu nanti,” nasihat Huda.
“Biarlah… Padan
muka dia.”
“Engkau ni memang
tak malu kan? Dahlah tumpang kereta orang!” Huda mengusik.
“Dia yang ajak. Bukan
aku nak naik sangat pun.... Ini kau duduk rumah ni jangan lupa bagi Tuah makan....
Dan lagi satu, hati-hati. Kunci pintu tu sebaiknya.”
“Yalah… Nanti Ustaz
Saiful tolong tengokkan aku. Kau jangan risaulah…” Huda menepuk perlahan bahu
Lisa.
“Kau cantiklah hari
ni Lisa....” puji Huda ikhlas.
“Terima kasih…”
Sedang mereka
rancak bergurau senda kedengaran hon kereta dibunyikan.
“Irfan dah sampai....”
Lisa mengerling jam tangannya. Tepat pukul 7.30 pagi. Selalu menepati masa.
Sungguh berdisiplin!
“Assalamualaikum…
Dah siap ke Lisa?”
“Waalaikumussalam…
Dah siap dah. Tunggu nak angkut barang-barang sahaja,” kata Lisa sambil
menunjukkan barang-barang yang sudah diletakkan diluar.
“Kalau macam tu
aku angkat barang kau ni masuk ke dalam kereta dululah.”
“Yalah… Makanan
tu letak depan. Nanti boleh makan,” kata Lisa.
“Banyaknya
makanan… Nak berkelah dalam kereta aku ke?” bisik hati Irfan tetapi mukanya
masih mengukir senyuman.
“Eh, nak ke mana
ni?” sapa Ustaz Saiful dari sebelah rumah.
“Nak ke
Terengganu,” jawab Lisa.
“Ustaz Saiful,
tolong tengokkan Huda ya? Bimbang pula saya nak tinggalkan dia seorang diri di
rumah.”
“Ya, saya akan
tolong tengokkan…”
“Kau jangan
risaulah Lisa.... Kan aku dah ajak pekerja butik aku tu tolong temankan aku…”
“Memanglah… Tapi Ustaz
Saiful boleh tolong tengokkan?” tanya Lisa.
“Boleh... Tak ada
masalah…” Ustaz Saiful tersenyum sebelum matanya beralih kepada Irfan yang
menghampiri mereka.
“Eh, Irfan! Apa
khabar? Terima kasihlah datang melawat hari tu,” sapa Ustaz Saiful sambil
berjabat tangan dengan Irfan.
“Sama-sama....
Kawan Lisa, kawan saya juga. Macam mana dengan luka tu?”
“Alhamdulillah… Jahitan
dah dibuka. Mujurlah ada kawan doktor dan jururawat. Mereka berdua inilah yang
banyak membantu… Terima kasih juga untuk makanan yang berkhasiat yang dimasak
Huda…” Ustaz Saiful menjeling Huda yang berada disebelah Lisa.
“Haa… Sebut pasal
doktor ni… Lisa nak bagitahu yang Dr.Haikal akan bertolak ke United Kingdom
Selasa ni.”
“Buat apa dia
dekat sana?” tanya Ustaz Saiful.
“Katanya nak
melakukan penyelidikan tentang sel kanser. Lama juga dia pergi.... Dalam 1 atau
2 tahun ataupun lebih daripada tempoh tu.”
“Laa… Kenapa baru
cakap Lisa,” tanya Irfan kesal kerana tidak dapat berjumpa dengan sahabat yang
baru dikenalinya itu. Dr.Haikal jugalah doktor yang telah merawat papanya suatu
ketika dahulu.
“Saya pun baru tahu
semalam Irfan…”
“Ooo.... Nanti
kalau Ustaz Saiful atau Huda nak berjumpa dengan Dr.Haikal tolong sampaikan
salam saya pada dia ya…”
“Ok.... Insya-Allah,”
jawab Ustaz Saiful.
Irfan melihat jam
ditangan. Jam telah pun menunjukkan pukul 7.45 pagi.
“Lisa, jomlah
kita gerak. Nanti lama pula mereka tunggu kita.”
“Haa.... Jomlah,”
kata Lisa sambil mengatur langkah.
“Eh, Huda.... Tolong
siramkan pokok bunga ya… Lagi satu tolong siramkan pokok ni. Siram
perlahan-lahan tau. Sebab pokok ni baru di semai.” Lisa menunjukkan pokok yang
dihadiahkan Dr.Haikal.
“Baiklah, Puteri
Bunga.... Patik akan siramkan pokok Tuan Puteri. Jangan risaulah....”
Irfan telah pun
mendekati kereta. Dari luar pintu pagar dia dapat melihat Lisa membelai kepala
Tuah dan mencium kucing tersebut sebelum ditinggalkan. Sayang benar dia kepada
kucing. Sementara itu Ustaz Saiful menghampiri Irfan. Mereka berdua ketawa
kecil apabila dua sahabat itu berpelukan sebelum berangkat. Macamlah nak tinggalkan
Huda tu setahun lamanya.
“Hati-hati
dijalanraya.... Jangan bawa laju-laju sangat,” pesan Ustaz Saiful sebaik sahaja
Irfan dan Lisa memasuki kereta.
“Haa.... Lagi satu, jangan sepahkan kereta
Irfan tu Lisa!” Geli hatinya apabila melihat Lisa telah pun membuka bungkusan plastik
makanan walaupun kereta masih belum bergerak. Hantu makanan betullah kau Lisa....
Lisa hanya
tersengih.
“Kami pergi dulu,”
ucap Irfan sebelum memecutkan kereta Audi TT-RS Roadster kesayangannya.
Kini, kereta
meluncur laju dijalan raya. Lisa tidak puas hati. Kaca mata hitamnya
dikeluarkan dari tas tangannya lalu dipakai.
“Hurmm… Ingat
engkau sahaja boleh pakai mata belalang? Aku pun adalah....” bisik Lisa di
dalam hati. Geram hatinya apabila Irfan bercakap dengan dirinya tetapi Lisa tidak dapat melihat anak
mata Irfan. Pantang benar kalau bercakap tidak melihat mata. Motif utamanya
hanya untuk menutup malu apabila dipandang Irfan. Hatinya berdebar-debar
apabila bersama Irfan. Kekacakan Irfan mampu untuk mencairkan hatinya saat ini.
Kaca mata hitam
yang dipakai Irfan membuatkan Irfan bergitu bergaya dengan kemeja merah yang
dilepaskan tanpa berbutang dan didalamnya dipakai T-shirt putih. Ala-ala gaya bintang
Korea!
“Wahh.... Dia pun
dah pakai kaca mata hitam,” tegur Irfan sebaik sahaja berpaling kepada Lisa.
“Silaulah.... Itu
yang pakai ni. Cantik tak?” tanya Lisa sekadar berbahasa.
“Cantik! Ingatkan
artis manalah tadi.” Irfan tersengih. Sedikit mengagumi gaya gadis
disebelahnya. Sentiasa mengikuti gaya gadis Hijabista.
Lisa hanya
buat-buat tidak dengar. Malu apabila dipuji. Signal kereta dinyalakan disebelah
kiri menandakan kereta akan membelok ke kiri. Dari jauh dapat dilihat
pekerja-pekerja untuk program ke Terengganu sedang mengangkut barang-barang ke
dalam Toyota Alphad. Sebaik sahaja kereta berada di petak parking Lisa dan
Irfan keluar dari kereta.
“Wahh....
Model-model kita dah sampai!” jerit mereka.
Lisa dan Irfan
hanya tersenyum menambahkan kekacakan dan kecantikan mereka berdua.
“Ini ada apa lagi
yang nak diangkut ni?” tanya Lisa cuba untuk menolong.
“Dah tak ada apa
dah... Tunggu Puan Elinna berikan sedikit taklimat sahaja sebentar nanti. Dalam
Pukul 8.30 pagi macam tulah. Sempatlah.... Kita gerak dalam pukul 9 pagi.
Sekarang baru pukul 8.15 pagi. Masuklah dulu,” kata Jayjay selaku pembantu
Encik Fuad.
“Ooo… Baiklah. Jom
masuk dululah,” kata Irfan.
Sebelum kakinya
sempat melangkah ke dalam butik, Irfan ternampak seseorang yang mungkin
dikenalinya atau pernah dijumpai suatu ketika dahulu sedang makan di kedai
makan bersebelahan dengan butik mamanya.
“Eh, Lisa....
Cuba kau tengok perempuan yang berambut panjang dengan baju warna ungu tu. Kau
cam tak?”
“Mana?” Lisa
mencari perempuan yang dimaksudkan Irfan.
“Itu… Yang
bersama dengan lelaki T-shirt biru tu...”
“Aahhlah… Macam
kenal…”
“Ikan Emas!!”
sama-sama mereka menyebut nama keramat tersebut.
“Jom!” Irfan
menarik lengan baju Lisa menuju ke arah kedai tersebut.
“Nak ke mana?”
Lisa memperbetulkan lengan bajunya yang baru sahaja dilepaskan Irfan.
“Kita sarapan!”
Lisa tidak dapat
menolak memandangkan kakinya telah pun menjejaki kedai makan tersebut. Irfan
mengambil tempat betul-betul bersebelahan dengan meja makan Ikan Emas atau nama
sebenar Maria. Lisa kurang selesa. Kaca mata hitamnya diperbetulkan.
Maria memandang
pasangan yang baru sahaja mengambil tempat bersebelahan dengan meja mereka.
Jejaka disebelah begitu kacak dan perempuan disebelah ini sepertinya amat
dikenalinya.
Sebaik sahaja
makanan sampai, Irfan membuka kaca mata hitamnya. Namun, Lisa masih lagi dengan
dengan mata belalangnya.
“Eh, kau ni.... Kalau
ya pun tanggalkanlah cermin mata kau tu. Nampak ke makanan tu?” kata Irfan
perlahan.
“Eh, nanti dia
nampaklah....” Lisa mengerling ke arah Maria. Bagaikan gugur jantungnya apabila
melihat Maria merenung tajam ke arah dirinya. Dendam betul Maria pada dirinya.
Ini semuanya gara-gara kes zaman universitinya dahulu.
Tanpa brek laju
sahaja tangan Irfan menanggalkan kaca mata Lisa. Disebabkan tindakan tersebut,
kaki Irfan disepak tanda protes. Maria disebelah dipandang Lisa selamba. Gadis
itu memandangnya dengan senyuman sinis.
“Hai, Mariaa…
Lama tak jumpa. Tak perasan awak ada dekat sini!” Laju mulut Lisa menyapa.
Entah angin apa yang masuk ke dalam dirinya.
Jejaka dihadapan
Maria memandang Lisa disebelah. Hatinya terpesona dengan kecantikan Lisa
ditambah pula dengan hijab yang dipakai menampakkan keayuan seorang gadis
Melayu. Jejaka disebelah hanya tersenyum. Namun, senyuman tersebut mematikan
senyuman Lisa. Air muka Lisa berubah. Makanan dihadapannya cepat dijamah
manakala Maria disebelah cepat sahaja bangun dari kerusi. Panas hatinya melihat
Lisa. Sudah tentu buah hatinya terpaut dengan kecantikan Lisa ditambah pula
Lisa berhijab. Gadis memakai hijab itulah yang diimpikan oleh Syafiq Rayyan. Tanpa
berlengah lagi jejaka tersebut cepat sahaja ke kaunter untuk membayar bil
makanan mereka sementara Maria telah pun keluar dari kedai tersebut. Lisa
melihat wajah jejaka tersebut dengan ekor matanya. Ya, persis seseorang yang
amat dirinduinya.
“Ehermmm...”
Irfan berdehem. Hatinya sedikit cemburu melihat Lisa masih lagi memandang ke
arah jejaka tersebut. Pada asalnya niat dihati
untuk membuatkan Maria cemburu terhadap Lisa, namun hatinya pula rasa
cemburu dengan pandangan mereka berdua.
Lisa memandang
Irfan. Entah kenapa dengan lelaki dihadapannya ini. Sakit tekak ke?
Nada dering
daripada telefon Irfan mematikan perbualan mereka berdua.
“Semua orang dah
berkumpul… Cepat habiskan kuih ni,” kata Irfan sebaik sahaja panggilan
dimatikan.
Diluar, Maria
mengajak teman lelakinyaSyafiq Rayyan untuk menemaninya memasuki
Butik Elis memandangkan baju-baju pengantin di situ begitu menarik
perhatiannya. Syafiq Rayyan tidak menolak malah mengikuti langkah wanita pujaan
hatinya. Sebaik sahaja melangkah masuk, foto model yang menggayakan persalinan busana
pengantin yang dipampang di butik tersebut menarik minat Maria untuk
ditelitinya.
“Maknanya, lelaki yang bersama Lisa itu adalah model butik
ini?” teka Maria.
Belum sempat dia
membuka mulut untuk mengajak Syafiq Rayyan keluar dari Butik Elis, Lisa dan
Irfan telah melangkah masuk ke dalam butik. Mereka kelihatan begitu mesra.
Maria menyorokkan diri disebalik model patung di butik tersebut sementara Lisa
dan Irfan melangkah naik ke atas. Kelibat Syafiq Rayyan dicari. Namun, tiada....
“Ke mana pula dia ni?” Maria mencari kelibat buah hatinya.
Sejurus itu matanya memandang Syafiq Rayyan sedang memilih selendang di suatu
sudut bersama seorang pekerja butik. Untuk siapa, Maria tidak mengetahuinya.
Cepat sahaja kakinya melangkah ke arah Syafiq Rayyan untuk mengajaknya pergi
dari situ.
“Jom kita pergi,” ajak Maria sambil tangannya menarik lengan
Syafiq Rayyan.
“Eh, sekejaplah… Kan Itengah
pilih selendang ni.”
Sementara di atas, semua orang telah pun berkumpul. Puan
Elinna begitu gembira melihat kehadiran Lisa. Tidak sangka anak terunanya
memilih Lisa sebagai model butik dan secara tidak langsung merangkap sebagai
calon menantunya. Walaupun sejujurnya Puan Elinna tidak mengetahui status
sebenar perasaan Irfan terhadap gadis tersebut, namun naluri keibuannya dapat
merasai anak lelakinya menyukai gadis ini.
Setelah taklimat yang diberikan Puan Elinna berakhir, mereka
memohon diri untuk bertolak. Irfan bersalaman dengan Puan Elinna begitu juga
dengan Lisa.
“Pastikan pengambaran berjalan dengan lancar ya?” Puan Elinna
menggenggam kemas tangan anak terunanya sambil matanya menatap mesra mata Lisa.
Senang hatinya melihat senyuman gadis ini. Sungguh menawan dan menyejukkan hati.
“Insya-Allah, ma,” kata Irfan.
Sebaik sahaja Lisa memasuki kereta, sempat lagi Puan Elinna
berbisik pada telinga Irfan. Irfan hanya tersenyum namun hatinya berbunga.
Kereta Irfan mendahului perjalanan diikuti dengan kenderaan
milik butik mamanya.
“Jaga baik-baik menantu mama ni. Kalau ada masa jumpalah emak
dan ayahnya di kampung.” Irfan tersenyum nipis apabila teringatkan pesanan
mamanya sebentar tadi. Lisa disebelah dipandang Irfan. Lena betul dia tidur.
Irfan hanya tersenyum sambil matanya menumpukan perhatian di atas Lebuh Raya
menuju ke Pantai Timur. Keretanya meluncur laju. Sesekali sistem GPS dikerlingnya.
Jam sudah menunjukkan 1.30 petang. Kini, mereka berada di
Cherating, Pahang sambil menikmati makan tengah hari mereka. Perjalanan yang
mengambil masa 5 jam lebih itu sedikit memenatkan. Namun, dek kerana hati tidak
sabar untuk sampai ke Terengganu rasa penat itu ditolak ke tepi. Banyak bas
ekspress yang berhenti menurunkan penumpang untuk menikmati makan tengahari dan
menunaikan Solat Fardu Zohor. Angin pantai begitu mendamaikan ditambah pula
dengan juadah makanan yang begitu menyelerakan. Sebelum meneruskan perjalanan
mereka menunaikan Solat Zohor dijamak bersama Solat Asar memandangkan mereka
ini sedang bermusafir.
“Ok, dah segar semua?” tanya Irfan kepada pekerja-pekerja
pengambaran sebaik sahaja selesai menunaikan solat.
“Dah, segar! Terima kasih belanja kami,” ucap mereka.
“Sama-sama.... Sekarang siapa nak jalan dulu?” tanya Irfan.
“Encik Irfanlah....”
“Saya tak biasa jalan di sini. Ada GPS pun saya tak berapa
yakin.”
“Apa nak susah.... Sayakan ada. Negeri saya, saya tahulah
jalannya.... Sebut sahaja nak ke mana? Ditanggung beres!” Lisa bersuara.
“Hahahaha… Lupa pula aku anak Terengganu ada di sebelah.
Jomlah kita gerak. Lisa, kau jangan tertidur pula.”
Lisa hanya tersengih menampakkan sususan gigi putihnya. Tanpa
berlengah lagi, mereka meneruskan perjalanan. Kereta Audi TT-RS Roadster Irfan
meluncur laju diikuti dengan Toyota Alphad
di belakang.
“Yehaaa!!” mereka menjerit keriangan apabila memasuki gerbang
sempadan Negeri Terengganu dan Pahang.
“Selamat datang ke Terengganu,” ucap Lisa kepada Irfan sambil
matanya melihat sekeliling. Cuaca pun sangat baik. Redup dan tidak panas.
Kini, kereta mereka
menyusuri Stesen Janakuasa Sultan Ismail iaitu stesen janakuasa gas terbesar di
Malaysia, terletak di Paka dan dikendalikan oleh Tenaga Nasional. Paka pesat
membangun hasil perlombongan petroleum dan gas asli di luar pantai Terengganu,
berhampiran Kerteh. Perjalanan mereka nampak begitu teruja apabila ia berlatarkan
Loji Penapis Minyak Terengganu yang besar dan panjang di kiri dan kanan jalan raya. Kelihatan api
keluar menyala-menyala dari menara yang dikhaskan bagi memastikan loji tidak
meletup. Gas terpaksa dibakar walaupun ia agak merugikan.
Bumbung kereta Irfan dibuka. Kaca hitam yang mereka gayakan
menampakkan mereka sungguh bergaya dengan kereta mewah yang dinaiki. Sesekali
Lisa memperbetulkan selendangnya yang ditiup angin.
“Wah, pantai! Dah lama aku tak tengok pantai Lisa,” kata
Irfan sambil memperlahankan kereta. Kini, kereta mereka menyusuri pantai yang
memanjang. Pohon-pohon kelapa seakan-akan melambai menyambut kedatangan mereka.
Laut yang membiru dan jernih sungguh memukau mata yang memandang. Pantai yang
putih bersih sungguh mempersonakan.
“Inilah Rantau Abang,” jelas Lisa disebelah.
“Rantau Abang tempat penyu bertelur tu?”
Lisa menganggukkan kepala.
“Nanti bolehlah makan telur penyu!” kata Irfan teruja.
“Tak bolehlah.... Penyukan dah nak pupus. Jadi, kita kena selamatkan
penyu-penyu ni,” kata Lisa tidak setuju dengan cadangan Irfan.
“Alaa.... Satu biji tak kan tak boleh? Nak rasa… Macam mana
rasa telur penyu Lisa?”
“Entahlah.... Saya pun tak pernah rasa.”
“Apalah orang Terengganu tak pernah rasa telur penyu… Rugilah.”
“Saya pencinta haiwan, okey…”
“Okey.... I know you....”
Irfan tersenyum. Sengaja mengusik Lisa.
Sepanjang perjalanan menuju ke destinasi yang dituju, mereka
melayani mata mereka dengan melihat keindahan laut yang luas membiru. Sungguh
indah. Dari Dungun dan Marang mereka disaji dengan keindahan Laut China
Selatan. Sesekali kelihatan bot-bot nelayan ditengah-tengah laut.
“Haaa… Berhenti.... Berhenti!” tiba-tiba Lisa bersuara
setelah sekian lama membisu melayani keindahan pantai.
Irfan dengan serta-merta memberikan signal ke kanan apabila
mendapat arahan daripada Lisa. Kereta mereka berhenti di bahu jalan.
“Jom,” ajak Lisa sambil membuka pintu kereta diikuti dengan
Irfan.
“Nak ke mana?” tanya Irfan.
“Kita makan dululah.... Saya belanja.” Lisa melihat rakan
setugas juga baru memberhentikan kereta di bahu jalan.
Irfan melihat disekeliling. Banyak gerai makanan yang
disediakan. Lisa bergerak ke arah kenderaan Toyota Alphad.
“Haa… Turunlah. Kita makan dulu,” ajak Lisa.
“Makan? Macam tahu-tahu sahaja perut ni dah lapar....”
“Kalau macam tu, cepatlah…”
Mereka mengambil tempat disuatu sudut yang menghadap laut
manakala Lisa pula sibuk memilih makanan yang akan dimakan oleh mereka petang
ini.
“Kalau nak tahu, inilah Pantai Kelulut,Marang.... Nampak tak
pulau tu?” tanya Lisa sambil tangannya menunjukkan kearah pulau di tengah laut.
“Haa… itu mesti Pulau Perhentian!!” jawab Jayjay dengan penuh
yakin.
“Apa pulanya Pulau Perhentian. Pulau Perhentian dekat daerah
Besut! Inilah pulau yang kita nak pergi tu…” Lisa mengangkat keningnya.
“Pulau Kapas?” tanya Jayjay.
Lisa menganggukkan kepala dengan senyuman terukir di wajah.
“Pulau kecil disebelah Pulau Kapas tu adalah Pulau Gemia.... Tempat untuk kita buat
pengambaran nanti… Nanti kita akan ke Jeti Marang menunggu bot,” jelas Lisa
sambil semua mata tertumpu ke arah pulau ditengah laut.
“Wah… Dah nak sampai dah kita.”
“Dah dekat dua jam kita jalan. Kalau dekat Kuala Lumpur ni
dah boleh ke Melaka dah ni... Dah masuk negeri lain dah… Dekat Terengganu ni
baru menjelajah daerah ke daerah dah dekat 2 jam?”
“Hahaha.... Itu belum habis lagi daerah kita jelajah ni. Kita
baru jelajah daerah Kemaman, Dungun dan Marang. Masih ada lagi daerah Kuala
Terengganu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Besut, Jertih dan Setiu,” jelas Lisa.
Mereka mengiakan kata-kata Lisa.
“Ini yang dah tak sabar ni!” Mereka teruja apabila melihat
makanan yang diminta telah tiba.
“Terima kasih, kak,” ucap Lisa sebaik sahaja makanan yang
ditempah dihidangkan di hadapan mereka. Mereka memandang juadah yang terhidang
dengan tidak terkata. Banyak! Juadah ikan celup tepung, udang celup tepung,
sotong celup tepung dan keropok lekor yang terhidang nampak sungguh sedap. Asap
nipis yang keluar daripada makanan tersebut menghadirkan aroma yang sungguh
menyelerakan. Mereka menelan air liur.
“Haa... Apa lagi… Jemputlah makan,” kata Lisa.
Mereka menjamah makanan laut yang masih panas dengan penuh
selera. Kerangupan tepung yang digoreng yang dicicah dengan colek ( cuka lada )
sungguh membangkitkan selera ditambah pula dengan minuman air kelapa segar.
Angin laut menjadi penghibur setia untuk mereka ketika ini.
“Sedap ni Lisa,” kata Irfan sambil mengunyah sotong goreng.
Matanya dipejam kononnya menghayati makanan yang sedang dikunyah. Lisa
berpaling kepada yang lain. Mereka juga turut melakukan aksi yang sama iaitu
memejam mata menikmati makanan yang dikunyah. Laju sahaja makanan laut yang
baru dimasak ini diratah mereka.
“Mereka ni kenapa? Berpakat ke pejam mata macam tu,” bisik
hati Lisa. Tanpa berlengah lagi Lisa mengelap tangannya dengan tisu dan selepas
itu Lisa mengambil beberapa keping gambar mereka sebagai kenangan. Kelakar pula
aksi spontan mereka ini ketika menikmati makanan. Penuh penghayatan.
“Dik, ini dia Satar yang diminta tadi.... Baru masak ni,”
kata kakak pelayan gerai.
“ Terima kasih… Sedap makan panas-panas ni....” Lisa terus
menjamah Satar yang baru siap dibakar.
“Apa ni?” Daus dan Raizal bersuara serentak.
“Tadikan kakak tu dah sebut... Satar... Satar…” Encik Fuad
bersuara.
“Hahahaha.... Inilah satar,” jawab Lisa.
“Satar? Apa benda ni?” tanya Irfan yang sejak dari tadi duduk
meratah ikan celup tepung.
“Inilah satar… Makanan ringan yang diperbuat daripada isi
ikan dan kelapa parut. Ia merupakan masakan istimewa Terengganu. Terdiri
daripada campuran ikan dan kelapa tumbuk, lada, halia dibalut dalam daun pisang
berbentuk piramid. Setiap satu akan
dicucuk seperti sate gergasi dengan batang buluh dan dipanggang atas bara api...
Macam tu...” Lisa menunjukkan satar yang sedang dibakar.
Jayjay mula membuka pembalut daun pisang yang menyaluti satar
lalu merasai makanan tradisi ini.
“Ermmm... Sedapnya… Fuhh.... Ada rasa pedas-pedas sikit. Dapat rasa isi
ikan dengan isi kelapa....”
Melihat keterujaan Jayjay, mereka yang lain terus mencuba
makanan yang dinamakan Satar ini. Mereka akui kesedapannya.
“Kalau hari-hari macam ni mesti seronokkan.... Makan makanan
laut yang segar sambil menikmati angin laut. Tenang hidup!” kata Encik Fuad.
“Betul tu En. Fuad…” jawab Jayjay.
“Ada perbezaan tak rasa keropok lekor Terengganu dengan
keropok yang dijual di Kuala Lumpur?” tanya Lisa.
“Banyak perbezaannya Lisa… Yang dekat Kuala Lumpur tu rasa
tepung yang banyak daripada rasa ikan tapi keropok Terengganu ni rasa ikan yang
banyak daripada tepung. Sos lada pun sedap! Awesome!”
kata Raizal.
“Dekat Terengganu pun ada KLCC tau,” kata Lisa.
“Mana?” tanya Irfan bersungguh.
“Tu....” Lisa menunjukkan keropok di atas meja.
Mereka mengerutkan muka.
“Keropok Lekor Cicah Colek (KLCC)…” Lisa tersengih.
“Colek?” tanya Irfan.
“Colek tu loghat Terengganu dan Kelantan.... Kalau dekat
Kuala Lumpur orang panggil sos lada, cuka lada macam itulah…”
“Ooo… Hahaha.... Kau jangan main-main Lisa.... Tak
pasal-pasal Menara Petronas tu tertukar nama,” kata Jayjay.
“Bukan macam tu… Hahaha… Ini singkatan nama untuk keropok
lekor cicah coleklah. Tidak ada mengena dengan yang lain.... Kebetulan sama.”
Lisa ketawa kecil.
“Hahaha.... Boleh buat nama kedai ni,” kata Daus.
“Kedai KLCC.... Jom datang beramai-ramai…”
“Jom... Sekali cuba pasti mengigau-ngigau nak lagi....” Daus
cuba menyambung ayat Jayjay.
“Engkaulah tu mengigau-ngigau Daus,” kata Jayjay.
Lisa memandang Irfan yang sedang ketawa. Aduh, kacaknya! Tetapi
Lisa menahan perasaannya memandangan hatinya telah terpaut pada Dr.Haikal. Kalau
macam inilah setiap hari kelakuan Irfan, balik dari pulau nanti berderet anak
gadis minta nombor telefon. Irfan perasan dengan renungan mata Lisa tetapi
dibiarkan sahaja. Biarlah Lisa tergoda padanya…