BAB 34“Fatin ini dah melampau! Dia ingat kita
ini apa?” Datuk Abdul Hamid bercekak pinggang menghadap isterinya Datin
Faridah.
Syafiq Rayyan hanya diam membisu di sofa
memerhatikan amarah orang tuanya.
“Abang, saya call tak dapat ni...” Sudah berkali-kali Datin Faridah cuba menghubungi anak perempuannya.
Namun, tidak berjaya dihubungi. Tanda risau
jelas terpancar pada wajah Datuk Abdul Hamid dan Datin Faridah.
“Yang kamu ni pun satu Rayyan! Dah 1 bulan
kamu balik dari London baru kamu nak cakap yang kakak kamu dah kahwin dan
mempunyai anak!” Puan Faridah meninggikan suara.
“Kenapa kamu baru cakap Rayyan? Beritahu
papa!” Datuk Abdul Hamid kesal dengan tindakan anak lelaki sulongnya. Walaupun
Fatin hanyalah anak tirinya, dia telah menganggap anak tersebut sebagai anaknya
sendiri disebabkan jarak usia antara Rayyan dan Fatin hanya satu tahun. Datuk
Abdul Hamid telah membesarkan Fatin sejak dari Fatin berusia satu tahun. Ketika
Datin Faridah kehilangan suami pertamanya, dialah yang mengambil tugas untuk
melindungi wanita ini.
“Maafkan Rayyan, papa, mama...” Rayyan
memerhatikan wajah risau kedua orang tuanya. Segala kisah mengenai kakaknya
diceritakan kepada Datuk Abdul Hamid dan Datin Faridah. Rayyan tidak dapat
merahsiakan hal ini daripada kedua orang tuanya demi kebaikan kakaknya sendiri.
Rayyan tidak sanggup melihat kakaknya hidup susah di bumi orang.
“Sekarang ini kita perlu cari ayah kepada
cucu-cucu kita ni... Dia mesti bertanggungjawab!” kata Datuk Abdul Hamid tegas.
“Fatin ini pun satu, kenapa dia tak
beritahu yang dia dah mengandung… Kalau tak, pasti suaminya takkan ceraikan
dia,” marah Datin Faridah.
“Macam yang Rayyan beritahulah mama, Kak
Fatin tak tahu yang dia dah mengandung semasa minta cerai tu ma... Selepas
diceraikan, bekas suaminya telah pulang ke Malaysia dan selepas tu Kak Fatin
baru dapat tahu yang dia mengandung. Kak Fatin dah cuba hubungi bekas suaminya,
tapi tak dapat…”
“Macam inilah budak sekarang! Kahwin suka
hati sahaja. Asal-usul pun tak tahu! Apa
yang penting, cinta! Hebat sangat ke cinta tu sampaikan orang tua diketepikan!
Sepatah kata pun dia tak beritahu yang dia nak kahwin!” Datuk Abdul Hamid
melepaskan rasa amarahnya.
“Papa, kalau papa bising macam ni pun, tak
guna... Semua dah jadi... Apa orang kata? Nasi sudah menjadi bubur?”Adam
Mukhlis bersuara dari tingkat atas. Suasana bising dibawah mengganggu
tumpuannya untuk melukis. Akhirnya tembelang kakaknya sudah pecah. Sudah lama
Adam Mukhlis merahsiakan hal ini.
Sebenarnya, Adam Mukhlislah orang pertama
yang mengetahui kakaknya sudah berkahwin. Kak Fatin dan Adam Mukhlis tidak
pernah ada rahsia antara mereka. Hubungan mereka lebih akrab berbanding dengan Rayyan.
Ini kerana Rayyan seorang yang tidak pandai menyimpan rahsia serta lebih tegas
dan angkuh perwatakannya. Entah kenapa, Adam Mukhlis tidak begitu serasi dengan
Rayyan. Adam Mukhlis seperti dapat
rasakan ada aura tegang diantara mereka. Sejak dari kecil mereka tidak serapat
hubungan antara dia dan Kak Fatin.
“Dah, budak bawah umur jangan masuk campur
hal orang tua...” Syafiq Rayyan bersuara.
“Mentang-mentang aku masih sekolah...
Ingat engkau tu dah cukup dewasa sangat ke? Baru 25 tahun, dah berlagak!” Balas
Adam Mukhlis.
“Kamu
berdua ni... Tak habis-habis... Bergaduh sahaja kerja... Dari kecil sampailah
besar panjang macam ini,”kata Datuk Abdul Hamid.
“Entahlah ma... Adam rasa, macam Abang
Rayyan ni, macam bukan abang Adam!” lancang mulut Adam bersuara.
“Adam!!!! Jaga mulut kamu tu!” lontaran
kata-kata pedas Adam begitu menyakitkan hati Datin Faridah.
“Mama belalah Abang Rayyan! Apa yang Adam
buat semuanya salah! Abang Rayyan sahaja
yang betul!” panas hati Adam apabila mamanya sentiasa memenangi Abang Rayyan
apabila mereka bertengkar.
“Sudahlah tu Faridah… Masalah Fatin pun
belum selesai, jangan ditambah pula masalahnya. Kalau Adam merajuk, susah kita
dibuatnya...” Datuk Abdul Hamid masih ingat bagaimana Adam Mukhlis melarikan
diri dari rumah apabila dimarahi isterinya Faridah. Isterinya terlalu garang
kepada Adam Mukhlis tetapi tidak bagi Syafiq Rayyan. Datuk Abdul Hamid sendiri dapat
melihat perbezaan kasih sayang yang diberikan. Syafiq Rayyan begitu dimanjakan manakala
tidak bagi Adam Mukhlis. Datuk Abdul Hamid sendiri tidak berkenan dengan
pembahagian kasih-sayang yang diberikan oleh isterinya walaupun mereka semua
ini adalah anak kandung Faridah.
Adam Mukhlis masuk ke dalam bilik. Malas
dia mendengar bebelan mamanya. Jika terus mendengar hanya menyakitkan hati dan
perasaan ditambah pula dengan muka berlagak Abang Rayyan. Antara papa dan
mamanya, Adam lebih akrab dengan papanya. Papanya begitu teliti dalam
pembahagian kasih-sayang. Papanya dirasakan lebih adil berbanding mamanya.
Fikiran Adam Mukhlis kini memikirkan hal
Kak Fatin yang sangat dirindui.
“Tak apalah Kak Fatin... Mungkin ada
hikmahnya rahsia Kak Fatin dah terbongkar... Kak Fatin tak boleh terus
bersembunyi... Mungkin inilah masanya Kak Fatin keluar dari tempat sembunyi
yang Kak Fatin bina sendiri,” Adam Mukhlis menatap foto Fatin Natasya di hujung
mejanya. Semoga segalanya berjalan dengan baik.
Lisa memerhatikan gelagat Irfan dan Adam
Mikhail yang sedang leka berbual di sebuah pondok. Entah apa yang dibualkan. Lisa
memerhatikan sahaja gelagat mereka sementara menanti ketibaan bot yang sudah
ditempah. Sesekali mereka membelek joran memancing yang dibawa mereka manakala Puan
Raudah dan Surianti tidak habis-habis lagi menyusun barang-barang agar senang
diangkut masuk ke dalam bot. Ayahnya mungkin ke tandas.
Lisa melontarkan jauh pandangannya ke arah
Tasik Kenyir. Tasik yang terbentang luas itu sungguh mendamaikan. Kicauan
burung-burung dan ungas hutan setia manjadi halwa telinga kepada pengunjung
yang bertandang ke situ. Sesekali mata Lisa beralih ke arah kaunter. Kelibat
ibu muda yang bekerja di dalam pondok kaunter tersebut begitu menarik perhatian
Lisa. Lisa mula menapak ke arah kaunter tersebut. Sengaja mencari teman
berbual.
“Dik, agak-agakkan lambat lagi tak bot
ni?” Lisa cuba memulakan perbualan.
“Bot nak ke mana tu...”
“Tak ke mana pun... Bot rumah...
Berkampung atas tasik ni...”
“Owh... Bot rumah... Insya-Allah sekejap
lagi sampailah tu... Akak dah lama tunggu ke?” tanya adik yang menjaga kaunter
risau.
“Tak adalah... Baru sampai sahaja ni.” Padahal
pada hakikatnya Lisa sudah tahu waktu ketibaan bot berkenaan. Sengaja dia
bertanya. Apa yang lebih menarik perhatian Lisa, adalah bayi yang sedang
disusui oleh ibu muda tersebut.
“Dik, berapa bulan ni?” Lisa tersenyum
mesra.
“4 bulan kak...”
“Owh, 4 bulan... Comelnya!”
“Akak tengok adik ni muda lagi... Kahwin
muda ya?” sengaja Lisa meramahkan diri menyelidiki perihal ibu muda tersebut.
Mata Lisa dikerling ke arah bakul yang
berisi termos air panas dan bekas yang berisi susu tepung.
“Hahaha... Nampak muda?Ya ke? Umur saya 21
tahun... Kiranya kahwin muda jugalah...” Ibu muda tersebut tersenyum mesra.
Sesekali dia menarik keluar botol susu yang diminum bayinya. Mulut bayinya
dilap dengan kain bersih.
“Adik guna susu apa tu? Tak bagi susu
badan ke?” ringan mulut Lisa bertanya.
“Saya bagi susu tepung... Malulah nak bagi
susu badan dekat tempat awam macam ni...”
Lisa agak terkejut dengan kata-kata ibu
muda tersebut. Nampaknya ibu muda ini masih kurang pengetahuannya mengenai
kebaikan susu ibu kepada bayi.
“Baru habis pantang adik terus kerja ke?”
“Aahh... Terus kerja kak... Saya ni bukan
orang senang... Suami saya bawa bot dekat tasik ni... Lagipun kerja dekat sini
duduk dalam kaunter ni sahaja... Tak banyak bergerak...”
Lisa mengangguk faham. Bagus juga dia
bekerja. Lagipun kerjanya taklah begitu berat.
“Maaf ya dik... Akak nak bagi nasihat
sikit ni... Adik tak kisahkan?” perlahan Lisa menuturkan bicara.
“Eh, boleh... Tak ada masalah...” Ibu muda
tersebut masih tersenyum.
Lisa mula melabuhkan punggungnya di bangku
yang disediakan berdekatan dengan ibu tersebut.
“Apa yang adik tahu mengenai susu ibu?”
Lisa menatap lembut wajah ibu muda yang berada dihadapannya.
Wanita tersebut hanya mendiamkan diri.
“Ermm... Susu untuk menyusukan bayilah,” katanya
perlahan.
“Ok macam ni... Saya Lisa... Saya bekerja
sebagai seorang jururawat. Izinkan saya memberi tunjuk ajar tentang kepentingan
susu ibu ni...”
“Boleh... Tak ada masalah... Lagipun saya
tak ada masa nak ke klinik untuk dengar ceramah tentang penjagaan bayi... Kalau
akak nak tolong bagikan nasihat, saya sudi sangat-sangatlah mendengarnya.” Bayi
yang dipangku diletakkan ke dalam buaian. Buaian mula diayunkan bagi mengulit
anaknya.
“Sebelum tu, boleh akak tahu adik bersalin
dimana?”
“Saya bersalin dirumah sahaja kak... Tak
sempat ke hospital... Nasib baik mak bidan ada...”
Lisa mengangguk faham. Mungkin sebab
inilah ibu muda ini kurang pengetahuan mengenai kepentingan susu ibu. Kalau
melahirkan bayi di hospital, sudah pasti pelbagai nasihat kesihatan akan
diberikan berkaitan ibu dan anak.
“Sebenarnya kan dik, susu ibu ni
digalakkan diberikan kepada bayi selama 6 bulan dan diteruskan sehingga anak
berusia 2 tahun. Manakala makanan pelengkap perlu dimulakan semasa anak berumur
6 bulan. Maknanya disini, selama tempoh 6 bulan tu, bayi tak boleh diberikan
makanan lain selain susu ibu. Air masak pun tak boleh diberikan kepada bayi.
Ini disebabkan pada masa ini, perut bayi masih belum matang dan perutnya lebih
sesuai menerima susu daripada ibunya sendiri disebabkan susu ibu mengandungi
zat-zat yang diperlukan oleh badan mereka. Selepas 6 bulan, barulah bayi boleh
diperkenalkan dengan makanan lain secara beransur-ansur.
“Ya ke? Air masak pun tak boleh?” tanya
ibu muda kepelikan.
“Ya, tak boleh selagi bayi berusia 6 bulan
ke bawah... Ini kerana air masak ini berisiko merencatkan tumbesaran bayi. Perut
bayi sangat kecil. Apabila perut bayi telah dipenuhi air, bayi akan merasa
kenyang dan kurang berminat untuk menyusu susu ibu.”
“Oh, macam tu... Saya selalu berikan air
masak pada anak saya...”
“Tak boleh buat macam tu dik... Bahaya tau...”
“Banyak faedahnya susu ibu ni dik...
Antaranya, ia membantu mengecutkan rahim ibu, mengurangkan risiko barah
payudara dan ovari, penghadaman yang mudah untuk bayi, mengandungi antibodi
(bahan pencegah penyakit) khas untuk bayi, dan ia mengurangkan risiko alahan
kepada bayi. Selain itu, susu ibu ni dapat menjimatkan wang. Yalah kan, kita
dah tak perlu nak beli susu formula dan sudah pasti kita tak perlu mengeluarkan
wang. Lagipun susu ibu ni, kiranya macam susu segeralah... Tak perlu nak
bancuh-bancuh... Semuanya dah siap...”
“Ermm... Memanglah banyak kebaikannya...
Tapi saya malulah nak meyusukan bayi dekat tempat macam ni...”
“Ok, akak bagi adik panduan. Tak semestinya
adik perlu menyusukan bayi tu terus dari badan adik... Adik boleh botolkan susu
badan tu...”
“Maksud akak, saya perlu perahkan susu
tu?”
Lisa mengangguk.
“Tapi, tahan lama ke susu yang diperah
tu?”
“Boleh tahan sampai 6 bulan tau... Tapi
kalau nak sampai 6 bulan tu, peti sejuk mestilah -20 ͦ C... Kita kena bekukan.”
“Lama juga kan,” kata ibu muda ini sedikit
teruja.
“Untuk kegunaan harian biasanya susu ni
kalau diperah ia akan bertahan lebih kurang dalam 4 jam pada suhu sekitar 25 ͦ
C- 37 ͦ C... Kalau bilik berhawa dingin antara 15 ͦ C – 25 ͦ C susu dapat
bertahan selama 8 jam. Senang cerita, susu badan ini akan bertahan mengikut
suhu persekitaran. Kalau suhu kurang dari 15 ͦ C, susu boleh bertahan selama 24
jam.”
“Tapi untuk adik ni, adik cuba cara ni...
Masa awak dekat rumah, awak perahkan susu ni... Kalau nak senang boleh guna pam
susu yang ada dijual difarmasi.”
“Mahal tak pam tu kak?”
“Saya pun tak pasti sebab ia bergantung
pada jenama... Tapi kalau difikirkan balik, awak melabur untuk sekali ini
sahaja... Lepas ni, awak dah tak perlu beli susu formula lagi... Susu formula
sekarang bukannya murah... Mahal-mahal dik... Lagipun susu ibu ni lagi banyaknya
khasiatnya untuk bayi.”
“Betul juga kata akak... Saya ni bukannya orang senang...
Selepas perah tu nak buat macam mana lagi?”
“Pastikan bekas yang digunakan bersih tau...
Semuanya mesti dilakukan dalam keadaan yang bersih. Yang kotor haruslah dibersihkan
terlebih dahulu. Sesudah susu diperah, adik mesti letakkan susu tersebut di
dalam bekas yang bertutup. Selepas diletakkan didalam bekas, susu tersebut
mestilah ditulis tarikh dan masa perahan dibuat di setiap bekas simpanan susu.
Kemudian boleh diletakkan di dalam tempat dingin beku di dalam peti ais. Tapi
janganlah pula adik letakkan susu tu bersama-sama dengan ayam dan ikan... Susun susu-susu tu dalam satu bekas dan cuba
jangan campurkan kedudukannya dengan bahan mentah di dalam peti sejuk. Nanti
tak pasal-pasal lain pula perisanya nanti...” Lisa tersengih.
“Hahaha... Dapat perisa ikan lagi tu.” Ibu
muda tertawa kecil.
“Dekat rumah adik, peti sejuk berapa
pintu?”
“Satu pintu sahaja kak...”
“Kalau peti sejuk satu pintu, susu akan
bertahan selama lebih kurang dalam 2 minggu… Kalau peti sejuk dua pintu, susu
boleh bertahan selama 3 bulan...”
“Kenapa ada perbezaan macam tu kak?”
“Mungkin disebabkan suhu di dalam peti
sejuk tu. Kalau dua pintu, tempat dingin beku dan tempat dingin berasingan. Kita
hanya membuka salah satu sahaja pintu tu untuk mengambil barang dalam satu-satu
masa. Jadi, suhu didalam tempat dingin beku tu dapat dikekalkan. Kalau peti
sejuk satu pintu, tempat dingin beku dan tempat dingin adalah sekali. Jadi tekanan
suhu akan terganggu apabila kita membuka pintu untuk mengambil barang. Itu
pandangan saya. Mungkin ada lagi sebab-sebab lain.”
“Kalau nak guna susu tu macam mana?”
“Kalau nak guna, keluarkan susu tu dari
peti sejuk. Macam adik ni, sediakan satu bekas tahan sejuk. Semasa adik nak
datang kerja, letakkan susu yang diambil dari peti sejuk dan masukkan ke dalam
bekas tahan sejuk. Bolehlah adik bawa datang kesini. Masa nak gunakan tu,
rendamkan sahaja susu yang dibekukan ni dalam air suam. Nanti ia akan cair dan
susu ni boleh terus diberikan kepada bayi. Ingat, susu ibu ni tidak boleh
dimasak... Nanti segala khasiatnya akan musnah. Setakat ni, awak faham tak...”
“Faham kak...”
“Ermm... Lagi satu, susu yang tidak habis
digunakan tidak boleh disimpan balik tau... Struktur susu tu sudah tidak
sesegar semasa ia baru dicairkan.”
“Maknanya kalau tak habis, saya buangkan
macam tu sahajalah?”
“Nampak gayanya macam itulah… Membazirkan?
Untuk mengelakkan pembaziran ni, adik perhatikan berapa banyak anak adik ni
boleh minum susu dalam satu-satu masa. Ambil sukatan yang mampu dia diminum...
Alaa, kan dekat botol susu tu ada dia tulis berapa ml… Haa, dekat situlah awak
boleh tahu berapa banyak susu yang boleh diminum oleh bayi... Semasa buat
simpanan susu tu, sukatlah berapa ml yang biasa anak adik minum, selepas itu barulah
boleh dibekukan. Jadi apabila ia dicairkan, ia mampu dihabiskan oleh bayi...”
Ibu muda tersebut mengangguk tanda faham
sambil tangannya menulis tip yang diberikan di sebuah buku nota kecil.
“Anak adik ni, lahir cukup bulan tak?” tanya
Lisa untuk kepastian.
“Alhamdulillah... Cukup bulan...”
Lisa mengangguk perlahan. Senyuman diukir
diwajahnya sementara menunggu ibu ini siap menulis. Jam tangannya dilihat. Jam
sudah menunjukkan 3.00 petang. Lisa
menjengukkan kepalanya ke arah jeti. Dari jauh, dapat dilihat bot yang ditempah
sudah tiba. Cepat-cepat Lisa berdiri mencari kelibat Puan Raudah dan juga yang
lain.
“Mana mereka ni?” Lisa cemas.
Kemudian, Lisa terpandangkan sekumpulan
manusia sedang menuruni bukit yang bertangga. Banyak barang yang dibawa.
“Itu pun mereka... Ingat dah tinggalkan
aku...” Lisa melepaskan nafas lega.
“Adik, nampaknya akak dah kena pergi ni...
Bot dah sampai... Ada apa-apa soalan lagi tak?”
“Bot dah sampai? Oklah... Ermmm...Tak ada
soalan rasanya... Alhamdullilah, saya faham setakat ini... Terima kasih
banyak-banyak tau kak...”
“Sama-sama...” Lisa tersenyum manis.
Sebelum beredar Lisa sempat menghulurkan
sedikit wang sebagai hadiah kepada bayi yang dilahirkan. Sebelum beredar, satu
ciuman hinggap di atas dahi bayi kecil yang sedang lena di dalam buaian. Ibu
muda itu begitu berterima kasih dengan tunjuk ajar yang diberikan. Hati Lisa
senang dapat membantu. Itu pun sebahagian daripada tugasnya. Tanpa melengahkan
masa, Lisa memohon diri untuk beredar. Lambaian tangan memisahkan mereka.
Lisa memperbetulkan beg galasnya ketika
menuruni anak tangga yang agak curam. Gugusan pulau ditengah tasik seperti
memangil-manggil Lisa agar terus mempercepatkan langkahnya. Dari ketingggian
bukit ini, pemandangan didepan mata begitu sayup mata memandang. Tasik buatan
yang terbesar di Asia Tenggara ini sungguh mendamaikan. Alam semulajadi ini
patut dikunjungi pada mana-mana insan yang sukakan kehijauan.
“Pergi ke mana tadi? Merata kami cari
tadi,” tanya Puan Raudah risau.
“Maaflah mak... Lisa ada dalam pondok kaunter tadi… Lisa
berikan panduan pada ibu tu bagaimana cara nak menyimpan susu badan dalam peti
sejuk...”
“Owhh,
patutlah… Ingatkan ke tandas... Tapi kami tengok tak ada pula...”
Lisa
hanya tersengih.
“Barang-barang
semua dah angkut dah?” tanya Lisa untuk kepastian.
“Dah…
Semua dah angkut dah... Semua orang penat bawa turun barang... Kak Lisa sedap
sahaja melenggang kangkung,” kata Adam Mikhail tidak berpuas hati dengan
kakaknya.
“Tak apa Adam… Jangan risau... Nanti bila
balik nanti, kita suruh dia angkat semua barang-barang ni.” Irfan cuba menyakat
Lisa.
“Ini? Nak suruh Lisa angkat semua? Memang
taklah kan…” Lisa menaikkan matanya ke atas. Gaya ala-ala gedik.
“Eh, buat apa lagi dekat jeti tu… Jomlah
naik bot ni,” panggil Encik Hamid dari dalam bot. Panggilan dari Encik Hamid
itu melonjakkan kegembiraan hati masing-masing. Tidak sabar hati mereka untuk
menjelajah Tasik Kenyir. Apa yang menarik, mereka akan berkampung di atas air
iaitu mereka akan bermalam di dalam bot. Bunyinya agak seram, tetapi pengalaman
ini pasti menyeronokkan.
Barang-barang diangkut ke dalam bot dengan
berhati-hati agar tidak jatuh ke dalam tasik. Pasti tasik ini sangat dalam!
Ikan-ikan didalam tasik ini juga dikatakan besar-besar. Lisa melangkah memasuki
bot yang menyerupai rumah dengan berhati-hati agar tidak tergelincir. Boleh
dikatakan struktur binaan bot ini memang menyerupai rumah. Cuma rumah ini
mempunyai enjin untuk mengemudinya di atas air. Ini agak unik. Didalamnya turut
disediakan tilam dan bantal serta kelengkapan lain. Macam rumah sendiri.
Bot perlahan-lahan bergerak meninggalkan
jeti. Sedikit taklimat diberikan oleh penjaga bot sebagai panduan mereka semua.
“Cantik tempat ni Lisa... Aku suka!” kata
Irfan perlahan sambil matanya melihat tasik yang dipenuhi dengan pulau-pulau
kecil.
“Dekat sini banyak pulau! Kalau saya dapat
bina rumah dekat pulau ni kan seronok... Ada bot sendiri…” Lisa mula
berangan-angan. Melihat kehijauan tasik yang tenang ini membuatkan hati Lisa
terpaut.
“Memang banyak pulau! Tadi aku baca dekat
jeti, tasik ni adalah tasik buatan yang terbesar di Asia Tenggara dan mempunyai
340 buah pulau! 340 buah pulau tu Lisa… Kalau ada duit, bolehlah beli satu
pulau tu…”
“340 buah pulau?” Lisa teruja. Matanya
masih tidak puas menatap gugusan pulau dihadapannya. Lisa mula berangan-angan
untuk memiliki sebuah pulau di sini.