BAB 36Tuan Iskandar bergitu berselera malam itu
apabila dihidangkan Ikan Baung Masak Tempoyak hasil air tangan isterinya. Sudah
lama dia tidak merasai ikan air tawar. Tak sangka kepulangan Irfan dari
Terengganu membawa pulang ikan dari Tasik Kenyir hasil dari tangkapan Irfan
bersama keluarga Lisa.
Irfan tersenyum gembira melihat tahap
keseleraan Tuan Iskandar. Betul kata orang, kalau ke Tasik Kenyir kalau tak
memancing maka tak seronoklah. Pelbagai jenis ikan dapat dikail mereka hari
itu. Antaranya Ikan Baung, Sebarau, Ikan Lampan Sungai, dan juga Ikan Kelah.
“Ya Allah... Sedapnya! Kalau macam inilah
gayanya, bolehlah kita sekeluarga pergi sendiri ke Tasik Kenyir. Bukan main
banyak Irfan bawa balik ikan Tasik Kenyir ni...” Tuan Iskandar menambah lagi
nasi ke dalam pinggan.
“Boleh… Nanti kita pergi sama-sama,” kata
Irfan bersungguh-sungguh. Dia tidak akan menolak jika diberi peluang sekali
lagi untuk bertandang ke Tasik Kenyir.
“Mama, papa... Lepas makan nanti, ada hal
yang ingin Irfan bincangkan dengan papa dan mama...”
“Lain macam sahaja bunyi Angah?” tanya
Iffa sambil mulutnya meratah Ikan Kelah yang digoreng.
“Budak-budak tak boleh masuk campur... Ini
hal orang dewasa sahaja,” kata Irfan sambil tangannya mencubit ikan goreng di
dalam pinggan Iffa.
“Ok...” Iffa mengalah.
Irfan menanti kedatangan Puan Elinna ke
ruang tamu dengan penuh debar. Irfan sudah bertekad dengan keputusan ini. Dia
pasti Puan Elinna dan Tuan Iskandar tidak akan membantah. Irfan melihat air
muka tenang Tuan Iskandar yang sedang memberikan sepenuh perhatian terhadap
permainan catur yang dimainkan bersama Iffa. Irfan duduk berseorangan sambil
matanya menatap syiling kapur rumahnya. Televisyen yang dipasang langsung tidak
menarik perhatiannya. Fikiran Irfan kembali mengimbas bagaimana keputusan ini
berjaya dibuat.
Semuanya bermula setelah mereka pulang
dari Tasik Kenyir. Irfan meminta kebenaran untuk melihat album yang tersusun
rapi di atas rak di dalam bilik Adam Mikhail.
“Adam, boleh abang tengok album-album ni?”
pinta Irfan seusai solat Maghrib.
“Eh, kenapa pula tak boleh... Tengoklah...
Ini album keluarga kami. Daripada Adam dan Kak Lisa kecil lagi...”
“Daripada kecil? Baguslah, gambar-gambar
ni masih ada... Boleh buat kenangan suatu hari nanti,” kata Irfan sambil
tangannya mencapai salah satu album dari rak.
“Abang tengoklah... Adam nak keluar
sekejap... Nak pergi rumah kawan...”
“Malam-malam macam ni?”
“Dekat sahaja... Sebelah rumah tu... Isyak
nanti Adam balik...”
“Ok... Abang tengok tau album-album ni?”
Irfan meminta kebenaran sekali lagi.
“Tengoklah...”
Adam Mikhail telah pun keluar dari bilik.
Irfan kembali duduk disejadah sambil tangannya mula membelek album yang
diambil. Helaiannya diselak perlahan-lahan. Sekali-sekala bibir Irfan menguntum
senyuman melihat telatah lucu yang berjaya dirakam.
Setelah habis melihat satu album, Irfan
mengambil satu lagi album. Satu persatu helaian dibelek dengan cermat. Kali ini
Irfan menatap sekeping gambar dengan perasaan yang terkejut dan tidak percaya.
Helaian album dilihat sepantas yang mungkin dan berulang kali.
“Ya Allah!” Irfan masih lagi menatap
gambar budak perempuan bersama seorang budak lelaki sambil ditangan kanak-kanak
tersebut memegang aiskrim. Air mata Irfan mula bergenang. Perasaan bersyukur
dan terharu mula mambalut tangkai hatinya. Tanpa berlengah lagi sujud syukur
terus dilakukan Irfan menyatakan bertapa bersyukurnya dia kepada Tuhan Yang
Maha Mengetahui.
“Irfan?” panggil Puan Elinna setelah
melihat anaknya masih termenung jauh.
“Ya, ma...” Irfan mula menyedari
kedatangan mamanya.
“Abang, Iffa... Dah-dahlah tu main catur...
Jom makan buah ni.” Puan Elinna menunjukkan buah-buahan yang sudah siap
dipotong yang diletakkan berhampiran mereka.
Irfan mengambil potongan buah kiwi lalu
mengunyahnya. Perasaan berdebarnya mula merajai segenap jasadnya.
“Hah, Irfan… Apa yang kamu nak beritahu...
Macam penting sahaja?” tanya Puan Elinna tidak sabar mengetahui apa yang ingin
diperkatakan oleh anaknya.
“Irfan nak kahwin...” Irfan memandang
wajah kedua orang tuanya.
“Apa Irfan? Papa macam tak berapa nak
dengar tadi...” Tuan Iskandar seakan tidak percaya dengan apa yang diperkatakan
oleh Irfan sebentar tadi.
“Irfan nak kahwin, pa...”
“Alhamdulillahhh…” Puan Elinna dan Tuan
Iskandar mengucap syukur.
“Dengan siapa Angah?” tanya Iffa sedikit
terkejut.
“Dengan Kak Lisa,” jawab Irfan malu-malu.
“Jururawat yang merawat papa tu ke Angah?
Yang jadi model butik mama tu ke?” bertalu-talu soalan keluar daripada mulut
Iffa.
Irfan hanya mengangguk.
“Tapi mama, papa... Lisa tak tahu pun
pasal ni... Irfan nak papa dan mama pergi pinangkan Lisa untuk Irfan...”
“Lisa tak tahu? Macam pelik sahaja
bunyinya Irfan?” Tuan Iskandar mulai curiga dengan permintaan Irfan.
“Ya, Lisa tak tahu... Dan apa yang pasti,
Irfan mahukan Lisa sebagai isteri Irfan. Papa dan mama tolong pinangkan ya?” Irfan
berkata lembut.
“Nak tolong pinangkan tu boleh Irfan, tapi
Lisa ni dah ada orang punya atau belum?”
Irfan hanya mendiamkan diri. Tiba-tiba
sahaja fikirannya teringatkan Dr.Haikal. Adakah hati Lisa milik jejaka tampan
yang baru dikenalinya itu? Irfan harus bertindak cepat.
“Kenapa diam?” Puan Elinna bersuara
setelah agak lama Irfan mendiamkan diri.
“Macam ni papa, mama... Apa yang Irfan
tahu, belum ada sesiapa yang miliki Lisa... Tentang kekasih, Irfan tidak tahu...
Nanti papa dan mama bincanglah dengan mak dan ayah Lisa... Irfan rasakan Lisa
adalah jodoh Irfan. Hati Irfan kuat memperkatakan hal itu… Irfan sendiri pun
tak tahu kenapa. Bila Irfan tengok Lisa, hati Irfan rasa tenang... Itu sahaja...
Irfan pasti, papa dan mama juga sukakan Lisa kan?”
“Lisa itu baik orangnya... Papa tak
nafikan... Tapi, sebaiknya Irfan bincanglah dahulu dengan Lisa. Kan itu lebih
elok...”
Irfan tidak merasakan idea papanya adalah
yang terbaik. Kalau Irfan bebincang dengan Lisa berkaitan hal ini, Irfan pasti
Lisa akan menolaknya mentah-mentah. Biarlah hajat hatinya disampaikan oleh
kedua orang tuanya. Biarlah mengikut tata dan tertib adab Melayu, Islam pun
menganjurkan berbuat seperti itu.
“Wah, romantiknya Angah!! Macam inilah
baru gentleman... Berkenan terus
jumpa mak dan ayah si perempuan… Terus masuk meminang... Kalau Iffa, Iffa terus
terima sahaja! Ini baru betul, tak menambah dosa bercouple...”
“Amboi Iffa… Barang-barang nak bawa pergi
asrama esok dah habis kemas?” tanya Puan Elinna.
“Alaa mama nii… Jangan sebutlah pasal
asrama tu... Iffa tak sukalah...” Iffa menarik muncungnya. Malas betul hatinya
mahu pulang ke asrama.
“Mama,papa... Tahun depan Iffa bertekad...
Iffa tak nak tinggal di asrama… Tahun
depan, Iffan nak tinggal dirumah... Bukan seronok pun tinggal di asrama
tu...”
“Dah... Jangan nak mengarut... Sekolah tu
sekolah bagus tau... Pergi naik atas... Kemas apa yang patut...”
“Yalah... Selamat malam...” Iffa
bersalaman dengan papa dan mamanya sebelum naik ke atas. Topik hangat yang
sedang diperbualkan itu terpaksa ditinggalkan memandangkan barang-barang
keperluannya belum dikemaskan. Esok awal-awal pagi lagi dia harus bertolak ke
sekolah. Mujurlah sekolah Iffa memberi kelonggaran kepada pelajar untuk pulang
ke asrama pada awal pagi dengan syarat tidak melebihi pukul 7.00 pagi.
“Angah, all the best!!” Iffa menepuk bahu Irfan.
“Dengan Angah tak nak salam?”
“Oppss... Lupa...” Iffa kembali melangkah
untuk bersalaman dengan Irfan.
Pemergian Iffa, membolehkan topik ini dibincangkan
dengan lebih serius.
“Bila Irfan nak mama dan papa pinangkan
Lisa?” Puan Elinna berkata serius.
“Bulan depan?” jawab Irfan yakin.
“Maknanya lagi dua minggu?”
“Eh, tak cepat sangat ke tu?” Tuan
Iskandar bersuara. Dirasakan tindakan Irfan terlalu terburu-buru.
“Kita kena cepat papa... Nanti takut
diambil orang… Irfan pasti, papa dan mama tidak akan menolak untuk berbesan
dengan emak dan ayah Lisa… Irfan jamin!” Irfan mengukir senyuman.
“Jaminan apa yang boleh Tuan Peguam boleh
berikan? ”
“Errr... Jaminan pinangan kita tidak akan
ditolak...”
“Kalau ditolak macam mana?” Tuan Iskandar
cuba menduga.
“Kita cuba dahulu... Kalau tak berjaya,
lain cerita... Sekarang ini, kita mesti fikirkan tentang hal-hal positif
sahaja,” kata Irfan lagaknya seperti pakar motivasi.
“Kenapa Irfan tak berbincang dengan Lisa
terlebih dahulu? Kalau Lisa tak cintakan Irfan macam mana? ” Puan Elinna
berkata risau.
“Cinta? Biarlah kami semai semasa kami dah
berkahwin nanti ma... Lagipun sejak pertama kali berjumpa dengan Lisa, hati
Irfan seperti tercuit untuk mengenalinya lebih mendalam... Mama tahu kan, Irfan
selama ini mana layan perempuan…”
Puan Elinna dan Tuan Iskandar
berpandangan. Berita tentang keinginan Irfan untuk berkahwin sudah begitu bermakna
buat mereka berdua tetapi apa yang merisaukan hati mereka adalah bagaimana jika
pinangan itu ditolak? Mereka bimbang Irfan akan kecewa dan terus merajuk daripada
berkenalan dengan wanita. Riak wajah Irfan yang begitu yakin pinangannya akan
diterima menambahkan lagi kegusaran di hati tua mereka.
“Nanti kalau mama dan papa mahu pinangkan
Lisa, mama dan papa bawa gambar ni...” Irfan menghulurkan sekeping gambar lama.
Gambar seorang budak lelaki bersama budak perempuan yang memegang aiskrim yang
baru diambil di dalam album gambar lamanya ditatap lembut oleh Tuan Iskandar.
“Kenapa dengan gambar ni?” tanya Tuan
Iskandar.
“Papa dan mama tidak cam, siapa budak
perempuan tu?” Irfan tersengih.
“Tak… Siapa ni?”
“Nanti, mama dan papa akan tahu… Gambar
inilah yang akan memperkukuhkan fakta kenapa pinangan kita akan diterima...”
“Apa? Mama tak fahamlah Irfan... Fakta?
Ingat ini kes di dalam mahkamah ke...” Puan Elinna mengerutkan mukanya.
“Bila mama dan papa pergi ke rumah Lisa,
mama dan papa akan faham apa maksud gambar ni...”
Puan Elinna dan Tuan Iskandar berpandangan
sekali lagi. Kali ini anaknya cuba bermain teka-teki dengan mereka.
“Baiklah… Tapi ibubapa Lisa sudah tahu ke
pasal Irfan nak hantarkan rombongan meminang ni?”
“Rombongan? Ramai ke yang nak pergi ma?
Mama dan papa pergi berdua sahajalah...”
“Kalau macam tu, itu namanya merisik...”
Irfan termenung sekejap.
“Ma, bukan ke merisik dan meminang adalah
perkara yang sama?”
“Tak sama Irfan... Ada bezanya disitu. Merisik merupakan satu
langkah permulaan untuk pasangan mendirikan rumahtangga. Amalan ini menjadi
kebiasaan bagi pihak lelaki untuk bertandang ke rumah keluarga perempuan yang
bakal dijadikan teman hidupnya... Amalan ini biasanya dilakukan sendiri oleh
ayah atau ibu pihak lelaki atau menghantar wakil untuk berkunjung ke rumah
keluarga perempuan yang menjadi pilihan pihak lelaki. Tujuannya ialah untuk
bertanyakan perihal anak perempuan keluarga tersebut sama ada sudah dipinang,
atau samaada sudah mempunyai pilihan lain atau belum… Kalau Lisa belum ada
pilihan lain, barulah kita boleh meneruskan hasrat kita untuk meminang Lisa…
Setelah dinyatakan hasrat kita untuk menjadikan Lisa sebagai isteri Irfan,
barulah pihak perempuan akan membuat keputusan samaada pinangan kita diterima
atau ditolak… Biasanya, ibubapa pihak perempuan tidak akan memberi jawapan yang
muktamad kepada pihak yang datang meminang kerana mengikut adat, mereka
sepatutnya diberi tempoh untuk memberikan jawapan atau dipanggil bertangguh. Sebenarnya,
adat bertangguh ini mencerminkan budaya Melayu yang amat berhati-hati dalam
menentukan jodoh. Pada masa tempoh bertangguh ini juga ibubapa pihak perempuan
akan berbincang dengan anak perempuan mereka samaada mahu menerima atau tidak
pinangan tersebut... Jika pinangan kita diterima, barulah tarikh pertunangan
akan dibincangkan dan ditetapkan... Selepas itu, barulah kita hantarkan
rombongan meminang... Faham tak sayang?”
Irfan cuba memahami maklumat yang baru
disampaikan Puan Elinna.
“Maknanya, kita tak boleh pinangkan
teruslah ma?”
“Boleh tu boleh... Tapi kita merisiklah
dahulu, selepas tu barulah dinyatakan hasrat untuk meminang… Biasanya kita akan
duduk berbincang dan berkenalan antara keluarga lelaki dan perempuan,
menyatakan tujuan merisik, cuba mendapatkan
persefahaman antara kedua-dua belah pihak, kemudian barulah kedua-dua
belah pihak berhak membuat keputusan samaada mahu menerima, menolak atau
membatalkan hasrat yang diutarakan.”
“Membazir masalah kalau macam itu ma...
Maknanya nak pergi banyak kalilah ke rumah pihak perempuan?”
“Amboi dah tak sabar nak kahwin anak mama
ni rupanya...”
Tuan Iskandar ketawa kecil melihat reaksi
Irfan.
“Bukan macam tu maksud Irfan... Kita kan
tinggal jauh... Nak ulang-alik macam ni macam tak praktikal sahaja...” Irfan
cuba berdalih.
“Nakkan anak orang, berusahalah sikit...” Tuan
Iskandar bersuara dengan nada sedikit menyindir.
Irfan hanya tersengih. Malu dengan
kata-kata papanya.
“Kalau meminang macam mana pula ma?” Irfan
bertanya lagi. Mamanya memiliki butik perkahwinan, jadi sudah pasti mamanya
serba sedikit tahu tentang adab-adab yang harus dilakukan.
“Kalau meminang kita akan datang sekali
lagi untuk melangsungkan upacara peminangan atau biasanya kita dengar sebagai
majlis pertunangan. Biasanya pihak perempuan akan bersedia untuk menyambut
kedatangan pihak lelaki.”
“Haa… Kalau macam tu, papa dan mama pergi
merisik Si Lisa tu... Kalau tak ada orang punya, papa dan mama terus
pinangkanlah… Jimat masa... Tak payah ulang-alik… Lepas tu telefon sahajalah,
tanya samaada pihak perempuan bersetuju atau tidak… Kalau setuju, kita terus
hantarkan rombongan untuk bertunanglah! Kalau nak lagi cepat kita bertunang selepas
tu terus kahwin!” Irfan membulatkan matanya sambil melemparkan ideanya yang
dirasakan wajar.
“Kenapa tergesa-gesa sangat Irfan? Terus
kahwin? Maknanya Irfan nakkan majlis pertunangan dan majlis akad nikah
dilakukan serentak? Macam tu?” Puan Elinna cuba mendapatkan kepastian.
“Irfan rasakan itu yang terbaik...”
Tuan Iskandar dan Puan Elinna hanya
mendiamkan diri. Diam kerana berfikir dengan idea yang dicadangkan Irfan.
“Perkara macam ini, kita tidak boleh
fikirkan sebelah pihak sahaja… Kita juga mesti dapatkan persetujuan daripada
pihak perempuan… Tak apalah, kita pergi merisik dahulu, kalau Lisa masih belum
berpunya, kami akan pinangkan untuk Irfan… Tentang tarikh bertunang atau
berkahwin tu kita bincangkan kemudian manalah tahu kalau hasrat kita ditolak...”
“Mama ni... Cakap macam tu pula... Tak apa,
Irfan yakin 100% pinangan kita tidak akan ditolak. Dijamin! Silap-silap
kedua-dua belah pihak terus mahu melangsungkan perkahwinan tanpa berbincang
dengan Lisa… Hahahaha…” Irfan ketawa senang hati dengan keyakinan yang
digambarkan dengan setiap kata-katanya.
“Amboi… Ketawa-ketawa juga… Cincin dah ada
ke?” Tuan Iskandar menegur.
“Betul tu Irfan... Cincin dah ada ke?”
“Cincin? Bukan ke baru nak merisik?” Irfan
hairan dengan pertanyaan kedua orang tuanya.
“Merisik pun pakai cincin tau,” jelas Puan
Elinna.
“Sekejap-sekejap... Maknanya, banyaklah
perempuan dapat cincin? Ermm… Merisik satu, bertunang satu dan berkahwin satu…
Tiga cincin semuanya?” Irfan cuba mengira cincin yang bakal Lisa perolehi.
“Betul tu... Itulah salah satu keuntungan
menjadi orang perempuan,” jawab Puan
Elinna sambil mengjungkitkan keningnya pada Tuan Iskandar.
“Cincin belum adalah ma... Nak cari yang
mahal ke?”
“Suka hati Irfanlah nak cari yang macam
mana... Tapi untuk merisik ni biasanya orang akan guna cincin belah rotan
sahaja…”
“Cincin belah rotan? Apa tu?” Irfan tidak
faham.
“Alaa... Cincin yang tak ada batu permata
tu... Bulat semata-mata...”
“Ooo… Nak pakai emas ke?”
“Eh, mestilah... Irfan mampukan...”
“Ok, nanti
Irfan carikan...”
“Saiz cincin tu mesti tepat tau dengan
jari Lisa... Kalau ketat tak dapatlah Lisa memakainya,” pesan Puan Elinna.
“Saiz? Macam mana aku nak tau? Pegang
tangan Lisa pun tak pernah,” fikir Irfan.
“Nanti, Irfan usahakan ya ma...”
“Jangan pula Irfan potong jari Lisa nak
ukur saiz nanti,” kata Tuan Iskandar.
“Hahaha... Abang ni... Ada ke patut cakap
macam tu...”
“Eh, manalah tahu... Anak kita ni bukan
betul sangat pun...” Tuan Iskandar
teringatkan peristiwa bagaimana awal perkenalan Lisa dan Irfan suatu ketika
dahulu. Bukan main bersungguh Irfan merebut telefon yang berada ditangan Lisa
sehinggakan Lisa naik berang semata-mata mahu mendapatkan nombor telefon Lisa.
“Tak kan Irfan nak potong jari Lisa, pa...
Nanti hilang jari isteri Irfan... Mama, papa... Kalau boleh, rahsiakan dulu
perkara ni daripada pengetahuan Lisa… Biar dia dengar sendiri hajat hati Irfan
daripada kedua orang tuanya,” pesan Irfan dengan penuh berharap.
“Kiranya nak buat kejutanlah ni?” tanya Tuan
Iskandar bersungguh.
“Lebih kurang macam itulah... Takut nanti
Lisa segan dengan Irfan...”
“Baiklah... Kami akan rahsiakan...”
“Eh, Irfan dah beritahu Lisa tentang
pelancaran rekaan baju pengantin terbaru butik mama?” Puan Elinna menukar
topik.
“Belum la ma… Irfan lupalah... Bila ya?”
“Sabtu minggu depan... 8.30 malam... Perkarangan butik kita...Irfan ni... Nasib
baik mama tanya tau… Kan tak pasal-pasal model untuk baju pengantin tak dapat
datang... Tahu-tahu sahajalah, jururawat ni bukan senang nak dapatkan cuti...”
“Maaflah mama... Nanti Irfan hantar mesej
dekat Lisa...”
“Aik? Hantar mesej sahaja? Tak nak call?” Tuan Iskandar mencelah.
“Jimat,” kata Irfan.
Serentak selepas itu mereka ketawa kecil.
“Oklah mama, papa... Irfan naik atas dulu...
Baju nak pergi kerja esok Irfan belum seterika,” kata Irfan sambil bersalaman
dengan kedua orang tuanya. Sudah menjadi kebiasaan mereka adik-beradik untuk
bersalaman sebelum masuk beradu.
“Ok sayang... Lepas ni adalah orang tolong
seterikakan,” usik Puan Elinna.
“Aminnn…” Irfan tersenyum meleret.
Puan Elinna dan Tuan Iskandar melihat
langkah Irfan menaiki tangga dengan
senyuman bahagia di wajah.
“Abang, tiba-tiba pula saya rasa tak sabar
nak bermenantu ni! Kalau macam ni saya nak reka baju khas untuk perkahwinan
anak kita,” Puan Elinna cuba membayangkan rekaan yang sesuai untuk Lisa dan Irfan.
“Awak ni... Belum apa-apa lagi awak dah
pasang angan-angan... Kita ni belum merisik Si Lisa lagi… Kalau dia dah
berpunya, meloponglah awak nak bermenantukan dia,” nasihat Tuan Iskandar.
“Abang ni… Tak sangka, Irfan terpikat
dengan Lisa kan? Saya memang dah suka lama dekat budak tu... Tapi tak sangka
pula Irfan pun sukakan dia... Abang tahu macam mana mereka boleh berkenalan?”
Tuan Iskandar menceritakan segalanya kepada
Puan Elinna. Detik pertemuan yang diceritakan sendiri oleh Irfan kepadan Tuan
Iskandar diceritakan kembali kepada Puan Elinna. Maka, meloponglah mulut Puan
Elinna mendengar setiap kelakuan anaknya.
“Katak Irfan hadiahkan pada Lisa? Siapa
yang ajar dia tu?”
“Entahlah... Saya pula tolong balutkan
riben pada kotak hitam putih tu... Nasib baik katak tu tak keluar! Fuh!”
“Hahaha... Abang pun satu... Yang pergi
usik hadiah anak kita tu kenapa?”
“Bukan usik... Tolong cantikkan...”
“Irfan, Irfan... Kalau macam inilah
gayanya, agak-agak Lisa nak tak dekat anak kita tu?! Risaulah saya...”
“Entahlah... Tapi kan, siapa yang tak nak
anak kita tu... Kacak, pandai, peguam pula tu… Kadang-kadang sahaja tu perangai
dia gila-gila sikit...”
“Nasib baik ada paras rupa... Bolehlah coversikit perangai kebudak-budakkan
tu,” kata Puan Elinna.
Puan Elinna dan Tuan Iskandar berharap
segala impian anaknya akan tertunai. Semoga dibuka hati Lisa untuk menjadi
sebahagian daripada keluarga mereka.