Kagum betul Fahmi melihat jari-jemari Zaqwan menari-nari di atas papan piano memainkan lagu Moonlight sonata. Gaya lagak seperti seorang pianist professional, begitu lancar sekali gerakannya tanpa sebarang bunyi sumbang yang ketara pada pendengaran telinga seorang audiens biasa macam Fahmi.
Perbuatan Zaqwan mengundang perhatian Michael Angle, dia melihat jari-jemarinya sendiri seperti pernah turut sama memainkan piano dengan seseorang pada masa lalu.
‘Kamu harus banyakkan latihan. Nanti boleh mahir seperti ayah!’ Tersentak mendengar suara seakan miliknya di cuping telinga.
Entah mengapa Michael Angle berasa ingin merenung wajah serius Zaqwan yang sedang bermain piano itu. Bibirnya yang jarang tersenyum, terukir senyuman bangga tanpa sedar.
‘Kamu nampaknya sudah tumbuh dengan sangat baik. Aku akan perhatikan kamu dalam diam.’
Michael Angle berangan bahawa dirinya turut sama duduk di sebelah Zaqwan sambil menekan-nekan papan piano. Mereka berdua bermain piano dengan sangat gembira, ketawa-ketawa apabila salah seorang daripada mereka berbuat salah. Bahunya terasa disentuh seorang wanita tidak terlihat wajah dek silau cahaya putih. Namun, dia tahu wanita itu sedang gembira menyaksikan telatah mereka seperti sebuah keluarga bahagia.
Setelah tamat sahaja persembahan, terus Fahmi menepuk tangan dengan penuh semangat menyedarkan lamunan Michael Angle.
‘Jauh sekali aku berangan,’ keluh Michael Angle.
Wajahnya kembali kosong dan muram, tiada lagi senyuman menghiasi wajah. Dia sudah memalingkan muka dan perbuatannya turut disedari Zaqwan.
“Wah, encik pandai bermain piano?” soal Fahmi dengan penuh teruja.
Zaqwan tersenyum, terdetik untuk bermain piano setelah sedari awal memerhati piano yang terdapat di Sunshine café. Unik kerana tidak pernah selama ini dilihat di mana kafe sekitar situ.
“Sikit-sikit. Saya belajar daripada arwah bapa saya, cikgu Zainuddin. Beliau gemar bermain piano. Boleh dikatakan kalau ada masa terluang tu, dia akan bermain piano. Sudah macam mencurahkan seluruh perasaan dalam lagu. Kalau kitakan selalu nak luahkan apa yang terbuku tu dengan bercerita. Ayah saya ni lain pula gayanya,” balasnya panjang lebar sambil mengurut jari-jemari yang lenguh akibat sudah lama tidak berlatih.
“Cikgu Zainuddin?” Terteleng-teleng kepala Fahmi mencari info mengenai nama itu di dalam minda.
Tidak semena-mena ekor mata Fahmi terpandangkan susuk seorang lelaki separuh abad sedang duduk tidak jauh dari kedudukan mereka sekarang. Namun, kejadian itu hanya berlaku seketika dan dalam sekelip mata sebelum keadaan menjadi normal semula.
“Oh… apa yang aku tengok tu?” komen Fahmi, tergeleng-geleng kepalanya. Barangkali penglihatannya tersalah mewujudkan ilusi, fikirnya.
“Ya? Awak cakap dengan saya ke?” Soal Zaqwan, turut tertinjau-tinjau.
“Oh… tak ada apa. Eh, by the way, nama cikgu Zainuddin ni macam saya pernah dengar di mana-mana.”
“Oh, macam tu! Mungkin arwah ayah saya pernah datang ke sini untuk minum kopi? Lagipun sekolah tempat dia mengajar bukannya jauh sangat pun dari sini.”
“Hmmm…” Fahmi masih tidak berhenti memikirnya, siap menggigit kuku.
Zaqwan tersengih melihatnya. “Nanti-nanti kalau dah teringat, bagitahulah saya.”
Baru Fahmi tersedar akan kelakuannya, dia menggaru kepala sambil ketawa-ketawa, “Maaf ambil masa encik. Silakan nikmati kopinya.”
Pemegang pintu dipegang sahaja tanpa ditolak, Aniq Zafran tidak jadi masuk ke dalam Sushine Café. Dia mendengar perbualan antara Fahmi dengan Zaqwan dari awal sehingga mereka berdua berhenti berbual dan melakukan aktiviti masing-masing.
“Kenapa awak tak masuk je?” soal Noraini tiba-tiba muncul dari belakang, menyentuh tangan Aniq Zafran yang sedang memegang tombol pintu.
“Belum masanya lagi. Awak baru tiba?”
“Ya, baru sahaja,” balas Noraini, dapat melihat pelanggan di dalam Sunshine Café.
Aniq Zafran termenung melihat Fahmi melakukan rutin yang pernah dilakukan dahulu. Asyik sekali Fahmi membuat corak bunga di atas minuman latte. Dia senyum dalam kesayuan, Noraini tahu akan itu lantas menepuk bahunya.
“Awak nampak macam menyesal pula terima kes ni?”
Terletus gelak Aniq Zafran. “Kedua-duanya passion saya dan apabila saya terpaksa memilih hanya satu daripadanya… saya tak boleh nak menyesal dengan jalan ni.”
Noraini serba salah dengan pertanyaannya.
Imbas kembali…
“Cikgu datang lagi tadi?” soal Aniq Zafran kepada Fahmi sebaik sahaja menolak pintu kafe.
Melihat Fahmi mengangguk dengan bersungguh-sungguh, Aniq Zafran mengeluh. Sebenarnya, Aniq Zafran sudah 20 minit lepas tiba di Sunshine Café. Melihatkan cikgu Zainuddin memasuki kafe, cepat-cepat dia menyorong motornya ke jalan raya semula dan membawa diri ke mana-mana sahaja sampailah diyakini cikgu Zainuddin sudah pergi dari situ.
“Aduh, macam tak boleh nak elakkan diri pula!”
Helmet diletakkan dengan agak kasar di atas meja kaunter.
“Kenapa abang? Kau ada buat salah ke dekat cikgu tu?”
“Bukan itu… bukan itu!” nafi Aniq Zafran bersungguh-sungguh.
“Yalah, yalah! Ni ada nota kecik daripada cikgu Zainuddin. Bukan dia ada nombor kau ke? Buat apa sampai nak tulis nota macam zaman dulu-dulu? Whatsapp ke call ke… kan senang!”
Fahmi menyerahkan kertas kecil menyerupai sticky note kepada Aniq Zafran. Semakin kuat keluhannya apabila membaca isinya mengatakan bahawa cikgu Zainuddin mahu bertemu dengan Aniq Zafran dalam masa terdekat untuk urusan penting. Nombor telefon turut ditinggalkan cikgu Zainuddin dengan harapan pemuda itu menghubunginya semula.
“Sebab aku dah sekat nombor dia! Dah, kau jangan banyak soal,” bantah Aniq Zafran dengan cepat melihat Fahmi mahu bertanya sesuatu.
“Apa? Aku tak cakap apa-apa,” cebik Fahmi sambil terangkat-angkat bahu, meneruskan kerja mengelap cawan-cawan baru dibasuh.
“Argh, murunglah cakap dengan kau!” rungutnya.
Aniq Zafran duduk di meja kaunter, menongkat dagu lalu meneguk sampai habis air kosong di dalam gelas.
Gelas kosong sengaja ditilik kiri kanan tanpa sebarang niat tertentu, hanya membuang sedikit waktu sebelum kembali bekerja memandangkan tiada pelanggan langsung saat ini.
“Aniq Zafran...” kedengaran suara cikgu Zainuddin dari belakang Aniq Zafran, terbeliak terus matanya.
Tanpa menoleh mahupun memandang, Aniq Zafran cepat-cepat bangun untuk melarikan diri sambil dirinya diperhatikan Fahmi dan cikgu Zainuddin.
“Tolong saya. Saya merayu sangat-sangat!”
Langkah Aniq Zafran terbantut mendengar suara Zainuddin seperti mahu menangis. Mengeluh lagi dia dibuatnya dengan mimik wajah kesal. Susah betul mahu mengelak nampaknya semenjak daripada pertemuan pertama mereka.
“Psst… psst, abang! Tolonglah cikgu tu, kesian aku tengok!” panggil Fahmi dengan separuh berbisik.
‘Aduhai, kalaulah kau tahu apa yang aku alami! Tapi, apa pun aku kena terus-terang dengan cikgu ni juga. Kalau tak, sampai bila aku akan terperangkap dalam keadaan serba salah,’ keluh Aniq Zafran dalam hati, lemah seluruh badan.
Dengan berat hati, Aniq Zafran memusingkan badan menghadap cikgu Zainuddin sambil berkata, “Macam ni…”
Terus terencat bicaranya melihat cikgu Zainuddin seakan menanggung derita yang begitu berat.
“Kamu tak perlu terangkan, saya faham apa yang kamu alami.”
Aniq Zafran tidak mahu memberi komen, biar cikgu Zainuddin berputus asa untuk meneruskan perbualan.
“Kamu nampak dia, kan?"
Aniq Zafran tergamam dan terkelu, dia melarikan anak mata daripada memandang tepat bola mata cikgu Zainuddin, enggan membalas walau satu patah pun.
Tanpa diduga, Aniq Zafran melihat seperti kepulan asap hitam muncul di belakang cikgu Zainuddin. Dari dalam kepulan asap hitam, dia melihat jari-jemari dengan kuku hitam tajam menyentuh lantai diikuti dengan kepala dilitupi selendang hitam sampailah lengkap tubuhnya menjadi figura yang pernah dilihat.
Terkebil-kebil Aniq Zafran dalam ketakutan melihat susuk tubuh itu bagai mencengkam kedua-dua bahu Zainuddin sampai mengalir darah seperti mahu mengatakan Zainuddin merupakan miliknya. Tersentak apabila dia melihat seseorang itu menyeringi menunjukkan gigi tajam berdarah seperti mahu menelannya.
“Bila? Mana ada saya nampak sesiapa!” bantah Aniq Zafran dengan cepat, memaling wajah daripada terus memandang cikgu Zainuddin.
Aniq Zafran mencuri lihat ke arah cikgu Zainuddin, figura tadi sudah tiada. Dia menarik nafas lega.
‘Hantu ke? Apa yang aku lihat tadi?’
“Kamu mempunyai sebuah agensi penyiasatan persendirian… kan?” Pertanyaan itu menyentaknya.
“Macam mana cikgu tahu saya ada agensi penyiasatan persendirian?”
“Kalau macam tu, takkan kamu tak mahu siasat di sebalik apa yang kamu lihat?” balas cikgu Zainuddin, langsung tidak menjawab soalan yang diajukan.
“Cikgu macam bermain dengan perasaan saya. Pertemuan pertama kali kita macam… ada udang di balik batu! Saya takkan mudah terperangkap dengan permainan ini dan sebelum bermain pun, saya sukarela menarik diri!”
“Permainan? Kalau begitu, saya pun nak ikut juga! Mesti seronok, kan!” sampuk Fahmi secara tiba-tiba dengan begitu berminat.
“Fahmi!” Separuh menjerit dibuatnya.
“Okey… okey!” Cepat-cepat Fahmi mengangkat tangan seperti menyerah kalah, dia meminggirkan diri dengan menyapu habuk di lantai.
“Saya tak bermain apa-apa permainan. Saya cuma dah muak dengan semua ni dan saya nak tamatkan teka-teki yang berlegar selama saya hidup ni.”
Aniq Zafran mengeluh, nampaknya cikgu Zainuddin masih tidak berputus asa.
“Okey dan sebagai seorang penyiasat persendirian, saya berhak untuk menerima dan menolak dengan siapa saya bekerjasama. Oleh itu, saya minta maaf, saya menolak dengan sukacitanya!” kata Aniq Zafran tanpa rasa bersalah. Dia yakin, keputusannya tepat sekali.
Pantas sekali lagi Aniq Zafran memalingkan tubuh daripada berhadapan dengan cikgu Zainuddin, dia memeluk tubuh sebagai tanda protes. Fahmi yang memerhati hanya mahu menggeleng kepala, macam budak-budak pula perangai abangnya.
“Kalau begitu… saya tak tahu nak berkata apa lagi. Saya yakin, jiwa penyiasatan kamu akan meronta-ronta untuk mengetahui apa yang sedang berlaku.”
Aniq Zafran mendengarnya dalam keadaan mata tertutup, dia tidak akan terpedaya dengan kata-kata itu walaupun seperti diperkatakan jiwa penyiasatnya sedang bergelora untuk mengetahui dengan lebih lanjut kisah itu.
Ting! Pintu dibuka cikgu Zainuddin, dia tidak menunggu lama untuk meninggalkan Sunshine Café.
“Psst, dah pergilah abang!” panggil Fahmi.
Mendengarnya, Aniq Zafran menoleh dan sememangnya benar, lelaki itu sudah pergi. Lega dalam jiwa meronta-ronta untuk menyiasat.
“Dahlah… buat kerja kau!”
Aniq Zafran membaling tuala di atas meja kaunter ke arah Fahmi yang asyik tersengih-sengih seperti kerang busuk.
Cikgu Zainuddin menyiram pokok-pokok bunga di perkarangan rumah tika hari semakin senja. Dia tidak fokus pun kepada kerjanya sebaliknya termenung melihat langit kekuningan yang bakal digantikan dengan langit malam.
“Cikgu membazir air je,” tegur Aniq Zafran, menanggalkan topi keledar setelah mematikan enjin motor.
Cikgu Zainuddin mengeluh berat. Begitu mendalam sekali menungannya sehingga tidak mendengar bunyi deruman motor Aniq Zafran. Pili paip dimatikan lalu getahnya dijatuhkan sebegitu sahaja. Dia berjalan laju dengan niat tidak mahu melayan kedatangan penyiasat muda itu.
Langkah Aniq Zafran ternyata lagi laju daripada cikgu Zainuddin. Dia menghalang lelaki separuh abad itu daripada meneruskan langkahnya.
“Penolakan saya nampaknya membuatkan kekecewaan cikgu tak dapat dibendung lagi. Saya minta maaf bersikap kasar. Betul cakap cikgu tadi. Jiwa penyiasat saya meronta-ronta nak tahu apa yang jadi dalam hidup cikgu semenjak dari pertemuan pertama kita lagi.”
Cikgu Zainuddin mengeluh lagi, dia melihat langit yang sudah gelap.