Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 10

Skrin telefon pintar memaparkan info ringkas merangkumi alamat dan waktu operasi Galeri Seni Antonio. Berulang kali Michael Angle membacanya dengan teliti untuk memastikan tidak tersalah lokasi. Sejujurnya, selama beberapa tahun dia bekerja di Magical Jewellery, tidak pernah menyedari kewujudan galeri itu walaupun hanya mengambil masa singkat kira-kira 10 minit ke situ.  

Galeri Seni Antonio tersergam indah di hadapan menggunakan reka bentuk luaran bersifat futuristik kerana berbentuk unik tidak seperti bangunan kebanyakan. Michael Angle melihat pita kuning dipasang sekeliling bahagian hadapan bangunan, mengiyakan berita yang didengar tadi di pejabat bahawa kejadian rompakan telah berlaku malam tadi. Kini, kawasan tersebut sedang dalam pemeriksaan pihak berkuasa.

Tasik di sebelah Galeri Seni Antonio menimbulkan rasa tenang dalam jiwa yang gundah walaupun terletak di tengah kawasan tidak putus-putus dengan kesesakan. Michael Angle menarik nafas dalam-dalam, menghirup udara segar di kawasan itu. Jiwa yang kusut menjadi tenang, ingin sekali dia berlama-lama di situ jika tiada urusan lain selepas ini.

Ralit sehingga terleka melihat sepasang angsa bersama beberapa ekor anaknya berenang di dalam tasik, semacam ketenangan menyaksikan fenomena alam. Matahari petang menyirami wajahnya, cantik sekali cahayanya. Keluhan kedengaran, jarang dapat menikmati suasana petang yang indah. Dia tidak ingat kali terakhir dia merasainya.

Tangannya merayap menyentuh selendang meliliti lehernya, sungguh dia tidak menyedari bila masa dia memakainya. Dia menoleh kembali ke arah Galeri Seni Antonio tetapi, baru sedar dia tidak bersendirian di situ kali ini. 

Sepantas kilat Michael Angle berasa perubahan situasi, terasa dingin kerana angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa bertukar menjadi kencang sehingga mengibarkan selendang yang melilit lehernya. Awan mendung yang gelap, agakannya hujan akan turun bila-bila masa sahaja. 

Apabila dia menadah tangan, rintik gerimis halus mulai turun. Tatkala mendongak langit, hujan turun dengan lebatnya. Kakinya bagai digam kerana tidak berganjak walaupun seinci untuk mencari tempat perteduhan. Terasa bahagia di dalam hujan, ingin sekali berlama-lama disirami hujan dan membiarkan sengsara membaluti jiwa mengalir pergi dibawa arus.

Dalam hujan lebat dan keterbatasan penglihatan, dia melihat kenderaan Hilux Rogue bergerak laju sebelum memarkir betul-betul di hadapan pintu masuk galeri. Seorang lelaki memakai hoodie hitam keluar dari tempat duduk pemandu. Kuat dia menghempas pintu kereta sebaik sahaja keluar.

“Arghhhh… hujan!” Lelaki berhoodie terpaksa menjerit melawan kuatnya bunyi hujan jatuh bertimpa-timpa.

Cepat-cepat dia membuka pintu belakang kereta, cuaca saat itu membataskan pergerakannya.

Michael Angle merenungnya tanpa berkelip di dalam hujan, tertanya-tanya tujuan lelaki itu pada waktu begini saat jarum jam menunjukkan ke angka 8.

“8… 8 malam?” Michael Angle tersentak, tidak menyangka masa berlalu begitu pantas.

Langit gelap pekat seperti waktu malam yang disirami hujan. Lampu-lampu jalan turut terpasang menerangi kaki lima.

“Kau memang nak duduk diam saja ke? Ini bukan masa nak berhati batu! Aku tak larat nak buat semua ni sorang diri. Tak semestinya kau bayar aku… kau boleh senang goyang kaki. Aku bocorkan rahsia kau, baru tahu!” marah lelaki berhoodie kepada seseorang lelaki lain masih berada dalam kereta.

Lelaki itu berdengus sebelum keluar membantu. Pintu kereta dihempas kuat menghamburkan amarahnya.

Mereka memunggah sesuatu di belakang kereta yang ditutup rapat dengan kain kanvas hitam. Sesuatu yang nipis berbentuk segi empat anggaran saiz 40 x 50 cm disusun di atas troli barang. Lekas-lekas mereka melakukan kerja kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Troli barang ditolak laju masuk ke dalam galeri melalui pintu depan itu. 

Pintu tidak ditutup rapat, Michael Angle tertarik untuk mengekori mereka masuk ke dalam galeri. Tiba di pintu galeri, dia meninjau keadaan sekeliling. Sayup-sayup kedengaran suara lelaki bercakap-cakap, tidak jelas butir bicara mereka. Apabila daun pintu ditolak, Michael Angle tergamam.

‘Aku tidak mengerti. Kali pertama aku menjejakkan kaki di sini tapi, aku berasa akrab dengan tempat ini,’ hatinya berkata-kata, matanya seakan melihat kawasan yang tidak asing pada pandangan mata. ‘Tapi, bukan ke… kebanyakan reka dalaman galeri itu lebih kurang?’ Detiknya lagi, sangsi dengan apa yang difikirkan.

“Tak… ini berlainan.” Pada sisi lain, dia menidakkan isi hatinya.

Sudahnya, dia keliru sendiri.


PUTIH BERSIH - penggunaan cat dinding seperti kebanyakan galeri seni yang lain. Beberapa lampu dihidupkan menerangi sebahagian ruang pameran. Karya-karya pelukis terletak elok pada dinding di samping beberapa arca pelbagai bentuk di atas art pedestal. Dia sentiasa berwaspada agar kehadirannya tidak disedari oleh lelaki-lelaki tadi mahupun pengawal keselamatan yang bertugas ketika itu. 

“Si jantan!” Terkejutnya bukan alang kepalang melihat sebuah karya lukisan yang dikenali. 

Sebenarnya, gerak hati mengatakan dia mengenali lukisan itu. Lukisan menggunakan subject matter ayam jaguh jantan dengan menggunakan media cat minyak di atas kanvas. 

“Kau pun!”

Baru dia menyedari, lukisan di sebelah kanan ‘Si jantan’ ialah lukisan menggunakan subject matter perempuan tua sedang duduk bersendirian di tangga dengan riak wajah sedih yang bertajuk ‘Memori tua’. Sama seperti ‘Si jantan’, ‘Memori tua’ turut menggunakan cat minyak di atas kanvas. 

“Kenapa?” Michael Angle seperti kehilangan kewarasan apabila muncul imbasan sesuatu yang menyebabkan tangannya menggigil.

Cuba ditahan agar tidak menggigil namun, gagal. Malahan, terasa melihat seseorang bersendirian di studio sambil dengan tekun menyiapkan ‘Si jantan’ dan ‘Memori tua.’ 

Serentak itu, apabila dia memandang kembali karya-karya lukisan di galeri, imbasan seseorang sedang menyiapkan karya-karya itu mendadak muncul lagi. Tangannya sendiri terasa pernah memegang berus lukisan dan pisau pallet seperti yang muncul dalam imbasan itu. Bau cat minyak di studio menerpa rongga pernafasan seakan dia pun turut serta di situ menyiapkan karya-karya.

Imbasan yang muncul bertalu-talu menghadirkan kesakitan kepala yang sangat perit menyebabkan dia menarik kuat rambutnya. 

“Aku nak keluar dari sini!” Michael Angle seakan berteriak.

“Kenapa? Sebab kau tak mampu hadap realiti ke?” Suara asing menegurnya.

Jantung Michael Angle bagai mahu tercabut melihat arca terletak pada art pedestal berbentuk kepala manusia sedang merenungnya dalam-dalam mirip manusia hidup, mulutnya bergerak-gerak bercakap dengannya. Fenomena yang hanya boleh berlaku dalam alam mimpi sedang betul-betul berlaku di depan matanya ketika ini.

Kerana terkejut, Michael Angle mengesot ke belakang sebelum bertindak untuk berdiri. Malangnya, kakinya tersalah memijak lantai, dia jatuh tersungkur ke lantai menyebabkan kepalanya terhantuk kuat ke lantai.

“Kitakan dari tempat yang sama. Kau dan aku tiada beza. Hanya kau yang melarikan diri daripada realiti. Sedarlah!” Berdengung-dengung suara dari arca kepala manusia itu.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.