Pemetik api dilambung-lambung ke udara. Sebatang rokok terjepit pada bibir. Lokasi kilang lama memang menjadi tempatnya bertahun-tahun menunggu pelanggan. Dia memandang bangunan-bangunan di bawah bukit yang cantik dengan gemerlapan cahaya lampu pada waktu malam.
Akhirnya, setelah rokok dibiarkan bergantung tanpa dibakar, dia melagakan jari untuk menyalakan api. Beberapa kali mencuba, tetap sahaja tidak mahu hidup.
Zup! Suatu objek laju melayang disasarkan kepadanya. Dengan sepantas kilat, dia berjaya menyambutnya.
“Pemetik api...”
“Macam malam itu. Malam yang kau nak jual lukisan palsu. Lukisan tentang pertunjukan teater. Aku pula menyakat dengan beri wang palsu,” balas Si gadis pembunuh, muncul dari gelap dan berdiri tepat di bawah cahaya lampu jalan.
Lelaki itu tersengih, dia gembira dengan kedatangan Si gadis pembunuh.
Si gadis pembunuh merapati, dia berdiri bersebelahan dengan lelaki itu lalu menyandar badan pada kereta; perbuatan sama yang dilakukan lelaki itu.
“Ambil angin malam?” Si gadis pembunuh sekadar berbasa-basi.
“Betul dan menunggu awak,” selamba sahaja jawabnya.
Jawapan itu membuatkan Si gadis pembunuh tersenyum, “So sweet. Macam mana Manisah sanggup menolak kau?”
“Kau pun akan menolak aku,” balasnya dengan cepat.
Dulu dia akan berasa kesal memikirkan penolakan kini, dia sudah berlapang dada. Sudah masa untuk dirinya menggunakan masa yang ada di dunia ini untuk bertaubat daripada dosa-dosa lama. Terlalu banyak dosanya sampai dia malu untuk hidup dalam keadaan sebegitu. Bagaimana tergamaknya dia mengambil nyawa orang dengan gila semata-mata demi seorang perempuan?
“Nampaknya kau mulai faham, Kidman. Aku datang untuk mengucapkan selamat kembali kepada kau dan juga selamat tinggal. Aku ada sesuatu untuk kau.”
Potret Manisah yang tersenyum manis, tiada lagi gambaran menakutkan seperti sebelum ini. Kidman menatapnya dengan penuh kerinduan. Dia tahu, pasti dendam yang mengalir selama ini sudah terpadam.
Kidman melihat pada sudut gelap tempat kemunculan Si gadis pembunuh tadi. Dia tahu ada seseorang lain di situ turut menunggu Si gadis pembunuh. Dia menahan sebak, mendongak memandang langit hitam berbintang cerah sambil tersenyum. Tiada guna untuk merebut cinta yang tidak akan pernah menjadi miliknya. Perbuatan hina yang mengorbankan nyawa orang tidak berdosa sedangkan mengambil nyawa bukan haknya.
“Maafkan aku kerana kasar sepanjang kita bekerja di bawah satu bumbung,” tegur Michael Angle, memunculkan diri.
“Aku patut menerimanya. Kau pun seperti Zainuddin, pemaaf malah menyelamatkan aku semasa hampir mati dilanggar abang sendiri.”
“Aku tak nak kau ungkit lagi,” ujar Michael Angle.
Si gadis pembunuh berjalan mendekati Michael Angle. Mereka berpegangan tangan, berpandangan sesama mereka dengan penuh bahagia. Kidman tahu, mereka mahu mengucapkan selamat tinggal.
“Simpan potret aku baik-baik. Kalau rindu, tataplah.”
“I will…”
Mereka saling berlambaian. Gugur jua air mata Kidman.