Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 40

Azman diam. Dia menarik tangan Nafisa. Namun dengan keras, Nafisa menarik tangannya dari genggaman Azman. Dia naik berang.

“I nak you buat keputusan sekarang. Kalau you nak dia terus tinggal di sini, I akan balik ke rumah papa I.” Suara Nafisa sengaja dikuatkan. Dia seperti sengaja berbuat begitu agar Makyung Bedah mendengarnya.

“Sayang, sabarlah. Mari kita bincang hal ini. Jom, kita ke pejabat dulu. Dah lama you tak masuk pejabat kan?” Suara Azman pula lembut memujuk rayu.

Nafisa diam. Tangan Azman segera memimpin tangan Nafisa menuju ke kereta. Tidak lama kereta itu menderum pergi.

Sekali lagi guruh berdentum di dada seorang ibu. Perasaan Makyung Bedah dihenyak dengan kejam. Azman tidak mengaku dia ibunya. Azman hanya kata, “Inilah orang yang menjaga I sejak kecil.”

Dia menahan sakit. Hina sangatkah dia hingga Azman malu nak mengaku dia ini ibunya. Sembilan bulan Azman membesar dalam rahimnya. Tidak cukup selesakah rahimnya hingga Azman membalas semuanya dengan kesakitan ini?

“Bu, sabarlah ya. Mari duduk dan bertenang,” kata Ningsih menarik tangan Makyung Bedah ke arah sofa.

“Kenapa dia malu nak mengaku saya ini ibunya? Apa muslihatnya membawa saya dari kampung sedangkan dia bencikan saya!” Makyung Bedah menahan esakan. Kolam air matanya sudah penuh dan melimpah.

“Bu, aku pun tak tahu mahu bilang apa. Tapi Nyonya Nafisa itu memang orangnya zalim. Dia garang dan suka marah-marah. Aku lebih suka kepada Nyonya Humaira yang lemah lembut dan beriman!” kata Ningsih.

Tangis Makyung Bedah terhenti. Dia segera berpaling dan menatap tajam wajah Ningsih.

“Jadi, kamu kenal Humaira?”

Angguk.

“Tapi hari tu kamu kata tak tahu menahu dan tak kenal.”

“Ibu, aku disuruh tutup mulut.”

“Azman yang suruh kamu berbohong dengan saya?”

Angguk lagi.

Makyung Bedah termenung lama. Dia semakin keliru dengan sikap Azman. Dia semakin tidak memahami kehendak anaknya itu.

“Nyonya Humaira itu sangat baik. Aku kerja lama dengan dia. Dia yang bawa aku ke sini.”

“Maknanya kamu pernah kerja di rumah ibu bapa Humaira?”

“Aku kerja dengan dia sebelum dia kahwin sampai dia dihalau keluar dari sini,” jawab Ningsih.

“Halau? Siapa yang halau dia?” Fikiran Makyung Bedah makin dipenuhi tanda tanya.

Ningsih membetulkan duduknya. Dia seperti sudah bersedia untuk berkisah mengenai Humaira dan anak-anaknya.

“Tuan Azman menghalau dia dan anak-anak. Dia diceraikan kerana Nyonya Humaira tidak sanggup dimadukan dengan Nyonya Nafisa.”

“Habis, bukankah ini rumah dia?”

“Rumah ini Nyonya Humaira dah berikan kepada Tuan Azman. Ada banyak lagi harta yang ditukar hak milik. Dia terpaksa.”

“Siapa yang memaksa?”

“Tuan Azman. Dia suami yang sangat zalim. Dia kaki pukul. Nyonya Humaira selalu dipukul sesuka hati. Pernah Nyonya Humaira berdarah-darah luka kerana dibantai dengan tali pinggang. Hidup dia sangat sengsara di rumah ini...” Ningsih sudah mula menangis.

Makyung Bedah mengucap dalam hati. Betulkah cerita ini? Betulkah itu Azman anaknya? Setahunya sejak kecil Azman orangnya lemah lembut dan penyayang. Dia mewarisi sikap arwah ayahnya, Imam Ismail. Tetapi kenapa Azman berubah begitu dahsyat? Lalu dia rasa dia perlu mencari jawapan sebenar. Dia tidak boleh membiarkan persoalan melingkari akalnya hingga dia tidak memikirkan hal lain selain Azman.

“Kamu tahu di mana Humaira tinggal?” tanya Makyung Bedah kepada Ningsih.

“Tahu bu. Kerana pada malam Nyonya Humaira bersama anak-anaknya dihalau keluar saya yang menghantarnya.”

“Tapi, kenapa kamu tinggal di sini? Kenapa tidak ikut dia keluar dari rumah ini?”

“Saya memang enggak mahu tinggal di sini. Tetapi, Nyonya Humaira merayu minta saya pulang ke sini. Katanya dia boleh uruskan dirinya dan anak-anak. Dia menangis merayu pada saya, bu.”

Makyung Bedah bertambah bingung dan celaru.

“Tapi kenapa?”

“Sebab dia terlalu sayangkan tuan. Katanya kalau saya tak ada di sini, siapa yang akan uruskan makan minum dan pakaian tuan. Dia tidak mahu tuan susah. Hatinya sangat mulia, bu. Nasibnya sangat malang...” Ningsih tersedu-sedu lagi.

Makyung Bedah cuba memahami perasaan Humaira. Lalu dia mula mengerti kenapa Azman mengelak diri dari menyebut nama Humaira. Rupanya semua cerita Azman mengenai Humaira bohong semata-mata.

“Kamu kena bawa saya berjumpa dengan Humaira. Saya ingin bertemu dia dan minta maaf bagi pihak anak saya. Saya ingin memeluk cucu-cucu saya. Boleh tak?”

Sambil menyapu air matanya, Ningsih mengangguk.

Makyung Bedah rasa lega. Dia melupakan seketika hajatnya untuk pulang ke kampung. Dia berjanji kepada dirinya, selagi dia tidak bertemu dengan Humaira dia tidak akan ke mana-mana.


Previous: Bab 39
Next: Bab 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.