Mak Semah rasa gelisah.Wajah
Makyung Bedah tidak muncul seperti biasa. Dua hari dia menunggu di tangga.
Namun sahabatnya itu tiada.
Masuk hari ketiga, keresahannya semakin tidak mampu ditahan.
“Im nampak Mak Bedah di masjid?” tanya Mak Semah ketika
Imran baru balik menunaikan solat subuh di masjid.
“Tak nampak mak. Mungkin dia balik awal dari kami semua.”
“Ish! Bukankah sejak dulu, Mak Bedah kau yang paling akhir
balik? Dia akan pastikan semua lampu dan kipas dimatikan. Dia akan mengemas
telekung dan sejadah. Kadang-kadang dia menyiram pokok-pokok di halaman masjid.
Macam mana pula Im boleh terfikir dia balik awal?”
Imran angguk perlahan. Dia terlupa kemestian dan kebiasaan yang
selalu dilakukan oleh Makyung Bedah setiap hari kalau dia berjemaah di masjid.
“Im, mak rasa tak sedap hati. Boleh tak Im pergi tengok dia
sekejap. Mak bimbang kalau berlaku hal yang tak diingini,” suruh Mak Semah.
“Baiklah mak. Im pergi sekarang. Nanti balik baru Im buatkan
mak sarapan.” Imran mencapai semula kunci motor yang baru digantungkan ke
dinding. Dengan sekali tendang saja, enjin motornya mengaum kuat.
Mak Semah menunggu penuh debar.
Imran memecut motornya dengan tangkas.
Sampai di halaman rumah Makyung Bedah, dia segera menungkat
motor dan berlari ke arah pintu.Dia memberi salam. Senyap. Tidak ada
jawapan. Tiba-tiba hatinya cuak.
Dia meluru naik dan menolak daun pintu yang tidak berkunci.
“Mak! Mak!” panggil Imran dengan cemas.
Masih tidak ada jawapan.Imran
menerkam ke arah bilik.
“Ya ALLAH! Mak!” Dia terkejut melihat tubuh Makyung Bedah
terlantar di atas katil dengan mata yang tertutup rapat.
Imran mendekat. Dahi Makyung Bedah disentuh. Panas.
“Mak, bangun mak.” Imran menepuk-nepuk bahu Makyung Bedah.
Dengan lemah, Makyung Bedah membuka mata. “Im…” bisiknya
perlahan.
“Mak, mak demam ni. Kita kena ke hospital.Mak lemah sangat ni. Mak tunggu ya.Im balik ambil kereta. Mak sabar ya!” kata Imran sambil bangun dan
bergegas turun. Dia tidak mahu menunggu lama lagi.
Sekali lagi Imran memecut motornya.Laju dan tergopoh gapah.
“Mak, Mak Bedah demam mak.Keadaannya sangat lemah. Kita kena bawa dia ke hospital. Im bersiap
dulu.”
“Ya ALLAH! Bedah… patutlah kau tak muncul depan mata aku.
Kau demam rupanya,” kata Mak Semah dengan wajah sedih.
Imran berjalan ke bilik. Dia menukar pakaian dan mencapai
kunci kereta.
“Macam mana Im nak bawa dia?”
“Im akan minta bantuan dua tiga orang kampung.Memang dia tak boleh bangun, mak. Im tak kuat nak angkat
dia.”
“Yalah. Kamu mesti selamatkan dia. Dia hanya ada kami
sebagai anaknya,” balas Mak Semah sambil menepuk lengan Imran.
“Insya-ALLAH mak. Mak tunggu di rumah ya.Mak jangan panik. Dia hanya demam sahaja. Kalau kena tahan
di wad, lagi baik. Ada orang menjaganya,” ujar Imran ketika melangkah pergi.
Deruman kereta kancil milik Imran semakin sayup kedengaran.
“Ya ALLAH, selamatkanlah Bedah. Ringankan beban sakitnya.”Mak Semah mendongakkan kepala dan berdoa. Sebuah doa yang
sangat tulus dari hati seorang sahabat.