Sudah dua bulan masa berlalu. Surya sudah menjadi isteri
orang. Berita perkahwinan itu sudah melata ke seluruh ceruk kampung. Sesiapa
yang mengenali Surya mula bercakap tentang hal itu. Mereka mula marah dan geram
dengan tindakan penyanyi yang sedang mencipta nama itu.
Namun tidak ada seorangpun yang berani bertanyakan hal itu.
Pak Mud dan Imran sudah berusaha meminta jasa baik semua warga kampung agar
tidak menyebut-nyebut hal Surya itu di hadapan Makyung Bedah.
“Ikutkan hati kami, nak kami telefon wartawan.Biar liputan besar-besaran dibuat kepada kes anak derhaka
ini.Biar dia hilang peminat!” kata Mat Deris, yang memang
sangat sakit hati sejak Makyung Bedah masuk hospital lagi.
“Tolonglah saudara semua. Jangan sakiti hati dia dengan hal
Surya ini. Kalau Surya malu mengaku Makyung Bedah itu ibunya, biarlah. Kita
jangan buat apa-apa. Kita serahkan saja kepada ALLAH. Semoga Surya diberi
keampunan dari-NYA.” Itu kata Pak Mud kepada orang kampung.
Makyung Bedah semakin kuat. Biarpun dia kerap demam dan
lemah, namun layanan Imran yang tulus dan penuh kasih sayang menyebabkan
jiwanya menjadi mudah sembuh.
“Biarlah mereka hidup gembira dengan cara mereka mak.Selagi Im ada, Im akan jaga mak sama seperti Im jaga mak Im
sendiri. Walaupun syurga Im bukan di bawah telapak kaki ma, tapi Im akan buat
rasa mak ada anak yang sayangkan mak,” kata Imran pada satu hari ketika air
matanya tidak berhenti mengalir terkenangkan perbuatan anak-anaknya.
“Benar Bedah. Lupakan mereka. Buat apa kau nak kenang kepada
yang tak sayang.”
“Sebab mereka anak-anak aku. Aku yang kandungkan mereka. Aku
yang lahirkan mereka dan aku pula yang membesarkan mereka hingga berjaya ke
universiti dan menjawat jawatan tinggi. Aku menguruskan sendiri hidup kami.
Yang Abang Mail tinggalkan kepada kami hanya tanah tapak rumah ini.”
Mak Semah angguk. Memang dia mengakui semuanya benar.Makyung Bedah memang tabah dan kuat. Dia sendiri menumpang
semangat sahabatnya itu. Dikala dia rasa susah dan sangat serabut, kepada
Makyung Bedah dicurahkan masalah.
Makyung Bedah berusaha mengubat luka hatinya. Sesak di dada
perlu dileraikan sebelum ia tersimpul mati dan menjadi satu kesakitan yang
tidak terubat.
Dia banyak menghabiskan masa di sejadah. Dia menyerahkan
dirinya kepada ALLAH. Bersama air mata yang membasahi pipi, dia berzikir tanpa
henti. Dia tidak mahu dilalaikan dengan kesedihan dan kekecewaan itu.
“Anak-anak adalah perhiasan dunia. Jangan sampai kasih
sayang terhadap anak-anak melalaikan kita dari mengingati ALLAH.” Itu pesan
seorang ustaz dalam sebuah ceramah di masjid.
Pagi itu, ketika azan
subuh dilaungkan dari masjid dia belum sepicingpun terlena.Dia semakin rasa dekat dengan ALLAH dan rasa tidak mahu
berenggang dari-NYA.
“ALLAH sangat menyayangi hamba-NYA. Untuk itu dia memberikan
nikmat yang banyak kepada kita. Cuba fikirkan kejadian kita sendiri. Kita hanya
dijadikan daripada debu yang kering. Kemudian ALLAH titipkan kita ke dalam air
mani seorang ayah sebelum bersatu dalam rahim seorang ibu. Dari dalam rahim
itulah kita dilengkapi dengan tulang temulang dan sifat seorang manusia. Bila
lahir ke dunia, kita dilengkapi dengan ilmu dan akal. Dengan akal itulah ALLAH
mahu kita beribadat kepada-NYA.” Suara Ismail anak Pak Imam Yunus terasa segar
dalam ingatan. Suara suaminya!
“Subhanallah! Maha Suci Engkau ya ALLAH!” ucap Makyung Bedah
seperti tersedar dari sebuah lena. Dia segera bangun. Solat sunat dan solat
subuh segera dikerjakan dengan kusyuk.
Selesai berwirid dan berdoa, Makyung Bedah membaca Al-Quran. Itu
sebahagian dari rutinnya setiap pagi. Namun pagi itu, bacaannya lebih panjang
dari biasa.