Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 24

Makyung Bedah duduk dengan tenang. Di sekelilingnya ialah sekumpulan anak muda yang menjadi penuntut Fakulti Seni yang ingin mendengar kisah kehidupan masa lalunya. Ada bermacam soalan mengenai pengalaman dan kisah silamnya di lantai makyung. Dia mendengar dan menjawab semua soalan itu dengan baik.

Cuma pada satu soalan, dia terkedu pilu. Dia sebak. “Adakah anak-anak mak mewarisi bakat besar mak?”

Makyung Bedah menahan rasa. Dia cuba sembunyikan apa yang penuh di hatinya ketika itu. Hal Azman malam tadi belum reda bergelombang di dadanya. Sekarang dia berdepan dengan soalan yang terlalu menyentuh hati.

“Tak ada anak yang berminat. Seni makyung ni dianggap seni lapuk,” jawab Makyung Bedah.

“Eh, mana ada macam tu. Inilah seni pusaka bangsa. Ini seni kita.”

“Sayang kalau mak tak ada pewaris untuk bakat mak ini.”

Makyung Bedah hanya menghadiahkan senyuman kepada golongan anak muda itu. Dia bangga dengan mereka. Kalaulah Surya berada di tengah-tengah mereka itu, alangkah gembiranya hati seorang ibu.

Tidak. Sebenarnya dia tidak kisah kalau Surya tidak sukakan makyung. Yang dia kisah hanyalah sikap Surya yang sudah lupakan dia sebagai ibu.

“Mak, bolehkah kita dengar suara mak.” Seorang anak muda meminta.

“Benar mak. Kita nak sangat dengar suara dan nyanyian mak.”

“Mak dah lama tinggalkan pentas itu. Bunyi gong dan gendang pun dah lama tak dengar. Bimbang pula kalau sumbang. Kelak ia akan merosakkan irama makyung itu sendiri.”

“Tak apa. Sikit pun tak apa, mak.”

“Benar mak. Kami teringin nak dengar suara primadona makyung.”

Makyung Bedah tidak mampu menolak lagi. Dia meneliti wajah mereka satu persatu. Ada permintaan yang tulus dari kerdipan mata mereka. Ada harapan yang tinggi dalam hati mereka. Lalu Makyung Bedah membetulkan duduknya. Dia menajamkan minda dan ingatan. Dia menumpukan sepenuh perhatian kepada irama makyung.

Akhirnya dia menyanyi dengan asyik. Dia melepaskan rindu dendamnya. Dia mengimbau masa silamnya.

“Merdunya suara mak. Asyik kami mendengarnya,” kata Marinah sambil memeluk Makyung Bedah dengan tulus selepas selesai sahaja dendangan irama makyung keluar keluar dari bibir Makyung Bedah.

“Mak, mahukah mak ajar saya makyung? Saya nak jadi perimadona macam mak.”

“Tak usahlah. Lebih baik kamu pergi belajar muzik lain yang lebih moden. Lagipun mak dah tua. Dah tak layak nak mengajar anak-anak muda. Nanti semakin buruk tohmahan masyarakat terhadap mak dan makyung.”

Anak-anak muda itu saling berpandangan. Mereka tidak mengerti apa maksud kata-kata Makyung Bedah itu.

Akhirnya pertemuan itu usai. Makyung Bedah pulang ke kampung dihantar oleh Marinah.

“Terima kasih kerana layan mak dengan baik,” kata Makyung Bedah ketika mereka bersalaman.

“Harap mak tak serik dengan saya. Harap mak masih sudi berjumpa saya.”

“Rumah ini sentiasa terbuka untuk Inah. Datanglah kalau ada masa.”

“Mak, bolehkah saya minta sesuatu?” Marinah menggenggam tangan Makyung Bedah sambil matanya merenung tepat ke arah wajah itu.

“Mintalah. Asal jangan minta duit. Sebab mak ni bukan orang kaya. Tengok saja rumah mak ini. Hanya ada atap untuk berteduh dan lantai tempat berpijak. Mak bukan orang mewah. Mak miskin segalanya. Kerana mak miskin, anak-anak....” Sampai di situ, Makyung Bedah tidak mampu meneruskan kata-katanya.

“Saya tak perlukan harta mak. Saya dah ada semuanya.”

“Habis, Inah nak minta apa?”

“Kasih sayang mak sebagai ibu,” ujar Marinah perlahan.

“Apa maksud Inah?”

“Sudikan mak terima saya sebagai anak mak. Sudikah mak berikan kasih sayang seorang ibu kepada saya?”

Makyung Bedah rasa keliru.

“Tak baik menagih kasih sayang dari orang lain ketika ibu kita masih ada. Kasih ibu itu hingga ke syurga. Janganlah Inah cuba mensia-siakannya.”

“Mak, saya tak ada ibu sejak kecil. Mak saya pergi mengadap Tuhan ketika melahirkan saya. Jadi saya memang tak pernah merasai pelukan kasih seorang ibu. Entah kenapa, bila saya jumpa mak dan tidur sebilik dengan mak saya mula merindui apa yang saya tak ada.”

Mata Makyung Bedah terbuka luas. Baru dia tahu erti permintaan Marinah. Sesungguhnya ALLAH itu Maha Adil dan Maha Pengasih. Marinah ditakdirkan hadir dalam hidupnya untuk mengisi kekosongan hati seorang ibu.

Makyung Bedah menarik Marinah ke dalam pelukannya. Kepala gadis itu diusap-usap dengan penuh kasih sayang. Dia bahagia. Dia gembira. Terasa seolah-olah sedang memeluk Maryam dan Surya.

Marinah menangis teresak-esak. Dia mengelus-ngeluskan kepalanya ke dalam pelukan Makyung Bedah seperti seekor anak kucing yang baru bertemu ibunya.

Lama mereka membiarkan diri dihanyutkan perasaan yang berbeda. Marinah dengan perasaan seorang anak dan Makyung Bedah dengan perasaan seorang ibu.

“Terima kasih mak kerana sudi menerima Inah sebagai anak. Insya-ALLAH Inah akan jaga mak seperti seorang anak menjaga ibu kandungnya.”

“Janganlah berjanji apa-apa. Sebab kalau mungkir, dah jadi munafik.”

“Wah, nampaknya Cik Marinah nak potong trip saya ni,” kata Imran yang tiba-tiba muncul di hadapan mereka.

“Trip? Trip apa?” Marinah tercengang. Wajahnya dihurung hairan.

Makyung Bedah ketawa kecil. Dia rasa kelakar dengan cara Imran menyergah Marinah.

“Mak? Trip apa ni?” Marinah semakin tidak faham.

“Imran ni pun dah angkat mak ni jadi mak dia. Sekarang, Inah pula yang nak angkat. Jadi dia rasa tercabar dan rasa Inah nak potong trip dia,” jawab Makyung Bedah, masih ketawa.

Marinah ikut ketawa.

“Terima kasih kerana dah jaga mak saya dengan baik selama di Kuala Lumpur,” kata Imran selepas ketawa mereka usai.

“Mak saya juga. Saya mesti jaga,” balas Marinah.

“Mak saya dulu!” kata Imran lagi. Kemudian mereka berbalas senyum. Hati Makyung Bedah semakin girang. Gelagat kedua-duanya begitu menghiburkan.

Akhirnya Makyung Bedah melepaskan Marinah pergi dengan hati yang berat. Walaupun begitu, dia rasa senang dengan pertemuan itu.

“Mak, ada gambar dan cerita mengenai mak dalam surat khabar hari ni,” kata Imran selepas deruman kereta Marinah semakin sayup menjauh.

“Bila pula ada orang surat khabar yang jumpa mak?”

“Mungkin mak tak perasan. Mereka ada dalam sesi soal-jawab dengan para siswa tu.”

“Aduh, malunya mak!” Makyung Bedah menutup muka seperti anak kecil yang malu bertemu orang yang tidak dikenalinya. Sudah lama orang melupakan siapa dirinya. Dengan adanya berita itu, pasti ramai orang yang membaca dan melihatnya.

“Apa yang mereka tulis?” tanya Makyung Bedah, berpaling ke arah Imran.

“Tentang bakat mak. Tentang seni yang ada dalam diri mak.”

“Itu saja?”

Imran angguk.

Makyung Bedah menarik nafas lega. Dia memang berharap agar hal kehidupan dan keluarganya tidak diketahui umum. Kalau boleh dia memang tidak mahu Surya yang terkenal itu dikaitkan dengan dirinya.

“Im, hari tu mak jumpa Abang Man di Kuala Lumpur,” kata Makyung Bedah mengubah topik perbualan.

“Hah? Habis dia cakap apa dengan mak? Apa alasan dia tak balik dan tengok mak begitu lama?” Imran teruja.

Makyung Bedah diam merenung ke depan. Hatinya masih rasa kesal dengan hajat memeluk Azman yang tidak kesampaian. Semuanya kerana wanita yang mengepit pinggang Azman itu.

“Mak?” Imran menepuk bahu Makyung Bedah.

“Ada apa Im?”

“Apa yang mak menungkan ni? Apa yang Abang Man cakap dengan mak? Mesti ada yang melukakan hati mak, kan?” Imran sengaja menduga.

“Dia tak cakap apa-apa. Semuanya berlaku dengan cepat. Mak tak sempat nak peluk dia. Mak tak sempat nak cium dia puas-puas. Dia pergi dengan terburu-buru. Mungkin dia tak nak wanita di sebelahnya tahu siapa dia.”

“Bukankah wanita itu menantu mak? Takkan dia masih nak berselindung dan berahsia. Menantu mak pun tak peluk mak?”

“Dia wanita lain. Dia bukan Humaira isteri Azman. Dia orang lain!”

Imran terkebil-kebil.

“Mak, Im semakin tak faham.”

“Apa yang Im tak faham. Maknanya Azman ada perempuan lain selain bini dia. Tak tahu itu isterinya atau kekasihnya. Sampai hati Azman...”

Imran mula faham. Dia diam dan tidak berani bertanya lagi. Cuma hatinya ralat. Kenapa Azman buat Makyung Bedah macam tu? Apa salah ibu tua itu? Tidak takutkah Azman kepada laknat ALLAH kepada anak yang derhaka dan tidak menunaikan kewajipannya terhadap ibu bapa?


Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.