Makyung Bedah angguk. Dia membelek helaian majalah itu.
Matanya sekali lagi terpaku kepada gambar-gambar Azman dan Maryam bersama
keluarga masing-masing tersenyum gembira bersama pengantin.
“Azman pun tak beritahu kau?”
Tanpa menoleh, Makyung Bedah menggeleng. Matanya masih
tertumpu pada gambaranak-anaknya itu.
“Astgahfirullahhalazim… apa dah jadi dengan mereka, Bedah?”
“Semah, kau tengok wajah anak-anak aku. Ceria semuanya. Kau tengok
wajah cucu-cucu aku. Ini anak-anak Maryam. Comelnya mereka!” kata Makyung Bedah
tanpa mempedulikan kata-kata Mak Semah.
“Bedah, tak sangka mereka begini sekali mereka buat kau. Aku
ingat, bila dah ada pelajaran tinggi,
gaji besar dan hidup mewah mereka pandai hormat dan sayangkan orang tua.
Rupanya… aku silap. Baru aku faham kata-kata kau tempoh hari bahawa biar sikit
tapi bagus. Kalau banyak tapi semuanya busuk, buat apa!”
“Semah, ini menantu perempuan aku. Cantiknya bini Azman…”
Makyung Bedah semakin berpura-pura tidak mendengar apa yang diucapkan Mak Semah.
Mak Semah merenung wajah sahabatnya dengan dada sebak. Dia
tahu Makyung Bedah sedang berjuang dari sebuah gelombang lara yang sangat
hebat. Dia juga sedang menahan diri dari perasaan luka yang sangat menyakitkan.
“Bedah, aku harap kau bersabar. Sayangnya aku tak mampu nak
berjalan seperti dulu. Kalau tidak, aku yang akan cari anak-anak yang tak
mengenang budi itu!” kata Mak Semah sambil menarik tangan Makyung Bedah dan
menggenggamnya erat.
Ada getaran yang sedang ditahan dalam genggaman itu.
“Semah, kau jangan risau. Sejak Abang Mail meninggal, aku
dah ajar diriku untuk tabah. Kau ingat macam mana aku bekerja keras untuk
membesarkan anak-anak yatim ini. Aku buat kuih untuk jualan. Aku ambil upah
cuci pinggan mangkuk di kedai makan. Aku menari makyung di serata tempat kalau
ada undangan. Semuanya bukan untuk aku tapi untuk mereka. Jadi, aku dah biasa
diduga, Semah.” Makyung Bedah tersenyum. Dia mendongak. Bukan untuk melihat
burung di ranting pokok. Tidak juga untuk melihat awan yang berarak tenang.
Namun seperti biasa,
dia cuba menahan air mata menitik dari birai mata.
“Bedah, kau jangan tersenyum macam tu.Kau jangan nak berpura-pura dengan aku. Jangan sembunyikan kepedihan
hati kau tu. Aku ni dari kecil kenal kau.Aku mampu membaca apa yang ada dalam dada kau!” Tiba-tiba suara Mak
Semah meninggi. Senyum Makyung Bedah yang sumbang dan pura-pura itu menyakitkan
hatinya.
Mendengar kata-kata Mak Semah itu, tidak semena-mena tangis
Makyung Bedah menderu. Tubuhnya bergegar.
Mak Semah mendekatkan dirinya. Dia memeluk tubuh kurus
sahabatnya itu dengan tangisan juga. Mereka bertangis-tangisan.
“Dulu Azman dan Maryam kahwin dan mereka malukan aku kepada
orang kampung. Sekarang, Surya pula. Dia memang tak nak aku ada dalam majlis
itu sebab dia dah kahwin dengan anak Datuk Seri. Dia bimbang kalau orang tahu
dia anak orang kampung yang miskin macam aku…”
“Azman dan Maryam takkan tak nasihatkan adiknya.”
“Semah, Azman suruh aku jauhkan diri dari Surya. Maryam
suruh aku jangan ganggu Surya lagi. Alangkah hinanya diri aku ni pada mereka,
Semah,” kata Makyung Bedah di celah esakannya.
Esakan Mak Semah semakin bergema. Memang semua peristiwa
yang berlaku itu masih belum dilupakannya. Masih ada dalam ingatannya. Kalau
Makyung Bedah terluka dengan perbuatan Azman dan Maryam ketika itu, dia juga
ikut merana. Geram dan marah membuatkan dia tidak dapat tidur dan makan selama
berhari-hari.
Sekarang Surya pula menoreh hati yang sedia luka itu. Memang
merah darahnya. Memang pedih seperti disiram cuka!
“Aku dah tak ada sesiapa di dunia ini, Semah,” rintih
Makyung Bedah lagi.
“Aku dan Imran masih ada untuk kau,” bisik Mak Semah, di
celah esakan.
“Apa salah aku? Tak cukupkah kasih sayang aku sejak dalam
kandungan hingga mereka dewasa? Atau tak maniskah air susu yang mereka hisap
dari tubuhku ini?” Makyung Bedah membiarkan air matanya merembes di pipi. Dia
juga membiarkan hingus meleleh dari hidung.
“Kau tak salah Bedah. Hanya anak-anak kau tu yang tak tahu
membalas jasa.”
“Abang Mail dah pergi.Kalau dia ada mungkin nasib aku tak begini, Semah.” Makyung Bedah terus
merintih. Dia seperti tidak mendengar apa yang dikatakan oleh Mak Semah.
“Nasib baik Abang Mail dah tak ada. Kalau dia ada, satu hati
lagi akan terluka.”
“Ya ALLAH… kenapa begini berat dugaan yang KAU berikan
padaku…” rintihan Makyung Bedah semakin bergetar.
Sejak tadi Imran mendengar dan merasai semuanya.Hatinya memang ikut tersentuh dan bergetar.Dia menahan diri. Dia perlu kuat untuk menjadi pelindung kepada
dua wanita itu. Namun, kekuatannya tidak lama. Ketabahannya bergoncang. Air
matanya mula menitik. Dia segera melarikan diri ke dapur. Dia melarikan
kesedihan itu. Dia tidak mahu kedua-dua wanita itu melihat air matanya.
Di dapur, Imran melepaskan tangisnya. Dia teresak-esak.
“Ya ALLAH, kenapa anak-anak Mak Bedah boleh buat dia macam
tu?Mereka tu semua sekolah tinggi. Kenapa
mereka begitu derhaka!” rintih Imran penuh sendu.
Lama dia melayan tangisnya.
Lama dia memujuk hatinya agar bertenang.