Imran pulang membawa berita Makyung Bedah ke pangkuan ibunya
dengan wajah sedih.Mak Semah terlebih lagi sedihnya.
“Siapa nak jaga dia di hospital, Im? Kalau mak tak macam ni,
tentu mak akan jaga dia. Tapi, mak sendiri pun Im yang jaga,” keluh Mak Semah.
Imran termenung. Memang sejak dari hospital, hanya itu yang
difikirkannya. Dia buntu. Kalau dia menjaga Makyung Bedah siapa yang akan
menemani dan menjaga emaknya di rumah.
“Kita serahkan saja kepada pihak hospital, mak.”
Mak Semah angguk setuju.Namun tidak lama, dia berpaling kepada Imran.
“Apa kata Im telefon Abang Azman atau Kak Yam. Mak ada
nombor mereka,” kata Mak Semah bersungguh-sungguh.
Giliran Imran mengangguk. Kenapa tidak dicuba?Mana tahu ada belas di hati anak-anak Makyung Bedah itu?
Mak Semah membelek buku telefon yang ada di atas meja.
Kemudian dia menghulurkan buku itu selepas halaman yang mencatitkan nama dan
nombor anak-anak Makyung Bedah itu ditemui.
Tanpa berlengah, Imran mencuba. Cubaan pertama ialah kepada
Azman, anak sulung serta anak lelaki tunggal. Telinga Imran mendengar deringan.
Namun talian tidak bersambung.
“Tak ada orang angkat, mak.”
“Cuba lagi Im. Kita tak boleh putus asa. Atau Im cuba nombor
Kak Yam pula,” usul Mak Semah yang memang setia menunggu di sebelah Imran.
Imran patuh. Selepas beberapa kali mencuba dan gagal, dia
mendail pula nombor telefon Maryam. Sama
seperti Azman, tidak ada jawapan dari Maryam.
Deringan berterusan.
Imran tidak jemu mendail.
“Helo, siapa ni?” Satu suara menyentuh kuping telinga Imran.
Lelaki. Imran cam suara itu.Suara Azman.
“Abang Man?”
“Awak sapa?
“Saya Imran, anak Mak Semah.”
Senyap. Mungkin Azman sedang mengerah mindanya untuk
mengingati nama yang disebut.
“Ada apa telefon aku ni?” Tiba-tiba Azman bertanya dengan
suara kasar.
Hati Imran sedikit tersentak.
“Maaflah mengganggu. Saya nak beritahu, Mak Bedah masuk
wad.”
Senyap. Tidak ada sebarang komen.
“Abang Man baliklah.Mak bedah tu
demam rindu. Dia meracau memanggil nama abang, Kak Yam dan Surya.”
“Tengoklah nanti. Terima kasih.”
Talian diputuskan. Imran terkebil-kebil.
“Apa dia cakap, Im?” tanya Mak Semah, ingin tahu.
“Dia kata tengoklah nanti,” jawab Imran mengajuk cakap
Azman.
Mak Semah mengeluh, berat dan mendesah. Dia seperti tahu
bahawa Azman memang tidak akan pulang menjenguk ibunya.
“Cuba telefon Surya pula. Mana tahu dia ada masa nak balik
jaga Mak Bedah,” suruh Mak Semah.
Sekali lagi Imran akur.Nombor telefon Surya didail. Sekali sahaja, dia sudah berhenti.
“Kenapa Im?”
“Nombor ni dah tak ada dalam perkhidmatan, mak.”
Wajah Mak Semah berubah kesal.Memang Surya selalu mengelak diri dari dihubungi. Sejak jadi penyanyi,
sombong benar anak Makyung Bedah yang sorang tu.
“Tak apalah mak. Kita cari jalan lain kalau mereka tak
balik,” kata Imran, cuba menyenangkan hati ibunya. Dia tahu kegelisahan Mak
Semah dengan hal itu. Mereka kawan baik dari kecil hingga kini. Susah senang
sudah dilalui bersama. Semasa Mak Semah sakit, Makyung Bedah yang menjaganya.
Sekarang, Mak Semah tidak mampu membalas kebaikan itu. Tentulah dia rasa
bersalah.
**
Sudah seminggu Makyung Bedah dirawat di wad perempuan,
Hospital Tanah Merah. Tidak ada yang menjaganya melainkan jururawat dan doktor
di hospital itu. Imran dan Mak Semah hanya pasrah kepada keadaan.
“Maafkan Im mak. Im tak dapat nak jaga mak di sini,” kata
Imran selepas dua hari Makyung Bedah dirawat.
“Tak apalah Im. Mak pun tak nak Im tinggalkan mak Im dan
jaga mak di sini. Mak tak apa-apa. Demam pun dah mula kebah. Im jangan bimbang
sangat,” balas Makyung Bedah dengan suara lemah.
Imran anak yang baik. Imran memang berbudi. Itu sahaja yang
ada dalam ingatan Makyung Bedah ketika itu.
Selama seminggu itu sudah tiga kali kereta roda Mak Semah
disorong oleh Imran masuk ke wad itu. Keadaannya semakin pulih. Tekanan darah
dan demamnya mula stabil.
“Buat apa kau susah-susah datang, Semah. Aku dah baik dah.
Kau tu kena jaga kesihatan kau juga,” kata Makyung Bedah sambil menggenggam
tangan Mak Semah.
“Aku tak susah pun. Selagi ada kereta Mercedes aku ni, aku
tak susah Bedah.” Mak Semah sengaja melawak sambil menunjukkan kea rah kereta
sorongnya.
Makyung Bedah ketawa perlahan.
Mak Semah rasa senang hati kerana lawaknya menjadi. Dapat
juga dia melihat sahabatnya ketawa, biarpun ketawa itu tidak seceria mana.
“Kau jangan nak bangga dengan kereta kau tu, Semah. Kau
ingat kalau tak ada pemandu yang berbudi ini, kereta kau tu boleh sampai ke
sini?” kata Makyung Bedah.
Mak Semah ketawa. Tangan Imran ditarik. Seluruh rasa bangga
mengalir lembut dalam hati seorang ibu.
“Benar tu Bedah. Nasib baik aku ada pemandu ni. Kalau tidak
tak tahu macam mana nasib aku,” kata Mak Semah dengan kerdipan mata kasih ke
arah Imran.
“Bukan nasib kau saja, nasib aku juga. Kau tengoklah apa dia
buat semasa aku di hospital ni. Aku tak ada anak dan dialah anak aku sekarang…”
Suara Makyung Bedah mula bergetar.
“Mak, jangan cakap macam tu. Mak kan ada anak yang ramai,”
celah Imran.
“Mana ada?”Makyung Bedah membeliakkan matanya.
“Tu! Anak-anak yang
menjaga mak di sini, siang dan malam. Mereka yang buang najis mak. Mereka yang
mandikan mak. Dan mereka yang suapkan mak makan. Mereka tu layak dipanggil
anak. Kan mak?” tunjuk Imran kepada sekumpulan jururawat yang sedang leka
menjalankan tugas.
Mata Makyung Bedah tertumpu ke arah yang ditunjukkan. Benar.
Merekalah yang menjaganya. Merekalah yang mencuci kencing beraknya selama
seminggu di hospital ini. Tangan mereka yang menyuap makan dan minum ke
mulutnya ketika badannya tersangat lemah untuk bergerak.
Di mana anak-anaknya?
Tiba-tiba air matanya bergenang. Hatinya berdenyut ngilu.
Setiap bulan dalam akaun bank miliknya memang ada dimasukkan sejumlah duit.
Ketiga-tiga anaknya menganggap, duit mereka telah membayar semua tanggungjawab
yang perlu sebagai anak.
“Bedah, kalau kau dah keluar hospital nanti kau tinggallah
di rumah aku.”
“Semah, aku dah janji dengan Abang Mail tak akan tinggalkan
rumah itu selagi ada hayat aku.”
“Tapi aku risaukan kau nanti.”
“Tak usah risau. Kalau mati, kita pun sorang-sorang kat
dalam kubur. Jadi apa nak dirisaukan pada aku yang hidup sendirian di rumah,”
balas Makyung Bedah.
Mak Semah tidak berani berbahas lagi. Makyung Bedah masih
lemah dan dia dalam sengsara. Sengsara dan lara seorang ibu yang menyebabkan
dia terlantar begitu.