Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 53

Marinah pula walaupun kecewa untuk bertemu Surya tetapi hatinya rasa lega kerana dapat mengirim pesanan kepada Surya. Dia sudah berusaha. Selebihnya tinggal berdoa agar ALLAH bukakan pintu hati Surya untuk membuka peluang untuk dia bertemu Makyung Bedah.

“Awak yakin dia akan hubungi awak dan beri awak peluang jumpa mak?” tanya Imran ketika Marinah memberitahu hal itu.

“Kalau dia tak hubungi saya, saya akan pergi lagi ke sana. Saya dah tahu tempatnya. Kali ini saya tak akan lepaskan dia begitu saja. Kali ini dia mesti bertanggungjawab terhadap penderitaan mak.”

“Saya harap awak berjaya, Inah. Saya harap juga agar mak saya sempat bertemu Mak Bedah.”

“ALLAH sedang mendengar doa kita. Hanya DIA yang Maha Tahu semuanya,” balas Marinah. Memang dia semakin berani berdepan dengan apa jua kemungkinan demi Makyung Bedah, Mak Semah dan Imran.

Imran pula tahu emaknya sangat merindui Makyung Bedah. Mereka ialah teman sepermainan yang tidak pernah berpisah begini lama. Perpisahan itu sangat memberi kesan kepada jiwa emaknya.

Namun, Imran tidak mahu menyerah kalah. Dia tetap ingin Mak Semah kuat dan sihat macam biasa. Untuk itu dia tidak berputus asa untuk terus menyuapkan makanan ke mulut emaknya.

“Makanlah sikit mak. Kalau mak terus macam ni, bila mak nak baik,” pujuk Imran.

“Mak tak ada selera, Im.”

“Mak kena paksa selera mak. Mak kena kuat demi Im. Im nak mak sihat macam biasa. Im belum puas bermanja dengan mak.”

“Im, mak dah tak upaya nak manjakan Im lagi. Mak dah letih...”

“Sebab tu Im nak mak makan dan minum barulah mak ada tenaga. Kita akan teruskan hidup kita dengan gembira, mak. Im akan jaga mak,” kata Imran memotong cakap Mak Semah.

Mak Semah tersenyum nipis. Dia menarik Imran ke dalam pelukannya. Dia mengusap-usap rambut Imran dengan penuh kasih sayang.

“Mak minta maaf kerana terlalu banyak susahkan Im. Im tinggalkan kerja yang baik kerana mak. Im habiskan usia anak muda Im kerana mak.”

“Mak, apa yang Im buat belum cukup untuk membalas semua jasa mak. Setitik air susu mak pun belum terbalas lagi. Pengorbanan mak terlalu besar. Mak sudi mengandung, melahir dan membesarkan Im seorang diri. Terima kasih mak...” Imran menarik tangan Mak Semah dan mengucupnya. Air matanya menitik.

“Im, mak sayang Im. Im segala-galanya bagi mak. ALLAH Maha Adil kerana membalas semua penderitaan masa lalu mak dengan seorang anak yang baik macam Im.”

Mereka berpelukan. Kasih sayang yang tulus dapat dirasakan dengan bahagia.

“Im, mak nak jumpa Mak Bedah kau. Bila dia nak balik Im?” Tiba-tiba pelukan dilepaskan. Wajah Imran ditatap dengan mata penuh harap.

Imran gelisah. Satu soalan yang belum mampu dijawabnya. Dia hanya mengharapkan Marinah mencari Makyung Bedah. Dia sendiri tidak mampu berbuat apa-apa selain menunggu.

“Im, pergilah cari dia. Bawalah dia balik ke sini. Mak tahu dia sedang sengsara. Dia tidak selesa tinggal di sana. Tempat dia di sini.”

Imran diam. Macam mana dia nak tinggalkan Mak Semah yang terlantar untuk keluar mencari Makyung Bedah?

“Bedah, di mana kau Bedah? Kenapa kau tak balik lagi? Kau janji nak pergi sekejap saja. Kenapa lama sangat kau pergi, Bedah?” rintih Mak Semah selepas Imran diam tidak memberikan apa-apa reaksi.

“Bedah, dah lama aku tak makan laksam yang kau masak. Aku teringin sangat nak makan, Bedah. Baliklah Bedah... aku tunggu kau Bedah... aku rindu kau Bedah...” Suara Mak Semah semakin perlahan. Akhirnya dia terlena bersama rintihannya.

Imran mendengar semua rintihan itu dengan dada yang berdebar. Perasaannya tersentuh. Robek hatinya. Tidak tertahan air matanya. Lalu dia melepaskan semuanya melalui esakan yang mendayu.

Mak Semah sudah terlena. Dia tidak mendengar lagi esakan anaknya.

“Mak, sabarlah. Im janji akan cari Mak Bedah. Kali ini mak berdua tak akan berpisah lagi,” janji Imran sambil menggenggam erat tangan Mak Semah.

Dia keluar dari bilik. Sekali lagi dia menghubungi Marinah. Entah kenapa, dia rasa terlalu bergantung kepada gadis itu sejak akhir-akhir ini.

“Inah, kalau awak gagal mencari Mak Bedah awak tolonglah saya datang ke sini dan jaga mak saya. Biar saya pula mencuba nasib.”

“Kita tunggulah sehari dua lagi. Kita beri Surya peluang,” balas Marinah.

“Awak tak ambil nombor telefon dia dan cuba hubungi dia?”

“Mereka tak nak beri. Mereka kata itu arahan Surya dan mereka patuh pada arahan itu.”

Imran termenung. Dia semakin bimbang dan tidak tahan melihat keadaan emaknya itu.

“Kenapa awak diam?”

“Saya semakin tak sedap hati. Entah apa jadi pada Mak Bedah di sana. Di rumah siapakah dia ada sekarang?”

“Kalau kita dah dapat Surya, kita akan tahu di mana dia?”

Imran cuba memujuk hatinya agar bersabar. Seperti dia memujuk Mak Semah, begitu juga dia mahu dia tabah dan tenang.


Previous: Bab 52
Next: Bab 54

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.