Sejak keluar dari hospital. Makyung Bedah menjadi lebih
pemurung. Dia ingin lebih kuat dalam mengharungi kehidupan hari tuanya yang
kesaorangan. Namun, dia sangat tidak berdaya.
Subuh itu solat Makyung Bedah tidak sekusyuk biasa. Tumpuannya
bercelaru. Bermacam ingatan melintasi fikiran. Kata-kata Azman dan Maryam tidak
mungkin dilupakan begitu sahaja.Perbuatan Surya pula tidak mampu
dibuang dari akal seorang ibu.
Lama dia duduk di atas sejadah dengan hati yang kosong.
Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Cerita Pak Mud mengenai Surya disahkan oleh
Azman dan Maryam. Hatinya memang terluka. Namun, ia ingin matanya melihat
sendiri kemeriahan majlis itu. Dia tidak mahu mendengar cerita orang.
Dia bangun meninggalkan sejadah untuk segera menelefon
Imran. Pagi itu dia rasa dia sangat perlukan bantuan anak Semah yang baru diangkat
menjadi anaknya itu. Biarlah dia menganggap Imran sebagai anak lelakinya untuk
menggantikan tempat Azman.
“Im, mak nak minta tolong sikit,” kata Makyung Bedah ketika
talian bersambung.
“Ada apa mak?” tanya Imran.
Telinga Makyung Bedah disentuh desir suara Imran yang bimbang.
“Boleh temankan mak ke bandar sekejap. Ada benda yang mak
nak beli.”
“Baiklah mak. Mak tunggu saja ya. Im nak masak sarapan dan
mandikan emak dulu. Dah siap semua Im datang ambil mak.” Dengan cepat Imran
menyanggupi. Alangkah baiknya budi anak Semah itu. Dia langsung tidak mewarisi
sikap panas baran dan sombong ayahnya Mat Nor.
Mat Nor berasal dari Pahang. Datang bekerja di Kelantan
sebagai buruh kasar. Jodohnya memang ditakdirkan bersama Semah. Mereka
berkahwin. Ketika itu Makyung Bedah sudah ada Azman dan Maryam. Dia dan arwah
suaminya yang bertungkus lumus menguruskan majlis perkahwinan Semah dengan Mat
Nor.
Makyung Bedah selalu mendengar keburukan perangai Mat Nor
dari mulut Semah.Lelaki itu rupanya kaki pukul bini. Dia
lelaki pemalas dan panas baran. Selepas Imran dilahirkan, lelaki itu
menghilang. Tidak ada khabar berita hidup atau mati. Lalu, Semah membesarkan
Imran seorang diri.
“Imran…” keluh Makyung Bedah ketika meletakkan gagang
telefon.
Sementara menunggu Imran sampai, Makyung Bedah bersiap-siap.
Kemudian dia pergi ke belakang rumah memberi makan ikan-ikan di kolam.Senang hatinya melihat ikan talapia, keli dan haruan berebut
makanan.
Kolam itu digali bersama arwah suaminya. Mereka hanya
menggali menggunakan cangkul. Sudah lebih tiga puluh tahun usia kolam itu. Banyak
kenangan yang ada di situ.
Semasa anak-anak masih kecil, di situlah tempat mereka
berkumpul. Azman berusia 6 tahun akan ikut ayahnya memancing. Maryam yang
berusia tiga tahun akan terkedek-kedek mengacau mereka. Dia pula duduk di pangkin
sambil meriba Surya yang masih bayi.
Kemudian bila anak-anak sudah bersekolah, di atas pangkin di
tepi kolam itu tempat mereka menyiapkan kerja sekolah.
Semuanya indah. Semuanya manis untuk dikenang. Terasa masih
baru suasana itu dilalui. Seperti masih segar di ruang mata.
“Mari makan! Kamu dah lapar ya.” Makyung Bedah menaburkan
makanan ke permukaan air. Melompat-lompat ikan yang bermacam jenis itu berebut
makanan. Hati Makyung Bedah sedikit terhibur.
Tanpa diminta, wajah Surya muncul. Surya suka makan ikan
keli masak lemak cili padi. Maryam pula suka ikan keli masak sambal. Azman suka
semua. Dia tidak kisah sangat. Apa yang dimasak, semua dimakan.
Itulah sebabnya arwah suaminya menggali kolam itu.Dia tahu anak-anaknya suka makan ikan air tawar. Daripada
membeli lebih baik membela sendiri.
“Kalau Surya dah besar, kolam ini Surya nak lebarkan. Surya
nak buat pondok yang cantik di sini agar menjadi tempat mak dan cucu-cucu
bersantai. Kita lebarkan kolam ini. Mana tahu cucu-cucu mak nanti suka bermain
rakit.”
Makyung Bedah menoleh. Dia mencari-cari Surya. Suara itu
seperti dekat berbisik di telinganya.Tiada.
“Ya ALLAH. Kenapa aku ni?”Dia menyapu mukanya dengan kedua telapak tangan. Kemudian dia menarik
nafas panjang. Kenapa dia tidak mampu melupakan anak-anaknya?Kenapa pula anak-anak boleh melupakannya begitu sahaja?
Bunyi hon kereta di halaman menghentikan semua ingatan dan
lamunan. Makyung Bedah meninggalkan kolam ikan dan segera ke halaman.
“Mak dah siap?” tanya Imran dengan senyuman mesra.
“Dah. Marilah kita pergi,” kata Makyung Bedah sambil membuka pintu dan duduk dengan selesa.
Imran memandu dengan berhati-hati.Setengah jam sahaja mereka sampai di Bandar Tanah Merah.
“Mak nak beli apa?” tanya Imran ketika memparkir keretanya
di ruang parkir yang disediakan oleh pihak Majlis Daerah Tanah Merah.
“Kita singgah di pasar. Mak nak beli lauk dan sedikit
sayur.”
Imran akur. Semua hajat Makyung Bedah diikuti. Dia ingat
pesan ibunya untuk membuat Makyung Bedah senang hati. Mungkin selepas baik dari
demam, Makyung Bedah teringin hendak makan macam-macam. Itu juga yang
difikirkan oleh Imran.