Pagi itu cuaca baik.
Suasana di luar rumah juga sangat terang. Matahari milik ALLAH bersinar patuh
mengikut arahan tuannya.
Selepas siap
berpakaian, Fazrin menyelak langsir untuk melihat ke luar rumah. Dia suka melihat pemandangan di taman mini di hadapan
banglo mewah itu. Dia suka pada pemandangan menghijau di bahagian belakang
rumah itu.
Dulu semasa dia masih
menuntut, hujung minggunya banyak dihabiskan di situ. Dia yang menanam pokok
kelapa pandan yang renek dan lebat buahnya. Dia yang membantu mamanya
mencantikkan landskap di taman itu. Walaupun ada tukang kebun yang digaji
tetapi memilih dan menanam sendiri pokok-pokok yang ada. Tukang kebun hanya
membaja dan membersihkan mana yang patut.
Sedang matanya asyik
menikmati kehijauan yang menyejukkan mata itu, tiba-tiba dia terlihat seorang perempuan
tua sedang merenung ke arah bilik itu.
Fazrin terkejut.
Langsir yang sedang diselak, terlepas dari tangan. Dia menenyeh mata. Kemudian
dia mengintai dari celah langsir. Benar. Dia tidak silap. Memang ada seorang
wanita tua di situ.
“Siapa perempuan itu?”
Dia bertanya kepada diri sendiri.
Dia menyelak langsir
sekali lagi. Namun perempuan itu sudah tiada.
“Mana dia pergi?” tanya
Fazrin lagi. Kali ini dia sangat ragu-ragu dan keliru.
“Abang cakap apa?”
tanya Surya yang terdengar pertanyaan Fazrin tetapi tidak jelas.
“Sayang, siapa perempuan
tua di belakang tu?” Fazrin menoleh ke arah Surya sedang bersiap di meja solek.
“Mana ada?” Surya
berhenti bersolek. Dia berpaling dengan wajah cuak. Serta merta hatinya berdebar dan tangannya gementar. Dia cuba
mengawal diri.
“Ada. Tadi abang
nampak. Dia merenung ke arah bilik ini. Tapi bila abang tengok sekali lagi, dia
dah hilang. Siapa tu?”
Wajah Surya menjadi pucat.
“Entahlah. Mungkin bibik tu bawa saudara maranya.”
“Ish, bibik kalau nak
bawa saudara dan kawan-kawannya dia akan minta izin mama dulu,” tingkah Fazrin.
“Abang pergilah kerja
dulu. Nanti Su siasat.” Surya cuba mencari helah. Dia meletakkan alat solek di
tangannya dan bangun mendekati Fazrin. Dia membetulkan tali leher Fazrin.
Sebenarnya dia sedang membetulkan degupan jantungnya yang mula tidak teratur!
“Su tak keluar ke hari
ni?”
“Ada. Lambat sikit,”
jawab Surya sambil berjalan seiringan ke arah pintu. Mereka turun ke bawah
untuk bersarapan.
Fazrin duduk di meja. Bik
Sumi keluar dengan teko minuman di tangannya.
“Bik, bibik ada bawa
saudara bermalam di rumah ni?” tanya Fazrin kepada Bik Sumi.
Bik Sumi meletakkan
teko. Dia berpaling kepada Surya. Surya menggelengkan perlahan tanda
‘jangan’.
“T...tak ada tuan.” Bik
Sumi mula gementar.
“Habis, tadi saya
nampak macam ada orang tua di bilik stor. Siapa tu? Tak kan hantu pulak!”
Surya merenung tajam ke
arah Bik Sumi. Wanita Indonesia itu gugup dan pucat.
“Hmmm... s... saya tak
tahu tuan.” Bik Sumi tergagap. Dia sebenarnya bukan takut pada renungan mata
Surya. Tetapi dia takut kerana terpaksa berbohong untuk menjaga Surya. Untuk
pertama kali dia berbohong kepada majikan yang sangat baik kepadanya. Fazrin
yang tidak pernah marah. Fazrin yang melayannya seperti saudara sendiri.
Tiba-tiba dia membalas kebaikan itu dengan cara ini!
“Tak apalah. Mungkin
mata saya yang silap.” Fazrin mula bersarapan. Surya melayannya dengan mesra.
Dia cuba membuat Fazrin terlupa akan hal itu. Dia juga sedang cuba degup
jantungnya yang tidak teratur.
Selepas Fazrin pergi,
Surya tidak berlengah lagi. Dia segera ke bilik belakang. Geram hatinya kepada
Makyung Bedah perlu dilepaskan.