Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 56

Perasaan rindu Mak Semah kepada Makyung Bedah semakin membara. Ia sudah tidak mampu diselindungkan lagi. Dia mula kerap demam. Kerap pula letih lesu kerana selera makannya yang semakin kurang. Imran semakin tidak mampu memujuknya.

“Im, mak nak sangat jumpa Mak Bedah kau,” kata Mak Semah pada satu malam.

“Sabarlah mak. Im dah cuba cari nombor telefon Abang Azman, Kak Yam dan Surya. Tapi nampaknya mereka dah tukar nombor. Semua orang tak tahu nombor mereka.”

Pujukan Imran bertahan selama beberapa hari. Selepas itu dia akan mula bertanya lagi. Kadang-kadang dia akan merengek seperti anak kecil yang rindukan ibunya.

“Im, bilakah Mak Bedah nak balik?”

“Im akan cuba cari jalan untuk bawa dia balik, mak.”

Mak Semah diam. Di birai matanya menitik titisan air mata. Wajahnya sangat murung. Hati Imran memang tidak tahan melihat titisan air mata ibunya.

Akhirnya dia membawa resahnya itu ke kedai Pak Mud. Hanya kepada lelaki itu, tempat dia mengadu. Kadang-kadang dirasakan Pak Mud itu seperti ayahnya sendiri. Sejak kecil, banyak perkara yang dikongsi dengan lelaki itu.

“Pak Mud, tolong saya Pak Mud. Mak semakin lara. Mak semakin lemah. Apa kita nak buat ni, Pak Mud?”

“Macam mana kalau kita ke Kuala Lumpur dan cari mereka, Im.”

“Pak Mud, Kuala Lumpur tu besar dan luas. Kalau tak tahu alamatnya, susah. Bukannya boleh tanya dengan orang. Bukan macam di kampung ni,” kata Imran.

Pak Mud termenung. Sungai simpati mengalir deras. Sangat belas dia mendengar suara rindu Mak Semah.

“Saya dah suruh beberapa orang kawan menjejaki alamat Surya. Dia orang tersohor, mesti ramai yang kenal. Keluarga mertua dia juga orang ternama. Pasti ada yang tahu. Tapi setakat ni masih belum ada berita baik,” kata Imran lagi.

Mereka berdua diam. Suasana sepi seketika. Wajah masing-masing nampak resah dan buntu.

“Aku menyesal sekarang,” keluh Pak Mud dengan perlahan dan berat.

“Kenapa Pak Mud?” Imran segera berpaling dan merenung wajah Pak Mud.

“Hari tu ada orang dari Kuala Lumpur datang bertanyakan Mak Bedah kau.”

“Siapa? Wartawan?”

“Bukan. Katanya dia utusan dari seorang peminatnya, seorang Datin Seri. Dia nak sangat jumpa Makyung Bedah. Aku beritahu Makyung Bedah dah dibawa anak-anaknya ke Kuala Lumpur. Aku beritahu salah seorang anak Makyung Bedah itu penyanyi terkenal. Tapi aku tak beritahu dia, siapa penyanyi itu,” jawab Pak Mud.

“Kenapa Pak Mud tak sebut nama Surya?”

“Aku masih nak jaga nama baik Surya.”

“Jadi, Pak Mud pun nak nafikan hak Mak Bedah atas Surya? Pak Mud pun tak setuju kalau orang tahu bahawa Mak Bedah itu emak yang melahirkan Surya?” tekan Imran.

“Itulah yang aku kesal sekarang. Kalau aku sebut nama Surya, pasti mereka dah dapat jumpa Mak Bedah kau. Dan kita pun tak bimbang macam ni.”

Imran termenung. Dia memang kesal dengan sikap Pak Mud tetapi perkara sudah berlalu. Semuanya tidak akan berulang lagi. Sudah tentu tidak ada orang yang akan mencari Makyung Bedah di kampung itu lagi.

Seminggu kemudian, keadaan Mak Semah semakin tidak stabil. Imran terpaksa menghantarnya ke hospital. Selepas diperiksa, akhirnya dia terpaksa masuk wad.

“Im, Mak Bedah kau dah sampai?” tanya Mak Semah dengan mata yang terpejam.

“Sabarlah mak. Kami tengah berusaha,” bisik Imran ke telinga Mak Semah.

Mak Semah membuka mata. Dia merenung wajah Imran dengan sayu. Air matanya menitik menuruni pipi.

“Im, kamu kena cari Mak Bedah. Dia tengah susah. Kesian dia.” Suara Mak Semah sangat perlahan di celah bibir.

“Ya. Im janji akan cari dia. Sekarang pun Inah dan kawan-kawan di KL tengah cari dia. Beri kami masa mak. Mak kena sihat untuk membantu kami.”

“Kirim salam mak pada dia kalau sekiranya mak tak sempat jumpa dia. Mak sayang dia,” balas Mak Semah lagi. Kali ini, hati Imran bagai disiat-siat. Rasa pilunya menerjah dinding hati.

“Mak, jangan cakap macam tu. Mak pasti akan jumpa dia. Im akan bawakan mak jumpa dia. Mak kena kuatkan diri. Mak kena cepat sembuh. Kita ke Kuala Lumpur bersama-sama. Inah dah janji akan bawa kita ke sana kalau mak dah sembuh.” Imran menggenggam erat tangan Mak Semah dan mengucupnya dengan penuh kasih sayang. Air matanya cuba ditahan. Dia tidak mahu emaknya melihat rintik pilu di hatinya.

Mak Semah pula tersenyum. Dia percaya akan kata-kata Imran itu, namun dia sudah tidak berdaya. Dia hanya pasrah menunggu hukum ALLAH.

“Im, mak nak tidur sekejap. Nanti Im tolong buat solat hajat untuk Mak Bedah kau. Tolong minta ALLAH selamatkan dia di sana,” kata Mak Semah. Dia pejamkan mata. Tidak lama kedengaran sebuah dengkuran.

Imran membetulkan selimut yang menutupi kaki emaknya. Wajah emaknya yang pucat dan lemah itu direnung dengan mata belas. Tiba-tiba muncul rasa kagum terhadap rasa kasih sayang yang terjalin antara Mak Semah dan Makyung Bedah.

‘Mereka saling memerlukan. Ya ALLAH, tolong permudahkan jalan untuk mempertemukan mereka.’ Doa Imran dalam hatinya.

Selepas yakin Mak Semah tertidur lena, Imran keluar dan cuba menghubungi Marinah.

“Awak dah dapat apa-apa maklumat baru? Surya ada hubungi awak?”

“Belum lagi.” Suara Marinah penuh kesal.

“Mak saya masuk hospital. Saya semakin bimbang...” keluh Imran.

“Maafkan saya, Im.” Marinah sebak. Suasana sepi. Imran memang rasa sangat bimbang dengan keadaan Mak Semah. Cakapnya yang mula meracau itu seperti menzahirkan sebuah firasat yang kurang baik.

“Esok saya akan cari Surya sekali lagi. Saya harap awak sabar, Im,” kata Marinah.

Keesokan harinya, Marinah mengotakan janjinya. Dia memandu ke arah syarikat rakaman tempat album Surya sedang diproses. Walau apapun yang terjadi, dia mesti dapatkan alamat Surya. Kalau dia tidak berjaya juga, dia akan redah jalan yang lain. Mungkin dia akan emncari sekolah tempat Maryam mengajar atau mencari pejabat Azman. Dia akan buat semuanya demi Mak Semah dan Makyung Bedah.

“Minta maaf, Surya tidak mahu diganggu,” kata Cik Hezrita ketika menerima kedatangan Marinah. Wajahnya masam. Jelas sekali dia memang kurang senang dengan kunjungan kali kedua Marinah itu.

“Tolonglah cik. Saya sangat perlu berjumpa dia. Kalau dia tak nak jumpa saya, biar saya cari dia di rumahnya. Ada perkara yang nak saya beritahu dia.”

“Saya yang kena minta tolong dari awak. Tolonglah jangan ganggu dia. Dia perlu tumpukan perhatian kepada kerja dia.”

“Kalau macam tu, boleh tak cik berikan saya alamatnya. Saya perlu sangat nak jumpa dia. Ini soal hidup dan mati. Tolonglah saya cik...” rayu Marinah bersungguh-sungguh.

“Sekali lagi saya minta maaf. Saya tak boleh dedahkan alamat dia kepada orang lain. Ini melanggar etika kerja saya,” kata Cik Hezrita.

“Tapi, mahukah cik melanggar etika sebuah kehidupan?”

“Apa maksud awak?”

“Seorang sahabat sedang nazak dan ingin sekali bertemu sahabatnya untuk kali terakhir. Cik mahu bertanggungjawab kalau berlaku apa-apa kepada dia?”

“Sahabat siapa?”

“Sahabat emaknya.”

Diam. Cik Hezrita termenung memikirkan sesuatu. Dia keliru dan sangsi dengan apa yang didengarnya.

“Saya tak bohong. Dan saya pun tak main-main. Kami sangat perlukan bantuan cik untuk mengubati hati seorang insan. Tolonglah...” rayu Marinah bersungguh-sungguh.

“Maafkan saya. Saya tak faham apa yang sedang cik katakan ini. Siapa yang nazak dan siapa yang sakit? Apa pula hubungannya dengan Surya? Kenapa cik nak sangat tahu alamat Surya?” tanya Cik Hezrita pula.

Marinah rasa peluang sudah mula terbuka untuknya. Lalu dia tidak berlengah lagi. Semuanya diceritakan kepada pengurus merangkap pembantu peribadi Surya itu. Semua hal Makyung Bedah dan Surya diceritakan dengan tersusun rapi.

“Saya tak berniat nak aibkan Cik Surya. Saya cuma nak tahu alamat dia dan nak jumpa mak dia. Saya perlu bawa balik emaknya ke kampung sebelum terlambat.”

“Tapi, Surya mana ada emak? Dia kan dibela oleh mak ciknya sejak kecil. Dan makciknya juga sudah meninggal dunia. Cik jangan cuba nak buat fitnah gila semata-mata nak hancurkan karier Surya yang sedang melonjak naik,” kata Cik Hezrita seperti memberi amaran.

Marinah terkedu. Itukah cerita yang mereka dengar dari Surya? Itukah yang membuatkan Surya tidak mahu mengaku Makyung Bedah itu ibu yang melahirkannya?

“Saya tak tahu apa yang cik dengar dari Surya. Tapi percayalah, saya cuma nak jumpa maknya.Saya tak berminat nak hancurkan kariernya.”

Giliran Cik Hezrita pula berdiam diri dan termenung.

“Kalau saya nak hancurkan masa depan dia, saya tak datang ke sini. Saya boleh terus berjumpa wartawan hiburan. Saya boleh terus ke stesen TV dan berjumpa penerbit rancangan hiburan. Saya boleh panggil orang kampung beri kenyataan. Tapi kami semua masih ingin menjaga nama baiknya. Kami tak nak yang lain selain emaknya!”

Cik Hezrita angguk perlahan. Wajah Marinah direnung lama. Ada kejujuran pada kerdipan mata gadis itu. Ada kesungguhan pada bicaranya. Dalam masa yang sama, ada rasa kesal dan marah dalam hatinya. Kalau benar cerita Marinah, Surya adalah anak derhaka. Surya adalah Si Tanggang moden!

“Apa yang boleh saya bantu?” Akhirnya Cik Hezrita menyerah diri pada kehendak Marinah.

“Tak banyak. Saya cuma nak alamat tempat tinggalnya. Saya akan pergi sendiri ke sana. Saya tak akan libatkan Cik Hezrita. Kalau Cik Hezrita nak, saya tak akan sebut nama cik. Saya janji untuk simpan rahsia. Tolonglah saya... demi seorang ibu...” Marinah menarik tangan Cik Hezrita dan menggenggamnya erat.

Timbul belas di hati Cik Hezrita. Dia menarik sekeping kertas dan menulis apa yang Marinah minta.

“Nah, ini alamat rumah Datuk Seri Azimi dan Datin Seri Nik Hayati. Mungkin tidak mudah untuk awak masuk ke sana. Saya doakan awak berjaya. Datin Seri seorang yang baik. Mungkin dia akan belas mendengar cerita awak. Saya tidak tahu nasib Surya kalau hal ini benar. Pergilah, sebelum ada orang nampak awak di sini,” kata Cik Hezrita.

“Terima kasih Cik Hezrita. ALLAH saja yang membalas jasa cik ini,” ucap Marinah, menarik tangan Cik Hezrita untuk bersalaman.

Cik Hezrita hanya mengerdipkan mata dengan senyuman nipis di bibirnya.

Marinah tidak berlengah lagi. Dia segera memandu ke arah alamat yang diberikan. Dadanya sangat berdebar. Bolehkah Surya menerima kedatangannya dengan hati yang terbuka.


Previous: Bab 55
Next: Bab 57

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.