Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 3

Angin masih bertiup lembut. Kehijauan sawah sangat menyejukkan mata Makyung Bedah yang memang basah. Ingatan Makyung Bedah juga masih menjalar kepada masa silamnya. Masa indah dan bahagia di samping seorang suami. Seluruh cinta dan harapan tertumpu kepada rumah tangga dan anak-anak.

Dia melahirkan Azman, Maryam dan Surya sebagai bukti kasih sayang dan cinta mereka.

“Abang harap anak-anak kita akan berjaya. Semoga mereka menjadi anak yang soleh. Kita akan mendidik mereka dengan iman dan taqwa,” kata suaminya setiap kali dia melahirkan.

Namun, kebahagiaan hidup bersama lelaki yang sangat dicintai itu tidak lama. ALLAH memang sayangkan orang yang baik-baik. Pagi yang hening, dia menjadi balu. Anak-anaknya menjadi yatim. Sepantas itu hubungan mereka terputus.

Dalam tidurnya, Ismail pergi dijemput Illahi.

“Abang nak tidur dulu Bedah. Kepala abang rasa pening. Harap malam ni abang dapat bangun untuk mengerjakan solat tahajud. Kalau abang tak sedar, Bedah tolong kejutkan abang ya,” kata suaminya sambil memicit-micit kepalanya.

“Abang nak Bedah picitkan?”

“Tak apalah. Abang pening sikit saja. Kalau dah tidur nanti, hilanglah. Bedah tengoklah budak-budak tu dulu. Abang tidur dulu ya.” Suaminya berjalan ke arah bilik. Namun sebelum melangkah masuk, dia menoleh. Kemudian dia berjalan semula ke arah Makyung Bedah.

“Bedah, boleh abang peluk Bedah sekejap?”

“Ish! Abang ni… Bedah malu dengan anak-anak.”Dia tersipu malu.

“Apa nak dimalukan. Abang nak peluk sekejap saja.”

“Mak, pergilah. Ayah tu macam budak kecik.Nak tidur siap nak minta mak peluk!” Azman mengekek ketawa bersama adik-adiknya.

Akhirnya Makyung Bedah akur dengan permintaan itu. Dia berjalan dengan sopan ke arah suaminya. Dengan penuh hormat pula dia merebahkan dirinya ke dalam pelukan Ismail.

“Terima kasih kerana sudi jadi isteri abang dan melahirkan anak-anak abang.”

“Bedah pun nak ucap terima kasih pada abang kerana sudi jadi ayah kepada anak-anak Bedah.”

Ismail melepaskan pelukannya. Dia merenung ke dalam mata Makyung Bedah, lembut dan bening renungan itu.

“Abang tidur dulu ya. Jaga diri Bedah dan anak-anak,” kata Ismail sambil mengucup dahinya. Dia tidak rasa apa-apa. Dia tidak menganggap itu satu firasat kerana sejak awal kahwin, sikap Ismail memang begitu.

Selesai menguruskan anak-anak, dia masuk ke bilik untuk tidur. Sangkaannya Ismail tidur lena lalu dia tidak mengejutkannya.Sebaliknya, dia menarik selimut dan menyelimutkan tubuh itu dengan sempurna.

Dia memeluk tubuh suaminya dari belakang. Kemudian dia terlena.

Pukul 3.00 pagi, waktu untuk mereka menunaikan tahajud.Makyung Bedah tersedar dan segera bangun. Dia segera ke bilik air untuk berwuduk.

“Abang, bangunlah. Bedah dah siap ni,” katanya ketika masuk semula ke bilik. Dia membentangkan sejadah.

Diam. Tidak ada jawapan dan tubuh itu tidak juga bergerak. Dia mendekat dan menepuk-nepuk tubuh Ismail.

“Abang, bangunlah. Dah sampai masa kita bertahajud.” Dia mengejutkan sekali lagi. Ismail tetap diam dan tidak memberikan apa-apa reaksi. Hatinya mula cuak. Wajah suaminya direnung lama. Dadanya berdebar kencang. Dia membatalkan wuduknya dengan menyentuh dahi Ismail. Sejuk.

Dia meletakkan tangan di hidung suaminya. Tidak ada nafas.

Dia mencari denyut nadi di pergelangan tangan. Senyap. Tidak berdenyut.

“Ya ALLAH! Abang….” Dia mula menangis tersedu-sedu. Tubuh yang sejuk kaku itu dipeluk. Wajah yang sejuk tenang itu dicium berulang kali.

Alangkah senangnya sakratul maut mencabut nyawa Ismail.

Semuanya berlaku sekelip mata. Tidak ada tanda-tanda pelik untuk dijadikan panduan.

Dia menangis berhari-hari. Dia sengsara berbulan-bulan. Akhirnya dia sepi bertahun-tahun sehingga kini.

Matanya kembali basah. Kenangan dua puluh tahun yang lalu, telah membasahkan semula matanya.

Dia bangun dan berjalan ke halaman. Dia mengambil penyapu dan menyapu daun-daun kering yang ada di halaman itu.

“Assalamualaikum Mak Bedah!” Satu suara menyapa.

“Waalaikummussalam.” Makyung Bedah menjawab sambil menoleh.

Seorang anak muda tercegat dengan sebuah senyuman. Imran anak Mak Semah, sahabat baiknya.

“Im dari mana?”

“Dari sawah tu.Melihat air dalam relong padi tu. Sambil tu petik ulam ni untuk mak. Dah berapa hari asyik sebut nak makan benda ni,” jawab Imran sambil menunjukkan seberkas keladi senduk yang segar hijau.

“Ish, sedap tu. Celur cicah budu pun sedap. Buat kerabu pun sedap,” kata Makyung Bedah dengan mata berselera.

“Mak Bedah nak ? Ambillah sikit. Banyak ni. Kami berdua takkan habis makan.”

“Mak kamu nak masak apa?”

“Mak mana boleh masak dah. Im yang akan masak. Mak kata nak makan kerabu. Im nak singgah kedai Pak Mud beli ikan dulu,” jawab Imran.

Makyung Bedah segera teringat. Sahabatnya Semah sudah lama tidak mampu bangun sendiri. Dia lumpuh dari pinggang ke bawah. Imran yang menjaganya. Untuk mandi, makan dan minum semuanya diuruskan oleh anak lelakinya itu.

“Kalau macam tu, Im tinggalkan saja keladi tu di sini. Biar Mak Bedah buatkan kerabu untuk mak Im. Im baliklah. Mandi dan rehat. Dah siap, Mak Bedah hantarkan,” kata Makyung Bedah dengan tulus.

“Betulkah Mak Bedah? Tak menyusahkan Mak Bedah ke?” Mata Imran bercahaya. Sebenarnya dia kurang pandai sangat memasak kerabu.

“Betul. Mak Bedah pun dah lama tak makan kerabu. Mak Bedah nak masak, rasa malas sebab makan sorang saja. Sekarang, kalau ada yang nak makan, rajin juga Mak Bedah nak masak.”

Akhirnya, Imran akur. Dia meletakkan keladi itu di atas pangkin.

“Im balik dulu. Nak mandikan mak.”

“Nanti Mak Bedah hantarkan ya. Kirim salam pada mak.”

Imran meninggalkan halaman rumah Makyung Bedah. Tanpa membuang masa, Makyung Bedah masuk ke dapur. Dia keluarkan ikan dan kelapa dari peti sejuk.

Hampir sejam, semuanya siap.

“Terima kasih Bedah. Tak sangka aku dapat makan kerabu keladi senduk buatan tangan kau. Dah lama aku tak makan masakan kau, Bedah.” Mak Semah menyambut kedatangan Makyung Bedah dan kerabu keladi senduk itu dengan wajah girang.

Makyung Bedah ketawa. Dia rasa gembira dengan kata-kata Mak Semah itu.

“Im dah masak nasi?”

“Dah. Balik tadi terus Im masak nasi,” jawab Imran.

“Jom, kita makan sekarang. Im sendukkan nasi.Mak dah tak tahan ni,” kata Mak Semah pula.

Serta merta Imran menurut perintah ibunya.

“Tak tahulah sedap ke tidak, Semah. Tangan aku ni dah kaku nak memasak macam dulu.”

“Mesti sedap. Tangan kau tu ada hikmat dan batu geliga, Bedah.” Mak Semah ketawa mengekek.

“Pandailah kau membodek aku.” Makyung Bedah ikut ketawa.

Imran siap menyenduk nasi. Dia menghidangkan di atas meja bersama ikan goreng dan masak lemak pucuk paku.

“Marilah kita makan. Dah siap ni, mak, Mak Bedah,” ajak Imran.

Makyung Bedah menolak kerusi roda Mak Semah ke arah meja makan di ruang dapur.

“Wah! Sedapnya Im…” kata Mak Semah dengan mata terbuka luas.

“Mak nak makan yang mana dulu? Kerabu ke masak lemak pucuk paku ni?”

“Mestilah kerabu keladi senduk ni. Dah lama mak tak makan. Pucuk paku ni selalu makan sebab Im selalu masak.”

Imran menceduk sedikit kerabu dan menyuapkan ke mulut Mak Semah dengan penuh kasih sayang.

“Mak makan kenyang-kenyang ya. Lauk yang mak nak ni dah dapat. Walaupun bukan dari air tangan Im yang masak, tapi ia istimewa dari sahabat baik mak. Sahabat sejati. Sahabat dunia dan akhirat, mak.” Imran terus menyuap dan Mak Semah pula menerima suapan itu dengan senyuman senang.

Makyung Bedah memerhati dengan hati cemburu. Dia membayangkan Azman sedang menyuapkan nasi ke mulutnya. Oh! Alangkah bahagianya rasa. Namun, semua itu pasti tidak akan berlaku. Mustahil ia akan terjadi. Azman bukan Imran.

“Bedah, apa yang kau tunggu lagi. Makanlah. Sedap sangat kau buat kerabu ni Bedah. Cukup ikan dan kelapanya. Cukup juga masin dan masamnya,” sergah Mak Semah dengan mulut yang penuh.

Dengan perlahan, Makyung Bedah menyuapkan nasi putih yang ada dalam pinggannya ke mulut. Dia mengunyah tanpa selera.

“Mak Bedah, kenapa ni?” Imran perasan dengan perubahan wajah Makyung Bedah. Dia muram dan nampak sedih.

”Tak ada apa Im.”

“Bedah, janganlah bersedih hati. Aku kan ada. Kalau ada apa-apa yang menyesakkan dada kau, kau boleh cerita pada kami,” kata Mak Semah pula.

Makyung Bedah tunduk sebak. Kunyahannya menjadi semakin perlahan.

“Mak Bedah, nah makan ni,” kata Imran sambil menyuakan sesuap nasi yang sudah digaul dengan kerabu keladi senduk ke mulut Makyung Bedah.

Makyung bedah teragak-agak. Dia menoleh ke arah Mak Semah.

“Makanlah Bedah,” suruh Mak Semah.

Dengan perlahan, Makyung Bedah menerima suapan dari tangan Imran. Dadanya sebak dan kerongkongnya memang perit. Seumur hidupnya, belum pernah dia makan dari suapan anak-anaknya. Sekarang, anak orang lain yang menyuapkan makanan ke mulutnya.

Lalu, sebak itu pecah menjadi tangis!

“Bedah, sabarlah. Jangan menangis macam ni. Kita sekarang sedang mengadap rezeki.”

Makyung Bedah mengusap air matanya dengan hujung baju.

“Maafkan aku Semah. Aku dah rosakkan selera kau,” kata Makyung Bedah, memaksa sebuah senyuman.

“Taklah. Selera aku tak rosak pun dengan air mata kau tu. Kerabu yang kau masak ni sangat sedap. Aku tak nak ingat yang lain-lain selain kerabu ni,” balas Mak Semah pula. Dia cuba menutup resah hatinya ketika melihat air mata Makyung Bedah menitik.

Imran terus menyuap Mak Semah dan sekali-sekala menghulurkan suapan kepada Makyung Bedah juga. Dia sebenarnya cuba melindungi perasaan hatinya sendiri.

Makyung Bedah mengunyah dengan penuh selera. Suapan tangan Imran ternyata berkesan membuka seleranya. Sambil mengunyah, fikirannya menerawang mengimbau kenangan lalu.

Anak-anak masih kecil ketika Ismail meninggal. Alangkah sengsaranya membesarkan anak tanpa suami!

“Kami pun susah. Minta maaflah kerana tak dapat nak bantu kamu, Bedah.” Itu yang sering dikatakan oleh saudara mara ketika dia menyuarakan kesusahannya. Tidak kira keluarga sebelah suaminya atau keluarga sebelahnya.

Hendak tak hendak, Makyung Bedah terpaksa kembali ke pentas makyung. Kali ini nawaitunya hanya satu : mencari rezeki demi anak-anak.

“Maafkan Bedah bang. Bedah terpaksa buat semua ini demi anak-anak kita. Bedah tak nakmereka tak bersekolah. Bedah tak nak mereka hidup susah. Siapa yang nak tolong Bedah. Bedah kena berusaha sendiri,” kata Makyung Bedah ketika menziarahi pusara suaminya.

Dia menangis. Dia merintih. Namun tidak ada tangan yang membantunya selain sahabatnya Semah. Namun Semah hanya mampu memujuknya agar bersabar. Semah hanya mampu menjadikan bahu tempat dia melepaskan tangis. Semah sendiri bukan orang senang. Semah sendiri mengharungi hidup yang sukar selepas suaminya pergi entah ke mana selepas dia melahirkan Imran.

“Sabarlah Bedah. Nasib kita sama, terpaksa membesarkan anak tanpa suami. Cuma, kau seorang balu dan aku janda yang tidak bertalak.” Itu kata Semah setiap kali melihat air matanya mengalir.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.