Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 51

Surya sampai di studio dengan hati sebal. Apa yang berlaku di rumahnya pagi itu sangat mengganggu perasaannya.

“Surya, kenapa?” tegur Cik Hezrita, pengurusnya.

“Tak ada apa. Mood aku kurang baik hari ini.”

“Kau jangan buat pasal. Hari ni hari terakhir latihan. Kalau kena lawan mood jahat itu sebelum mood tuan produser pula menjadi hangat dan rakaman akan huru hara,” balas Cik Hezrita.

Surya duduk bersandar di sofa. Kepalanya dilentukkan dan dia pejamkan mata. Sedaya upaya dia cuba membuang semua rasa resah gelisah yang bersarang di hati.

“Sebelum aku lupa, semalam ada seorang gadis cari kau di sini.”

“Pukul berapa?” Surya angkat kepala. Cerita itu menarik minatnya.

“Tengah hari dan petang. Dia datang dua kali. Dia kata nak jumpa kau, mustahak sangat.”

“Siapa namanya? Ada pesanan?”

“Pesanan tak ada. Tapi dia berikan kau, ini.” Cik Hezlita mengunjukkan sekeping sampul surat berwarna putih.

Surya segera mengambilnya. Hatinya begitu teruja ketika membuka sampul itu. Sehelai kertas ditarik keluar. Matanya mula menatap. Hatinya mula membaca.

‘Assalamualaikum Puan Surya, maafkan saya kerana mengganggu masa puan. Nama saya Marinah. Saya anak angkat kepada emak puan, Makyung Bedah. Saya teringin sangat nak jumpa dia. Saya dah pergi ke kampung tetapi mereka kata puan dah bawa dia ke KL ini. Boleh tak puan izinkan saya jumpa dia. Puan boleh hubungi saya di nombor telefon berikut...”

Surya mengoyakkan kertas itu sebelum habis membacanya. Kepalanya semakin sendat dengan kekusutan.

“Siapa? Peminat?” tanya Cik Hezlita.

Dengan malas, Surya angguk. Walaupun Cik Hezlita pengurusnya tetapi Surya belum bersedia untuk berkongsi hal peribadinya itu. Biarlah semuanya diselesaikan sendiri.

“Aku harap kau dapat teruskan latihan ini dengan tenang. Kejayaan album ini terletak di tangan kau. Aku nampak penerbit dan penggubah lagu sudah buat kerja yang terbaik untuk album ini. Hanya kau yang perlu tambahkan usaha,” kata Cik Hezlita sambil merenung wajah Surya yang kelat.

“Aku tahu. Kau jangan susah hati. Aku akan buat yang terbaik.”

“Album pertama kau kurang menyengat. Aku harap kau berjaya untuk album kedua ini,” kata Cik Heznita lagi.

Surya angguk dan mengakui dalam hati.

“Selepas selesai rakaman, aku akan aturkan jadual promosi ke seluruh Malaysia. Road show ni penting. Aku harap kau dapat berkerjasama demi peminat kau.”

Surya mengeluh.

“Kenapa? Ada masalah untuk ikut dalam road show itu nanti?”

“Nantilah. Itu kita bincang kemudian. Sekarang, biar aku habiskan urusan rakaman dulu.” Surya menyandarkan kepalanya ke sofa. Sangat letih akal fikiran hari itu. Ingatannya masih pada nota yang baru diterimanya. Juga kepada Fazrin dan ibu mertuanya Datin Seri Nik Hayati.

Dia cuba membuang semuanya. Fikiran perlu ditumpukan kepada rakaman yang bakal diadakan. Lalu seharian itu, dia berada di studio. Dia cuba yang terbaik agar dapat menghasilkan album yang terbaik.

“Okey, saya berpuas hati dengan latihan ini. Tidak ada apa yang perlu dibimbangkan lagi mengenai lagu-lagu yang bakal dirakam. Saya harap album ini akan meletup. Saya harap awak lebih tenang dan bersedia, Surya.”

Surya angguk. Dia memang berharap agar dia dapat bertenang. Dia memang ingin lebih berjaya dalam dunia nyanyian. Impiannya sudah terlaksana. Dia sudah bergelar penyanyi tetapi dia belum begitu diminati. Album pertamanya suam-suam kuku sahaja. Tidak ada lagu yang menjadi hit untuk disiulkan oleh anak muda.

Dia tidak mahu berputus asa. Dia perlu terus mencuba dan terus melangkah. Tidak ada apa yang mampu menghalangnya termasuk Makyung Bedah!

Malam itu Surya mencari-cari peluang untuk bertemu Makyung Bedah di biliknya. Dia perlu bertindak sebelum gadis bernama Marinah itu muncul di hadapan pagar rumah banglo itu.

Selepas semuanya tidur, Surya menyusup keluar dari pintu dapur dan menyelinap masuk ke bilik Makyung Bedah. Bilik itu sengaja tidak dipasang lampu. Ia hanya bergantung kepada cahaya lampu jalan yang samar-samar memancar masuk melalui tingkap.

“Mak, bangun sekejap. Aku ada hal nak cakap dengan mak,” kata Surya perlahan seolah-olah berbisik. Dia menarik selimut yang menutupi tubuh Makyung Bedah.

Dengan lemah, Makyung Bedah bangun. Dia membetulkan diri dan cuba duduk dengan selesa. Dalam kelam malam itu, wajah Surya tidak mampu dilihat dengan jelas. Namun dapat dibaca, pasti ada yang tidak kena hingga Surya sudi muncul menunjukkan wajahnya.

“Mak kenal dengan seorang gadis bernama Marinah?”

“Inah? Kenapa dengan dia?” tanya Makyung Bedah dengan wajah yang cuak.

“Oh, jadi memang benar dia tu anak angkat mak? Sejak bila?”

Makyung Bedah tidak menjawab. Hatinya sangat gusar ketika nama Marinah disebut oleh Surya.

“Aku tak suka mak ada hubungan dengan budak tu?”

“Apa salah dia?”

“Aku tak suka! Jangan nak bantah!” tengking Surya.

“Kalau dia datang ke sini masa aku tak ada, aku tak nak mak jumpa dia.”

“Tapi kenapa? Dia tak bersalah apa-apa. Kenapa kau nak bencikan dia pula? Biarlah mak jumpa dia. Sekurang-kurangnya, hilang rindu mak pada kampung....”

“Tidak! Aku tak nak sesiapa pun tahu mak ada di sini! Mak faham apa yang aku cakap ni?” herdik Surya.

Mata Makyung Bedah berhenti berkelip. Dalam remang cahaya lampu, dia merenung wajah Surya. Tidak ada seri pada wajah anaknya itu. Surya yang cantik. Surya yang menawan. Tetapi Surya yang tidak ada nur pada wajahnya!

Surya tidak tahan dengan renungan mata Makyung Bedah. Dengan segera dia melangkah ke pintu.

“Ingat! Kali ini aku tak main-main mak. Kalau ada yang tahu mak di sini, tahulah aku nak buat apa pada mak,” kata Surya sebelum tangannya menarik tombol pintu.

“Kau nak buat apa? Nak bunuh mak? Sekarang pun mak dah mati, Surya!” Tiba-tiba Makyung Bedah rasa sangat marah dengan ugutan itu. Darahnya mengalir panas!

Surya menarik muka masam. Tangannya menarik tombol pintu dan dia segera melangkah pergi. Makyung Bedah cuba meredakan rasa marahnya dengan istighfar yang panjang.


Previous: Bab 50
Next: Bab 52

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.