Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 64

Sudah seminggu Makyung Bedah terlantar di katil hospital. Dia sendiri tidak ingat apa yang berlaku dan siapa yang membawanya ke situ. Yang dia ingat, dia terkejut melihat sekumpulan lelaki dan wanita berpakaian putih mengerumuninya.

“Saya di mana?” tanya Makyung Bedah kepada seorang jururawat yang sedang merawatnya.

“Mak cik di hospital. Syukurlah mak cik dah sedar. Lama mak cik pengsan,” jawab jururawat itu.

“Surya? Mana Surya?” Dia mencari. Namun diantara barisan wanita yang ada di hadapannya, tidak ada Surya. Yang mirip Surya pun tidak ada.

Dia pejam semula. Dia cuba ingat apa yang berlaku. Namun, semuanya samar. Lalu dia pejamkan mata dan tidur lagi.

“Dia masih terlalu lemah. Biarkan dia berehat.” Telinganya sempat mendengar suara seorang lelaki. Mungkin doktor.

Pagi itu, dia rasa tubuhnya ringan dan segar. Dia cuba bangun dan menyandar di katil. Lenguh rasanya terbaring sahaja.

“Selamat pagi mak cik. Wah! Dah dah boleh bangun sendiri,” tegur seorang jururawat.

Makyung Bedah membalas teguran itu dengan senyum. Dia melepaskan pandangan ke arah dinding yang putih bersih. Dia ingin melihat awan. Dia ingin melihat burung berterbangan. Namun, dia hanya dikelilingi tembok batu yang tegap utuh.

“Kalau mak cik cepat sihat cepatlah dapat balik,” kata jururawat itu lagi.

“Apa sakit saya sebenarnya. Macam mana saya boleh dibawa ke sini. Siapa yang bawa?”

“Mak cik tak ingat langsung?”

Makyung Bedah menggelengkan kepala dengan lemah. Memang dia tidak ingat apa-apa. Yang dia ingat hanya Surya. Di mana Surya?

“Mak cik pengsan di TBS. Pihak pengurusan TBS yang bawa mak cik ke sini.”

“Dah berapa lama?”

“Dah seminggu.”

“Seminggu saya pengsan?” Makyung Bedah rasa hairan. Apa penyakitnya hingga begitu lama dia pengsan?

“Tak. Mak cik pengsan sehari sahaja. Selebihnya, mak cik terlalu lemah. Tekanan darah terlalu rendah. Denyutan jantung juga lemah. Kemudian mak cik demam. Jadi doktor terpaksa berikan mak cik suntikan ubat penenang agar jantung mak cik dapat berehat lama,” jawab jururawat itu dengan senyum mesra.

Makyung Bedah mengucap syukur di dalam hati kerana ALLAH masih memberi peluang dia terus hidup.

“Tak apa, keadaaan mak cik dah mula sembuh. Tekanan darah mak cik dah stabil. Kalau demam mak cik tak berulang, esok lusa mak cik dah dapat balik.”

“Dalam masa seminggu ni ada sesiapa datang melawat saya?”

“Tak ada. Kami tak dapat hubungi keluarga mak cik. Lain kali, mak cik kena simpan nombor telefon anak-anak mak cik supaya kalau terjadi apa-apa, senang orang cari waris,” jawab jururawat itu sebelum meninggalkan katil Makyung Bedah untuk ke katil sebelah.

Makyung Bedah melepaskan sebuah keluhan. Seminggu dia di situ. Tidak ada yang mencari. Di mana saudara maranya? Di mana anak-anaknya?

Dia pejamkan mata. Perlahan-lahan dia mula ingat...

Suaminya meninggal dunia. Dia membesarkan anak-anak yang masih kecil. Dengan tenaga yang tak seberapa dia bertungkus lumus mencari rezeki. Diakembali ke pentas makyung demi mencukupkan apa yang kurang. Akhirnya, Azman, Maryam dan Surya berjaya dengan cita-cita masing-masing.

Mereka tinggal di Kuala Lumpur dengan keluarga masing-masing. Dia pula tinggal di kampung bersama Mak Semah dan Imran. Kemudian dia dibawa tinggal di Kuala Lumpur. Dari rumah Azman dia berpindah ke rumah Maryam. Akhirnya dia sampai ke rumah Surya.

Makyung Bedah membuka mata. Hanya setakat itu yang mampu diingat.

“Surya? Mana dia? Kenapa dia tak datang melawat aku. Kenapa dia biarkan aku di sini sampai seminggu?” bisiknya perlahan.

Dia pejamkan mata sekali lagi. Seluruh ingatannya dikerah. Dia ingin mencari jawapan untuk semua soalan yang berlegar di fikirannya.

Muncul sebuah rumah banglo yang sangat besar. Ada pengawal keselamatan. Ada dua orang pembantu rumah. Ada beberapa buah kereta mewah di garaj. Barang-barang perhiasan dalam rumah itu mahal-mahal belaka.

“Aku dah beri amaran pada mak, jangan keluar dari bilik ini waktu pagi sebelum semua orang ke pejabat. Tapi, mak degil. Mak memang nak jahanamkan hidup aku. Sekarang, mak rasa balasannya. Aku akan hantar mak pergi jauh dari sini!”

Suara itu tiba-tiba bergema memecah gegendang telinganya. Dia menutup telinga. Matanya melilau mencari. Peluh mula merecik di dahi. Jantung pula mula berdebar kuat.

“Mak cik, kenapa ni?” Seorang jururawat mendekati katilnya.

Makyung Bedah tidak mampu menjawab. Suara Surya semakin kuat dan jelas. Tengkingan Surya sangat menyakitkan hatinya.

“Sampai hati kau halau aku Surya! Tapi kenapa?”

“Aku tak suka mak kotorkan rumah aku! Mak tu orang kampung yang miskin! Aku tak suka hidup miskin. Aku dah jadi orang kaya. Aku dah hidup senang. Mak jangan ganggu aku lagi. Pergi mak dari sini!”

“Aku emak kau! Aku yang lahirkan kau. Kau pernah hidup sembilan bulan sepuluh hari dalam rahim aku!”

“Bukan aku yang minta mak lahirkan aku? Aku menyesal jadi anak mak!”

“Surya! Kau anak derhaka Surya! Kau derhaka! Kau derhaka!” Makyung Bedah ingin menjerit sekuat hati. Mulutnya dirasakan terbuka luas tetapi suaranya tidak kedengaran. Dia tercungap-cungap dan tergapai-gapai.

Jururawat segera memanggil doktor. Suasana menjadi cemas. Makyung Bedah sesak nafas!

“Apa yang mak cik fikir ni? Janganlah stres sangat mak cik,” kata doktor sambil memasang alat bantuan pernafasan ke hidung Makyung Bedah.

Makyung Bedah rasa selesa dengan alat itu. Dia rasa mengantuk dan keletihan. Dia ingin melupakan kata-kata Surya. Dia tidak mahu ingat apa-apa lagi. Tidur lebih baik dari terus bergaduh dengan Surya.

“Kau memang derhaka, Surya...”


Previous: Bab 63

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.