Makyung Bedah diam
membatu. Dia terkedu dan terharu. Sampai hati Surya. Kenapa Surya tak bersalam
dan mencium tangannya. Kenapa Surya tidak memeluk dan mencium pipinya. Kotor
sangatkah aku ini? Soalan demi soalan yang terlintas dalam kepala Makyung
Bedah.
“Mak? Cepatlah. Nanti
sekejap lagi orang dalam rumah ni akan balik. Saya nak keluar ni,” sergah Surya.
Makyung Bedah
terpinga-pinga. Rasa rindunya yang tidak berbalas membuat dia bingung seketika.
Namun sergahan Surya membuatkan dia sedar kenyataan di depan mata.
Dengan perlahan dia
bangun. Nada suara Surya lebih kurang sama dengan Azman dan Maryam. Suara
derhaka!
Dia mengekori Surya
keluar melalui pintu belakang ke sebuah bangunan di belakang dapur itu. Mereka
masuk ke sebuah bilik. Bilik itu asalnya bilik stor tetapi sudah diubah suai
menjadi bilik tidur.
“Ini bilik mak.
Semuanya ada dalam bilik ini termasuk bilik air. Saya dah suruh orang gaji saya
jaga makan minum mak. Tapi ingat, mak jangan sekali-kali melintas keluar ke
halaman rumah atau masuk ke dalam rumah. Kalau saya nampak mak buat macam tu,
jaga mak!” tegas Surya memberi amaran.
Hati Makyung Bedah yang
sudah lama koyak menjadi semakin robek. Matanya menatap wajah anak bongsunya
itu tanpa berkelip. Dia mencari kepastian. Benarkah Surya yang berkata begitu?
“Tapi, kenapa kau buat
mak macam ni Surya?” Dia bertanya dengan bibir terketar.
“Sebab saya tak nak
orang tahu mak ada bersama saya. Saya tak nak orang tahu mak tu mak saya!”
“Maknanya kau tak
mengaku aku ni mak kau?” jerkah Makyung Bedah pula.
“Ada ke saya kata macam
tu? Saya kata saya tak nak orang tahu mak ada sini. Titik!” Surya terus
meninggalkan bilik itu.
Makyung Bedah tunduk.
Dadanya berombak duka. Sungai air mata mengalir deras. Dia mula terbayangkan
sebuah kehidupan yang sangat menyeksakan di bilik kecil itu. Namun, dia segera
sedar akan dirinya. Tidak guna terus berduka pada ujian yang memang diberikan
ALLAH.
Serta merta Makyung
Bedah membetulkan dirinya.
‘Ya ALLAH, aku berserah
kepadaMU. Kuatkan semangatku. Kuatkan imanku. Jika benar inilah bahagian yang
KAU berikan buatku, aku akan tabah menerimanya. Tolong berikan aku kesihatan
yang baik, ya Tuhan.’
Makyung Bedah cuba
sesuaikan dirinya dengan keadaan. Dia menyusun rutinnya. Seawal pagi selepas
solat subuh dan usai membaca ayat-ayat suci Al-Quran, dia akan tidur sekejap. Sebelum
ini, dia jarang tidur ketika matahari sedang naik. Kini dia dia memaksa dirinya
untuk berbuat begitu sementara menunggu semua orang dalam rumah gedung itu
keluar ke tempat kerja masing-masing. Juga sementara menunggu makanan sampai.
Benar-benar dia dilayan
seperti seorang banduan. Tetapi apa salahnya? Adakah hanya dia seorang ibu yang
miskin dan tidak berpelajaran maka begini layanan Surya kepadanya?
Seminggu sudah berganti
sebulan, kehidupan Makyung Bedah tetap sama. Surya tidak pernah menjenguk dia
di bilik stor itu. Hidupnya diuruskan oleh Leha dan Bik Sumi, pembantu rumah.
“Mak cik nak apa-apa,
mak cik tekan butang ni. Mak cik jangan keluar dari sini. Sebab kalau Puan
Surya tahu, teruk saya kena marah!” Itu kata pembantu yang Leha kepadanya.
Sangat setia pembantu
rumah itu kepada tuannya, Surya. Namun setiakah Surya sebagai anak kepadanya?
Itu yang muncul di fikiran Makyung Bedah.
Nasib baik dia masih
boleh berhubung dengan Imran dan Mak Semah. Kepada mereka berdua, diluahkan
resah dan kecewa.
“Kau sabar ya Bedah.”
“Aku dah terlebih
sabar, Semah. Aku dah tak nak ingat hal lain lagi. Biarlah aku hilang anak-anak
aku. Aku tak nak sedih lagi. Aku cuma nak balik kampung. Aku nak hidup macam
dulu. Dah beberapa bulan hidup aku dah tak tentu arah. Aku rindukan kau dan
Im,” kata Makyung Bedah, jujur.
“Kami juga rindukan
kau. Imran setiap kali makan, menyebut nama kau. Dia yang paling banyak risau
tentang kau. Kalau boleh dia memang nak ke sana dan bawa kau balik. Tapi... aku
yang tak bagi, Bedah.”
“Kenapa? Kau tak sayang
aku?”
“Aku dan Imran
sayangkan kau macam kami sayang diri kami sendiri. Tapi, kami tak ada hak atas
kau. Anak-anak kau lebih berhak atas kau. Kami tak nak bergaduh dengan mereka,
Bedah.”
“Kenapa nak bergaduh?
Mereka tu bukan sayangkan aku. Mereka bawa aku ke sini kerana nak seksa aku.
Aku dah hidup di ketiga-tiga rumah. Semuanya sama. Mereka kurung aku. Mereka
sisihkan aku dari hidup mereka. Apa erti semua ini, Semah?”
“Sabarlah Bedah...”
Sampai di situ, esakan
Mak Semah mula kedengaran. Hati Makyung Bedah semakin tidak keruan apabila
mendengar esakan itu.
“Janganlah menangis
Semah. Tak apalah. Biarlah aku terus di sini. Mari kita berserah kepada ALLAH.
Kalau seandainya kita tidak berjumpa lagi, aku serahkan semua harta bernda aku
kepada Imran.”
“Jangan cakap macam tu,
Bedah. Kau pasti akan balik ke sini. Kita pasti akan berkumpul semula. Aku
yakin dengan janji ALLAH. Tanah kubur kau tetap di kampung ini. Sabarlah.”
Itulah pujukan Mak
Semah.
Mak Semah sahabat yang
baik. Sahabat dunia dan akhirat. Sahabat susah dan senang. Dia ciri-ciri
sahabat yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W.