Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 49

Marinah termenung lama. Makyung Bedah sudah tidak dapat dihubungi. Itu kata Imran. Dia juga sudah cuba menghubungi nombor telefon wanita itu berpuluh kali. Jawapannya tetap sama. Memang telefon milik Makyung Bedah sudah dimatikan. Mereka sudah terputus hubungan dengan wanita itu.

“Apa usaha kita sekarang, Imran?” tanya Marinah melalui telefon.

“Saya pun tak tahu. Saya buntu.”

“Apa kata kalau kita masuk surat khabar,” usul Marinah.

“Ish! Jangan. Nanti semua akan lebih sulit. Tentu mereka akan terus sembunyikan mak dari dunia luar.”

“Awak yakin ini kerja anak-anak mak? Awak yakin mereka memang sengaja nak sembunyikan dia dari masyarakat?” tanya Marinah lagi. Kali ini dia sangat ragu-ragu dengan apa yang didengar itu. Akalnya masih belum menerima kalau ada di dunia ini seorang anak menzalimi ibu yang melahirkannya.

“Ya. Saya yakin sangat-sangat. Sebab sebelum ni, mak pernah beritahu bahawa Surya malu nak mengaku dia ibu. Mereka bawa mak keluar dari kampung ini kerana bimbang wartawan dapat mengesan mak dan menghebahkan kepada umum. Suria tak nak kehilangan hidupnya yang tersohor dan mewah,” jawab Imran, bersungguh-sungguh.

“Tapi, mereka dah jadi anak derhaka!”

“Kemewahan dunia membutakan akal fikiran dan mematikan iman mereka.”

Marinah semakin rasa sedih mendengar cerita itu. Sampai hati Surya. Lantaran nak jaga popularitinya, Surya sanggup bertindak derhaka begitu.

“Bolehkah saya minta tolong awak?” tanya Imran selepas lama suasana senyap.

“Apa dia?”

“Awak tolong cari mak. Saya susah nak bergerak. Mak saya tak ada orang jaga.”

“Macam mana saya nak cari. Kita pun tak tahu alamatnya.”

“Awak kan pelajar seni. Mesti awak kenal artis dan orang-orang seni. Atau wartawan hiburan.”

“Maksud awak?”

“Awak cuba cari alamat Surya dan keluarga mertuanya. Dari sana baru kita dapat mencari mak.”

Marinah terdiam. Ada rasa gementar di celah hati. Maklumlah, Surya itu penyanyi tersohor. Mertuanya pula golongan ternama yang disegani.

“Awak tak setuju?” tanya Imran.

“Saya setuju tetapi saya juga takut. Mana tahu saya kena saman nanti dengan Surya kerana cuba mengganggu hidupnya. Atau saya kena tangkap oleh Datuk Seri tu kerana membuat onar dalam keluarga dia.”

“Kita bukan nak kacau mereka. Kita tak ganggu mereka pun. Kita cuma nak cari mak. Kita kena cepat, Inah. Saya rasa ada yang tak kena di sini. Saya rasa...” Imran tidak meneruskan kata-katanya. Dia menahan sebak. Bayangan wajah sedih Makyung Bedah terbayang di ruang mata.

Mendengar kata-kata Imran, Marinah rasa bersemangat dan yakin. Lalu dia berjanji untuk menunaikan permintaan Imran sebelum telefon dimatikan.

Beberapa hari, Marinah mencuba. Dia bertanya kepada beberapa orang kawan. Dia merisik berita dari sahabat wartawan. Dia melusuri laman sosial milik Surya. Dia meninjau-ninjau cerita mengenai keluarga mertuanya, Datuk Seri Azimi. Tidak ada yang boleh dijadikan bahan pencarian. Akhirnya Marinah memberi laporan kosong kepada Imran.

“Saya belum dapat apa-apa bahan.”

“Cubalah lagi. Jangan berhenti berusaha. Kasihani mak saya dan mak di sana. Kita tak boleh biarkan keadaan ini berterusan.”

Sekali lagi Marinah membuat janji. Dia tetapkan tekad untuk terus mencari. Dia akan lebih berusaha. Makyung Bedah dan Mak Semah perlu ditemukan. Mereka tidak boleh dipisahkan lagi.

Dia terus berfikir dan mencari jalan. Semua orang kenal Surya. Tetapi tidak ada yang tahu di mana dia tinggal.

Tiba-tiba Marinah teringat untuk mencari Surya melalui syarikat rakamannya. Lalu dia mencari maklumat mengenai syarikat yang merakamkan album Surya. Dia segera mencari alamat dan lokasi syarikat tersebut melalui google.

Tidak lama dia tersenyum senang sambil mencatit apa yang dicarinya itu pada sekeping kertas.

‘Aku harap semuanya berjaya. Aku harap dapat berjumpa Surya di sana. Atau setidak-tidaknya aku dapat mengesan alamatnya,’ bisik hati Marinah sambil merenung apa yang ditulisnya.

Dengan tangkas pula, dia mencapai kunci kereta dan segera menuju ke arah alamat yang ada dalam genggamannya.


Previous: Bab 48
Next: Bab 50

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.