Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
bab 22

Seminggu selepas itu, Imran menerima jawapan dari pihak Jabatan Kesenian Negara. Jawapan yang sangat menyenangkan hati Imran. Dia segera menghidupkan enjin motor.

“Im! Nak ke mana?” laung Mak Semah dari dalam.

“Nak ke rumah Mak Bedah kejap, mak!”

Imran tidak berlengah lagi. Khabar itu mesti segera disampaikan. Dia suka sekali melihat senyum senang Makyung Bedah. Mudah-mudahan ada perkara yang mampu membuat hatinya rasa gembira.

Ketika Imran sampai, Makyung Bedah sedang memberi makan ikan di kolam belakang rumahnya.

“Mak! Mereka terima usul saya untuk memasukkan mak dalam senarai penggiat seni dan budaya dan warisan Melayu. Mak akan dijemput untuk bertemu siswa sebuah universiti tak lama lagi. Mereka sangat teruja nak jumpa mak,” kata Imran menunjukkan surat yang diterimanya.

Makyung Bedah mendekat. Matanya bercahaya.

“Bila?”

“Dua minggu lagi.”

“Im temankan mak ya?”

“Siapa nak tengok mak saya tu pula?” Imran serba salah. Dia tahu Makyung Bedah tidak mampu berjalan sendirian. Apa lagi di tengah kota besar Kuala Lumpur.

Makyung Bedah termenung.

“Kalau macam tu, tak payahlah mak pergi. Nanti mak sesat di sana. Nanti mak tak tahu nak buat apa. Mak tak pernah pun ke Kuala Lumpur tu.”

“Kan mak pergi masa majlis konvokesyen Abang Man, Kak Yam dan Surya?”

“Itu mereka yang bawa. Masa konvo Surya, mak hanya ditinggalkan di hotel. Mak tak dibenarkan pergi ke majlis tu. Alasannya, mereka tak nak mak pengsan di celah orang ramai.”

Giliran Imran pula termenung.

“Kalau macam tu, nantilah kita bincang dulu dengan mak Im. Tapi, Im nak mak pergi.”

“Kenapa Im ni beria-ia sangat?”

“Sebab Im nak mak dikenang. Masa mak tersohor dulu, generasi kami masih kecil dan tak pernah kenal mak. Mak memang patut diberi penghargaan.”

**

Perjalanan ke Kuala Lumpur mengambil masa enam jam. Lenguh seluruh tubuh Makyung Bedah duduk dalam kereta. Sepanjang jalan dia berpusing ke kiri dan ke kanan. Nasib baik juga tempat duduk dalam kereta itu luas dan selesa. Kalau sempit dan sesak entahlah apa yang berlaku kepadanya.

Kalau tidak kerana Imran, memang dia tidak akan berjalan sejauh itu. Imran yang bersusah payah dan beriya-iya.

“Mak, maafkan Im kerana tak dapat hantar mak ke sana.”

“Kalau macam tu, mak pun tak payah ke sana. Mak takut Im.”

“Jangan hampakan mereka mak. Siswa-siswi dari Fakulti Seni terlalu ingin berjumpa mak. Mereka mengharap sangat.”

“Habis macam mana? Takkan mak nak pergi sorang diri?” Makyung Bedah terpinga-pinga bingung. Imran terlebih-lebih lagi.

“Im, pergilah temankan Mak Bedah. Mak boleh minta tolong sesiapa temankan mak tidur. Hal yang lain, mak boleh buat sendiri. Untuk makan, mak suruh saja budak-budak belikan nasi bungkus,” kata Mak Semah pula.

“Ish jangan Semah. Jangan kerana aku kau pula nak susah begitu. Imran kena jaga kau,” tingkah Mak Semah dengan cepat.

Imran mati akal. Memang dia buntu. Lalu hal itu diceritakan kepada Tengku Asnida, Ketua Urusetia yang menganjurkan pertemuan itu.

“Jangan susah pasal itu. Pihak kami akan datang mengambil Mak Bedah di sana.”

“Betulkah? Kalau tidak saya terpaksa batalkan pertemuan ini.”

“Ya. Nanti kita aturkan tarikh dan masanya. Kami akan membayar semuanya. Kami hanya nak orang yang bernama Makyung Bedah itu ada bersama kami.”

Hati Imran sangat senang. Dia menarik nasaf lega.

“Mereka akan datang ambil mak.”

Hendak tak hendak, Makyung Bedah terpaksa akur dengan perjalanan itu. Tidak ada alasan lagi untuk menolak.

“Puan, nama saya Marinah.” Seorang gadis yang manis bertudung sopan menghulurkan tangan.

“Tolong jangan panggil puan. Panggil mak saja. Cakap dengan kawan-kawan. Mak nak kita berbual dalam keadaan mesra dan selesa,” kata Makyung Bedah ketika menerima huluran tangan

“Baiklah mak. Saya yang akan jaga mak selama mak di Kuala Lumpur ni. Mak jangan segan dan malu dengan saya. Kalau mak perlukan apa-apa, mak cakap saja,” kata Marinah dengan senyum senang.

Makyung Bedah merenung wajah wanis Marinah dengan mata kasih seorang ibu.

“Cik Marinah, saya harap awak jaga mak saya ni dengan baik,” kata Imran kepada gadis yang bernama Marinah itu.

“Insya-ALLAH saya akan jaga dia seperti saya menjaga emak saya sendiri. Awak jangan susah hati.”

Memang benar apa yang dijanjikan oleh Marinah. Makyung Bedah memang dijaga dengan baik. Dia dilayan seperti seorang ratu.

“Mak, mak berehat dulu ya. Malam ni kita berehat saja dulu. Esok baru kita ke majlis itu.”

“Mak nak mandi dan solat. Mana kiblatnya?”

Marinah mendongak ke atas. Ada satu anak panah menunjukkan arah kiblat.

“Arah ke sana, mak,” tunjuk gadis itu.

“Kamu tak solat ke?”

“Ermm... saya uzur mak.”

“Kalau betul-betul uzur tak apa. Jangan kamu yang sengaja uzurkan diri kerana malas nak solat. Solat itu wajib. Ia tiang agama. Kalau agama kita tidak bertiang macam mana?” Makyung Bedah merenung wajah Marinah dengan renungan kasih sayang.

Marinah terkebil-kebil resah.

“Maafkan mak ya. Mak cuma nak ingatkan kamu. Sebagai saudara seIslam, tidak salah kalau kita saling mengingati. Dahlah, mak nak mandi dan berwuduk dulu.” Makyung Bedah bangun.

“Mak...” Tiba-tiba menarik tangan Makyung Bedah. Dia mencium tangan Makyung Bedah berkali-kali.

“Ada apa ni?” Makyung Bedah rasa canggung dan pelik dengan kelakuan gadis itu.

“Saya terharu dengan teguran mak. Saya rasa macam mak saya masih hidup,” jawab Marinah bernada sebak.

“Teguran ke arah kebenaran kena terima dengan hati terbuka.”

Marinah angguk perlahan.


Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.