Sejak menjadi menantu
Datuk Seri Azimi, sekalipun Surya tidak pernah ingat untuk menghubungi ibunya.
Malah sejak dia menukar nombor telefon, hatinya lega kerana tidak ada lagi
panggilan dari ibunya.
Kepada keluarga
mertuanya, dia memberitahu bahawa dia sudah tidak ada emak. Kononnya mereka bertiga
dibesarkan oleh seorang emak saudara tetapi emak saudara itu juga sudah
meninggal beberapa tahun lepas.
Jadi, keluarga
mertuanya hanya kenal Maryam dan Azman sebagai warisnya yang ada. Tidak susah
untuk berbohong kepada suami dan keluarga mertua kerana mereka tidak pernah
ambil tahu dan menyoal apa-apa lagi.
Mujurnya, tidak ada
orang Kampung Gual Ipoh yang muncul
mengaku dia berasal dari kampung itu. Mujur juga para wartawan percaya dengan
ceritanya dan tidak mengorek asal usulnya.
Pagi
itu ketika sedang bersarapan, Surya melihat Fazrin suaminya membelek-belek
akhbar harian. Semua berita dalam dan luar negeri akan dibaca oleh Fazrin
sebelum ke pejabat. Memang itu amalan rutinnya.
“Wah! Primadona
makyung!” kata Fazrin sambil menumpukan perhatian kepada cerita yang tertulis
di akhbar itu.
Surya yang sedang
mengunyah sekeping roti berlapik keju, hampir tersedak. Kunyahannya dihentikan.
Matanya menjeling ke arah akhbar yang sedang dibaca suaminya. Dia gementar.
Darahnya terasa berhenti mengalir. Wajah wanita yang tertulis sebagai primadona
itu sangat dekat dengan dirinya. Makyung Bedah itu emaknya!
“Hebatnya primadona ni.
Dia membesarkan tiga anaknya hingga ke universiti dengan gigih selepas kematian
suaminya. Dia menari makyung demi anak-anaknya,” kata Fazrin.
Pucat wajah Surya. Rasa
terbelah dadanya akibat geram dengan orang dalam gambar itu. Macam mana Makyung
Bedah boleh masuk surat khabar?
Selepas Fazrin ke
pejabat, Surya mencapai akhbar dan membacanya.
“Tak ada anak yang
mewarisi makyung. Mereka anggap makyung ni seni yang lapuk.”
Surya rasa tersindir.
Geramnya memuncak. Dia semakin tidak senang duduk. Kalaulah rahsianya
terbongkar, alangkah malang nasibnya. Tentu Fazrin dan keluarganya akan
membencinya. Silap haribulan, dia akan diceraikan dan dihalau keluar dari
banglo mewah itu.
Lalu dengan cepat,
Surya segera menelefon Maryam.
“Kak Yam dah baca
artikel mengenai mak dalam akhbar pagi ni?”
“Dah.”
“Siapa yang bawa dia ke
Kuala Lumpur ni?”
“Entah. Tapi Abang Man beritahu,
dia jumpa mak di sebuah hotel bulan lepas. Entah siapa yang bawa mak sampai ke
sini. Walhal mak tu bukannya tahu nak berjalan. Nak ke Tanah Merah pun mak tu tak
pandai pergi sendiri,” jawab Maryam.
“Akak tak rasa apa-apa
ke?”
“Mahu tak rasa. Akak
tengah geram ni.”
“Aku geram dan tengah
risau fasal dia tu!” balas Surya sambil mengetap bibir.
“Apa yang nak
dirisaukan?”
“Akak tahukan, Abang Fazrin
dan keluarganya tak tahu tentang siapa kita. Kalau mereka tahu macam mana? Aku
tak nak mereka tahu kita dari keluarga susah. Aku dah terkenal sekarang. Aku
dah hidup mewah sekarang. Aku tak nak ingat lagi kesusahan masa lalu tu.”
Maryam angguk perlahan.
Dia juga rasa begitu.
“Tambahan pula, aku
sedang buat persiapan untuk merakamkan album kedua. Kalau peminat aku tahu
sejarah hidup aku, habislah kak!” kata Surya lagi.
“Habis, apa kita nak
buat sekarang?”
“Kita mesti buat
sesuatu agar mak tu duduk diam-diam di kampung dan tak mengganggu hidup kita di
sini.”
“Nak buat apa?” Suara Maryam
kedengaran gelisah.
Surya termenung
sejenak. Dia sendiri buntu dengan hal itu.
“Apa kata kita balik
kampung minggu depan. Kita bersemuka dengan mak. Kita beri amaran agar dia
tidak keluar dari kampung dan buat kerja yang bukan-bukan itu.” Tiba-tiba Surya
mengusulkan.
“Bagus juga cadangan
tu. Kita ajak Abang Man sekali. Mungkin suara Abang Man lebih laku dari suara
kita ni. Dia kan anak lelaki tunggal. Kesayangan arwah ayah dan mak juga,”
balas Maryam.
Surya angguk. Namun
tidak lama, anggukan itu menjadi gelengan.
“Kenapa?”
“Apa alasan aku nak
tinggalkan rumah? Sejak kahwin ni, aku jarang berjalan sendirian. Aku selalu
ditemani Abang Fazrin. Kalau dia tak dapat nak teman, dia akan suruh Abang Zaly
pemandu kami hantarkan.”
“Sejak kahwin, kau
belum pergi berbulan madu kan?”
“Kami sibuk. Abang Fazrin
belum ada masa dan aku ada banyak show.”
“Sekarang, kalau kau
nak hal ini selesai cepat, kau kena korbankan show kau tu dan ajak Fazrin pergi
berbulan madu.”
“Akak, kita sedang
bincangkan soal mak. Kenapa pula kau sibuk suruh aku pergi bulan madu?”
“Kau kata kau jarang
jalan sendiri. Kau ajak Fazrin pergi berbulan madu di Kelantan. Ada banyak
tempat-tempat menarik di sana. Pantai Tujuh di Tumpat, Pantai Bisikan Bayu di
Pasir Puteh, Pantai Irama di Bachok. Kau juga pernah kata, Fazrin suka
tempat-tempat macam tu.”
Surya ketawa
berdekah-dekah. Kata-kata Maryam sangat menjentik hatinya. Dia rasa sangat lucu
dan kelakar. Itu adalah idea yang sangat tidak masuk akal.
“Kenapa ketawa ni?
Kelakar sangat ke?” Maryam rasa tersinggung.
“Memang sangat kelakar.
Akak tahu tak akan bercakap tentang siapa?”
“Memanglah akak tahu.
Akak bercakap pasal kau dan Fazrin.”
“Akak tahu Fazrin tu
siapa kan? Dia tu anak lelaki tunggal Datuk Seri Azimi dan Datin Seri Nik
Hayati. Mereka tu orang kaya. Jangan nak malukan Fazrin, kak. Tak mungkin dia
akan pergi ke tempat-tempat yang macam ni,” jawab Surya.
“Tapi apa salahnya kau
cuba. Ini saja caranya kau dapat balik kampung.”
“Maksud akak?”
“Semasa di sana nanti,
kau buatlah alasan nak keluar sekejap. Nak jumpa kawan atau nak beli barang
ke,” jawab Maryam.
Surya diam termenung. Di
wajahnya tergambar rasa cuak.
“Akak nak suruh aku
pergi berbulan madu di Kelantan? Macam tak ada tempat lain pulak. Aku dilahir
dan dibesarkan di sana. Kemudian aku disuruh
berbulan madu ke sana. Kak, aku tak setuju!” Surya membantah keras.
“Kalau macam tu,
terserahlah kepada kau. Tapi, kita mesti jumpa mak. Dengan apa cara sekalipun,
kita mesti jumpa mak. Titik!” Maryam ikut tegas.
“Nantilah aku fikirkan
caranya. Akak pulak macam mana? Abang izinkan akak ke kampung?”
“Dia sentiasa izinkan.
Asalkan akak tak ajak dia sebab dia sentiasa tak ada masa untuk hal-hal yang
remeh macam n.”
“Kalau macam tu, akak
tetapkan tarikhnya. Aku cuba cari jalan. Akak beritahu Abang Man juga.”
“Hah! Ini satu masalah
untuk akak.”
“Kenapa?”
“Kau tahulah Kak
Humaira tu. Kalau kita datang, banyak soalan yang pelik-pelik yang dia tanya.
Akak rasa macam dia tu tak layak untuk jadi bini Abang Man. Walaupun dia tu
anak orang kaya dan lulusan dari luar negeri, lagaknya macam orang kampung yang
kolot.”
Surya ketawa. Memang
dia mengakui hal itu. Malah Surya pernah kecil hati dengan kakak iparnya itu
apabila dia ditegur mengenai pakaian dan rambut.
“Kita ni orang Islam.
Sebagai orang Islam, kena ada perbezaan dalam cara berpakaian. Kena menutup
aurat. Kalau pakaian kita pun sama dengan mereka, maknanya kita pun sama dengan
mereka.”
“Kak, iman itu bukan
pada pakaian. Iman itu di dada. Bukan manusia yang menentukan iman dan taqwa
sesaorang. Ia milik ALLAH.” Surya meningkah cakap Humaira.
“Pandai pun Surya sebut
nama ALLAH,” balas Humaira dengan ketawa perlahan.
Namun telinga Surya
terasa sangat sakit mendengar ketawa itu. Dia rasa ketawa itu seperti besi
panas yang menyucuk telinganya.
“Kak, jangan ingat saya
ni jahil sangat hingga tak pandai sebut nama ALLAH. Arwah ayah saya seorang
imam. Atuk saya pun imam. Keluarga saya semuanya alim-alim!” balas Surya dengan
suara meninggi.
“Iman itu tidak dapat
diwarisi. Tak semestinya bapak imam, anaknya mukmin yang baik. Malah yang
banyak berlaku adalah sebaliknya. Contohnya Surya. Akak tak kenal arwah ayah
Surya. Tetapi rasanya dia tak ingin anaknya jadi seperti ini,” kata Humaira
lagi.
“Jadi apa? Jadi artis
ni salah ke?”
“Jadi artis tu tidak
salah. Tapi jadilah artis yang baik dan bermoral. Dengan baju dan seluar yang
sendat ketat ni, Surya merosakkan maruah diri. Surya bukan saja menjatuhkan
imej seorang wanita tetapi juga melanggar hukum ALLAH.”
“Kak, saya ni artis
rock. Takkan akak nak suruh saya pakai baju kurung bertudung litup pulak!” Dia
berkata sinis. Geram sungguh hatinya mendengar khutbah Humaira itu.
“Apakah pakaian koyak
rabak macam ni imej rock? Kita terlalu mengikut budaya asing. Akak tinggal lama
di luar negara. Pakaian ini milik mereka. Buat apa kita nak tiru? Mana imej
Melayu? Mana Imej Islam?”
“Susahlah bercakap
dengan akak ni! Suka hati sayalah nak jadi macam mana. Kalau saya masuk neraka
pun, saya tak menyusahkan akak!” Dia meninggalkan rumah abangnya dengan hati
yang panas.
Sejak itu, memang dia
berjanji tidak akan pijakkan kaki ke rumah besar itu lagi. Kalau dia nak jumpa
Azman, dia akan ke pejabat abangnya itu. Atau mereka jumpa di luar sahaja. Sungguh
mual hatinya untuk bertemu Humaira!