Seminggu Makyung Bedah melayan duka laranya. Walaupun sudah berikrar
untuk kuat, namun dia tetap tidak kuat. Semua kata-kata dan perbuatan
anak-anaknya tetap muncul dalam ingatannya kalau dia tinggal sendirian.
Untuk menghilangkan
gundah gulananya, dia kerap menyanyi makyung dan bermonolog sendirian.
ee..ee..ee..ee
Timbul nak cerita kisah kasih sayang
Pengorbanan seorang ibu gak adik kakak weh..
Susah payah jerit perih suka duka gak tuan puan we..
Eee..eee…eee…eee…
Seorang ibu berkorban apa saja
Kerana nak besarkan anak-anaknya
La tuan weh..
Bila anak besar anak berjaya jadi orang
Hidup senang kaya raya disanjung mulia
Mereka tu lalu lupakan ibu.
Tiap bulan hantar duit untuk beli hati ibu.
Eee…eee..eee…
Kasih dan sayang seorang ibu ya tuan puan wei..
Siang malam dia merindu dia merintih
Dok ingat rindu dendam cintanya pada anak-anak
Eee…eee..yalah tuan we..
Kata orang syurga itu letaknya
di bawah tapak kaki ibu ya tuan puan
Kena jaga adab sopan budi bahasa dan tata tertib
Dan kena jaga hati ibu, jangan sampai terluka .
Eee..ee..ee..eee..ee..
Setiap
kali selesai menyanyi, dia akan menangis teresak-esak. Tidak ada orang lain
yang mendengar semuanya melainkan Haji Awang, ketika dia datang untuk melihat tanah sawahnya.
Lama
Haji Awang duduk di tangga. Dia menjadi serba salah samada ingin menegur
Makyung Bedah atau sekadar mendengar sahaja. Akhirnya dia teringat pada
akrabnya persahabatan antara keluarga arwah Imam Yunus dengan keluarganya. Dan
dia rasa bertanggungjawab menegur perbuatan Makyung Bedah.
Haji
Awang memberi salam.
Makyung
Bedah membalas salam itu sambil keluar menjengah.
“Eh,
abang haji dari mana?” Makyung Bedah keluar dan duduk di anjung, agak jauh dari
Haji Awang untuk tidak menimbulkan fitnah.
“Aku datang
tengok padi aku. Terdengar kau menyanyi-nyanyi. Masih gemersik suara kau.
Lagunya sangat mendayu-dayu,” jawab Haji Awang, jujur.
“Saja
suka-suka, bang aji,” jawab Makyung Bedah dengan malu. Dia tidak tahu kalau ada
orang yang mendengar nyanyiannya. Apa lagi yang mendengar itu adalah Haji
Awang.
“Bedah,
kenapa kau jadi macam ni Bedah?”
“Jadi
macam mana, abang haji?” Makyung Bedah rasa keliru.
“Sepatutnya
kau habiskan masa kau dengan mengaji dan berzikir.Itu yang arwah ajar pada kau, kan? Sekarang, kenapa kau
balik kepada makyung?”
“Saya
tak balik kepada makyung, abang haji. Saya cuma mengisi masa lapang saya yang
sunyi.”
“Bedah,
berserah diri kepada ALLAH itu lebih baik pada saat kau sedih, sunyi dan
kecewa. Janganlah buat kerja-kerja yang membuang masa macam ni,” kata Haji
Awang lagi.
“Abang
haji, saya pun mengaji. Sekarang hampir satu hari satu juz saya mengaji. Balik
dari masjid setiap pagi saya mesti mengaji. Tidak pernah saya lupakan apa yang
arwah Ayah Yunus dan Abang Mail ajar kepada saya. Tidak pernah, bang aji.” Makyung
Bedah cuba membela diri. Dia rasa Haji
Awang telah tersalah teka mengenai keadaan dirinya. Dia tidak pernah lalai
dalam mengingati ALLAH. Tidak sekali-kali!
Haji
Awang terdiam. Suara Makyung Bedah yang sebak bergetar itu membuatkan dia rasa
bersalah.
“Maafkan
aku, Bedah.Aku tak kata kau tak
mengaji. Aku cuma tak nak kau buang masa dengan menyanyi makyung ni. Habiskan
masa sepi kau dengan mengaji. Gandakan masa bersama zikir adalah lebih baik dan
mendapat pahala.”
“Orang tak
tahu perasaan saya, bang aji.”
“ALLAH Maha
Mengetahui. Kau serahkan diri pada DIA.Kau luahkan rasa hati kau pada DIA. Hanya DIA yang akan memberikan
ketenangan dan kekuatan pada hamba-NYA, Bedah. Tidak ada yang lain melainkan
DIA,” balas Haji Awang.
Makyung
Bedah semakin sebak mendengar nasihat itu. Nada suara Haji Awang, seakan-akan
suara arwah mertuanya Imam Yunus, lembut dan tenang.
“T…
terima kasih abang haji. Maafkan saya kerana tersasar cari ketenangan dengan
cara yang salah.”
“Bedah,
aku dah anggap kau saudara aku. Kalau kau tersasar, akan jadi tanggung jawab
aku untuk membetulkannya. Terserahlah pada kau nak ikut atau tidak.
Tanggungjawab aku sesama bangsa dan agama dah selesai.”
“Abang
haji, terima kasih banyak-banyak. InsyaALLAH, saya akan ikut nasihat abang
haji. Tegurlah saya abang haji. Saya dah tak ada sesiapa lagi sekarang,” kata
Makyung Bedah dengan esakan kecil.
“Aku dah
dengar semuanya dari Mahmud. Aku juga kesal dengan perangai anak-anak kau.
Sabarlah Bedah. Setiap yang berlaku, dalam perhatian ALLAH. Kita hanya mampu
berserah. Perbanyakkan doa agar hati anak-anak kau segera dimasukkan iman dan
takwa. Aku balik dulu. Kalau ada apa-apa, janganlah kau segan untuk meluahkan
kepada aku.”
Haji Awang
bangun. Dia berjalan meninggalkan halaman rumah Makyung Bedah.
Makyung
Bedah rasa terharu dengan perhatian lelaki itu. Haji Awang, dia bukan sahaja
dihormati di kampung itu kerana kekayaannya tetapi juga ia disegani kerana
sikap rendah diri dan alimnya.
Benar kata
Haji Awang, dia kena pasrah dan banyak berdoa.
Dia kena yakin kepada
ketentuan ALLAH. Setiap yang berlaku ada hikmahnya