Sepasang burung
berkeriau di dahan pokok. Entah apa yang dibincangkan. Mungkin mereka sedang
berbicara tentang alam yang sudah tidak menentu hujan dan panasnya. Atau mereka
berbicara tentang anak-anak mereka yang sudah terbang jauh membawa nasib. Atau
juga mungkin berbual tentang rezeki yang semakin sukar didapati.
Sejak tadi Makyung
Bedah memerhati gelagat pasangan itu. Dia rasa seronok melihat keharmonian
hidup pasangan burung itu.
Angin petang bertiup
nyaman.
Makyung Bedah
membiarkan pipinya disentuh angin. Dia masih setia di anjung rumah, mengadap
sawah nan menghijau. Di situlah tempat duduknya saban petang. Dia mengharapkan
suasana yang tenang dan damai setiap kali dia duduk di situ. Dia cuba
melepaskan rindunya di situ.
Petang itu, dia bertemankan
zikir. Bibir dan hatinya ikhlas berzikir ya Rahman ya Rahim. Zikir itu selalu
bergetar di jiwanya. ALLAH Yang Maha
Pengasih dan Yang Maha Penyayang. Dia mengharapkan semua kesedihan dan
kegelisahan berlalu pergi.
Petang
itu dirasakan sangat tenang. Sangat damai. Namun kedamaian itu tidak lama.
Dia
rasa dadanya berdebar. Sebuah debar rindu menerjah hati. Dalam denyut nadinya
mengalir rindu yang sangat lembut dan halus kepada anak-anaknya : Azman, Maryam
dan Surya.
Tiba-tiba
dia rasa ingin memeluk ketiga-tiga anaknya seperti semasa mereka kecil dahulu. Dia
ingin menyuap nasi ke mulut anak-anaknya. Dia ingin tidur bersama-sama mereka
seperti dulu. Dia terlalu ingin. Keinginan itu menjadi satu rasa yang sangat
meresahkan.
Azman,
anak sulung juga anak lelaki tunggal telah menjadi orang kaya dan berjaya.
Dengan ijazah dari sebuah universiti tempatan, dia mula bekerja sebagai pegawai
di sebuah jabatan kerajaan. Kemudian dia berkahwin dengan Humaira, anak
perempuan kepada seorang saudagar kapal. Menurut kata orang, keluarga mertua
Azman sangat kaya. Azman pun pernah kata begitu.
“Keluarga
Humaira ni sangat kaya mak. Harta berselerak di dalam dan luar negeri,”
beritahu Azman.
“Mak
tak kisah kalau dia kaya atau miskin. Yang penting bagi mak ialah dia menantu
yang pandai menghormati orang tua. Yang kaya keluarga dia. Ia tak akan jadi
milik kita.”
Selepas
kahwin, Azman berhenti kerja dan diserahkan sebuah syarikat untuk diuruskan.
Sejak itu dia jarang pulang ke kampung. Alasannya, amat mudah.
“Man juga tak dapat nak
selalu tengok mak. Isteri Man tu orang bandar. Dia tak biasa dengan cara hidup
kita,” kata Azman, anak lelaki tunggalnya itu.
“Mak tak harapkan Man
balik selalu, tetapi jenguklah mak sekali sekala. Mak tak tahan menanggung
rindu kepada anak-anak.”
“Tengoklah nanti.”
Sudah lima tahun Azman
kahwin. Hanya sekali dia membawa Humaira pulang ke kampung. Itupun semasa
majlis menyambut menantu. Itupun Makyung Bedah yang teringin sangat untuk
mengadakan kenduri kesyukuran bersama orang kampung. Kalau nak harapkan Azman,
jauh api dari panggang.
“Mak, tak payahlah nak
buat apa-apa. Kami dah disandingkan dalam majlis yang gilang gemilang di hotel
tempoh hari. Kami dah berbulan madu di luar negara. Tak ada maknanya Humaira
nak diraikan di sini,” kata Azman, menolak usul yang dirancangnya.
“Mak nak buat juga
majlis tu. Biarlah orang kampung tahu Man dah kahwin. Biarlah Humaira kenal
dengan orang kampung.”
“Nak kenal orang
kampung ni nak buat apa? Bukan ada faedah pun!”
“Man, kenapa Man ni? Baru
kaya sikit dah nak lupakan orang kampung? Man lupa masa kita susah, siapa yang
tolong kita? Orang Kampung Gual Ipoh nilah. Walaupun tidak dengan duit dan
harta benda, mereka tolong dengan tenaga. Ingat masa atap rumah kita roboh
kerana ribut, siapa yang tolong? Orang kampung ini yang bergotong-royong
membetulkannya. Man lupa?”
“Habis, Man kena balas
semua budi mereka? Mana ada pahalanya lagi kalau setiap yang mereka buat dulu
tu minta dibalas?”
“Astagfirullahhalazim...
pahala itu milik ALLAH. Kita pun tak tahu bila DIA nak berikan kita pahala.”
Azman berubah selepas
jadi kaya. Dia bukan Azman yang berhati mulia dan baik budi seperti di masa
kecilnya. Dia tidak mewarisi sifat tawaduk ayahnya Imam Ismail.
Ingatan Makyung Bedah
beralih kepada Maryam. Dia anak kedua dan anak perempuan sulung. Selepas
menggenggam segulung ijazah, dia menjadi guru di sebuah sekolah di Kuala Lumpur.
Di sanalah dia bertemu dengan Shamsul.
Makyung Bedah tidak
tahu menantunya itu kerja sebagai apa. Tetapi semasa hari perkahwinan, dia
datang dengan kereta besar dan rombongannya juga berpakaian mewah.
Majlis yang diadakan di
kampung itu sederhana sahaja.
“Mak tak payah jemput
ramai-ramai. Kami cuma nak bernikah saja di sini. Jadi mak buat kenduri nikah
saja. Panggil Pak Imam dan kenalan terdekat. Dua ekor ayam pun cukup.”
“Kenapa sampai macam
tu? Kamu tu anak dara, bukannya janda. Apa pula kata orang.”
“Yang mak nak dengar
cakap orang tu kenapa? Ini masalah keluarga kita. Biarlah kita yang selesaikan.
Orang luar jangan masuk campur,” kata Maryam dengan keras.
Hati Makyung Bedah
sangat tidak setuju dengan keputusan Maryam ketika itu. Sangat hinakah dia sebagai
ibu hingga langsung tidak diberi hak mencampuri dan membuat keputusan untuk
anak perempuannya?
“Kami akan mengadakan
majlis resepsi di Dewan Jubli Intan. Yam akan berikan mak beberapa keping kad
jemputan. Mak boleh jemput sesiapa yang mak suka. Tapi ingat, jangan rosakkan
majlis itu. Datang dengan pakaian yang cantik. Jangan buat perangai yang
menjolok mata kerana mak nanti akan ditertawakan orang.”
Aduhai anak!
Akhirnya Maryam
berkahwin juga. Majlis pernikahan diadakan di masjid. Tidak ada majlis besar di
rumah melainkan kenduri tahlil dan doa selamat.
“Yam dah kahwin bang.
Sayangnya, dia tak nak adakan apa-apa majlis di sini. Dia pun sama dengan
Azman, memandang rendah kepada saudara kita di kampung ini. Kalaulah abang ada,
mungkin hal ini tak berlaku bang. Maafkan Bedah...” Itu rintihannya pada hari
Maryam menjadi isteri Shamsul yang sah.
Selepas majlis nikah di
masjid, Makyung Bedah segera pulang ke rumah. Dia hendak bersiap-siap. Orang
kampung sudah memasak sedikit juadah untuk rombongan pernikahan. Semuanya
diuruskan oleh Mak Semah, sahabat baiknya.
Namun, selepas dua jam
menantu yang ditunggunya langsung tidak tiba. Juadah yang terhidang juga
menjadi sejuk.
“Mana suami kau tadi
Yam?” tanya Makyung Bedah kepada Maryam ketika mendapati Maryam balik sendirian.
“Dah balik semula ke
KL, mak. Semuanya dah selesai, buat apa nak tunggu di sini lagi. Mereka tu
biasa duduk dalam penghawa dingin. Berpeluh-peluh mereka tadi.”
“Suami kau tak datang
jumpa mak sebelum dia balik?”
“Nak jumpa mak buat
apa?” Maryam berkata tanpa menoleh. Dia berjalan terus ke arah bilik yang
dihias dan dijadikan bilik pengantin.
Hati Makyung Bedah mula
carik. Sampai hati mereka. Itu yang terdetik di hatinyadang
“Astaghfirullahhalazim!”
Hanya itu yang mampu meniti bibirnya, sementara air mata sedang meniti birai
mata.
“Sabarlah Bedah,” pujuk
Mak Semah yang melihat dan mendengar semuanya.
Mendengar suara Mak
Semah, air mata yang bertakung itu menitik dengan lebatnya. Ia berserta esakan
yang mampu menggamit pilu siapa saja yang mendengarnya.
Azman dan Maryam,
masing-masing sudah mempunyai dua orang anak. Namun tidak sekalipun tangan
Makyung Bedah dapat mendukung dan membelai cucu-cucunya itu.
Tidak mengapalah. Dia
memujuk hati. Dia mampu menahan rindu terhadap cucu yang belum pernah dilihat.
Namun, dia tidak kuat menanggung rindu kepada anak-anak yang dilahirkan dari
rahimnya dan dibesarkan dengan titik peluh serta air matanya.
Selalu sahaja dia
mengganggu mereka dengan suara rayuannya di talian telefon.
“Maafkan saya mak. Saya
tak dapat nak jenguk mak selalu. Saya ni bekerja. Anak-anak saya pula sedang
membesar.”
“Mak bukan nak suruh
kau selalu balik, Yam. Tapi masa cuti sekolah, apa salahnya kau balik kampung
sekejap. Mak ni dah makin tua. Mak semakin tak tahan rindukan kau. Setiap malam,
mak mimpikan anak-anak mak. Tolonglah faham perasaan seorang ibu sebab kau pun
sekarang dah jadi ibu.”
“Mak jangan ikutkan
hati mak tu. Mak kena juga fikirkan orang lain. Mak ingat senang saya nak
balik?”
“Apalah susahnya. Duit
kau banyak. Kalau kau tak nak naik kereta, kau boleh naik kapal terbang. Kalau
hendak seribu jadi, Yam.”
“Kalau saya tak balik
pun, saya tak pernah lupa masukkan mak duit.”
“Mak bukan nak duit
sangat. Mak nak kau! Mak rindukan anak mak!”
“Mak, Yam ada banyak
kerja ni. Kalau ada apa-apa, mak beritahu nanti. Bye mak.” Suara Maryam hilang
dari pendengarannya. Begitu cepat. Belum habis seorang ibu berbicara, dia sudah
mematikan talian.
Makyung Bedah rasa
semuanya masih baru. Terasa seperti semalam telinganya mendengar kata-kata
anaknya itu. Dia menoleh ke arah kalendar yang tergantung di dinding. Sudah lebih
setahun. Dalam masa itu Maryam tidak pernah menjenguknya. Hanya suaranya muncul
sekali sekala.
“Di mana kau Yam?” keluh
Makyung Bedah dengan rindu yang semakin memberat.