Selesai mengemas ruang tamu, Imran masuk ke kamar Mak Semah. Masih ada
tugas yang tertunggak di kamar itu.
“Baby, jom mandi!” ajak Imran dengan tuala yang sudah tersangkut di
bahu.
“Im, boleh tak mak mandi sendiri. Sampai bila Im nak mandikan mak?”
“Mak, badan mak tu tak kuat dan lemah. Im bimbang kalau mak terjatuh di
bilik air. Apa salahnya Im mandikan mak. Masa Im kecil, mak mandikan Im kan?”
“Ohh… nak balas budilah ni!” balas Mak Semah dengan ketawa.
“Memang wajib seorang anak membalas budi dan jasa ibu bapa.Sayangnya ayah dah tak
ada. Kalau ayah masih ada, Im akan jaga ayah juga.”
“Tapi… sampai bila Im?Im kena fikirkan masa
depan Im sendiri.”
“Masa depan Im adalah masa depan mak juga.”
“Apa maksud Im?”
“Maksudnya, kalau mak bahagia Im akan rasa
gembira.”
“Im kena kahwin.”
“Im takut isteri Im tak dapat terima mak.”
“Mak boleh hidup sendiri. Im jangan susah hati
sangat.”
“Jangan cakap lagi mak. Selagi mak ada, Im tak nak
fikirkan hal diri Im.”
“Maknanya Im tak nak berikan mak menantu dan cucu?”
Imran tersengih-sengih.
“Kenapa sengih saja ni?”
Imran tidak menjawab. Sebaliknya dia terus membangunkan
Mak Semah dan mencempungnya ke bilik air. Tubuh kurus Mak Semah diletakkan di
atas kerusi yang memang ada di bilik air itu.
“Baby ni dah mula takut air ya!” gurau Imran. Tanpa
segan dan silu, tangannya melucutkan baju dan menyarungkan sehelai kain
basahan. Dia begitu cekap dan teliti.
Mak Semah dimandikan. Imran menggosok tubuh emaknya dengan
sabun. Kemudian membasuh rambut Mak Semah dengan shampoo. Sedikitpun dia tidak
kekok. Itulah rutin pagi sejak dua tahun kebelakangan ini. Dia sanggup berhenti kerja di Kuala Lumpur
dan pulang ke kampung semata-mata untuk menjaga ibunya yang lumpuh akibat
kemalangan.
“Im tak sayangkan kerja Im? Buat apa berhenti kerja?”
Itu yang ditanya oleh Mak Semah ketika Imran membuat keputusan nekad itu.
“Im kerja untuk mencari rezeki. Rezeki itu milik
ALLAH. Di mana-mana ada rezeki kalau kita rajin. Tapi, mak hanya satu.Kalau Im hilang mak, Im
tak akan dapat gantinya lagi.”
“Tapi, Im belajar tinggi-tinggi. Penat lelah Im
tak boleh dibiarkan begitu saja.”
“Penat lelah mak membesarkan Im, macam mana?”
Mak Semah kehilangan kata-kata. Imran anak yang baik.
Sejak kecil memang jarang menyakiti hati orang tua.Sangat taat dalam semua
perkara hingga sanggup mengabaikan kepentingan diri sendiri.
Dia rasa sangat beruntung memilik anak sebaik
Imran. Biar tidak berpangkat besar, Imran tetap seorang yang kaya dengan adab
sopan sebagai anak.
Selepas mandi dan bersarapan, Imran membawa Mak
Semah duduk di halaman.Pohon mangga sedang berbuah lebat. Di bawah pohon
itu ada sebuah pangkin yang dibuat khas oleh Imran untuk dia duduk setiap pagi.
“Mak duduk sekejap ya. Im nak ke belakang. Ayam
itik belum diberi makan.”
“Yalah.Hero mak nak beri makan ayam itik ya.Angsa kita tu macam mana? Dah
menetas ke?”
“Belum mak. Mungkin sehari dua lagi. Telor itik
dah boleh dijual. Esok Im telefon Abang Hanif suruh datang ambil.”
Imran melangkah pergi. Mata Mak Semah menghantar
langkah itu dengan mata bersinar gembira. Dia tersenyum senang. Langkah Imran
langkah seorang pahlawan. Dia memang sedang membuktikan bahawa rezeki itu ada
di mana-mana. Tanpa makan gaji, mereka masih mampu meneruskan hidup.
“Assalamualaikum Semah!” Satu suara menegur. Mak
Semah menoleh.
“Bedah! Lamanya aku tak jumpa kau!” kata Mak Semah
hampir menjerit.
“Semah! Kau sedar ke apa yang kau kata ini?”
“Kenapa?” Mak Semah terpinga-pinga.
“Kan baru tiga hari lepas aku datang? Kita makan
kerabu keladi senduk bersama-sama. Kita solat zuhur bersama-sama. Kau ni mimpi
ke nyanyuk?”
Sekali lagi Mak Semah kebingungan. Tidak lama dia
menyengih.
“Ya tak ya juga. Aku lupalah Bedah,” kata Mak
Semah dengan ketawa kecil. Makyung Bedah ikut ketawa.
“Hero kau mana?” Makyung Bedah melilau mencari.
“Ada kat belakang tu. Tengah bagi makan ayam itik
dia tu.”
“Bila pulak dia nak bagi makan anak bini? Tak
teringin ke dia tu nak kahwin, Semah?” Makyung Bedah melabuhkan punggung di
birai pangkin. Memang dia selesa duduk di pangkin itu. Dia juga rasa senang
dengan keredupan pohon mangga yang sedang berbunga itu.
“Entahlah Bedah. Aku ni dah puas menyuruh. Dia
tetap kata nak jaga aku dan nak balas jasa aku. Apakah kalau berkahwin, dia tak
boleh nak jaga?”