Imran angguk. Dia sudah biasa dengar penjelasan itu dari mulut ibunya.Sejak kecil lagi.
“Sayangnya dia pergi dulu. Dalam usia masih muda, dia tinggalkan kita.
Tapi perginya dengan aman dan tenang. Perginya tinggalkan Mak Bedah bersama
tanggungjawab terhadap anak-anak yang masih kecil,” kata Makyung Bedah.
Imran diam. Dia masih mengunyah jemput-jemput. Sekali-sekala dia
menghirup kopi O dari cawan. Dia masih ingin mengunyah kisah hidup Makyung
Bedah. Walaupun sejak kecil, semua cerita itu selalu didengar, namun dia tidak
pernah jemu.
“Kita sama-sama ditinggalkan dengan tanggungjawab, Bedah. Cuma cara
Abang Mail pergi lebih terhormat dan mulia kerana dia pergi atas jemputan
ALLAH. Tapi aku…” Mak Semah menoleh kepada anaknya. Dia rasa kesal berkata
begitu. Dia terlupa bahawa Imran ada bersama mereka. Kalau boleh Imran tidak perlu
mendengar keluhannya.
“Ya, dia pergi kerana ALLAH sayangkan dia. Kasih sayang kita tak dapat
mengatasi hak ALLAH. Aku reda dengan pemergiannya. Cuma, aku kesal dengan sikap
anak-anak aku. Mereka tak pernah ingat dan tak pernah menghargai pengorbananku
selama ini,” balas Makyung Bedah. Wajahnya yang tadi ceria menjadi murung.
“Sabarlah Bedah. Kau kena terus berdoa agar hati mereka terbuka untuk
ingat pada kau.” Mak Semah memujuk. Dia tahu pujukan itu hanya sebagai basa
basi sahaja. Dia sendiri tidak yakin dengan apa yang diucapkannya.
“Harap-harap begitulah. Sungguhpun mereka benci aku, aku tak pernah
benci mereka.”Suara Makyung Bedah bergetar sebak.
“Mak Bedah, jangan susah hati.Biarkan mereka dengan cara mereka. Kita di sini perlu terus hidup
dengan gembira. Kalau Mak Bedah sudi, anggaplah saya ini anak Mak Bedah. Adik
kepada Abang Man dan Kak Yam. Abang kepada Surya,” kata Imran cuba menamatkan
suasana pilu yang muncul tidak dijemput itu.
Makyung Bedah angkat kepala. Matanya bertembung dengan mata Imran yang
sedang mengerdipkan mata kepadanya. Mata itu jernih. Wajah itu tulus. Hatinya
sangat tersentuh dan berkenan dengan anak muda itu.
“Mahukah Im jadikan penari makyung ini sebagai emak?”
“Mahu.” Imran menjawab spontan. Tidak mengambil masa untuk berfikir.
“Im tak malu?”
“Biarlah kita letakkan rasa malu itu pada tempat yang baik. Kalau malu
untuk melakukan perkara yang mungkar itu akan mendapat pahala ALLAH. Saya rasa
mengangkat martabat seorang wanita yang pengasih ini sebagai ibu, juga akan
mendapat keredaan ALLAH,” jawab Imran dengan tenang. Memang dia berkata ikhlas.
Kaca yang ditahan oleh Makyung Bedah tadi, akhirnya benar-benar pecah
dan jatuh berhamburan.
Hatinya sangat tersentuh dengan kata-kata anak muda yang ada di
hadapannya. Mahu saja dia memeluk anak muda itu. Namun, mereka masih dibatasi
hukum. Walau sayang mereka setinggi gunung, mereka tetap bukan muhrim!
“Mak, sabarlah…” pujuk Imran sambil meletakkan tangannya di bahu Makyung
Bedah. Tubuh itu bergoncang. Sentuhan Imran menambahkan gegarannya.
“Benar tu Bedah. Imran pun tidak ada sesiapa melainkan aku.Apa salahnya dia ada emak seorang lagi. Aku rela berkongsi
kasih Imran dengan kau, Bedah,” kata Mak Semah pula.
Makyung Bedah semakin terharu. Mata Mak Semah direnung lama.
Mata itu tetap bening dan jernih tulus sejak dari zaman mereka kanak-kanak.
Makyung Bedah menarik Mak Semah ke dalam pelukannya.
“Terima kasih Semah. Hanya kau yang ada ketika aku bersedih.
Dari zaman dulu hingga kini, kau tetap setia menjadi sahabat aku,” bisik
Makyung Bedah di hujung telinga Mak Semah.
“Kau pun sama. Masa aku susah dan terlantar di hospital,
siapa yang bergilir-gilir jaga aku kalau bukan kau. ALLAH dah berikan aku
sahabat yang baik. Biarlah Imran mendapat emak angkat yang baik. Kalau aku tak
ada, dia masih ada kau.”
“Ish! Jangan cakap pasal mati ketika aku masih belum puas
dengan kasih sayang kau,” kata Makyung Bedah sambil meleraikan pelukannya.
“Kita tak perlu takut pada mati. Mati itu kan memang wajib untuk kita
yang hidup,” balas Mak Semah dengan senyuman.
“Itu aku tahu. Tapi, aku selalu minta dari ALLAH.”
“Apa yang kau minta? Minta nak kahwin sebelum mati?” gurau Mak Semah
dengan ketawa panjang.
“Apa celupar mulut kau ni? Nak kena cili ke ?” Makyung Bedah
mencubit paha Mak Semah.
Mereka sama-sama ketawa. Imran melihat gelagat kedua-dua emaknya itu
dengan ketawa juga.
“Apa yang kau minta?” tanya Mak Semah.
Makyung Bedah tidak terus menjawab. Sebaliknya dia mengambil
cawan kopi dan meneguk seteguk dengan penuh nikmat kopi.
“Aku minta ALLAH ketemukan aku dengan anak-anak aku sebelum
aku mati. Aku nak jumpa menantu-menantu aku. Aku nak peluk cucu-cucu aku.Aku nak rasa semua tu, baru aku nak mati. Mengada-ngada aku
ni kan?” Makyung Bedah merenung wajah Mak Semah.
Ketika itu Mak Semah tunduk merenung lantai. Dia tidak berani melihat
mata sahabatnya itu. Dia bimbang pada air matanya yang merembes laju.
“InsyaALLAH. Kalau itu permintaan mak, ALLAH pasti akan memakbulkannya.
DIA kan Maha Tahu dan Maha Mengasihani,” kata Imran cuba
menyelamatkan suasana dari terus menerus menjadi lara.
“Ya, insya-ALLAH,” bisik Makyung Bedah.