Hari demi hari berlalu
dengan tenang. Makyung Bedah semakin kuat dan tabah. Sedikitpun dia tidak mahu
mengenang apa yang berlaku. Suara dan kelibat anak-anaknya perlahan-lahan
hilang dari ingatannya.
Kalau sekali sekala
rasa rindunya muncul, dia segera menepisnya dan menganggap dia tidak ada
sesiapa lagi di dunia ini.
Dia banyak menghabiskan
masa bersama Imran dan Mak Semah. Mereka ke masjid atau ke majlis-majlis ilmu
bersama.
Mak Semah memang
disahkan lumpuh tetapi sejak Makyung Bedah banyak menghabiskan masa bersamanya,
semangatnya menjadi semakin kuat. Walau tidak dapat bergerak, dia tetap ingin
berjemaah di masjid bersama orang kampung.
Hampir setiap malam dia
akan ke masjid bersama Makyung Bedah dan Imran.
“Aku tengok kau makin
sihat, Semah,” kata Pak Mud ketika turun dari tangga masjid.
“Sejak Bedah menemani
aku siang dan malam,” jawab Mak Semah dengan senyuman tulus. Dia berkata dari
hati. Dia tidak berbohong.
“Apa pulak aku. Kau
yang memang nak baik. Kau yang berusaha untuk diri kau sendiri,” tingkah
Makyung Bedah pula.
“Tapi aku tak akan kuat
kalau tak ada kaum Bedah. Sungguh.” Mak Semah menarik tangan Makyung Bedah. Dia
cuba membuat sahabatnya itu rasa yakin dengan kata-katanya.
Pak Mud ketawa. Dia
sangat senang hati dengan keakraban kedua-dua sahabat itu.
“Aku ada perkara nak
cakap dengan kau, Bedah.” Pak Mud teragak-agak.
“Rahsia ke Pak Mud?
Kalau rahsia, biar kami tunggu di bawah sana,” kata Imran sambil menolak kerusi
roda Mak Semah.
“Jangan. Walaupun
rahsia, mak nak Im dengar. Antara kita kan dah tak ada rahsia,” kata Makyung
Bedah, menarik lengan Imran.
“Aku pun nak Semah dan
Imran dengar. Ia taklah rahsia tetapi tidak boleh didedahkan.”
“Mud, sejak bila kau
pandai cakap berbelit ni?” Makyung Bedah ketawa. Diikuti oleh Semah dan Imran.
Pak Mud gugup dan serba
salah. Dengan tiba-tiba dia rasa gementar. Lama dia mencari-cari kekuatan.
“Cakaplah Mud, ada apa
sebenarnya?” tanya Makyung Bedah, mula serius.
“Aku tak tahu samada
aku patut cakap dengan kau atau tidak. Tapi selagi aku tak cakap, fikiran aku
serabut.”
“Sekali lagi kau
berbelit kata,” ujar Makyung Bedah, mula ketawa lagi.
“Aku harap kau tak
salah sangka, Bedah.”
“Mengenai apa ni, Mud?”
tanya Makyung Bedah, mula curiga.
“Mengenai anak-anak
kau.”
Wajah Makyung Bedah
segera berubah. Dia menoleh kepada Imran dan Mak Semah.
“Kenapa dengan
anak-anak aku?”
Pak Mud mendongak ke
arah langit yang cerah dengan bintang-bintang yang berkelip terang. Sungguh
indah alam ciptaan ALLAH.
“Mud, kenapa ni? Jangan
buat aku tertanya-tanya macam ni!” sergah Makyung Bedah.
“Maryam menelefon aku
seminggu yang lalu,” kata Pak Mud tanpa menoleh.
“Apa dia nak? Dengan
aku mak dia ni dia tak telefon, tiba-tiba dengan kau pula dia nak telefon.
Kenapa dengan dia, Mud?” tanya Makyung Bedah dengan suara yang mula meninggi.
Sekali lagi Pak Mud diserang
kegelisahan yang memuncak. Dia mula rasa menyesal kerana membuka cerita.
“Mud?” Sekali lagi
Makyung Bedah menyergah.
“Dia suruh aku bernikah
dengan kau!” Suara Pak Mud walaupun gementar tetapi sangat jelas di pendengaran
Makyung Bedah, Imran dan Mak Semah. Mereka ternganga dan sangsi pada telinga
yang mendengar.
“Mud, kau mabuk ke?”
“Aku mana ada minum
barang yang mabuk tu!” tingkah Pak Mud seperti orang bodoh.
“Habis, kau cakap apa
ni? Kau sedar tak apa yang kau cakap ni?”
“Aku sedar, Bedah. Tapi
Maryam yang tak sedar apa yang dia cakap.”
Makyung Bedah terdiam.
Dia tidak tahu apa maksud Maryam dalam hal itu. apakah rancangan anak-anaknya?
“Tak apalah. Biar aku
tanya dengan dia, apa lagi yang dia nak? Dia suruh aku jangan kacau dia, aku
dah tak kacau. Dah berapa bulan aku tak hubungi dia,” kata Makyung Bedah
melangkah meninggalkan Pak Mud.
Namun, beberapa langkah
kemudian dia berhenti dan menoleh.
“Mud, boleh kau berikan
aku nombor telefon Maryam?”
“Kau tak ada nombor
dia?” Pak Mud rasa sangsi dan tidak percaya. Mana ada seorang emak tidak
menyimpan nombor telefon anaknya sendiri.
“Mud, aku ini emak yang
tidak dikehendaki. Jadi, mereka tukar nombor telefon tanpa beritahu aku. Mereka
sengaja tak nak dengar suara aku, Mud.”
Wajah Pak Mud berubah
rona. Kata-kata Makyung Bedah membuatkan dia rasa belas dan simpati segera
membuak. Serta merta dia keluarkan telefon bimbitnya dari poket baju Melayunya
dan menghulurkan kepada Imran.
“Im, tolong ambil
nombor Maryam dari telefon aku ni.”
Imran menyambutnya. Dia
menekan butang dan mencari nombor yang dikatakan oleh Pak Mud. Kemudian dia
menyalin nombor itu ke dalam telefon bimbitnya sendiri.