Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 12

Bersama dua orang rakannya, Imran mengusung tubuh Makyung Bedah ke hospital. Sepanjang jalan itu, Makyung Bedah meracau sahaja. Butir bicaranya tidak terang. Dia seolah-olah berada di dunia lain dan sedang berbual dengan sesaorang.

“Man, nanti kalau balik dari sekolah tolong belikan mak biji sagu. Mak nak buat lempeng sagu untuk ayah. Dah lama dia tak makan lempeng kegemarannya itu.” Suara Makyung Bedah parau di celah kerongkong.

Imran menelan air liur. Sungguh berat derita yang ditanggung oleh Makyung Bedah. Rindu, lara dan kecil hati seorang ibu.

“Yam, mak dah belikan baju baru untuk Yam.Baju yang Yam suka tu. Tengok ni…” Suara Makyung Bedah gemersik di celah bibir. Matanya masih pejam dan nafasnya tidak teratur.

Imran menyentuh dahi Makyung Bedah yang panas.

“Mak, sabarlah mak. Kita dah dekat. Jangan lalai mak. Ingat pada ALLAH.” Imran berbisik ke telinga Makyung Bedah.

“Surya, jangan lupa kasut tu. Esok kan kamu kena hadirkan diri ke majlis penyampaian hadiah. Biarlah kasut tu koyak dan berlubang asalkan ia bersih dan putih. Cikgu Che’Nab mesti suka tengok,” sambung Makyung Bedah. Suara itu semakin lemah. Kemudian Makyung Bedah terlentuk lemah.

“Mat, cepat Mat. Mak Bedah dah pengsan!” kata Imran dengan panik. Dia mengipas-ngipas dengan sebuah majalah.

Mat Deris, menekan lampu kecemasan dan memandu kereta dengan laju. Dia ikut bimbang dengan keadaan Makyung Bedah itu.

“Dia ni demam rindu ni. Kesian Mak Bedah. Kenapalah anak-anak dia tak berperasaan langsung.Dah berjaya dan kaya, tinggalkan orang tua ni begitu saja. Tak tanya khabar pun,” rungut Imran perlahan.

“Si Tanggang Moden!” tambah Mat Deris dengan keras.

“Aku rasa macam nak tumbuk muka anak-anak dia kalau aku jumpa,” tambah seorang lagi.

Kereta yang dipandu Mat Deris sampai di hadapan Hospital Tanah Merah. Dengan cepat, Imran turun dan memaklumkan hal Makyung Bedah itu di Kaunter Trauma dan Kecemasan.

Dua orang kakitangan hospital bergegas keluar dengan menolak stretcher.Tubuh Makyung Bedah diangkat dan segera dikejarkan ke bilik rawatan kecemasan.

“Aku harap dia tak apa-apa. Kalau jadi apa-apa pada dia, tahulah aku kerjakan anak-anak dia!” kata Mat Deris, geram.

Setengah jam kemudian, seorang doktor keluar dan memanggil Imran.

“Awak anak dia?”

“Saya hanya jiran dia. Kenapa doktor?”

“Kami terpaksa tahan dia di wad. Tekanan darahnya sangat rendah dan demamnya sangat tinggi. Kalau dibiarkan dia boleh koma,” kata doktor itu.

“Buatlah yang terbaik untuk selamatkan dia, doktor. Saya akan bertanggungjawab atas semuanya sebab anak-anak dia tak ada di sini,” kata Imran. Matanya mula basah. Tidak sanggup lagi dia menahan hati mendengar kata-kata doktor itu. Sekujur tubuh Makyung Bedah yang lemah dan tidak bermaya sangat membuatkan hatinya cemas.

Akhirnya Makyung Bedah ditahan di wad. Dia diberikan rawatan rapi.

Imran dan kawan-kawannya meninggalkan Makyung Bedah dengan hati yang berat.

“Mak, kami balik dulu. Nanti kami akan datang lagi pada waktu melawat nanti. Mak jangan susah hati ya. Selagi saya ada, saya akan jaga mak,” kata Imran di hujung telinga Makyung Bedah.


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.