Cuaca sangat panas. Peluh
membasahi tubuh Imran. Bajunya mula basah. Dia mencapai botol air dan
meneguknya dengan bismillah. Dia mendongak ke langit. Memang matahari hampir
tegak di langit. Bermakna, bila matahari mula tergelincir sekejap lagi akan
masuklah waktu solat zuhur.
Dia rasa cukuplah untuk
hari itu. Dia perlu pulang ke rumah dan bersiap-siap untuk ke masjid. Sejak
Makyung Bedah sudi menemani emaknya di rumah, Imran rasa senang hati
meninggalkan ibunya.
“Im pergilah ke kebun.
Biar mak yang jaga emak kamu. Mak juga akan masak untuk kita,” kata Makyung Bedah.
“Tapi, tidakkah
menyusahkan mak?”
“Mak rasa lebih senang
kalau Im setuju menerima khidmat mak ini.”
“Bedah, kenapa kau nak
buat semua ini. Aku boleh jaga diri sendiri.”
“Semah, sampai hati kau
nak tolak aku.”
“Aku bukan nak tolak
kau. Tapi, kan lebih baik kau berehat saja. Kau pun bukannya kuat sangat. Aku
tak nak kerana sibuk menguruskan kami, kau jatuh sakit,” kata Mak Semah.
“Aku dah lama sakit,
Semah. Hanya menunggu mati sahaja. Jadi sebelum mati tu sampai, biarlah aku
berkhidmat untuk kamu berdua. Siapa lagi yang aku ada selain kamu,” balas
Makyung Bedah.
Kata-kata Makyung Bedah
itu menyentuh hati Imran. Dia rasa belas dan bertanggungjawab untuk
menggembirakan hati wanita itu.
Kaki Imran dilangkah ke
arah bangsal yang ada di kebun itu. Di situ tempat dia menyimpan parang dan
cangkul. Bangsal itu dibuat dari kayu-kayu terbuang yang dikutip dari tempat
pembuangan sampah. Atapnya dari daun nipah dan lantainya dari batang pinang. Dia
yang mendirikan bangsal itu sebagai tempat berteduh dari hujan dan panas.
Dia melabuhkan punggung
sambil menyeka peluh. Matanya melihat ke arah pokok-pokok jagung yang sedang
menghijau. Dua bulan lagi, dapatlah merasa hasilnya. Sementara menunggu jagung
dituai, dia sudah bersedia untuk menuai tebu yang sudah melangit panjangnya.
Duit hasil jualan tebu
itu nanti akan digunakan untuk menampung keperluan hidup dia dan ibunya.
Sejak tiga tahun berhenti kerja, dia tidak mahu menyerah
kepada nasib. Dalam kepalanya ada bermacam agenda untuk hari depannya. Dia
tidak ditakdirkan lahir dari benih orang kaya. Namun dia bersyukur dia
dilahirkan dari rahim seorang ibu yang pengasih.
Biarpun ditinggalkan
begitu sahaja oleh seorang lelaki, emaknya tidak langsung mensia-siakan hidup
seorang anak. Dia tetap dibesarkan dan diberi pendidikan yang terbaik mengikut
kemampuannya.
“Im kena jadi orang
yang pandai. Im tak boleh lemah. Mak akan kerja keras agar Im berjaya.” Itulah
kata-kata yang selalu menjadi azimat penting buatnya.
Dengan segala susah
payah dia belajar dan masa cuti sekolah atau semester dia tidak malu ikut Mak
Semah menoreh di kebun pawah. Dalam masa yang lain, emaknya menanam sayur untuk
jualan di pasar. Makyung Bedah adalah rakan kongsi emaknya dalam semua keadaan.
Dia mendapat Diploma Perhotelan
dari UITM. Dengan kelulusan itu, dia bekerja di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Dalam masa dua tahun
bekerja, dia berjaya menyimpan sedikit duit. Azamnya, dia ingin mengerjakan
umrah bersama ibunya.
Namun apa yang
dirancang belum dikabulkan ALLAH.
“Imran, mak kau
kemalangan.”
Suara Haji Jais,
mengejutkan mimpi manisnya. Dia segera pulang. Lalu matanya menyaksikan ibu
yang dikasihi terlantar koma akibat dilanggar oleh seorang pemandu mabuk. Air
mata menjadi sungai duka. Dia rasa separuh hidupnya menjadi kaku dan lumpuh
seperti lumpuhnya tubuh Mak Semah.
Berbulan-bulan dia
menjadi penghuni hospital. Walaupun ibunya koma dan tidak mampu bergerak, dia
tidak sanggup meninggalkannya. Saban hari dia berada di sisi ibunya. Setiap
malam dia berdoa agar dia diberi peluang merasai sekali lagi kasih sayang dan
belaian seorang ibu.
“Ya ALLAH, aku tidak
minta yang lebih darimu selain kasih sayang seorang ibu. Pulangkan dia
kepadaku. Aku masih perlukan belaian seorang ibu selepas kehilangan seorang
ayah.”
Dia bermunajat. Dia
bersolat hajat. Dia meminta sungguh-sungguh dari ALLAH Yang Mah Pengasih dan
Penyayang. Dia berdoa dengan air mata seorang anak yang rindukan kasih seorang
ibu.
Akhirnya ALLAH
makbulkan doa dan rintihannya.
Mak Semah sedar dari
koma. Satu perkara yang mustahil kalau mengikut teori kedoktoran. Namun kuasa
ALLAH mengatasi segalanya. Itulah kehendak-NYA.
Mak Semah dikembalikan
kepadanya. Walaupun dalam keadaaan lumpuh. Dia reda. Asalkan dia masih
mempunyai seorang ibu.
“Ya ALLAH! Aku
bersyukur kepada-MU,” bisik Imran dengan mata yang bergenang air mata.
Tiba-tiba telefon
bimbitnya berdering. Dia menyeluk kocek. Panggilan dari Makyung Bedah.
“Im, masih di kebun?”
“Ya mak. Ada apa mak?”
“Mak dah siap masak.
Kami tunggu Im balik untuk makan tengah hari.”
“Baiklah mak. Im pun
memang dah nak balik ni. Mak nak pesan apa-apa tak. Im nak singgah kedai Pak
Mud.”
“Belikan mak surat
khabar Berita Harian.”
Imran angguk walaupun
dia tahu Makyung Bedah tidak nampak. Dia berjalan ke arah motor yang ada di
tepi jalan. Dalam kepalanya ligat berfikir. Makyung Bedah tak tahu membaca
rumi. Kenapa dia suruh belikan akhbar?