Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 59

Malam itu suhu badan Mak Semah tiba-tiba naik mendadak. Dia semakin tenat. Matanya sudah tidak dibuka. Menurut doktor, tubuhnya sudah tidak mampu menerima makanan dan ubat-ubat yang diberikan.

Imran menangis pilu melihat keadaan ibunya. Dia mengusap-usap tangan Mak Semah. Dia mencium-cium pipi ibunya. Air matanya berhamburan. Rasanya dia belum bersedia untuk berpisah dengan wanita yang sangat berjasa itu.

“Sabarlah Im. Mari kita berdoa agar semuanya dipermudahkan. Kalau sudah sampai masanya dia kembali kepada ALLAH, mari kita hantar dia dengan redha,” pujuk Pak Mud yang sering meluangkan masa menemani Imran di hospital itu di waktu malam.

“Saya sedih kerana Mak Bedah masih belum dijumpai. Kesian mak. Dia rindu sangat kepada Mak Bedah,” balas Imran. Dia teringat, baru semalam Mak Semah berpesan.

“Im, kalau mak pergi dulu dan tak sempat nak jumpa Mak Bedah kau, tolong sampaikan salam kasih sayang mak pada dia. Katakan pada dia, mak sangat sayangkan dia. Mak akan bawa sayang dan rindu mak ini bersama. Mak harap kami dapat jumpa lagi di alam sana. Sejak kecil, kami berkawan dan berjanji tidak pernah berpisah. Mak ingat hanya maut yang memisahkan kami, rupanya tangan anak-anak dia telah memutuskan hubungan kasih ini."

Imran merenung wajah pucat Mak Semah.

“Maafkan Im mak. Im memang anak yang tak berguna. Mak kuatkanlah semangat. Inah sedang berusaha membawa balik Mak Bedah ke sini,” kata Imran sambil menggosok-gosok tangan Mak Semah.

Mata Mak Semah bergerak-gerak. Dia seperti cuba membuka matanya. Namun tidak lama dia terlena semula.

Imran dan Pak Mud tidak mahu membuang masa. Mereka membaca surah yaasin dan mengaji. Hingga ke subuh, mereka tidak berhenti.

Selepas solat subuh, mereka duduk lagi mengadap jasad Mak Semah yang terbaring lesu. Sekali sekala dia tercungap. Pak Mud melihat dengan belas. Sebagai orang tua, dia tahu saat perpisahan sudah tiba.

“Semah, maafkan aku kalau aku ada buat salah pada kau. Aku pun dah maafkan kau. Kalau kau nak pergi, pergilah dengan aman,” bisik Pak Mud ke telinga Mak Semah. Kemudian dia menyambung dengan bisikan kalimah tauhid.

“Mak, tolong ampunkan semua dosa Im. Halalkan makan minum Im. Halalkan air susu yang Im minum.” Imran menangis.

Namun Mak Semah tidak lagi memberikan apa-apa reaksi. Sebaliknya dia mula sesak nafas. Dia tercungap-cungap. Pak Mud dan Imran tidak berhenti membisikkan kalimah tauhid LAILAHAILLAH ke telinganya. Mereka mahu dia pergi dalam keadaan husnul khatimah.

Suasana di wad itu menjadi kelam kabut. Mak Semah semakin tenat.

Imran dan Pak Mud disuruh menunggu di luar. Urusan pihak hospital untuk membantu pernafasan Mak Semah dibuat dengan teliti.

Imran tidak putus berdoa. Dia tidak mahu mengalah dengan keadaan itu. Mereka hanya merancang tetapi ALLAH Yang Maha Menentukan. Itulah yang berlaku. Akhirnya, roh Mak Semah meninggalkan jasad yang ditumpanginya sejak sekian lama. Malaikat maut telah datang untuk menjalankan suruhan ALLAH.

“Maafkan saya Encik Imran.” Doktor yang merawat keluar dari bilik rawatan. Dia menepuk bahu Imran dengan wajah simpati.

Air mata Imran menitik laju bagai hujan. Dia membiarkannya tetapi ia menahan sebuah esakan. Mengikut ajaran agama, menangis dibolehkan tetapi rintihan dan raungan hendaklah dielak.

“Mak, selamat kembali ke kampung abadi. Walaupun Im sedih, tetapi Im redha, mak.” Imran membetulkan dirinya. Air mata dikesat dan dia memeluk tubuh Mak Semah yang mula sejuk kaku. Dia mengucup pipi dan mengusap seluruh muka ibunya.

“Sebenarnya Im belum puas bermanja dengan mak. Im nak lebih lama lagi hidup dengan mak tetapi ALLAH lebih sayangkan mak. Dah lama DIA menguji iman dan taqwa mak. Sekarang, mak sudah dipanggil pulang kepada-NYA. Selamat jalan mak...” Imran menutup tubuh Mak Semah dengan selimut.

Perjalanan hidup di dunia yang penuh pancaroba ini sudah diakhiri dengan hembusan nafas yang terakhir. Kembalilah wahai roh yang tenang...


Previous: Bab 58
Next: 60

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.