Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 50

Pagi itu, Datin Seri Nik Hayati turun lebih awal dari biasa ke ruang makan. Sementara menunggu ahli keluarga yang lain turun, dia menatap gambar-gambar lama dari sebuah album. Gambar ketika dia bergiat aktif dalam makyung. Dia tersenyum-senyum sendiri.

“Selamat pagi, mama.” Fazrin dan Surya memberi ucapan serentak. Tanpa menunggu jawapan Datin Seri Nik Hayati, mereka berdua menarik kerusi dan duduk.

“Mama tengok apa tu?”

“Ni ha, gambar-gambar lama masa mama belajar makyung dulu,” jawab Datin Seri Nik Hayati sambil menghulurkan beberapa keping gambar yang ada di tangannya.

Fazrin ikut membelek gambar-gambar itu. Hatinya tertarik dengan kostum dan penampilan mamanya ketika itu.

“Cantiknya mama masa muda,” kata Fazrin, jujur.

Datin Seri Nik Hayati tersenyum mendengar pujian itu.

“Faz, dah dapat ke orang yang mama suruh cari tu?”

“Siapa mama? Makyung Bedah? Belum ada berita apa-apa lagi, mama. Kami sedang berusaha mencarinya,” balas Fazrin.

Surya tersedak. Air yang sedang diminum tertumpah ke ribanya. Habis basah seluar yang dipakainya.

“Sayang, minumlah perlahan-lahan. Nak kejar apa ni?” Fazrin menepuk belakang Surya.

“Maafkan Su mama, abang.” Surya segera bangun dan meninggalkan meja. Alasannya ialah untuk menukar pakaiannya yang basah tetapi dia sebenarnya ingin melarikan resah yang sedang membadai diri. Sungguh berkecamuk jiwanya. Sungguh gugup hatinya berdepan dengan keadaan itu.

Surya menghentikan langkahnya. Dia berdiri di belakang pintu tidak jauh dari ruang tamu itu. Dia ingin mendengar butir bicara dua beranak itu.

“Saya dah cuba suruh orang cari, mama. Tapi ada masalah sikit.”

“Masalah apa?”

“Makyung Bedah tidak ada di kampung. Dia sudah dibawa pergi oleh anak-anaknya.”

“Ke mana? Ke luar negeri?”

“Ke KL ni.”

“Kalau setakat ke KL, kan boleh dicari.”

Surya terdengar sebuah keluhan terkeluar dari bibir Fazrin. Agak berat dan mendesah.

“Masalahnya mama, semua orang tak tahu di mana rumah anak-anaknya.”

“Mustahil. Takkan orang kampung tak tahu? Atau mereka sengaja tak nak beritahu kita.”

“Itulah. Rasa macam ada yang tak kena di sini. Menurut kata kawan yang pergi ke kampung itu, orang kampung bersikap pelik. Mereka seolah-olah ingin mengelak dari berbual mengenai wanita itu. Semua orang kata tak tahu,” jawab Fazrin .

Surya menarik nafas lega. Dia rasa selamat dan terlindung. Namun, perasaan itu tiba-tiba berubah menjadi gunung berapi yang meletup dan bersepai.

“Ada cerita yang kami dengar bahawa salah seorang anak Makyung Bedah adalah seorang penyanyi terkenal. Tapi kami tak diberitahu siapa.”

“Ya ke? Kalau macam tu, cuba selidik siapa penyanyi itu. Mungkin lebih senang. Tanya wartawan Majalah Hiburan. Dia mesti tahu. Atau stesen TV.”

Suara Datin Seri Nik Hayati kedengaran sangat bersungguh-sungguh. Hati Surya pula semakin tertekan dan jantung bagai nak gugur.

“Baiklah ma. Saya akan usahakan sampai dapat.”

Sampai di situ, Surya hampir tidak boleh berdiri. Lututnya mengigil. Dia berjalan masuk ke bilik dan mengunci pintu dari dalam.

Dengan cepat dia mencapai telefon bimbitnya dan menghubungi Maryam. Hanya kepada Maryam, semuanya boleh diluahkan. Azman sudah hilang entah di mana. Nombor telefon sudah ditukar dan dia jarang ada di pejabatnya.

“Kak Yam, habislah aku!”

“Kenapa?”

Tanpa bertangguh, Surya menceritakan semuanya. Suaranya bergetar bimbang dan cemas. Memang dia sangat panik dan gugup berdepan dengan keadaan itu.

“Apa yang susahnya. Biarlah mereka cari. Dah tentu mereka takkan jumpa mak di kampung. Kan?”

“Kalau mereka tahu aku anaknya? Mereka akan mencari mak di sini. Dan kalau mereka jumpa, macam mana? Aduh kak. Buntu aku kak...” keluh Surya.

Tidak ada suara Maryam yang menyambung kata. Lama suasana sepi.

“Apa aku nak buat dengan orang tua ni, kak? Tolonglah...” rayu Surya.

“Entahlah. Akak pun buntu. Kau buatlah apa yang kau rasa patut. Akak tak cukup masa nak fikirkan pasal mak. Abang Shamsul pula tengah buat perangai. Dia sengaja cari pasal nak merajuk dengan akak. Rumah tangga akak tengah kelam kabut ni. Kau jangan tambah lagi satu masalah pada akak, Surya,” kata Maryam. Tanpa ucapan selamat tinggal, talian diputuskan.

Surya rasa ingin menjerit sekuatnya. Semua masalah kini terbeban kepadanya. Azman dan Maryam mula bersikap lepas tangan.

“Su! Su!” panggil Fazrin di muka pintu.

Surya segera ke bilik air. Seluar yang dipakai segera ditukar. Kemudian dia segera membuka pintu.

“Maaflah. Su kat bilik air, tak dengar abang panggil.”

“Abang pergi dulu. Hari ni abang tak ke pejabat. Abang nak ikut mama ke rumah kebajikan orang tua-tua. Mama nak menyumbang derma. Su nak ikut?”

“Taklah. Tengah hari ni Su kena ada di studio. Proses latihan terakhir sebelum rakaman dimulakan. Abang pergi dengan mama ya. Lain kali Su ikut,” kata Surya memeluk pinggang Fazrin. Dia berpura-pura manja. Dia berpura-pura tidak ada apa yang sedang berlaku.

Fazrin angguk. Dia mengucup dahi Surya dan keluar dari bilik itu. Tidak lama kedengaran enjin kereta Fazrin menderum pergi. Surya menarik nafas lega.

‘Apa aku nak buat dengan orang tua tu?’ Hati Surya mula berbisik. Akalnya mula mencari-cari jalan. Namun, semuanya buntu. Tidak ada jalan keluar.

Dia keluar dari bilik selepas yakin suami dan ibu mertuanya sudah pergi.

“Bik Sumi!” laungnya ke arah dapur. Dia tahu, wanita itu pasti sedang sibuk menguruskan dapur.

Wanita Indonesia yang dipanggil Bik Sumi tergesa-gesa datang. Tangannya yang basah kerana sedang mencuci pinggan mangkuk segera dilapkan.

“Mana Leha?”

“Leha ada di bilik mak cik. Dia menghantar sarapan,” kata Bik Sumi.

“Dengar sini baik-baik. Mulai hari ini, saya nak awak dan Leha lebih berhati-hati jaga mak cik tu. Jangan sampai Datuk, Datin dan suami saya tahu rahsia ini,” kata Surya memberi amaran.

Bik Sumi terkebil-kebil. Wajahnya kelat dan kurang senang.

“Boleh saya tanya sikit, puan?” Bik Sumi memberanikan diri.

Surya kurang senang dengan permintaan itu. Namun, dia angguk juga.

“Kenapa mak cik tu disembunyikan di situ? Apa salah dia hingga puan buat dia begitu?” tanya Bik Sumi, perlahan dan teragak-agak.

Sejak awal dia kurang berpuas hati dengan layanan Surya kepada Makyung Bedah, ibunya. Seorang ibu tidak seharusnya menerima layanan begitu dari anaknya.

“Heh! Itu urusan aku. Ingat bibik! Kalau rahsia ini pecah, aku cari kau! Aku boleh buat kau dihantar balik ke kampung kau! Nasib kau di tangan aku!” jerit Surya, marah. Suaranya angkuh dan sombong. Dia mendabik dada.

Bik Sumi angguk perlahan. Wajahnya murung dan kurang senang. Sejak dia bekerja di rumah itu, dia jarang dimarah oleh majikannya. Hanya selepas Surya datang, keadaan mula berubah. Ada saja kerjanya yang ditegur. Surya kuat memerintah. Dia berlagak seperti dialah tuan rumah sedangkan Datin Seri Nik Hayati tidak begitu.

Kadang-kadang dia terfikir untuk memberitahu Datin mengenai apa yang berlaku di belakang rumah itu. Namun, wanita itu sentiasa sibuk. Dia tak mahu mengganggu masa Datin Seri Nik Hayati. Dia juga tidak mahu berlaku pergaduhan dalam rumah itu.

Lalu semuanya ditelan dengan hati yang tidak rela!


Previous: Bab 49
Next: Bab 51

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.