Sepanjang jalan, Makyung
Bedah hanya diam sahaja. Matanya dipejamkan. Semua yang ada di sepanjang jalan
langsung tidak menarik minatnya. Azman pun langsung tidak berminat untuk
berbual-bual mesra. Sepatah ditanya, sepatah juga yang dijawab. Akhirnya
Makyung Bedah rasa lebih baik dia tidak berdiam diri.
Akhirnya dia terlelap
dan hilang dari dunianya untuk seketika.
Ketika Makyung Bedah
terjaga, kereta sudah berhenti di hadapan sebuah rumah yang besarnya macam
gedung.
“Mak, kita dah sampai,”
kata Azman.
“Rumah kau ni Man?”
“Yalah. Takkan nak
pergi rumah orang lain pula?” Azman mengangkat suara, tinggi dan kering tanpa
kasih.
Pintu terbuka. Seorang
wanita keluar mengangkat beg Makyung Bedah.
“Bibik, ini mak saya.
Tunjukkan dia bilik yang saya dah suruh bibik kemas kelmarin.” Azman memerintah.
“Baik, tuan.”
Makyung Bedah dibawa ke
sebuah bilik. Bilik itu kecil sahaja tetapi ia dilengkapi oleh perabut yang
cantik.
“Ini bilik ibu. Kalau
ada apa-apa, panggil saya. Bilik saya di hujung sana,” kata wanita yang
menghantar Makyung Bedah itu.
“Terima kasih, adik.
Siapa nama awak?”
“Nama saya Ningsih.”
Makyung Bedah angguk.
Dia rasa Ningsih sebaya dengan Maryam. Masih muda tetapi sudah merantau jauh
meninggalkan tanah air. Semuanya demi mencari rezeki.
“Saya nak mandi dan
solat. Kiblatnya arah mana?”
“Oh! Ke sana bu!” Ningsih
menunjukkan arah. Kemudian dia keluar dari bilik itu.
Selepas mandi dan
berwuduk, Makyung Bedah mula menyerahkan dirinya kepada Yang Maha Esa dengan
penuh kusyuk.
**
Keesokan pagi, Ningsih
mengetuk pintu biliknya ketika dia selesai mengaji. Kata Ningsih, “Tuan besar
ingin ketemu.”
Makyung Bedah mengucap
syukur. Anaknya sudah jadi tuan besar. Dia menyaksikan dengan matanya sendiri,
kehidupan Azman yang mewah. Dia tinggal di rumah yang besar dan mewah. Ada
pembantu rumah menguruskannya.
Tetapi, di mana menantu
dan cucu-cucunya?
Makyung Bedah segera
keluar. Mungkin mereka sudah menunggunya di meja makan. Malam tadi, ketika
sampai dia tidak disambut oleh menantunya. Mungkin pagi ini, tangannya akan
dikucup mesra oleh mereka.
“Mak, mari sarapan,”
ajak Azman. Hanya Azman seorang di meja itu. Tidak ada anak dan isterinya.
“Mak tinggal di sini
diam-diam. Saya memang tak cukup masa nak layan mak lebih-lebih. Mak nak
apa-apa mak minta pada bibik. Saya dah cakap dengan bibik suruh layan mak
dengan baik,” kata Azman sambil mengunyah.
“Ini rumah siapa Man.
Mana Humaira?” tanya Makyung Bedah.
“Mak, jangan tanya
banyak-banyak boleh tak?” jerkah Azman.
“Mana ada banyak. Mak
cuma tanya, mana Humaira dan cucu-cucu mak?” Makyung Bedah cuba pertahankan
diri.
Azman tidak menjawab.
Dia mencapai cawan minuman dan meneguk dengan rakus. Dia melepaskan marahnya.
Tidak lama meja makan itu ditinggalkan.
Makyung Bedah
termangu-mangu. Atas meja itu ada bermacam sarapan. Ada roti bakar dengan keju.
Ada mi goreng. Ada juga benda-benda yang memang dia tidak pernah jumpa masa di
kampung.
“Ibu, nak makan apa?”
tanya Ningsih dengan hormat.
Selera Makyung Bedah
tidak terbuka. Ia tertutup rapat. Semua yang ada di hadapannya tidak sama
dengan nasi goreng kampung yang dimasak oleh Imran. Walaupun Imran hanya
menggoreng bawang dan mencurahkan budu
ke dalam resepinya, tetapi ia sangat membuka selera Makyung Bedah.
“Saya nak minum je.”
Akhirnya itu yang diputuskan oleh Makyung Bedah.
“Ibu boleh cuba roti
bakar dengan butter,” kata Ningsih pula.
Makyung Bedah geleng.
Sudah setua itu, dia belum pernah menjamah makanan seperti itu. Inikah makanan
Azman setiap pagi? Bukankah dulu Azman suka makan nasi dengan ikan rebus goreng
setiap pagi?
Secawan air
dihidangkan. Aromanya menyentuh hidung. Makyung Bedah menghidunya.
“Air apa ni, Ningsih?”
“Coklat panas, bu.”
“Ish! Saya tak pandai
nak minum benda ni. Boleh bancuhkan saya kopi O saja. Atau teh O. Itu yang saya
biasa minum di kampung.”
Ningsih ketawa. Dia
segera menutup mulut agar tidak dikatakan kurang ajar.
“Kenapa kau ketawa?
Saya ada cakap salah ke?” Makyung Bedah rasa hairan melihat gelagat pembantu
rumah Azman itu.
“Maafkan saya bu. Saya
bukan ketawakan ibu. Saya ketawa sebab selera kita sama. Saya pun tak pandai
nak minum ini. Saya lebih suka kopi O atau teh O. Tapi orang di rumah ini tak
minum itu.”
“Jadi tak ada kopi di
sini?”
“Ada. Saya membeli dan
menyimpan untuk diri saya sendiri. Sekarang, kita boleh kongsi minum bersama.
Ibu tunggu sekejap ya. Biar saya bancuh kopi untuk ibu.” Ningsih berlalu ke
dapur. Makyung Bedah tersenyum. Dia rasa lega dan senang hati kerana tekak
Ningsih sama dengan tekaknya. Tekak orang kampung.
Ningsih keluar dengan
seteko kopi O. Asap masih berkepul bersama aroma yang sangat disukai oleh
hidung Makyung Bedah.
“Nah ibu. Kopi O
kegemaran ibu dan saya.”
“Kesukaan tekak orang
kampung,” balas Makyung Bedah dengan ketawa kecil.
Makyung Bedah menghirup
kopi panas itu. Dia pejamkan mata. Sedapnya kopi bancuhan tangan Ningsih.
Sesedap bancuhan Imran.
“Im, bawakan mak biskut!”
kata Makyung Bedah tanpa membuka mata. Dia terasa angin lembut dari sawah
sedang menerjah wajahnya. Alangkah nyamannya.
“Ibu, panggil siapa?”
tanya Ningsih dengan hairan.
Makyung Bedah membuka
mata. Dia tersedar dari lamunan. Akhirnya dia menjawab pertanyaan Ningsih
dengan senyuman. Baru sehari meninggalkan kampung, dia sudah merindui Imran.
Selesai bersarapan,
Makyung Bedah berjalan-jalan di sekitar halaman.
“Siapa yang tanam
pokok-pokok ini Ningsih?”
“Abang Pandy, tukang
kebun rumah ini.”
Wah! Kayanya Azman.
Siap ada pemandu, tukang kebun dan pembantu rumah. Semuanya cukup di rumah
Azman tetapi di mana Humaira?”
“Ningsih, mana isteri
Azman?” tanya Makyung Bedah. Dia sudah bertanya kepada Azman tetapi tidak
dijawab malah dimarah. Sekarang, biar dia tanya dengan pembantu rumahnya.
“Maksud ibu, Nyonya Nafisa?
Dia ke luar negara. Dah seminggu. Dua tiga hari lagi dia akan balik,” jawab
Ningsih.
“Nafisa? Siapa Nafisa?”
“Isterinya tuan.”
Makyung Bedah semakin
bingung. Ke mana Humaira? Dari mana pula datangnya Nafisa? Namun, dia tidak
mahu bertanya lagi. Dia menyimpan soalannya dalam hati. Banyak rupanya rahsia
yang Azman sembunyikan dari dia.