Beberapa hari Makyung
Bedah tidak keluar dari bilik ketika Azman dan isterinya ada di rumah. Dia
sengaja berbuat begitu agar Nafisa terlupa akan kehadirannya di rumah itu. Dia
cuba melengah-lengahkan masa.
Namun Nafisa itu ibarat
jerat yang tidak pernah melupakan tugasnya. Beberapa hari dia memang diamkan
diri dan memberikan Azman peluang untuk selesaikan masalah itu. Selepas melihat tidak ada
sebarang tindakan dibuat, dia mula bertindak nekad.
Pagi itu, Nafisa
menunjukkan kuasa. Riuh rendah ruang tamu dengan jerit pekiknya.
“You nak pergi mana ni,
sayang?” tanya Azman sambil mengekori Nafisa yang membimbit sebuah beg besar.
“I balik rumah papa I.
I tak suka tinggal di sini lagi. You sengaja bawa orang lain ke sini kerana tak
nak I terus tinggal di sini kan?”
“Siapa yang cakap
dengan you macam tu?”
“Habis you masih bela
perempuan tua itu di sini. You kata nak hantar dia ke tempat lain tapi you tak
buat pun!”
“Berilah I masa.
Adik-adik I tu tak ada di rumah sekarang. Inikan cuti sekolah. Mariam pergi
makan angin dengan keluarganya. Surya pula dengan keluargannya.”
“Tidak! I tak kisah
macam mana you nak buat dan ke mana you nak hantar dia. I tahu you bawa dia
keluar dari sini! Sekarang! Kalau tidak, I yang akan keluar dari sini!” jerit
Nafisa.
Jeritan itu tidak
langsung mengejutkan Makyung Bedah. Dia sudah tahu keadaan sebenar. Dia sudah
tidak takut berdepan dengan musibah mendatang.
“Ada apa bising-bising
ni Man?” Makyung Bedah keluar dari bilik dan berpura-pura tenang.
“Mak, mak pergi
berkemas sekarang. Saya hantar mak balik kampung.”
“Kenapa pula? Kau yang
kata mak kena tinggal di sini sampai bila-bila. Kau dan adik-adik kau yang rancang
semua ni. Sekarang, kenapa pula mak nak balik?” Makyung Bedah merenung tajam
wajah Nafisa yang kelat.
Nafisa memang cantik.
Tetapi kecantikannya itu tidak asli. Semuanya bertempek dengan alat solek.
“Mak, tolong faham
keadaan saya,” kata Azman separuh merayu.
“Mak memang selalu
faham. Kita orang miskin dan tak ada apa-apa. Kau menumpang harta orang, jadi
sedarlah.”
“Apa yang mak cakap ni?
Saya tak menumpang harta siapa-siapa. Saya hanya nak rasa bahagia dengan cara
hidup saya.”
“Jadi, kau nak kata mak
kau ini mengganggu kebahagiaan kau?”
Azman terkulat-kulat.
Nampak sangat fikirannya tengah risau dan serabut.
“Mak, tolonglah...
janganlah nak rosakkan hidup saya ini. Marilah saya hantar mak balik kampung.
Atau saya hantar mak ke rumah Maryam atau Surya. Mak duduk dengan mereka
pulak,” rayu Azman.
Makyung Bedah menjeling
ke arah Nafisa yang tersenyum menang.
“Mak tak nak!”
Tiba-tiba timbul kekuatan dalam diri Makyung Bedah untuk menentang Azman dan
Nafisa.
“Mak! Jangan degil
boleh tak? Jangan sampai saya...”
“Kau nak halau mak dari
sini? Kau nak buat macam mana kau halau Humiara? Kerana perempuan ini kau
sanggup buat semuanya. Kau tahu kau hidup dengan harta dia. Kau dah besar
kepala Man. Mak dan arwah ayah tak ajar kau zalim pada orang! Bertaubatlah Man.
Masih ada masa untuk kau minta ampun pada ALLAH. DIA Maha Pengampun. Tinggalkan
perempuan ini dan cari Humaira!” Makyung Bedah memotong cakap Azman. Dia tidak
kisah lagi apa yang akan berlaku. Dia sayangkan Azman. Dia juga kasihankan
Humaira dan anak-anaknya.
“Mak! Jangan melampau
sangat!” sergah Azman dengan kuat.
“Mak ke kau yang
melampau! Kau dah sesat jauh, Man. Marilah kembali ke pangkal jalan.”
“Mak!” Azman
menghampiri Makyung Bedah dan cuba menamparnya. Namun ketika tangannya
diangkat, Ningsih menjerit dari belakang.
“Tuan! Jangan jadi anak
derhaka!”
Azman menahan
kemarahannya. Tubuhnya mula menggigil. Nafisa melihat semua itu dengan hati
yang sakit dan marah.
“Sekarang you memang
nak pilih dia kan. Biar I pergi saja dari sini!”
“Jangan pergi sayang.
Tolong jangan tinggalkan I...” rayu Azman.
“You anak mak kan? You
sayang sangat dengan mak you kan? Jadi you pergilah ikut dia!” Nafisa
mengangkat begnya dan berjalan ke arah pintu.
Azman mengejar. Dia
memeluk erat tubuh Nafisa. Dia merayu, “Sayang, jangan buat I macam ni. You
tahu I sayangkan you. You tahu I tak boleh hidup tanpa you. You tahu I sanggup
buat apa saja demi you.”
“Buktikan! Jangan
pandai cakap saja,” balas Nafisa.
Azman teragak-agak.
Nafisa segera membalas pelukannya. Mata Azman direnung manja. Akhirnya, Azman
berpaling kepada Makyung Bedah. Dia bercekak pinggang. Wajahnya marah seperti
singa yang sedang kelaparan.
“Mak, tolong keluar
dari rumah saya sekarang juga!”
“Man, mengucaplah Man.
Kau sedang dirasuk iblis! Ingat pada ALLAH, Man. Tengok muka mak ni. Mak ini
ibu yang mengandung dan melahirkan kau. Air susu mak yang membina tulang
temulang kau. Istighfarlah Man....”
“Sudah! Aku kata kau
keluar, kau keluar sekarang! Perempuan tak guna!”
Dam! Jantung Makyung
Bedah gugur dan relai. Darah membuak dari hatinya yang memang sudah lama remuk.
Namun dia masih tidak berganjak. Dia masih mahu memeluk anak lelaki tunggalnya.
Dalam tubuh Azman mengalir darah Imam Ismail keturunan Imam Yunus. Dia dari
keturunan orang baik-baik. Bukan dari calang-calang keturunan.
“Aku kata, kau keluar!”
pekik Azman lagi.
“Man, tolong tengok
muka mak. Tolong ingat pada arwah ayah. Tolong ingat pada arwah tok. Mereka
orang beriman. Man lahir dari benih keturunan mereka. Keturunan kita tidak ada
yang zalim dan kejam!”
“Keluar, aku kata!”
tengking Azman dengan kuat.
Makyung Bedah sudah
tidak mampu menahan lagi. Tangisnya mula pecah memenuhi ruang.
Terhinggut-hinggut tubuhnya. Dia rasa semakin tidak berdaya untuk berdiri.
“Bedah! Kau kena kuat,
Bedah. Jangan lemah, Bedah!” Dia berkata kepada dirinya sendiri. Dia cuba
kumpulkan semangat yang ada dan bangun menuju ke arah Azman. Tubuh Azman
dipeluk dengan rindu. Dia mencium seluruh muka anaknya dengan penuh kasih
sayang.
“Mak rindukan Man. Mak
nak anak mak yang dulu. Mak sayang Man...” Air matanya terus mengalir. Basah
muka Azman dengan rembesan air matanya.
“Sudah! Aku tak perlukan
seorang mak yang miskin papa kedana macam kau!” Azman cuba meleraikan pelukan
Makyung Bedah. Dia menggunakan sepenuh tenaganya. Akhirnya, pelukan seorang ibu
terlerai.
“Sampai hati kau
Man...” Hanya itu yang mampu terluah oleh Makyung Bedah ketika itu. Dia hanyut
oleh arus air mata yang sangat deras.
“Ningsih, kau kemas
semua barang-barang perempuan tua ini! Aku tak nak tengok walau sehelai kain
dia pun dalam rumah aku. Lepas itu kau buang dia keluar dari rumah ini. Aku
tahu, selepas aku balik dia tak ada lagi dalam rumah ini,” kata Azman kepada
Ningsih.
“ALLAH hu AKBAR!
Azman... anakku!” raung Makyung Bedah dengan tubuh yang longlai dan jatuh ke
lantai.
Azman menyeluk saku
seluarnya dan mengeluarkan dompet duit. Dari dompet itu dia mengeluarkan beberapa
keping wang kertas bernilai seratus ringgit.
“Nah! Kau ambil duit
ni. Anggap ini harga air susu yang kau banggakan sangat tu!” Azman membalingkan
wang itu kepada Makyung Bedah. Dengan cepat dia menarik tangan Nafisa dan
berlalu meninggalkan rumah itu.
“Ya ALLAH! Besarnya
dugaan yang KAU berikan padaku...” tangis Makyung Bedah dengan pilu. Dia pejamkan
mata. Dia cuba tabahkan hati.
Ningsih ikut menangis
tersedu-sedu. Tidak tahan dia melihat dan mendengar trajidi apa yang berlaku.
Tidak disangka, majikannya telah mengulangi kisah Malim Kundang yang derhaka
itu.
“Ibu, sabarlah. Mari
kita pergi dari sini. Jangan biarkan hati ibu disakiti lagi. Marilah bu...”
pujuk Ningsih sambil memeluk tubuh Makyung Bedah. Lama mereka berpelukan.
Tiba-tiba Makyung Bedah
tubuhnya mula kuat. Dia mengesat air matanya. Luka hatinya dibiarkan berdarah. Namun
hidup harus diteruskan. Dia tidak mahu menyerah kalah. Dengan perlahan dia memaksa
dirinya untuk bangun. Dia mengutip wang kertas yang bertaburan di lantai dan
mengucupnya berkali-kali.
“Kau sangat takbur,
Azman. Kau bayar harga air susu dan pengorbanan aku dengan kertas yang tak
bernilai apa-apa untuk seorang ibu. Tak apalah Azman. Hari ni kau menang. Hari
ni kau berjaya hancurkan hati seorang ibu. Tapi kau lupa akan janji ALLAH,
Azman. Jika benar air susuku yang kau minum...”
“Ibu! Tolong jangan
sumpah dia! Tolong ampunkan dia, ibu!” Ningsih segera memeluk tubuh Makyung
Bedah. Sangat bimbang hatinya untuk mendengar kata-kata Makyung Bedah
seterusnya.
Makyung Bedah
beristighfar. Dia menyapu mukanya dengan kedua tapak tangan.
“Ya, saya kena kuat
menghadapi semua ini. Hidup seorang ibu tak boleh musnah kerana seorang anak.
Tapi ke mana saya nak pergi...” rintih Makyung Bedah
“Mari saya hantarkan ibu
ke rumah Nyonya Humaira,” kata Ningsih sambil membantu Makyung Bedah bangun.
“Saya malu nak bertemu
dengan bekas menantu saya itu.”
“Kenapa ibu harus
malu?”
“Kerana rahim saya
tidak melahirkan anak yang baik. Kerana saya tidak beruntung dan mendapat anak
yang soleh dan berbudi. Anak saya telah menghancurkan hidup Humaira dan
cucu-cucu saya. Saya malu, Ningsih,” balas Makyung Bedah dengan perlahan.
“Kalau macam tu, apa
kata ibu telefon anak-anak ibu yang lain. Minta mereka ambil ibu di sini.”
Makyung Bedah masih
kebingungan. Semuanya berlaku dengan cepat. Dia belum mampu mempercayai bahawa
Azman telah menghalaunya. Azman juga telah menghina dan menafikan haknya
sebagai ibu. Azman telah membayar penat lelah dan jasanya sebagai ibu dengan
kepingan wang kertas itu.
Aduhai anak...
Lafaz benci seorang
anak berdengung-dengung di telinganya. Dia menutup telinganya dengan dua tapak
tangan. Tidak sanggup didengar dan diingat. Hanya air mata yang berjuraian...
“Ya ALLAH! Ya ALLAH!”
Hanya itu yang mampu diucapkan oleh bibirnya yang mula kering.