Makyung Bedah sangat
resah. Dadanya berdebar sahaja. Sejak malam tadi perasaannya tidak menentu.
Ketika itu hanya wajah Imran dan Mak Semah saja yang muncul di ruang matanya.
Selesai solat subuh,
dia semakin gelisah. Dia langsung tidak dapat melakukan rutin biasanya,
mengaji.
Dia mengemas sejadah
sebelum keluar dari bilik itu dan menikmati udara segar di luar. Dia merenung
langit. Awan yang berarak tenang itu tidak dilihat cantik.
‘Kenapa dengan kau,
Semah? Apa yang berlaku, Im?’ Soalan itu muncul bertubi-tubi dalam hatinya.
Tidak lama, dia segera
masuk ke bilik. Dia rasa dia perlu tidur untuk meredakan resah. Ketika matanya
hampir terlelap, pintu dibuka dengan kasar.
“Mak! Bangun!” jerit
Surya.
Dengan lemah dan
perlahan, Makyung Bedah bangun. Ketika itu, Surya menarik sebuah beg pakaian
dan mencampakkan ke arah Makyung Bedah.
“Mak! Cepat kemaskan
pakaian!”
“Kita nak ke mana
Surya? Nak balik kampung ke?”
“Jangan tanya apa-apa.
Aku kena keluarkan mak dari sini. Mak memang sengaja nak susahkan aku. Aku tak
tahan lagi dengan mak ni!” jawab Surya, separuh menengking.
Makyung Bedah bangun
dan mencapai kain baju dan barang-barangnya dari almari. Tanpa melipat dengan
baik, dia menyumbat kesemuanya ke dalam beg yang diberikan.
“Ke mana kau nak hantar
mak Surya?”
“Aku dah beri amaran
pada mak, jangan keluar dari bilik ini waktu pagi sebelum semua orang ke
pejabat. Tapi, mak degil. Mak memang nak jahanamkan hidup aku. Sekarang, mak
rasa balasannya. Aku akan hantar mak pergi jauh dari sini!” jerit Surya.
Makyung Bedah rasa
terlalu sebak. Dia rasa ingin menangis tetapi entah kenapa kali ini air matanya
terlalu mahal. Dadanya bergetar. Kalbunya pula bergegar. Tangannya tetap
mengemas. Barang terakhir yang diambilnya ialah kitab suci Al-Quran yang memang
dibawa dari kampung. Dia mendakap al-Quran. Lama. Rasa tenang hatinya. Rasa
lapang jiwanya. Syafaat dari kitab suci itu dapat dirasakan dengan izin ALLAH.
“Heh, cepatlah! Kau
jangan nak buang masa aku!” Surya menengking lagi.
Makyung Bedah
berisghfar dalam hati. Dia tetap tidak mahu mengalah pada perasaan terluka dan
kecewa. Dia tidak mahu tunduk kepada bisikan iblis yang minta dia menyumpah
Surya.
“Dia anak derhaka! Dia
tak layak dikasihi. Marah dia! Benci dia!” Suara segerombolan iblis terngiang
di telinga dan terdetik di hati.
“Astaghfirullahhalazim...
Astaghfirullahhalazim... Nauzubillahhiminzalik!” jerit Makyung Bedah. Jeritan
itu bukan sahaja membuatkan iblis dan syaitan bertempiaran meninggalkan hatinya
malah ia seperti terlucut dari bertenggek di tubuh Surya juga.
Surya terpaku. Dia
terdiam lama.
“Dah, marilah. Mak dah
siap ni,” ajak Makyung Bedah dengan tenang. Dia menyarungkan tudung labuh dan
menjinjit beg pakaian keluar dari situ.
Surya mengekorinya.
Sampai di garaj kereta,
Makyung Bedah berhenti. Matanya meneliti kereta yang berderetan.
“Kereta mana yang mak
layak naik?” Makyung Bedah menoleh ke arah Surya.
“Aku hantar mak naik
teksi saja. Aku tak nak ada orang nampak mak dalam kereta aku,” jawab Surya,
kembali angkuh. Dia segera menelefon teksi.
Makyung Bedah diam
sahaja. Dia rasa lapang kerana Surya mahu membebaskannya dari bilik itu.
Jiwanya rasa bebas dan aman. Dia
mendongak ke langit dan menarik nafas lega. Dia mengucap syukur di dalam hati
kerana masih diberi peluang menikmati keindahan langit dan bumi milik ALLAH.
Sebuah teksi sampai.
Surya segera mendekati teksi itu dan bercakap dengan pemandunya. Entah apa
butir bicaranya. Kemudian dia mengeluarkan sekeping duit lima puluh dan
menghulurkan kepada pemandu itu.
“Mak, masuklah.” Surya
membuka pintu. Dengan patuh, Makyung Bedah segera masuk. Sebelum pintu ditutup
tiba-tiba Bik Sumi muncul. Tangan Makyung Bedah ditarik dan disalami dengan
rembesan air mata.
“Mak cik, tolong
maafkan saya.”
“Saya juga minta maaf
kalau selama saya di sini, saya pernah menyakitkan hati kamu. Pernah memerintah
kamu sedang saya bukan majikan kamu. Tolong halalkan semua yang kamu buat untuk
saya,” balas Makyung Bedah sambil menepuk bahu Bik Sumi.
Bahu itu bergoncang
dengan kuat. Bik Sumi teresak-esak mendengar kata-kata Makyung Bedah itu.
“Heh, sudahlah.
Janganlah nak berdrama sangat. Kau nak sedih sangat tu kenapa? Aku anak dia pun
tak sedih!” tengking Surya.
Makyung Bedah menoleh
ke arah Surya. Tengkingan Surya itu tidak menyakitkan hatinya. Sebaliknya
perkataan yang baru dilafazkan Surya itu telah menambat hatinya.
“Surya, kau mengaku mak
ni ibu kau? Kau tak malu sebut kau tu anak mak?” tanya Makyung Bedah, mencari
kepastian.
Surya terkesima. Dia
mula perasan akan kata-katanya tadi. Dia sudah terlajak kata!