Gambar Surya ditatap
oleh Makyung Bedah dengan mata rindu. Wajah anaknya itu direnung dengan hati
kasih. Tumpuannya masih tidak berganjak dari gambar Surya. Cantik. Itu yang ada
dalam hatinya. Dia memuji Surya dari pandangan mata seorang ibu yang melahirkan.
‘Abang, tengoklah anak
abang ini. Cantiknya dia, kan?’
Bibirnya
tersenyum-senyum. Entah kenapa, dia senang dan rasa lapang sekali melihat
gambar Surya dan keluarga barunya itu.
“Mak cik minat penyanyi
ni ke?” Seorang gadis menegur. Makyung Bedah mendongak.
“Kenapa?”
“Sebab saya tengok mak
cik asyik dok renung gambar ni dari tadi.”
“Dia cantik, kan?”
Makyung Bedah menduga.
“Ya. Dia cantik dan
suaranya juga merdu. Untung dia dapat kahwin dengan anak Datuk. Kalau tak
menyanyi pun dia mampu hidup mewah,” jawab gadis itu dengan petah.
Hati Makyung Bedah berbunga
bangga. Sampailah hajat Surya hendak menjadi orang terkenal. Terpenuh juga
impian Surya hendak hidup mewah.
“Anak, boleh tolong
baca apa cerita yang ditulis ni?” tanya Makyung Bedah menunjukkan ke arah muka
surat yang penuh dengan tulisan bersama gambar-gambar Surya itu.
“Mak cik tak tahu
baca?”
Makyung Bedah
menggelengkan kepala, jujur.
“Habis, kenapa mak cik
beli majalah ni?”
“Sebab mak cik berkenan
dengan gambar muka depan ni. Mak cik suka tengok senyuman budak ni. Bila tengok
wajah dia, mak cik terbayangkan wajah anak mak cik,” jawab Makyung Bedah sambil
tangannya mengusap-usap wajah Surya pada kulit majalah itu.
Gadis itu angguk
perlahan. Walaupun di wajahnya tergambar kekeliruan, namun dia tetap angguk.
Kemudian dia mengambil majalah itu dari tangan Makyung Bedah dan mula membelek
halaman yang menyiarkan cerita mengenai Surya Ismail, penyanyi rock terkenal di
Malaysia.
Apa yang tertulis mula
dibaca oleh gadis itu. Semuanya mengenai lagu-lagu yang terkandung dalam album
baru yang bakal terbit. Banyak cerita mengisahkan hal-hal kariernya.
“Semuanya mengenai
kisah album barunya, mak cik.” Gadis itu melangkau baris tulisan. Dia seperti
bosan dengan kisah yang ditulis itu.
“Tak ada kisah mengenai
keluarganya?” tanya Makyung Bedah pula.
Gadis itu mencari-cari
kalau ada tertulis cerita keluarganya dalam rencana dua muka surat itu.
Tiba-tiba matanya terpandang kepada sebuah perenggan.
“Ada mak cik. Dia kata
dia bersyukur kerana ada suami dan keluarga mertuanya yang banyak memberi
sokongan dan kasih sayang.”
“Itu saja?”
“Dia kata lagi, sejak
kecil dia menjadi yatim piatu. Dia dibesarkan oleh mak ciknya yang juga
meninggalkannya ketika masih perlukan kasih sayang dan perhatian. Jadi dia rasa
bertuah kerana dapat merasai kasih sayang seorang ibu dari Datin Seri Nik
Hayati.” Gadis itu berhenti membaca. Dia membelek-belek majalah itu.
Hati Makyung Bedah
berdebar kencang. Dia rasa tubuhnya ringan melayang-layang seperti sedang
ditiup angin puting beliung.
“ALLAH hu AKBAR!”
rintihnya perlahan.
“Kenapa mak cik?” tanya
gadis itu sambil meletakkan majalah itu di atas ribaan Makyung Bedah.
“Tak ada apa-apa. Mak
cik rasa sakit kepala.”
“Kalau macam tu, baik
mak cik makan panadol. Mak cik nak panadol?”
Dengan cepat Makyung
Bedanh mengangguk. Dia tidak mahu gadis itu mengesyaki apa-apa. Dia tidak mahu
gelora hati seorang ibu pecah menjadi tangis di hadapan orang yang tidak
dikenali.
Dua biji panadol
dihulurkan kepadanya. Makyung Bedah terus menelan bersama air mineral yang ada
di tangannya.
“Anak ni nak ke mana?”
“Saya nak ke Kuala
Trengganu. Mak cik nak ke mana?”
“Mak cik nak ke
Kelantan.”
“Mak cik dah beli
tiket?”
“Belum lagi, nak. Mak
cik tak pandai. Boleh tak anak tolong belikan tiket untuk mak cik?” Makyung
Bedah memang sangat mengharapkan bantuan gadis itu. Kalau tadi dia hanya gerun
untuk memijak tangga bergerak itu, sekarang tubuhnya semakin lemah dan longlai.
Ayat-ayat yang dibacakan oleh gadis itu sangat menghancurkan hatinya.
Gadis itu angguk. Dia
nampak ikhlas dan tulus ingin membantu.
“Nah, ini duitnya,”
kata Makyung Bedah sambil menghulurkan wang kertas seratus ringgit.
“Mana kad pengenalan
mak cik?”
“Nak buat apa kad
pengenalan?” Makyung Bedah terpinga-pinga. Dia mula bimbang.
“Mak cik, di terminal
ini nak beli tiket bas kena ada kad pengenalan atau paspot kalau orang luar.
Bukan boleh suka-suka beli macam tu je,” balas gadis itu dengan senyum. Mungkin
dia faham apa yang dibimbangkan oleh orang tua seperti Makyung Bedah.
Makyung Bedah ikut
tersenyum. Dia mengeluarkan kad pengenalan dari beg kainnya. Kad itu dihulurkan
kepada gadis itu.
“Mak cik tunggu di sini
ya. Tengok-tengokkan beg saya ni. Biar saya pergi ke kaunter.”
Makyung Bedah
menghantar lenggang gadis itu hingga ke tangga. Dia bersyukur kerana
dipertemukan dengan gadis itu.
Dia kembali teringat
kepada Surya. Sampai hati Surya beritahu masyarakat dia anak yatim piatu sejak
kecil. Memang benar dia anak yatim tetapi dia bukan piatu.
‘Kau lupa tangan ini
yang membelai kau sampai dewasa. Tangan ini yang bekerja siang malam untuk
membesarkan kau sampai pandai. Kau lupa kalau ibu tua ini yang bergolok
bergadai untuk mencari duit belanja kau ke universiti. Surya, kau lupa
semuanya...’ rintihnya dalam hati.
Air matanya bergenang.
Gambar Surya di kulit majalah itu ditatap lama. Kenangan masa lalu tergambar
jelas. Surya yang manja dan keletah. Surya yang kuat merajuk. Surya yang
pengasih dan suka tidur berpelukan dengannya. Surya yang sangat dimanjakan
hingga membuatkan kakak dan abangnya cemburu.
“Surya...” rintih
Makyung Bedah. Dia rasa sangat letih dan kesakitan. Lalu dia sandarkan tubuhnya
ke kerusi. Dunianya dirasakan gelap dan kelam. Kemudian dia rasakan hidupnya
kosong dan tubuhnya ringan bagai kapas. Dia diterbangkan angin dan
melayang-layang entah ke mana...