Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
Bab 29

Imran bingkas bangun. Dengan langkah seorang pendekar, dia bergegas ke arah motornya dan terus menghidupkan enjin. Dengan cepat juga Makyung Bedah membonceng di belakang.

Maryam terpaksa memandu perlahan mengekori motor Imran.

“Huh! Buat perangai betul orang tua ni!” rengus Surya ketika melihat Makyung Bedah duduk dengan tenang di belakang motor Imran.

“Jangan-jangan Imran yang jadi master mind mak selama ini tak?” kata Maryam sambil matanya tertumpu di jalan raya yang sempit itu.

“Kita ajar budak tu!” Surya mengetap bibir. Geram sungguh hatinya melihat keakraban Imran dan ibunya. Sanggup Makyung Bedah menolak naik kereta semata-mata hendak membonceng di belakang Imran. Itu yang difikirnya.

Sampai di halaman rumah, Imran berhenti. Makyung Bedah turun.

“Nanti Im datang ambil mak petang sikit. Mak nak ke kedai. Mak nak beli barang sikit,” kata Makyung Bedah. Suaranya sengaja dikuatkan agar Maryam dan Surya mendengarnya.

Imran angguk.

“Oh! Jadi kaulah yang rancang semua ni ya!” kata Maryam ketika Imran ingin berlalu dari rumah itu.

“Rancang apa, Kak Yam?” Imran terpinga-pinga.

“Jangan nak berlakon. Kau yang bawa mak aku ke Kuala Lumpur. Kau yang rancang wartawan mewawancara dia. Kau memang sengaja nak malukan kami, kan?” Surya pula menyerang.

Imran tersenyum sinis. Dia mula faham kenapa Maryam dan Surya sudi balik ke kampung hari itu. Mereka rasa malu dengan cerita yang ditulis oleh wartawan dalam ruangan Seni dan Budaya itu. Dia mematikan enjin motornya. Telinganya ingin mendengar semua perbualan anak beranak itu dengan jelas.

“Jangan nak senyum-senyum. Kami tak bergurau. Tak ada yang kelakar. Kalau kau nak selamat, jauhi dari semua ini,” kata Surya lagi.

“Apa sebenarnya yang kau berdua nak ni?” Makyung Bedah yang mendengar sejak tadi mula naik angin apabila Imran dimarah begitu.

“Mak, kami tak suka mak keluar dari kampung dan menjaja cerita mak tu!” sergah Surya dengan suara meninggi.

Makyung Bedah merenung Imran. Imran juga begitu. Kedua-duanya bertukar rasa. Ada air mata yang mula bergenang di celah mata Makyung Bedah. Ketika itu Imran menggelengkan kepala Dia cuba memujuk Makyung Bedah agar tidak mengalirkan air mata itu dengan isyarat gelengan itu.

“Mak, tolonglah kami. Boleh tak kalau mak duduk diam-diam di kampung. Tak usahlah nak menjaja cerita pasal makyung mak tu pada dunia. Tak ada faedah apa-apa pun!” Maryam pula menokok usul Surya yang menyakitkan hati Makyung Bedah itu.

Tiba-tiba air mata Makyung Bedah tidak jadi keluar. Luka hati menjadi kemarahan yang memuncak.

“Kau malu atau kau takut rahsia kau pecah?” Makyung Bedah berpaling kepada Surya. Dia merenung dari hujung kaki hingga ke hujung rambut. Anak yang dilahirkan dengan penuh ikhlas. Anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Tiba-tiba anak itu menjadi kasar dan tidak bertimbang rasa!

“Mak, apa yang mak nak buktikan sebenarnya?” Surya membalas renungan Makyung Bedah dengan renungan yang tajam.

“Aku tak nak buktikan apa-apa. Aku cuma nak kamu semua ingat bahawa dengan duit makyung kamu belajar hingga ke universiti.”

“Mak, tak usah nak bangga sangat dengan makyung mak tu. Kalau tak ada tanah pusaka arwah tok yang mak jual tu, mak ingat mak mampu nak membiayai kami? Jangan nak bohonglah mak. Berapa sen sangat hasil makyung mak tu?” Maryam pula menyerang dari sebelah kanan. Suara Maryam langsung tidak ada belas kasihan.

Makyung Bedah menggeletar. Dia tunduk. Dia beristighfar dalam hati.

“Mak selalu sangat sebut duit makyung mak yang besarkan kami. Mak ungkit semuanya seolah-olah hanya itu sumber pendapatan mak untuk besarkan kami. Mak lupa mak menjual kuih. Mak ambil upah menebas. Mak menoreh. Mak lupa tu?” tanya Surya dari sebelah kiri.

“Aku tak pernah lupa...” Suara Makyung Bedah tersekat di kerongkong. Sangat perit untuk menelan semua kata-kata Maryam dan Surya itu.

“Kalau mak tak lupa, tak payah nak gah sangat dengan hasil makyung mak tu!”

“Baguslah kalau kamu masih ingat bahawa ibu tua ini dah kerja keras untuk dengan apa cara sekali pun untuk jadikan kamu semua manusia berjaya.”

“Mak, usah nak mengungkit. Itu memang dah jadi tanggungjawab mak.”

“Aku tak pernah mengungkit pada amanah ALLAH. Tapi hati aku kesal kerana kamu semua telah mungkir janji dan lalai sebagai anak.”

“Apa yang mak nak lagi. Kami dah masukkan duit dalam akaun mak setiap bulan. Mak boleh buat apa saja dengan duit itu.”

“Cukupkah duit itu nak beli rasa rindu aku ni?”

“Mak, sudahlah. Jangan nak berdrama sangat. Ini bukan pentas makyung mak tu, ada cerita dan ada penonton. Dengar sini, kami tak suka mak bercerita pasal dunia mak yang dah lepas tu. Kami tak suka mak keluar dari kampung dan merayap ke Kuala Lumpur tu.” Surya semakin bertegas.

Makyung Bedah diam seketika.

“Dan kau Imran! Jangan sekali-kali kau memandai-mandai nak bawa dia keluar dari sini.” Surya berpaling kepada Imran dengan amarannya.

“Surya, kenapa kau jadi macam ni? Aku benar-benar tak sangka kalau Surya yang lemah lembut dulu dah bertukar keras dan kejam macam ni!” ujar Imran pula.

“Kau tu siapa nak campur urusan aku?”

“Aku bukan sesiapa. Aku tahu kau dah berjaya jadi penyanyi. Tapi kau jangan lupa pada asal usulmu. Jangan takbur dengan kejayaan yang sikit ini Surya. Kau dah banyak lukakan hati mak kau. Kau biarkan mak kau terlantar sakit sorang-sorang. Kau lebih pentingkan kerja kau dari mak kau sendiri. Kau tahu anak yang derhaka tak akan mendapat rahmat ALLAH. Kau kena ingat tu!”

“Imran! Kau jangan melampau ya!” Surya ingin menerkam. Serta merta tubuhnya ditarik oleh Maryam.

“Tolonglah mak. Jangan malukan kami. Surya baru nak naik dalam industri ini. Kalaulah peminat dia tahu siapa mak dia, kerjayanya akan hancur. Rumah tangganya juga akan berkecai, mak.”

Makyung Bedah cuba bertenang dan memujuk diri agar kuat. Dia tidak mahu mengemis simpati Maryam dan Surya.

“Kalau mak masih berdegil juga, tahulah kami nak buat apa pada mak. Dah. Kami balik dulu,” kata Maryam menarik tangan Surya masuk ke kereta.

“Yam! Kamu tak nak singgah dulu? Kamu tak sudi nak minum seteguk air dari dapur kita?”

“Kami dah lambat mak. Lagipun, dalam perjalanan ke sini tadi kami dah makan dan minum. Kami balik dulu. Ingat pesan kami, mak.”

Kali ini Surya yang memandu kereta. Setelah masuk dalam kereta, dia terus menekan minyak. Kereta mewah itu meluncur pergi dengan laju.

“Ya ALLAH!” Makyung Bedah terduduk. Air matanya melunjur laju di pipi. Tidak mampu dia menahan lagi. Tubuhnya terkulai layu.

“Mak, sabar ya. Kuatkan hati.” Imran memapahnya duduk di tangga.

Makyung Bedah menangis sepuas-puasnya. Air mata akhirnya menjadi hujan yang sangat lebat.

“Menangislah mak kalau tangisan itu mampu meringankan beban mak. Tapi jangan sekali-kali mak mendoakan keburukan untuk mereka. ALLAH sedang menyaksikan semuanya.”

Lama. Baru tangisan Makyung Bedah reda. Dia mengesat air matanya dengan hujung baju.

“Maafkan mak, Im.”

“Kenapa pula nak minta maaf dari Im?”

“Sebab anak-anak mak kurang ajar pada Im. Mak malu...”

“Mak, biarlah mereka. Doakan mereka sedar dari kesilapan mereka ini.”

“Kenapalah mak tak lahirkan anak sebaik Im.”

“Jangan cakap macam tu, mak. Mereka pun anak yang baik. Hanya keadaan yang mengubah mereka. Mereka sedang tersesat jalan. Im percaya, satu hari mereka akan sedar dan kembali ke pangkal jalan.”

Makyung Bedah anggup perlahan. Entah kenapa hatinya kosong dan dia tidak mengharapkan apa-apa lagi selain kesejahteraan dirinya sendiri. Benar kata Imran dulu, dia perlu kuat untuk bersedia dengan dugaan mati.


Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.