Imran membeli beberapa
barang keperluan. Kemudian mencapai akhbar Berita Harian seperti yang dipesan
oleh Makyung Bedah.
“Mak kau macam mana Im?” tanya Pak Mud selepas
Imran membayar semua harga barang.
“Alhamdulillah, Pak
Mud. Mak semakin sihat. Dia bertambah ceria dan bersemangat sekarang. Sejak Mak
Bedah sering ke rumah kami.”
“Baguslah. Memang
mereka tu sahabat sejati. Sudah lama berkongsi susah dan senang bersama. Mereka
saling membantu.”
“Kesakitan mak saya tak
seberapa berbanding kesakitan Mak Bedah tu, Pak Mud.”
“Apa maksud kamu, Im?”
tanya Pak Mud, sambil merenung wajah Imran.
“Mak Bedah tu sedang
sakit jiwanya,” balas Imran.
“Hah? Dia gila ke?”
tanya Pak Mud dengan panik.
“Bukan gila, tapi dia
sengsara dan menderita dengan perbuatan anak-anak dia tu.”
Pak Mud menarik nafas
lega. Dia rasa senang hati kerana dugaannya meleset.
“Ya. Yang tu Pak Mud
tahu. Kesian dengan Bedah tu. Kalaulah Abang Mail ada, takkan begini jadinya
nasib dia.” Wajah Pak Mud berubah suram. Belas simpati mengalir lembut di sudut
hatinya. Dia tidak menyangka kalau anak-anak Makyung Bedah yang berjaya dalam
hidup sanggup melukakan hati ibunya.
Dari perkahwinan Azman
lagi, seluruh warga desa itu tidak berpuas hati dan menaruh belas kepada Makyung
Bedah. Selepas itu Maryam pula berkahwin. Keadaan yang sama berlaku.
Kini, Surya pula
mendera perasaan ibunya. Kali ini dengan lebih parah lagi kerana Makyung Bedah
langsung tidak diberitahu.
“Kau jagalah Mak Bedah
kau tu, Im. Dah memang tak ada orang lain lagi yang dia nak tumpang selain kau
dan mak kau. Saudara maranya yang lain tinggal jauh-jauh belaka. Setahun sekali
pun tak ada yang datang menjenguk. Kami ni tak rapat sangat dengan dia. Hanya
melihat kesedihannya dari jauh.”
“Insya-ALLAH Pak Mud.
Saya tak akan biarkan dia sengsara dan lara dengan perasaannya itu lagi.
Anak-anak dia pasti satu hari akan menyesal. ALLAH pasti akan membalas
perbuatan derhaka mereka itu,” jawab Imran.
Pak Mud angguk setuju.
Memang janji ALLAH itu jelas. Anak-anak yang derhaka kepada ibu bapa tidak akan
senang hidupnya. Hanya masa yang akan menentukan nasib anak-anak Makyung Bedah.
Imran melangkah keluar
dari kedai itu dan terus menunggang motornya menuju ke rumahnya.
“Dah balik hero kau
Semah. Tengok, berpeluh-peluh dia,” laung Mak Bedah dari tangga.
Mak Semah yang berada
di ruang tamu, tersenyum senang melihat gelagat Makyung Bedah.
“Ini surat khabar yang
mak nak tu.” Imran menghulur akhbar di tangannya.
“Bedah? Sejak bila kau
pandai baca surat khabar ni?”tanya Mak Semah dengan hairan.
“Siapa kata aku nak
baca?” balas Makyung Bedah dengan ketawa.
“Habis tu?”
“Aku nak tengok gambar
saja. Lagipun, Im ada untuk tolong baca. Kan Im?” Makyung Bedah menoleh kepada
Imran yang masih tercegat berdiri.
Imran segera faham akan
maksud yang ada di sebalik kerdipan mata Makyung Bedah. Kerinduan seorang ibu
muncul dalam berbagai keadaan.
“Selepas solat zuhur
dan makan kenyang-kenyang, Im baca untuk mak ya!” balas Imran dengan senyum
senang.
Imran berlalu ke bilik
mandi. Dia bukan sahaja hendak mandi dan berwuduk tetapi dia juga hendak
mematikan rasa belas yang baharu hendak muncul.
Makyung Bedah membelek
helaian akhbar dengan perlahan.
“Kau nak cari berita
mengenai Surya ke Bedah?” tanya Mak Semah.
Diam. Mata Makyung
Bedah masih tertumpu kepada helaian akhbar itu. Dia seolah-olah mencari
sesuatu.
“Aku faham perasaan kau
Bedah. Sabarlah. Serahkan semuanya kepada ALLAH. Mungkin satu hari mereka akan
insaf dan kembali jua kepada kau.”
Makyung Bedah hanya
tersenyum-senyum.
“Kalaulah Surya belum
kahwin, ingin aku kahwinkan dengan Imran agar silaturrahim kita berpanjangan.”
“Ish! Ke situ pulak kau
fikir. Sekarang pun silaturrahim kita tak putus. Kita dah jadi macam keluarga.
Apa lagi yang kau nak,” kata Mak Semah.
“Entahlah Semah. Aku
nak sangat Imran tu jadi muhrim aku. Sekurang-kurangnya masa aku sakit, dia
boleh menjaga aku tanpa halangan hukum.”
Mak Semah termenung.
“Sudahlah. Surya dah
kahwin. Dia dah ada hidupnya sendiri. Mari kita doakan agar dia bahagia.”
Selesai makan tengah
hari, Imran membelek-belek akhbar yang dibeli. Dia mencari-cari kalau ada
berita dan cerita mengenai Surya, penyanyi rock yang sedang mencipta nama.
Cerita terbaru, dia sedang merakamkan album kedua. Tapi Imran sendiri tidak
tahu apakah album pertamanya mendapat sambutan atau tidak. Di corong radio pun
jarang dia mendengar lagu-lagu nyanyian Surya.
Tidak ada nama Surya
tercatit dalam akhbar. Imran terus membelek dan melihat berita-berita lain.
Makyung Bedah dan Mak Semah
duduk bersantai.
“Malam ni kau tidur di
sini saja, Bedah,” kata Mak Semah.
“Ish, tak boleh. Sejak
Abang Mail tak ada, aku jarang tinggalkan rumah.”
“Kami bimbangkan mak,”
celah Imran pula.
“Tak perlu bimbang
apa-apa. Serahkan semuanya kepada ALLAH. Kita minta perlindungan DIA.”
“Kalau mak sakit
malam-malam, mak nak panggil siapa?” tanya Imran. Matanya beralih memandang
Makyung Bedah.
“Mak panggil anak
maklah.”
“Mereka semua jauh.”
“Mak panggil anak yang
paling dekat.”
“Siapa?”
“Siapa lagi, Im kan
ada,” jawab Makyung Bedah dengan kerdipan mata kasih kepada Imran.
Imran membalas dengan
senyuman.
“Macam mana mak nak
panggil kalau dah malam. Rumah kita bukannya dekat, mak.”
“Mak ketuk benda ni!”
Makyung Bedah menunjukkan telefon bimbitnya.
Sekali lagi Imran
tersenyum Dia terlupa bahawa Makyung Bedah ada telefon bimbit. Ia model
Samsung. Katanya itu pemberian Maryam semasa dia mula mengajar.
“Mak, pihak Jabatan
Kebudayaan sedang mencari tokoh-tokoh seni untuk dijadikan ikon kepada anak
muda zaman ini. Mak tengok ni!” kata Imran sambil menunjukkan satu ruangan
berita yang ada di dada akhbar.
Tanpa diminta, dia membacakan
apa yang tertulis.
“Kenapa Im cakap dengan mak?”
“Sebab Im rasa mak
sesuai dan layak. Primadona makyung yang tersohor pada satu masa.”
Makyung tunduk merenung
lantai. Benarkah dia memang tersohor? Benarkah ada orang yang mahu menghargai
makyung selepas sekian lama ia dilupakan?
“Mak tak layak nak
dihargai begitu, Im.”
“Mak, izinkan Im hantar
nama mak. Lepas tu baru kita tahu mak layak atau tidak,” balas Imran. Matanya
melorot ke arah Makyung Bedah, mencari jawapan.
“Mak malu, Im.”
“Mak nak malu apa?
Bukannya mak buat salah. Mak memang penari makyung yang hebat. Semua orang
kampung dan orang di Kelantan ini tahu hal itu.”
“Tapi kata Surya, seni
makyung ni orang tak pandang lagi pada zaman ini. Orang lebih sukakan muzik
rock yang membingitkan telinga tu,” balas Makyung Bedah mengulang kenyataan
Surya tidak lama dulu.
“Itu kata Surya. Kata
orang yang mata dan hatinya dikelabui muzik penjajah. Dia lupa budaya sendiri
kerana mengagungkan seni dan budaya kita. Malah sekarang dia lupa adab dan
hukum kerana fikirannya mula dijajah nafsu!” kata Imran dengan suara sedikit
tegang dan kasar. Entah kenapa, bila mendengar nama Surya hatinya menjadi marah.
Makyung Bedah senang
hati kerana Imran memahami dan menghargai kebolehannya.
“Boleh ya mak?” Sekali
lagi Imran bertanya.
Dengan senang hati,
Makyung Bedah angguk.
“Terima kasih mak.”
Imran tersenyum. Makyung Bedah dan Mak Semah ikut tersenyum. Puas hati mereka melihat
Imran tersenyum.