Makyung Bedah terus
masuk ke bilik air untuk mandi dan mengambil wuduk. Keluar dari bilik air,
matanya terpandang kepada Marinah yang masih termenung. Dia tidak mahu menegur.
Dia menunaikan solat
dengan tenang dan kusyuk. Kemudian lama pula dia berwirid dan berzikir. Ketika
itu tidak ada orang lain yang muncul antara dia dan ALLAH. Langsung tidak
berhijab. Dia memohon doa terus kepada ALLAH.
“Ampuni anak-anakku ya
ALLAH. Berikan mereka perlindungan dan rahmat-MU. Sesungguhnya aku adalah ibu
yang tidak berdaya...” Makyung Bedah menahan sebak. Dia terdiam lama, mengulum
semua duka dan pilu hati. Menelan semua rasa rindu kepada arwah suami dan
anak-anaknya dengan tabah.
Lama di sejadah, akhirnya
dia bangun dan mengemas sejadah.
“Mak, mari kita keluar
makan,” ajak Marinah.
“Tak apalah. Mak tak
rasa lapar. Kamu pergilah.”
“Mak kena makan. Nanti
mak lapar nak tunggu hingga pagi esok.”
Makyung Bedah berfikir
sejenak. Benar juga kata Marinah. Kalau dia tak makan, pasti perutnya akan pedih
menunggu masa bersarapan pagi esok.
“Baiklah, mak ikut
kamu. Tapi, jangan jauh-jauh sangat. Pening kepala mak naik ereta tadi tak
habis lagi ni,” kata Makyung Bedah. Dia menukar pakaian. Jubah hitam pemberian
Azman beberapa tahun yang lepas dipakainya. Jubah itu sangat digemarinya.
Banyak kali dia memakai dalam majlis-majlis yang dihadiri di kampung.
“Kita makan kat restoren
di tingkat bawah sahaja,” kata Marinah ketika melihat Makyung Bedah sedang
berkemas.
Mereka turun menaiki
lif. Kemudian Marinah memimpin Makyung Bedah ke arah satu meja yang jauh dari
pelanggan lain.
“Mak nak makan apa?
Biar saya ambilkan. Di sini, kena layan diri,” kata Marinah selepas mendudukkan
Makyung Bedah di kerusi.
“Apa sahaja asal jangan
masakan barat. Biarlah masakan kampung dan masakan Melayu sebab mak ni masih
orang Melayu tulin,” jawab Makyung Bedah, menyengih.
Marinah berlalu.
Makyung Bedah tinggal sendirian. Dia melilau melihat perhiasan yang ada di
restoren itu. Semuanya cantik dan mahal-mahal belaka. Sesuatu yang tidak
mungkin ditemui di kampung.
“Kalau nanti Man dah
kerja dan bergaji besar, Man akan buat rumah batu untuk mak. Man akan upah
seorang pakar hiasan dalaman untuk menghias rumah kita nanti.” Terngiang suara
Azman sepuluh tahun dulu.
“Man, atap rumah kita
dah mula bocor.”
“Mak gunalah dulu duit
yang Man berikan pada tiap bulan tu. Man tak ada duit ni.”
“Tapi duit tu mak nak
simpan untuk ke Mekah. Mak teringin sangat nak ke Mekah. Kalau tak dapat pergi
haji pun mungkin pergi umrah pun jadilah,”
“Mak, baikilah dulu
atap tu. Nanti kalau Man balik, Man berikan ganti duit mak tu.”
Makyung Bedah mengeluh
perlahan. Bukan kerana atapnya yang bocor, tetapi kerana Azman yang tidak
pernah muncul lagi selepas berjanji begitu.
“Mak, silakan makan.
Semua lauk kampung ni. Ada kerabu nangka. Ada daging bakar cicah air asam, ada
masak lemak pucuk paku. Jemput makan, mak.” Marinah berdiri dengan sedulang
lauk pauk.
“MasyaALLAH! Banyaknya.
Mak tak boleh habis ini,” kata Makyung Bedah.
“Tak apa. Mak makan
saja. Kalau tak habis, biar saya yang habiskan.”
Makyung Bedah mencedok
kuah lemak pucuk paku untuk membasahkan nasi. Dia mula membaca bismillah.
Sesuap nasi disuakan ke mulut. Kunyahannya sangat perlahan dan tertib. Dia
seperti memaksa selera.
“Ada ikan kering tak?”
Makyung Bedah menoleh ke arah Marinah yang juga sedang mengunyah.
“Nanti saya tengok ya
mak.” Marinah segera bangun dan berjalan ke arah meja buffet. Tidak lama dia
kembali ke meja dengan sepiring ikan kering.
“Hanya ini yang ada
mak,” kata Marinah sambil meletakkan piring itu di hadapan Makyung Bedah.
Mata Makyung Bedah
berkaca riang. Dengan cepat dia mencubit ikan kering. Seleranya tiba-tiba
muncul. Nasi putih dengan ikan kering sepat itu terasa sangat menepati
seleranya. Namun semuanya tidak lama.
Beberapa suap kemudian, kunyahan terhenti. Fikirannya menerawang kepada masa
lalu...
“Mak, tengoklah abang
ni. Habis ikan kering Yam dia ambil. Habis Yam nak makan dengan apa?”
“Man, kenapa buat adik
macam tu. Kan mak dah bagi sorang seekor?”
“Ala... gurau pun tak
boleh. Yam ni manja sangatlah!”
“Mak, Surya nak ikan
kering lagi,” celah Surya dengan mulut yang penuh.
“Ikan tu empat ekor
saja Su.”
“Kenapa sikit sangat?”
“Memang mak beli empat
ekor sahaja.”
“Kenapa beli sikit
sangat? Mak tahu Su suka ikan ni!”
“Nanti esok kalau mak
ada duit lebih mak beli banyak-banyak ya. Sekarang makanlah apa yang ada.”
“Su nak ambil bahagian
mak, boleh?”
“Su! Kenapa kurang ajar
sangat ni. Habis mak nak makan dengan apa nanti!” jerit Maryam sambil
mengangkat tangan ke arah Surya.
“Nanti mak merajuk, mak
panggil batu belah batu bertangkup. Padan muka. Mak akan tinggalkan kau!” kata
Azman pula.
“Betulkah mak nak
merajuk dan tinggalkan kita?” Surya merenung wajahnya. Makyung Bedah hanya
tersenyum.
“Mak jangan tinggalkan
kami ya. Su janji tak ambil ikan kering mak. Su boleh makan nasi dengan kicap
saja. Mak jangan tinggalkan Su ya!”
Hati Makyung Bedah
sangat tersentuh dengan kata-kata Surya itu.
“Mak, ada apa?” Bahunya
disentuh lembut. Dia menoleh. Marinah merenungnya dengan rasa aneh.
“T...tak ada apa-apa.”
“Masin sangatkah ikan
kering ni?” tanya Marinah lagi.
“Dah nama ikan kering.
Kalau tak masin, ia dipanggil ikan tawar. Kalau dikampung mak, ikan tawar sedap
dicicah dengan budu.”
MakYung Bedah membasuh
tangan. Seleranya hilang. Tidak boleh dipaksa lagi. Wajah ketiga-tiga anaknya
muncul menghalang kelazatan ikan kering di hadapannya.
“Kenapa mak berhenti?”
“Mak dah kenyang. Orang
tua tak boleh makan banyak.”
“Mak diet ke?” Marinah
cuba bergurau. Walaupun dia tahu lawaknya lawak bodoh, namun hatinya rasa
senang bila melihat Makyung Bedah ketawa perlahan.
“Biar saya ambilkan mak
pencuci mulut. Mak nak apa? Buah-buahan atau kuih?”
“Apa-apalah. Sudah
dilayan begini, mak rasa tak ada hak nak memilih.”
Marinah bangun dan
berjalan semula ke arah meja buffet. Makyung Bedah sendirian lagi. Rasa rindu
kepada anak-anaknya mengalir lembut dari sudut jiwa seorang ibu.
Ketika dia termenung
itu, tiba-tiba dia terpandang kelibat seorang lelaki berjalan beriringan dengan
seorang wanita berjalan ke arah restoren itu. Mereka nampak begitu mesra.
Sekali sekala lelaki itu memeluk bahu wanita itu.
Darah Makyung Bedah
berderau. Denyut jantungnya menjadi kencang. Dia bangun dan berjalan ke arah
pasangan itu.
“Man? Anak mak!” tegur
Makyung Bedah dengan dada sebak. Seluruh minda dan penglihatannya tertumpu
kepada wajah sasa anak sulungnya itu. Setahun lebih tidak bersua muka. Setahun
lebih tidak mendengar suara. Kini Azman ada di hadapan mata. Alangkah
gembiranya.
“M... mak? Apa mak buat
kat sini?” tanya Azman, sedikit gugup.
“Mak ada kerja sikit di
sini.”
“Kerja? Sejak bila
pulak mak ni pandai keluar rumah cari kerja?”
Makyung Bedah tidak
menjawab. Dia meneliti wajah Azman dari hujung kaki hingga ke hujung rambut.
Kerinduannya terlerai.
“Man, mari mak peluk
Man. Mak rindu sangat pada Man. Siang malam mak tunggu nak jumpa Man macam ni.
Mari mak peluk Man...” Makyung Bedah mendepang tangannya. Dia pejamkan mata. Dia mengharapkan Azman merebahkan diri
ke dalam pelukannya. Dia rindukan kehangatan tubuh Azman...
“Sayang, siapa ni?”
tanya wanita yang ada bersama Azman.
Makyung Bedah menoleh.
Matanya bertembung dengan mata wanita itu. wajah Makyung Bedah berubah. Wanita
itu bukan menantunya? Dia bukan isteri Azman.
“Man, siapa ni?”
Azman segera menarik
tangan wanita itu dan meninggalkan Makyung Bedah dengan seribu tanda tanya.
Makyung Bedah ingin
menjerit memanggil Azman. Namun, dia rasa malu apabila menyedari ada berpuluh
mata yang sedang melihat ke arahnya. Hajatnya ingin memeluk Azman tidak
tercapai!
“Mak, kenapa ni?”
Marinah muncul dengan sepiring kuih di tangannya.
Makyung Bedah segera
membetulkan dirinya. Air mata yang bergenang segera disapu. Dia tidak mahu
Marinah nampak titisan pilu seorang ibu.
“Tak ada apa. Mak salah
orang. Mak ingat anak mak. Orang lain rupanya,” jawab Makyung Bedah dengan
senyuman yang dipaksa.
“Kes rindulah ni,”
balas Marinah pula. Dia memimpin Makyung Bedah kembali ke meja.
Makyung Bedah terdiam. Ketika
Marinah menghulurkan buah-buahan, dia mengambil dan mengunyahnya tanpa sepatah
kata. Fikirannya amat terganggu dengan kemunculan Azman tadi. Lebih terganggu
dengan kemunculan seorang wanita lain di sisi anaknya itu!