Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
bab 36

Makyung Bedah tersenyum-senyum selepas talian telefon dimatikan. Dia rasa seperti sedang mendapat bulan. Sudah lama dia tidak rasa gembira dan bahagia menjadi ibu. Malam ini, kegembiraan itu muncul seperti munculnya pelangi selepas hujan.

“Mak, hujung mingu ni Man akan balik. Man nak bawa mak datang ke rumah Man di Kuala Lumpur. Mak bersiap-siaplah.”

“Betulkah Man? Mak tak bermimpi?”

“Betul mak. Mak memang tak bermimpi. Memang ini anak mak yang telefon dan sedang bercakap dengan mak.”

Aduhai anak…

Akhirnya yang ditunggu sekian lama muncul juga. Benar kata Haji Awang, setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Keesokannya turun dari tangga masjid, Makyung Bedah mencari Imran.

“Im, mak nak ikut Im balik,” kata Makyung Bedah ketika Imran sedang menyarung selipar.

Imran rasa hairan. Wajah Makyung Bedah begitu ceria.

“Mak, ada berita gembira ke? Wajah mak berseri-seri ni!” balas Imran. Sudah lama dia tidak melihat senyuman menguntum di bibir Makyung Bedah. Hatinya ikut girang.

“Nanti sampai di rumah, mak cerita. Marilah kita balik,” ajak Makyung Bedah.

Imran menghidupkan enjin motornya. Kemudian selepas Makyung Bedah membonceng di belakangnya, dia segera berlalu meninggalkan perkarangan masjid.

“Awalnya kau sampai hari ni, Bedah? Air pun Imran tak bancuh lagi tu,” kata Mak Semah yang masih dalam telekung.

“Kenapa hari ni kau tak ke masjid. Aku cari kau di sana.Ada berita baik yang aku nak kongsi.”

“Aku rasa tak sedap badan.”

“Eh, betulkah?” Dengan cepat Makyung Bedah meletakkan tangannya di dahi Mak Semah.

“Panas sikit. Kau dah makan ubat ke?”

“Dah. Tadi sebelum ke masjid, Im dah berikan. Im ke dapur dulu. Tengok apa yang kita boleh makan pagi ni,” kata Imran.

“Im, mari duduk dulu. Pasal makan tu kemudian kita fikir.Sekarang, mak ada hal nak beritahu ni!” Makyung Bedah menarik tangan Imran.

Imran akur dan duduk di sebelah Mak Semah.

“Macam penting sangat ni. Kenapa Bedah?”

“Aku dah dapat anak aku, Semah.”

“Apa maksud kau, Bedah?”Mak Semah ikut teruja. Matanya terbuka luas.

“Azman telefon aku malam tadi. Hujung minggu ni dia nak balik. Dia nak bawa aku ke Kuala Lumpur. Dia nak bawa aku ke rumah dia, Semah!” Makyung Bedah terlonjak riang. Memang jelas di wajahnya keriangan itu.

“Alhamdulillah…” Imran mengucap syukur sambil menyapu mukanya.

“Alhamdulillah, Azman dah berubah. Harap adik-adiknya juga ikut berubah,” kata Mak Semah tumpang gembira mendengar berita yang disampaikan oleh Makyung Bedah itu.

“Akhirnya dapat juga aku menjejakkan kaki ke rumah anakku, Semah. Akhirnya dapat juga aku memeluk menantu dan cucu-cucuku.”

Makyung Bedah mengesat air mata gembira.Sungguh gembira. Imran dan Mak Semah pun sama. Selama ini mereka berkongsi air mata duka.Kali ini mereka berkongsi air mata gembira pula.

“Lama ke kau nak ke sana tu, Bedah?”

“Entahlah. Pergi pun belum, Semah.”

“Aku akan rindukan kau nanti,” bisik Mak Semah perlahan.

“Jangan macam tu. Aku tak akan lupakan kau. Aku akan telefon kau nanti.”

“Harap kau tak pergi lama-lama.”

“Kita tak akan berpisah lama. Walau di mana aku berada, aku takkan lupakan kau Semah. Hanya maut yang akan pisahkan kita.” Makyung Bedah memeluk bahu Mak Semah.

“Yalah, mana tahu maut pisahkan kita tapi kau tak ada.Aku ni dah selalu uzur. Kalau boleh aku nak kau hantar aku sampai ke kubur,” kata Mak Semah lagi.

Makyung Bedah ketawa segar.

“Kau ketawakan aku ya?” tanya Mak Semah sambil mencubit bahu Makyung Bedah.

“Aku ketawa sebab kau nak suruh aku hantar sampai ke kubur. Kau nak suruh aku lambai selamat tinggal ke?”

Mak Semah ikut ketawa. Kesedihannya hilang selepas mendengar gurauan Makyung Bedah itu.

Hati Imran tiba-tiba rasa cuak dan bimbang.Kenapa Azman berubah begitu cepat? Apa yang terjadi kepadanya? Atau muslihat apakah yang sedang dimainkan oleh anak-anak Makyung Bedah itu.

*37*

Azman tidak mungkir janji. Hujung minggu yang dikatakan itu, dia muncul dengan kereta mewahnya. Kereta Mercedes model baru, masuk ke kampung itu dipandu oleh seorang pemandu yang siap berpakaian seragam.

“Mak dah siap ke?” tanya Azman ketika sampai di tangga. Bersalam pun tidak, Azman terus dengan soalannya. Dia melabuhkan punggung di tangga. Tidak naik dan wajahnya langsung tidak mesra.

“Takkan kita nak terus pergi. Kamu tak nak rehat dulu. Kalau kamu nak makan, mak boleh masakkan apa-apa,” jawab Makyung Bedah mendekati Azman.

“Mak, tak payahlah. Kita makan kat tengah jalan nanti. Saya nak cepat mak. Saya tinggalkan bisnes saya sebab nak ambil mak. Kita tak boleh lengah-lengah masa. Saya kena sampai KL malam ni juga sebab pagi-pagi esok saya ada mesyuarat penting.”

Makyung Bedah merenung wajah Azman dengan ragu-ragu. Betulkah Azman akan membawa dia pergi dengan rasa kasih sayang atau ada sebab lain?

“Man, berterus terang dengan mak. Apa sebabnya Man nak bawa mak ke rumah Man? Isteri Man macam mana? Kalau boleh mak tak nak menyusahkan Man.” Makyung Bedah mengharapkan satu kepastian. Getar hati seorang ibu sangat tidak menyenangkan.

“Mak, kalau Man tak balik mak sibuk suruh Man balik. Man tak cukup masa untuk selalu balik. Jadi, apa salahnya Man bawa mak tinggal dengan Man,” kata Azman. Dia langsung tidak berpaling dan mengadap muka Makyung Bedah.

Makyung Bedah termenung lama. Dia rasa berat hati untuk mengikut Azman.

“Mak, cepatlah bersiap. Kita bertolak sekarang. Mana beg mak?”

Dengan perlahan Makyung Bedah bangun dan masuk ke bilik. Sebuah beg dijinjit keluar. Kemudian dia masuk lagi ke bilik untuk menukar pakaian. Dalam masa yang sama, dia menelefon Imran.

“Im, datang sekarang. Mak dah nak bertolak ni.”

“Cepatnya! Pukul berapa Abang Man sampai?”

“Baru setengah jam. Dia tak nak tunggu. Dia nak terus bertolak balik. Tak apalah. Mak ikut saja. Im datang ya,” jawab Makyung Bedah.

Dia keluar dan menutup semua tingkap dan pintu. Kemudian dia turun ke tanah dan memakai selipar.

“Dah siap mak? Marilah,” ajak Azman. Dia membawa beg pakaian milik Makyung bedah ke dalam kereta.

“Tunggu sekejap.”

“Nak tunggu apa lagi ni?” tanya Azman dengan muka berkerut.

“Mak tunggu Imran. Mak nak jumpa dia dulu sebelum pergi.”

“Nak buat apa mak?”

“Mak nak suruh dia tengokkan rumah ni. Mak nak serahkan kunci rumah pada dia. Hanya dia yang boleh mak harapkan,” jawab Makyung Bedah dengan wajah selamba.

Azman mendengus. Dari wajahnya Makyung Bedah dapat melihat kebencian Azman kepada Imran. Mungkin dia sudah mendengar banyak cerita buruk dari Maryam dan Surya mengenai kejadian yang berlaku tempoh hari.

Tidak lama, Imran sampai dengan motornya. Selepas menongkat motor, dia terus berjalan ke arah Azman dan bersalam dengan penuh hormat takzim.

Azman berwajah masam.

“Im, nah ini kunci rumah mak ni. Tolong jaga rumah mak. Beri makan ikan di kolam. Tolong siram pokok bunga mak sekali sekala.”

Imran menerima kunci. Dia angguk perlahan.

“Mak pergi tak lama. Sekejap saja mak akan balik. Kalau mak Im tak sihat, cepat-cepat telefon mak,” sambung Makyung Bedah lagi.

Imran angguk lagi. Entah kenapa dia hilang kata-kata. Dadanya diserbu rasa sebak yang mendalam. Sehingga kereta Azman berlalu pergi, Imran masih berdiam diri. Hanya matanya yang berkaca.

‘Semoga mak gembira dan bahagia di sana.’ Itu yang berbisik di hati Imran.



Previous: Bab 35
Next: Bab 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.