Hari itu entah apa
mimpinya, tiba-tiba Surya muncul di bilik Makyung Bedah. Ketika itu Makyung
Bedah sedang berbaring selepas menunaikan solat zuhur.
“Mak, esok saya nak
keluar negeri selama seminggu. Selama saya tak ada, harap mak tak buat hal
pulak. Mak boleh keluar dari sini tetapi kalau mak nampak ada orang, mak
cepat-cepat masuk ke bilik ini semula. Faham mak?”
“Sampai bila kau nak
kurung mak macam ni, Surya?” Makyung Bedah cuba mencari simpati.
“Sampai bila-bila
selagi mak masih hidup,” kata Surya, dengan angkuh.
“Baik kau hantar saja
mak balik ke kampung. Di sana mak hidup aman. Tak kisahlah kalau kau tak nak
tengok mak lagi pun. Mak reda begitu daripada kau kurung mak di sini.”
“Kalau mak ada di
kampung, wartawan akan cari mak di sana. Mereka akan korek semua rahsia
peribadi saya. Mak, dunia artis ni tak sama dengan dunia makyung mak tu. Kat
sini kita ada banyak musuh yang tunggu peluang nak jatuhkan kita.”
Makyung Bedah semakin
faham erti semuanya. Mengapa Azman memaksanya ke Kuala Lumpur. Mengapa pula
Maryam bersungguh-sungguh hantar dia ke rumah Surya. Kemudian Surya pula
mengurungnya dalam bilik stor itu. Semuanya demi menjaga nama mereka.
Aduhai anak...
“Surya, boleh mak cakap
sikit?” Makyung Bedah rasa inilah peluang untuk dia meluahkan rasa tidak puas
hatinya.
“Apa dia?” Surya
mengadap Makyung Bedah.
“Surya, berhentilah
jadi artis.”
“Apa yang mak merepek
ni?” sergah Surya dengan cepat.
Makyung Bedah tersentak.
Jantungnya bergegar dengan sergahan Surya itu. Dia cuba bertenang dan memujuk
hati agar tidak bersedih kali ini.
“Mak tengok, hidup kau
hilang arah sejak kau jadi artis. Kau lupa diri. Kau lupa Tuhan!” balas Makyung Bedah.
“Mak ingat hanya mak
yang beriman? Mak nak bangga dengan cara hidup mak yang tak tinggal sejadah
tu?” Surya bertanya sinis.
Kali ini hati Makyung
Bedah sangat tersentuh.
“Astaghfirullahhalazim...
bertaubatlah Surya!” jerit Makyung Bedah dengan kuat. Kali ini hatinya sangat
tersentuh dan marah. Surya semakin kurang ajar.
“Nak bertaubat dari
apa? Saya tak buat dosa apa-apa pun? Mak tu yang nak kena bertaubat. Dah tua,
nak mati pun masih nak ingat makyung. Sudahlah mak. Mak ingat pesan saya tadi. Boleh
keluar dari bilik ini tetapi hati-hati. Jangan sampai ada yang tengok!” Surya
berjalan keluar dari bilik.
Namun ketika dia sampai
di muka pinta, telinganya menangkap bunyi deringan telefon dari arah almari
pakaian. Dia berpaling dan segera berjalan ke arah almari. Telefon yang ada
diambil dan dibelek. Nama Imran tertera jelas di skrin.
Surya membiarkan
deringan itu hingga ia berhenti dan berdering beberapa kali.
“Oh! Jadi mak selalu
berhubung dengan budak Imran tu? Apa yang mak cerita pada dia? Burukkan saya?”
Surya menjengilkan matanya kepada Makyung Bedah.
“Kenapa kau fikir macam
tu? Kau rasa kau ada buat salah?” Makyung Bedah pula tidak mahu menyerah kalah.
Surya terdiam.
“Surya, aku tak perlu
nak mengadu apa-apa. Orang melihat apa yang kau buat pada aku. ALLAH lebih
tahu.”
“Apa yang saya buat?” tanya
Surya dengan muka selamba.
Makyung Bedah merenung
mata Surya. Dia mencari rasa kasih dan rindu dalam mata itu. Tidak ada. Dan
sekarang, Surya tidak tahu dirinya bersalah. Apakah semua perbuatannya selama
ini dianggap biasa dan tidak bersalah?
Aduhai anak...
“Saya pergi dulu,” kata
Surya selepas lama Makyung Bedah diam termenung. Dia berjalan semula ke arah
pintu. Telefon bimbit milik Makyung Bedah tidak dipulangkan.
“Mana kau nak bawa
telefon mak tu, Surya?”
Surya berpaling. “Biar
saya pegang telefon ini. Biar mak tak dapat nak mengadu kepada sesiapa lagi.
Biar tidak ada yang tahu mak di sini,” jawab Surya.
“Surya, tolonglah.
Kalau kau nak kurung mak, mak rela. Tapi tolong pulangkan telefon itu. Hanya
itu cara mak nak dengar suara Mak Semah kau. Kalau kau ambil telefon itu,
putuslah hubungan kami.”
“Memang saya nak mak
putuskan hubungan dengan mereka. Kerana mereka mak panjang langkah. Kerana
mereka mak pandai melawan!” balas Surya tanpa rasa simpati.
“Surya, janganlah macam
tu. Mak hanya ada mereka. Mak sanggup buat apa saja asal kau tak putuskan
hubungan mak dengan mereka. Pulangkan telefon mak itu. Tolonglah...” rayu
Makyung Bedah bersungguh-sungguh.
Namun rayuannya tidak
dilayan oleh Surya. Langkahnya diteruskan tanpa belas. Dia langsung tidak menoleh
lagi.
“Surya! Tolonglah
pulangkan harta aku!” pekik Makyung Bedah dengan kuat. Dia tidak peduli apa-apa
lagi. Air matanya menitik deras.
Namun pekikannya hanya
berlalu bersama angin. Surya menyiram cuka di atas luka yang sedia ada.
Sakitnya!
“Zalimnya kau Surya...”
ratap Makyung Bedah di celah tangisannya. Siapakah yang peduli. Tidak ada yang
mendengar semua ratapan dan rintihan itu. Hanya tembok batu yang menjadi saksi
untuk semua kesedihan hati seorang ibu.