Home Novel Keluarga NASI PUTIH AIR KOSONG
60

Marinah sampai ke rumah banglo Datuk Seri Azimi. Seperti kata Cik Hezrita, memang payah untuk dia masuk ke kawasan itu. Dia terpaksa bersoal jawab dengan seorang lelaki berpakaian seragam lengkap yang bertugas sebagai pengawal keselamatan.

“Cik nak jumpa siapa?”

“Saya nak jumpa Puan Surya.”

“Puan Surya tak ada. Dia baru saja keluar.”

“Boleh saya jumpa Datin Seri atau Datuk Seri?”

“Awak ni nak jumpa siapa sebenarnya?” tengking pengawal keselamatan. Suaranya tegas dan langsung tidak mesra.

“Saya nak jumpa Makyung Bedah!” Marinah tiba-tiba ikut panas dengan tengkingan itu.

“Mana ada orang nama tu di sini.”

“Dia mak Puan Surya.” Marinah terus sahaja menjawab tanpa rasa takut dan bimbang. Dia nekad.

“Puan Surya mana ada emak?”

Marinah terpana. Sekali lagi hatinya geram ketika mendengar kata-kata itu. Rupanya semua orang sudah dirasuk oleh cerita bohong itu.

“Awak pergi dari sini sebelum saya bertindak,” ancam lelaki itu.

Marinah tetap tidak berganjak dari situ. Dia tetap bertegas tidak mahu meninggalkan kawasan itu selagi hajatnya tidak terpenuh.

“Saya akan pergi selepas jumpa Makyung Bedah. Kalau dia tak ada, saya akan tunggu di sini hingga tuan rumah ini balik! Awak boleh telegon Datuk Seri, Puan Seri atau Puan Surya dan suaminya. Saya nak jumpa semuanya!” tegas Marinah.

Pengawal keselamatan menekan interkom dan bercakap dengan Bik Sumi. Dia melaporkan kehadiran Marinah.

“Suruh dia tunggu. Sekejap lagi saya keluar.” Kedengaran suara Bik Sumi memberi arahan.

Marinah rasa lega. Sekurang-kurangnya ada orang yang sudi mendengar permintaannya.

“Adik cari siapa?” tanya Bik Sumi meneliti wajah Marinah.

“Saya nak jumpa Mak Bedah, emak Puan Surya.”

Wajah Bik Sumi berubah. Dia merenung Marinah dari hujung kaki hingga ke hujung rambut.

“Adik ni siapa?”

“Saya anak angkatnya dari kampung. Mana dia bik?” Marinah melilau dan menjengah-jengah ke dalam rumah.

Bik Sumi termenung lama. Wajahnya masih curiga.

“Siapa kata dia tinggal di sini?” Bik Sumi menduga.

“Ini rumah Surya. Baru bulan lepas kami bercakap melalui telefon. Mak kata dia tinggak dengan Surya di Kuala Lumpur ini,” balas Marinah, tanpa ragu-ragu.

Bik Sumi rasa seperti hendak menangis. Matanya yang baru kering kini mula berlinangan air mata.

“Bik, tolong bawa saya jumpa dia bik. Ada orang yang sedang merindui dia di kampung. Dan orang itu sedang nazak di hospital. Saya mesti bawa dia balik. Tolonglah bik...” rayu Marinah. Tangan Bik Sumi ditarik dan digenggam penuh harap.

Bik Sumi terharu. Air mata yang bergenang di birai matanya akhirnya pecah menitik.

“Kamu dah terlambat,” katanya perlahan.

“Apa maksud bibik?” Marinah merenung tepat ke dalam mata Bik Sumi.

Namun sebelum sempat Bik Sumi menjawab, telefon Marinah berdering. Dia segera meraba telefon bimbit dari beg tangannya.

Nama Imran tertera. Dia segera menjawab.

“Assalamualaikum Im!”

Tidak ada jawapan salam dari Imran melainkan sebuah esakan kecil yang sangat meruntun rasa.

“Im, kenapa?” Marinah mula panik. Tangisan Imran yang mendayu itu sangat menyentuh nubarinya.

“M... mak saya dah meninggal...” Suara Imran tertahan-tahan.

Marinah terkedu. Dia terpempan. Telefon di tangannya hampir terjatuh.

“Innalillahhiwainnailaihirajiun...” ucapnya dengan bibir yang bergetar. Air matanya mula jatuh berjuntaian.

“Siapa yang meninggal?” tanya Bik Sumi ketika Marinah mematikan talian telefon.

“Memang kita dah terlambat, bik. Orang yang menunggu Makyung Bedah di kampung sudah kembali mengadap Ilahi... kesian dia... hajatnya tak sampai,” tangis Marinah.

Esakannya melata lembut menusuk ke hati Bik Sumi. Walaupun dia tidak mengenali orang yang meninggal dunia dan tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya namun dia tetap terasa pilunya perpisahan itu.

“Memang kita betul-betul terlambat. Mak Bedah dibawa pergi oleh Surya pagi ini,” kata Bik Sumi ketika tangis Marinah belum reda.

“Ke mana?” Marinah mendongak. Air matanya dikesat. Dia baru teringat bahawa tujuannya masuk ke kawasan rumah mewah itu adalah untuk mencari Makyung Bedah.

“Entahlah. Surya menghantarnya dengan sebuah teksi. Kasihan mak cik...” keluh Bik Sumi.

“Apa maksud bibik?” Marinah semakin ingin tahu.

“Dia dikurung di sini. Datuk, Datin dan Fazrin tidak tahu dia ada di sini. Surya mengurungnya dalam bilik stor itu. Dia dianiaya... Surya anak derhaka...” Tiba-tiba rasa sebak Bik Sumi menjadi ledakan tangis yang kuat.

Pengawal keselamatan yang ada di pondok pengawal menjengah. Wajahnya curiga.

“Bibik, ada masalah ke?”

Bik Sumi menoleh sambil menggeleng. Dia tidak mahu pengawal itu tahu apa yang mereka bincangkan.

“Kenapa Surya begitu zalim?” tanya Marinah sambil mengesat air matanya.

“Dia tak nak keluarga ini tahu dia ada emak yang miskin. Dia tidak mahu mengaku Makyung Bedah itu emaknya. Sangat dahsyat perangai dia.”

Marinah mula teringat akan kata-kata Cik Hezrita. Rupanya memang benar Surya mengaku dia sudah tidak ada keluarga lagi selain kakak dan abanngya.

“Cik, tolong cari dia. Aku sangat bimbangkan dia. Dia tak berapa sihat. Sejak akhir-akhir ini dia memang rindukan kampung. Dia tak selera makan. Dia hanya termenung saja. Aku tahu dia sangat gembira dapat keluar dari sini. Tapi...” Bik Sumi terhenti.

“Kenapa bik?”

“Dia tak tahu yang dia tak akan dihantar ke kampung.Aku tahu Surya tak hantar dia ke kampung.”

“Habis tu ke mana?” Marinah semakin panik.

“Itu yang aku tak tahu. Kamu kena cari dia. tolonglah.” Bik Sumi bersungguh-sungguh merayu. Walaupun dia mengenali Makyung Bedah sekejap saja, namun dia rasa sangat bersimpati dengan nasib wanita itu.

“InsyaALLAH bik. Saya akan cari dia,” janji Marinah.

Tanpa berlengah dia melangkah ke kereta yang diletak di luar pagar. Dia menghidupkan enjin. Namun dia teringat sesuatu. Dia menarik sekeping kertas dari laci kereta dan menuliskan sesuatu. Kemudian dia keluar semula dari kereta dan berjalan ke arah pagar yang memang sudah tertutup rapat sebaik sahaja dia keluar tadi.

“Bik, ini nombor telefon saya. Kalau ada apa-apa, bibik tolong hubungi saya. Tolong ya bik.” Marinah menghulurkan kertas itu.

Bik Sumi menerimanya dan dengan cepat pula dia memasukkan ke dalam poket bajunya. Dia tidak mahu ada orang yang melihatnya. Biarlah pertemuan antara mereka menjadi rahsia. Pengawal keselamatan yang bertugas pun tidak tahu siapa Marinah. Biarlah dia terus tidak tahu.


Previous: Bab 59
Next: Bab 61

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.