Makyung Bedah tergamam.
Dia terpaku dan nampak agak keliru. Dia menenyeh mata, seolah-olah tidak
percaya dengan apa yang dilihatnya.
“Betulkah apa yang aku
lihat ni Semah?”
“Betul Bedah. Itu anak
kau Maryam dan Surya. Ya ALLAH! Termakbul juga doa kau nak tengok mereka,
Bedah.”
“Kau tak tipu aku ke,
Semah?” Makyung Bedah masih sangsi.
“Benar mak. Itu Kak Yam
dan Surya.” Imran cuba menyakinkan Makyung Bedah yang keliru dengan mata
sendiri.
Makyung Bedah bangun dan
segera berjalan ke arah Maryam dan Surya. Langkahnya langkah rindu. Sudah lama
dia menunggu saat itu. Sudah lama dia merayu agar mereka pulang menjenguknya.
Kali ini dia tidak perlu merayu lagi.
“Apa khabar mak?”
Maryam menghulurkan tangan. Makyung Bedah tidak menyambut huluran tangan itu.
Sebaliknya dengan cepat dia menarik Maryam ke dalam pelukannya.
“Anak mak dah balik.
Rindunya mak pada kau Yam...” Makyung Bedah mencium seluruh muka Maryam dengan
penuh rindu.
Maryam membiarkan. Walaupun
dari wajahnya tergambar rasa jengkel dengan perbuatan Makyung Bedah itu
Kemudian Makyung Bedah menoleh pula ke arah Surya. Dia menghulurkan
tangan. Dia ingin menarik Surya ke dalam pelukannya.
Surya menyambut huluran
itu dengan ragu-ragu. Ketika Makyung Bedah ingin memeluknya, dia mengelak diri.
Wajahnya masam dan agak kurang senang dengan perbuatan Makyung Bedah itu.
“Su tak rindu mak ke?
Mana menantu mak?” tanya Makyung Bedah sambi menjengahkan kepala ke arah kereta.
Kosong. Tidak ada sesiapa.
“Mak, mari kita balik
ke rumah kita. Kami balik ni sebab ada hal nak bincang dengan mak,” kata Surya
terus berjalan ke kereta. Dia langsung tidak menoleh lagi.
Makyung Bedah terpempan
sedih. Langkah Surya direnung dengan mata berkaca. Benarkah itu anak yang
dikandungnya?
“Mak, tunggu apa lagi?
Marilah naik kereta,” sergah Maryam pula. Dia berjalan ke arah kereta yang
memang tidak dimatikan enjinnya.
Makyung Bedah
termangu-mangu. Kakinya sangat berat untuk ikut melangkah. Dia menoleh kepada
Mak Semah dan Imran. Dia mencari kekuatan.
Namun ketika itu, Mak
Semah sudah tunduk menyembunyikan wajah. Imran juga. Masing-masing tidak mampu
menahan rasa yang sedang bergelora di dada.
“Mak! Cepatlah. Kami
tak ada masa nak main-main kat sini!” Suara Surya melaung dari dalam kereta.
Wajah Makyung Bedah
berubah rona. Hatinya sangat sebal melihat sikap kurang ajar anak-anaknya.
Maryam dan Surya sedang memalukannya di hadapan Mak Semah dan Imran.
Mak Semah dan Imran
memerhati dengan dada yang robek!
“Im, tolong hantarkan
mak balik,” kata Makyung Bedah, dengan suara bergetar dan sebak.
“Mak?” Imran mengangkat
muka, mencari kepastian.
“Mak tak selesa nak
naik kereta orang kaya tu. Biarlah mak naik motor buruk Im saja. Nanti kotor
pulak kereta mereka,” balas Makyung Bedah. Suaranya mula berubah dan pecah
seperti pecahnya hati seorang ibu.
“Tapi, mereka datang
nak ambil mak. Mak pergilah balik dengan mereka. Mungkin mereka ada perkara nak
bincang. Pergilah mak,” pujuk Imran sambil matanya menatap wajah Makyung Bedah
yang mula berubah rona itu.
“Mak akan balik kalau
Im hantar. Kalau tidak, mak akan duduk saja di sini. Mereka boleh bincang apa
saja di sini.”
“Bedah, jangan buat
mereka macam tu,”
“Semah, kau sendiri
tengok apa yang mereka buat pada ibu tua ini. Aku tak tahu kenapa mereka balik
kalau sekadar nak toreh hati aku ni. Darah dari luka yang sedia ada belum
kering. Sekarang mereka tambah lagi.”
Maryam tidak sabar
lagi. Dia menekan hon berulang kali. Namun Makyung Bedah pekakkan telinga. Dia
langsung tidak berganjak.
“Bedah, pergilah.
Kasihan Maryam dan Surya tu!”
“Im, tolong hantarkan
mak.” Makyung Bedah menoleh kepada Imran. Kali ini dia memang mengharapkan
simpati Imran. Hatinya nekad tidak akan memijakkan kakinya ke dalam kereta
mewah itu.
Ketika itu Imran pula
menoleh ke arah Mak Semah dan mencari keputusan dari Mak Semah.
“Pergilah Im. Jangan
biarkan mereka tu menunggu.”